Friday, January 04, 2008

Tunjukilah kami jalan yang lurus


Hari yang panjang dan aku sudah terlalu penat.

Tengahari tadi, jamuan perpisahan diadakan untuk seorang pensyarah. Aku juga turut serta walaupun sedang sibuk dengan kerja-kerja di makmal. Agaknya itulah salah satu kelebihan menyambung pengajian di tempat kerja sendiri walaupun banyak juga kekurangannya.

Aku tiba ke tempat jamuan agak lambat.

Biarlah aku namakan pensyarah yang mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai pensyarah kontrak (umur menghampiri 64 tahun) untuk menjadi tenaga pengajar sambilan di IPTA/S sebagai ATOK. Usia Atok sudah menjangkau 64 tahun. Seorang yang sangat pemurah. Jika Atok mengajak aku, cik senyum dan cik Ust keluar makan pasti dia yang membayarnya. Diikutkan sahaja kehendak kami, nasi padang, nasi daun pisang, ayam goreng kampung...macam-macam lagi menu. Banyak yang Atok titipkan dalam pesanan beliau. Lagaknya persis seorang datuk memberikan pesanan buat cucu-cucunya.

Kata Atok:
Setiap hari kita berdoa pada Allah ' Tunjukilah kami jalan yang lurus'. Jalan yang lurus sahaja yang Atok akan ikut dan telah ikuti.
Atok dulu masa muda-muda nakal. Solat pun tidak. Puasa pun macam tu jugak. Jadi sekarang ni Atok perlu gantikan semua yang sudah tertinggal. Orang lain solat satu waktu satu solat, Atok solat 2 kali 1 waktu untuk gantikan yang tertinggal. Kadang-kala lebih dari 2 kali.
Bila dah tua barulah Atok faham dan ikut maksud ayat 6 surah Al Fatihah: Tunjukilah kami jalan yang lurus.

Aku merenung kebenaran kata-kata Atok dan kesungguhan beliau untuk menjadi baik dan mengikuti jalan yang lurus...sambil menikmati nasi minyak berlaukkan ayam masak merah, dalca daging, acar mentah dan papadom yang sangat lazat.

Semoga Atok diberkatiNya.

0 comments:

 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino