Saturday, August 28, 2010

Kasut raya


Saya membaca kisah ini di blog Prof. Kamil. Ia mengimbau kenangan saya ketika zaman kanak-kanak.
Adik-adik beradik kami 7 orang. Along, Angah, Alang, Acik, Ateh, Uda dan Boboi. Anak kedua dan ketujuh lelaki. 7 orang tidak boleh dimuatkan untuk menaiki kereta apatah lagi motorsikal. Kadangkala semasa menyambut hari raya, kami tidak di bawa ke kedai untuk membeli kasut sebaliknya, kaki kami akan diukur dengan tali plastik dan arwah Apak akan membawanya ke kedai untuk dicarikan kasut yang sesuai. Memori saya singgah semasa saya berada dalam darjah 3. Saya amat terkilan kerana kasut kami sama sahaja- sesuai untuk lelaki dan perempuan, cuma saiznya berlainan. 
Lebih kurang beginilah sandal yang dibelikan..tentulah saya, kanak-kanak perempuan yang mengharapkan kasut bercirikan pink kecewa..hihihihi
Ketika itu, perasaan terkilan, sedih marah dan kecewa bercampur-baur. Apakan daya, hanya itu sahaja yang mampu disediakan oleh arwah apak dan mak namun tentu sekali kami lebih bertuah dari mereka yang langsung tidak mampu membeli kasut baru. Untuk membeli selipar dan kasut serentak adalah hampir mustahil. Kerana itu agaknya, sehingga kini saya hanya pandai memiliki dan menggunakan sepasang kasut sahaja. Apabila sudah koyak/rosak/menyebabkan saya tergolek barulah saya membeli kasut baru.
Mengenangkan itu semua saya amat bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan. Maka benarlah dalam setiap ringgit yang Allah berikan buat kita, ada bahagian untuk orang lain. Marilah kita sama-sama meringankan tangan kita untuk memberi apa yang termampu kepada yang memerlukan. Ianya mungkin kelihatan sedikit, akan tetapi impaknya sangat besar. Moga Ramadhan ini berjaya mendidik jiwa-jiwa kita menjadi jiwa yang lebih baik. Ameen.

Nota 1: Kerja tikus saya bermula. Moga keputusan yang diperolehi bagus. 
Nota 2: Hari ini saya dapat bercakap dengan mak di Tanah Suci. Gembiranya saya. Sebak pula rasanya kerana rindu menyesak di dada. Alhamdulillah mak kedengaran gembira dan sihat. 
Nota 3: Hari ini kami mendapat jemputan berbuka puasa di rumah sepupu suami saya.

Wednesday, August 25, 2010

Telah kembali atas permintaan ramai


sedang menjamu selera
Sistem sangkar 'mereka'
Alhamdulillah...'Budak-budak kecil' ini sudah sampai. Saya jadi senang hati mengatur kerja yang perlu dilakukan. Apabila tiba musim raya nanti, sebahagian 'mereka' sudah tiada di dunia yang fana dan sebahagian dari 'mereka' terpaksa saya tinggalkan dgn bekalan makanan dan minuman. 1 sangkar tidak boleh diisi padat tapi perlu diisi seekor sahaja. Kalau 'ramai-ramai' nanti jadi kisah makan daging saudara sendiri pula.
Dugaan datang dan pergi...syukur saya melaluinya walaupun selalunya terlepas juga keluhan..Astaghfirullah. Moga Allah ampunkan dosa-dosa saya.
Puan J dan 'anak kecil'
Vi junior mengalami masalah kehabisan bateri..hihihi...terpaksa ditunda kerana jump start gagal. Pertama kali dalam sejarah saya memiliki kenderaan melihat kereta sendiri ditunda...sedih wooo.... :D
Nota 1: Sudah sebahagian Ramadhan berlalu...pantasnya masa berlalu
Nota 2: Minggu ini Selangor cuti hari Jumaat....tetapi saya tidak bercuti...Isnin sehingga Rabu hadapan saya berkampung di makmal...terima kasih suamiku sayang kerana memahami. 
Nota 3: Kaki saya sudah beransur surut bengkaknya...dan sudah boleh solat berdiri seperti biasa. Alhamdulillah.



Tuesday, August 24, 2010

Apabila kura-kura terbalik..KISAH BENAR


                                                              kredit foto: http://blog.firstari.com

Pernahkah anda melihat kura-kura terbalik seperti yang kelihatan di dalam gambar di atas?
Imaginasi anda diperlukan untuk mengetahui mengapa kaki saya bengkak, tangan dan lutut lebam-lebam dan juga kepala saya agak pening.
Tukarkan sahaja imej kura-kura tersebut dengan seorang pelajar pasca siswazah yang dengan penuh semangatnya membuat kerja makmal di dalam bilik bersih dengan kedua-dua tangan memegang schott's bottle berisipadu 1 liter yang sudah terisi dengan strain bakteria, memakai pakaian ala-ala angkasawan dan juga dengan sepenuh jiwa raga cuba menyelamatkan botol kaca tersebut dari pecah. Pecah bermakna- kerja yang sangat banyak kerana di dalam botol ada bakteria ye..bukan bakteria baik seperti yang dijumpai oleh saintis Shirota di Jepun tu ye...ini bakteria tak berapa nak baik...Ngerinya...
Hasilnya seperti yang saya nyatakan di awal tadi, buku lali kanan bengkak, tangan kanan lebam, lutut kiri lebam, belakang saya sakit juga dan kepala pening-pening kerana terhantuk di Biosafety Cabinet atau lebih popular dengan nama BSC. Syukur Alhamdulillah suami saya yang menghantar ke makmal pada hari Ahad yang indah itu...jika bersendirian, bagaimana saya mahu memandu...huhuhu...
Kesimpulannya:
1. Apabila kasut anda tapaknya sudah licin, jangan bertagak-tagak untuk membeli yang baru walaupun ada menyayangi kasut tersebut sepenuh jiwa dan raga.
2. Apabila berada di dalam situasi membuat pilihan, buatlah pilihan yang tepat- pilihan saya menyelamatkan botol bakteria pada hemat saya tepat dan sesuai.
3. Setelah jatuh dan sakit, anda akan memaksa diri anda untuk membeli sepasang sepatu baru tanpa memikirkan gaji belum masuk ataupun jarak kedai kasut dengan rumah anda dan meminta kakak anda beserta 2 orang anaknya yang juga mendapat kasut baru walaupun kaki mereka tidak bengkak akibat jatuh  untuk menghantar anda ke kedai kasut tersebut. :D


Nota:
1. Ia telah selamat dihantar. Moga dibukakan pintu hati penilai untuk diterima. Ameen.
2. Mak sudah selamat tiba di Mekah. Moga mak dapat beribadah dengan tenang.
3. Kumpulan pertama mini popia hasil tangan Along sudah siap. Saya sudah memulakan penghantaran.

Saturday, August 21, 2010

I need to go back to Cambodia


Pagi tadi saya tertidur semasa menunggu waktu Dhuha. Saya perlu menyertai tadarus Al Quran yang diadakan untuk kaum hawa di surau AP pada jam 9 pagi. Akibat suasana yang sungguh indah dan suhu bilik pula agak dingin, saya tertidur sehingga jam 9.30 pagi itupun kerana sifu menghantar pesanan ringkas mengandungi perkataan 'serious mistake' di dalamnya. Ada rasa terkilan di dalam hati saya kerana tidak dapat mengikuti program tersebut. Terus saya bersiap kerana memang rancangan saya, selepas ke surau saya perlu pergi ke makmal untuk menyambung kerja. Usai bersiap ala kadar, saya pun keluar dari rumah dan meletakkan barang di dalam kereta.
Tiba-tiba saya terdengar satu suara yang sangat hampir dengan saya, "madam please help me madam, i want to go back cambodia." 
Hampir gugur jantung saya dibuatnya kerana saya memang agak fobia dengan orang yang tidak dikenali dan menegur pula dengan cara begitu. Saya pantas berkomunikasi dengan pemilik suara berkenaan dalam bahasa inggeris yang sangat terbatas. Katanya, dia pembantu rumah di rumah majikan cina satu kawasan perumahan dengan kami dan dia ingin pulang ke Cambodia (Kemboja) kerana ibunya sakit, dikhuatiri ibunya meninggal dunia sebelum sempat dia tiba. Pasport dan pengenalan diri semuanya bersama majikan katanya. Saya pantas memerhati betis, tangan dan mukanya jika ada sebarang kesan kecederaan dan saya bersyukur kerana tiada. Setelah berbincang dengan suami, kami bersetuju untuk membantunya menelefon ajennya. Dia ada memberikan nombor telefon ajen tersebut. Nombor pertama gagal dihubungi dan nombor kedua barulah dapat dihubungi. Ajen itu meminta saya menyerahkan telefon bimbit kepada pembantu rumah tadi (saya gelarnya kuna-kerana itu sahaja perkataan yang keluar dari mulutnya apabila saya bertanyakan namanya) kepada kuna yang masih berada di luar pagar rumah saya. Saya tidak bersetuju dan menukar mode telefon bimbit antik saya itu kepada 'loud speaker mode' dan mereka berbincang dalam bahasa ibunda mereka. Kemudian ajen itu meminta untuk bercakap dengan saya. Ajen itu meminta saya menghantar kuna ke kedutaan Kemboja. Uikkss...terkejut saya dibuatnya dengan permintaan tersebut kerana saya masih ragu-ragu dengan kebenaran situasi Kuna. Saya lantas menyarankan cadangan suami saya supaya Kuna dibawa ke balai polis berdekatan sebelum ajen tersebut menghantar wakil mereka untuk menjemput Kuna di sana. Mereka bersetuju dan saya pun menelefon balai polis berhampiran. Sementara itu kami meletakkan sebuah kerusi di kawasan letak kereta yang lebih teduh dan Kuna duduk menanti di situ bersama sebotol air minuman yang kami berikan. Kuna enggan makan kerana katanya tidak ada selera. 
10 minit kemudian kereta peronda polis pun sampai dan pada mulanya mereka menyangka Kuna adalah pekerja saya yang telah membuat kesalahan dan setelah diterangkan, Kuna pun dibawa pergi. Setelah berada di dalam kereta peronda, Kuna tidak berhenti melambai dan mulutnya terkumat-kamit menyebut 'thank you'. Semoga Kuna selamat pulang ke tanahairnya.
Nota 1: Sudah hari ke 11 Ramadhan. 
Nota 2: Mak sudah berangkat ke Tanah Suci pada hari khamis untuk mengerjakan umrah. Semoga emak sihat-sihat sahaja di sana.
Nota 3: Hikmah saya tertidur tadi rupanya supaya saya bertemu Kuna. Subhanallah.

Tuesday, August 17, 2010

7 Ramadhan


Saya baru selesai bermesyuarat dengan penyelia. Temujanji dilakukan seawal jam 7 pagi. Walaupun sudah lebih 4 tahun, namun apabila ada sahaja perbincangan dengan penyelia, darah gemuruh saya tidak pernah hilang. Ada sahaja debaran yang melanda. 
Selepas perbincangan, saya menarik nafas lega. Alhamdulillah. Mudah-mudahan perancangan ini diberkati Allah. Kerja saya sudah banyak kali tertangguh kerana tikus-tikus mendapat jangkitan kutu, kelewatan kerja-kerja teknikal untuk sistem sangkar tikus dan juga syarikat pembekal bakteria yg ingin digunakan telah melakukan kesilapan membekalkan produk yang diminta. Aduhai....rancangan awal saya, Jun dan Julai siapkan peringkat 'hampir akhir' ini dan Ogos/September analisis data dan juga menulis. Kini, saya membuat perancangan baru yang termampu dimampatkan untuk disesuaikan dengan cuti menyambut Aidilfitri nanti. Penyelia bersetuju dan menyokong serta memberikan saya tempoh cadangan menghantar draf pertama. Saya ada 7 bulan lagi...insyaAllah, akan saya usahakan sedaya upaya. Tolong doakan saya diberikan kesihatan dan kesempatan serta dipermudahkan segala urusan. Pengajian ini sudah menjadi satu perjalanan yang panjang dengan pelbagai onak dan duri. 
Nota 1: "Ianya" akan dihantar minggu hadapan. Semoga dilembutkan hati para penilai untuk diterima. Ameen...
Nota 2: Mak insyaAllah akan berangkat Khamis ini. Moga semua urusan mak di Tanah Suci dipermudahkan. Ameen.
Nota 3: Ramainya orang menjual kuih raya. Saya order sampai tak ingat berapa banyak kerana saya membeli jenis berlainan untuk 3 rumah. Rumah kami, rumah mak dan mertua. 
Nota 4: Lusa suami saya akan menduduki peperiksaan kertas terakhir untuk semester ini...moga berjaya! :D

Thursday, August 12, 2010

Kesesakan lalu lintas


Ramadhan Mubarak ! Ramadhan Kareem! Ahlan ya Ramadhan.

Ini adalah tahun pertama saya berpuasa di kampus PA dan disebabkan banyak urusan sepanjang hari saya terlupa untuk berfikir tentang keadaan lalu lintas dari PA ke Meru. Semalam saya pulang cukup awal-jam 5 petang dan merancang membeli juadah berbuka di satu kedai makan kegemaran saya di Jalan Setia Jaya. Kuih manis akan dibeli di mana-mana sahaja nanti. Petanda awal kesesakan lalu lintas telah dapat dilihat dari dalam kampus lagi...hahaha...manalah saya tahu jam 5 petang itu banyak kereta yang menderu ke pintu pagar utama. 

Setelah membeli lauk pauk yang berkenan di mata, saya pun memandu pulang menyusuri Jalan Iskandar dan kemudian membelok ke Jalan Kopi...alahai...ada pasar ramadhan di situ...sesaklah dengan kenderaan yang pemandunya meletakkan kereta dan motor sesuka hati dan juga orang melintas...ketawa sendirian saya di dalam kereta...maklumlah selama 7 bulan selepas berpindah ke kampus PA, saya membawa kereta dengan tenang-tiada kesesakan melainkan di kawasan sekolah, itupun setakat beberapa minit sahaja.

Tiba di rumah, suami telah menunggu untuk ke bazar ramadhan di simpang empat, Meru. Hasilnya, kesesakan lalu lintas yang lebih dasyat lagi...hihihi...sampai di rumah 15 minit sebelum berbuka..sempat saya menghidangkan lauk pauk dan juga manisan yang dibeli-alhamdulillah tiada makanan berbaki. Makanan berbaki biasanya akan terbuang begitu sahaja kerana saya bersahur dengan segelas oat, kurma dan air kosong manakala suami hanya dengan kurma dan air kosong...jadi adegan masak-memasak di pagi hari untuk bersahur tidak saya alami. 

Selamat menjalani ibadah puasa...dan merebut semua peluang menambahkan saham kita utk syurga yang kekal abadi.

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan 1431H


Salam Ramadhan buat semua. Moga ia menjadi Ramadhan yang lebih baik dari sebelumnya. 
Epelijau ingin memohon maaf atas segala kesalahan dan kesilapan sepanjang bersiaran.

Ramadhan
Kedatanganmu kali ini
Kusambut dengan perasaan berbeza
Mungkin kematangan makin ketara
Moga dapat kupenuhi temujanji ibadah seperti dirancang sejak lama
Moga ibadahku diterima
Menjadi istiqamah dilaksana sepanjang usia
Moga diizinkan pula untukku temui lebih banyak Ramadhan yang bakal menjelma

Ramadhan Mubarak! Ramadhan Kareem!

Friday, August 06, 2010

2 hari lagi 33


Hari ini kepala saya sakit berdenyut-denyut selepas terserempak dengan big bos di pejabat pagi tadi. Soalannya mudah, saya boleh menjawab tapi impak dari bahasa tubuhnya membuatkan saya menjadi hilang punca terus sakit kepala...hahahaha.
Sambil mengedit kertas penyelidikan saya, loceng pintu makmal berbunyi nyaring dan banyak kali pula tu...rupanya makmal kosong. Yelah, terlalu fokus dengan kerja sehingga saya tidak perasan tiada siapapun berada di dalam makmal...Apabila pintu dibuka, terjengul muka EJ di luar pintu dengan kad akses makmal tergantung di leher...ishhh...naik darah juga saya dibuatnya kerana terganggu konsentrasi membuat kerja. Buka sahajalah pintu menggunakan kad akses tersebut. Wajah EJ pelik sungguh dan kemudian saya melihat hampir semua adik-adik lab berada di luar pintu...dan semuanya terjawab apabila saya melihat kotak kek....yang diatasnya tercatat: happy birthday my sweetheart.

Amboi! Suami saya sudah pandai 'menyentuh hati' isterinya ini. Tentulah saya sangat terharu...bukan kerana kek ataupun kejutan...tetapi kerana ingatan. Ulangtahun kelahiran saya 2 hari lagi...kejutan hari ini amat bermakna...terima kasih suamiku.. :)
Moga Allah mengizinkan usia saya dipanjangkan dengan berkat dan rahmat berterusan...diampunkan dosa-dosa saya dan kedua ibu bapa saya. Terima kasih suami...terima kasih mak kerana susah payah membawa saya di dalam kandungan dan melahirkan serta al fatihah utk arwah Apak....Sedih pula rasa di hati :)


Monday, August 02, 2010

Pelangi


Suami saya mula bekerja tetap selepas 2 tahun setengah perkahwinan kami. Ianya saat yang sukar untuk ditempuhi dan tika mengenangnya kembali kini, kesyukuran yang tidak terhingga kami panjatkan buat Allah Yang Maha Pemurah atas rezeki yang diberikan buat kami. Suami berkorban melepaskan perniagaan dan juga kerjaya sebagai pendidik bagi penghuni pusat pemulihan akhlak di KT kerana komitmen terhadap perkahwinan. Kami sepakat untuk tidak duduk berasingan kerana ianya mungkin menyebabkan keadaan menjadi lebih sukar. Akhirnya...suami diterima bekerja di sebuah GLC beribu pejabat di Subang di bawah naungan kumpulan UEM. Awal Julai baru-baru ini, genap 3 tahun suami berkhidmat di sana. Akhir Julai iaitu pada hari jumaat yang lalu, kami dijemput menghadiri majlis berikut:
Syukur ke hadrat Ilahi suami dianugerahkan dengan anugerah berikut:
Tahniah buat suami atas kejayaan yang cemerlang. Moga Allah memberikan kekuatan iman dan juga semangat yang lebih teguh untuk hari-hari mendatang.
Saya? Terharu dan sangat bersyukur. Atas segala ujian kesusahan yang sangat perit, didatangkan pelangi yang cukup indah dengan sinaran matahari selepas hujan turun lebat...Moga Allah merahmati kami sekeluarga. Ameen...
 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino