Friday, January 21, 2011

Apabila penat


Apabila badan sedang penat dan lesu selepas seharian bermalam sambil bekerja di makmal, tika membuka  pintu rumah alangkah bahagianya jika rumah sudah berkemas, pakaian kotor sudah dikumpulkan di dalam bakul di tepi mesin basuh, katil sudah berkemas, comforter sudah berlipat, pinggan mangkuk sudah dicuci, sampah di dalam bakul yang penuh sudah berikat dan bakul diganti dengan plastik lain, lauk di bawah saji di atas meja makan tiada yang berbau basi....dan saya fikir itu hanya anganan saya tika menjejak kaki melangkah masuk ke rumah semalam. 
 
Terima kasih buat suami tersayang kerana menjadikan impian saya kenyataan. Hahahaha....terfikir juga, di saat masa kecederaan sebegini, begitu banyak nikmat yang Allah berikan buat saya lewat insan-insan tersayang yang memberikan sokongan buat saya terus melangkah ke akhir garisan perjuangan ini.....syukur alhamdulillah....atas segalanya...

Tuesday, January 11, 2011

Sampai syurga


Hari ini, tajuk hangat dibincangkan dengan adik-adik saya lab ini adalah isu walimatulurus. Sepanjang hampir empat tahun mengenali sebahagian besar dari mereka, ada yang dari anak dara sudah bernikah dan dikurnia pula cahayamata. Ramai juga lagi yang masih single and available  ataupun single but not available. Ada yang sudah bertunang dan menunggu hari bahagia sambil mengedarkan kad jemputan, ada pula yang sudah bertunang tapi belum menetapkan tarikh akad nikah dan tidak kurang pula yang sudah bercinta sejak sekian lama namun seperti lirik lagu Aisyah-Selanjur bercinta- masih tiada ikatan walau telah lama berpasangan, hanya bahasa meyakinkan hubungan kita, dengan suara yang syahdu dapat kau lukis hati, keindahan mimpi-mimpiku. Heheheh....

Saya merasakan bahawa pengalaman saya ketika urusan peminangan serentak dengan bertunang dan juga akad nikah serentak dilangsungkan majlis resepsi 'kurang dugaan' bab-bab persetujuan kedua belah pihak. Mungkin kerana saya bukan anak dara tokoh politik terkenal, anak perempuan tunggal atau anak perempuan pertama dipinang orang mahupun cucu sulung dan banyak lagi gelaran-gelaran dan juga kedudukan sosial dalam masyarakat yang kadang kala menyusahkan urusan menyatukan dua hati, akad berwali, ijab bersaksi tersebut- yang mampu membuatkan syaitan dan kuncu-kuncunya menangis hiba kerana hubungan yang haram sudah halal dan sah di sisi Allah.

Ada juga sahabat-sahabat yang menangguhkan majlis kerana dewan yang juga menyaksikan majlis perkahwinan ibu bapanya 28 tahun yang lalu sudah penuh ditempah sehingga tahun 2012, ada pula yang tarikh dianjak kerana mak andam terlampau idaman sudah penuh jadual waktunya, tarikh dipilih itu adalah waktu gaji belum dibayar buat pekerja swastalah..dan pelbagai alasan yang hampir tidak masuk akal diberikan. Saya tidak tahu apa rasionalnya akad nikah yang sepatutnya mudah dan ringkas ditangguhkan atas berbakul lagi alasan. Jadinya, pergaulan tanpa ikatan akad nikah yg sah, (moga Allah ampunkan dosa-dosa saya juga yang terlibat juga dengan pergaulan sebegitu satu ketika dahulu dan mohon dijauh dari saudara seIslam) itu, dosanya dikongsi bersama ibu bapa, adik-beradik dan saudara-marakah? Moga Allah mengampuni dosa-dosa kita....yang tidak sukar tidak perlulah disulitkan....kerana persoalan asasnya adalah membina keluarga sakinah dan mawaddah....

Akad nikah wajib, walimatulurus sunat hukumnya bersandarkan hadis berikut:

Dari Anas bin Malik r.a menyebut Rasulullah s.a.w melihat di kepala Abdul Rahman bin Auf kesan kuning, lalu baginda bertanya: kesan apakah ini? Abdul Rahman menjawab: Wahai Rasulullah aku sudah berkahwin dengan seorang perempuan bermaskahwinkan satu nawah iaitu timbangan sebanyak lima dirham emas.?Baginda mendoakan keberkatan untuk Abdul Rahman bin Auf dan berkata: Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing.(Muttafaqun alaih).

Sumber rezeki yang digunakan untuk majlis juga adalah dari sumber yang halal, majlis tidak bersifat bermegah-megah atau riak malahan tidak boleh dilakukan hanya dengan menjemput VVVIP dan golongan berada sahaja seperti yang termaktub di dalam hadis berikut:

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: Makanan yang paling buruk adalah makanan walimah apabila orang yang perlu makan (si miskin) tidak diundang malah orang yang tidak perlu (orang kaya) diundang?(Muslim) 

Buat bakal pengantin pula, mudah-mudahan diberikan kekuatan untuk menjaga aurat dan solat malahan saya merasakan adalah amat penting untuk bakal pengantin untuk mandi bunga mengamalkan solat malam bagi memohon keampunan Allah atas dosa yang dilakukan as to make the wedding a brand new and fresh beginning for both bride and groom...Tambahan pula, konsep sekali seumur hidup tentu sahaja bukan diaplikasikan sebagai membolehkan segalanya dilakukan termasuklah bersanggul lintang mendedahkan aurat, bersanding sambil ditepung tawar betul ke tepung tu tawar rasanya? dan juga musik berkumandang dengan lagu 'Selamat Pengantin Baru'. Jarang sekali kita dengar doa yang dibacakan oleh para tetamu ketika akad nikah selamat dilaksanakan seperti doa Junjungan Besar kita buat pasangan suami isteri yang baru dinikahkan:

BarakAllahu Lakuma wabaraka Alaikuma wajama'a baynakuma fee khayre
 
Mungkin lirik begini: Selamat pengantin baru, selamat berbahgia...selamat ke anak cucu..selamat sejahtera sudah lama tidak sesuai...kerana itu agaknya...selepas jadi pengantin lama, pasangan suami isteri sudah tidak selamat ye...kerana doa dalam lagu itu hanya ketika mereka pengantin baru sahaja?.
Jadinya, salinan lagu Barakallah dendangan Maher Zain perlu menggantikan lagu dendangan Almarhumah Salomakan? Moga kedua pasangan mempelai diberkati Allah.
Mungkin ucapan selamat pengantin baru, moga berbahagia ke anak cucu boleh digantikan dengan ucapan begini:

May Allah (SWT) place Love and Mercy between your hearts and make you and your other half amongst the (blessed) couples walking through the gates of Jannah.

Kadangkala, apabila menghadiri majlis walimah juga saya perhatikan, goodie bag yang berisi pelbagai perkara di dalamnya kadangkala ada yang tidak boleh digunakan pun terutama sekali bagi tetamu yang tidak berminat mengumpul koleksi pot pouri ataupun tuala kecil yang menjadi penghias almari yang kemudiannya berhabuk....alahai.....yang pastinya, setiap goodie bag itu bukannya murah harganya....perlu pula disesuaikan dengan warna tema...akhirnya, bak kata mak saya ketika saya walimah dulu pun saya teringin semuanya sedondon...hijau...hahahahah......takkan nak sama pula warna khemah ngan warna baju? akhirnya nanti tetamu pergi salam khemah..ingatkan pengantin...aduhh, bisanya.... Betul jugakan?

Berbalik kepada goodie bag itu, pada saya, cukuplah sekadar yang mampu, jika bajetnya hanya cukup untuk menjamu tetamu tanpa cenderahati pun sepatutnya bukanlah masalah besar...dan tetamu/masyarakat perlu disedarkan bahawa kita telah terlalu terpengaruh dengan idea/sogokan industri aksesori perkahwinan yang kebanyakannya dipelopori oleh orang lain yang majlis perkahwinan mereka berlangsung di restoran atau hotel-hotel besar tanpa majlis bersanding pun...itupun trend zaman sekarang, mereka lebih banyak duduk serumah dahulu, apabila sudah berisi barulah didaftarkan perkahwinan-atas alasan, mana boleh kahwin awal-duit tidak cukup maaa..... Makanya, tidak perlu goodie bag sebesar plastik membeli sayur di pasar, tidak perlu juga hantaran dihias dengan bunga segar yang pasti akan layu akhirnya...jadi bagaimana? Letak dalam plastik merah seperti yang kita dapat percuma apabila membeli sayur di pasar itukah? Tepuk dada tanya iman...bersederhana...itu lebih baik.

Pelamin, mak andam, jurugambar, album berlaminate, video....itu semua indah tontonan semasa sahaja.....selepas beberapa bulan hidup bersama dan bila realiti menjelma di hadapan mata- isteri mengandung, rumah perlu dibayar sewa atau ansuran, kereta perlu diservis atau rosak, insurans dan cukai jalan kereta-kereta perlu dilunaskan...ermm....bayangkan dan fikirlah sendiri....melainkan sekiranya kita hidup mewah dengan rumah dan kereta sudah tersedia dan langsai dibayar atau dibayar ibu dan ayah tercinta...itupun perlu diingat, atas setiap rezeki yang kita perolehi, ada bahagian untuk orang lain juga. Teringat tazkirah seorang ustaz ketika malam sambutan 1 Muharram di kampung saya tempoh hari....
'Duit kita yang seringgit tu, jika kita sedekahkan 20 sen yang tinggal dengan kita hanyalah 20 sen...ehh...bukankah 80 sen bakinya? Itu baki di tangan...kerana 20 sen itu adalah sedekah yang akan kita bawa sebagai bekalan di akhirat kelak'

Errmm....saya berdoa semoga pasangan yang bercinta di luar sana, mengambil kira bahagian yang wajib dan penting bagi mempercepatkan urusan akad nikah dan walimah. Adat bukan hukum....boleh diubahsuai kebiasaan tersebut insyaAllah....tetapi, janganlah pula pergi berdebat dengan ibu bapa atau keluarga yang masih mahu mempertahankan dan menjadikan majlis akad nikah serta walimah itu menjadi tidak berkat pula sehingga berlengan/berparang....lakukannya secara penuh hikmah...bagaimana? Carilah kekuatan dengan bermunajat di sepertiga malam kerana hati bukan milik mutlak manusia...Allah berhak mengubahnya...tiada kebetulan dalam Islam....takdir boleh diubah dengan kehendak Allah atas usaha dan doa manusia....

Semoga semuanya baik-baik sahaja dan diberkati Allah. 

Nota 1: Saya sudah menerima kek yang saya menangi di sini. Sungguh lazat kek merah baldu itu rupanya dan sungguh saya kagum dengan hasil seni Kak Jun. Subhanallah...it doesnt look edible...hahaha....sayang sungguh saya nak memotongnya...akan tetapi keharuman fondan dan kek tersebut telah membuatkan saya menguatkan hati. Syukur ianya dikongsi saya dan suami serta ahli keluarga, jiran dan juga tentunya adik-adik di lab.
Nota 2: Results yang saya perolehi dari kerja 24 jam minggu lepas adalah negatif...perlu diulang, doakan saya kuat!

Sunday, January 02, 2011

2011


Ini tahun ketujuh saya di dalam perkhidmatan, tahun ke 6 dalam perkahwinan dan tahun ke 5 menjadi pelajar semula. Alhamdulillah....semoga tahun ini, saya akan memperolehi keputusan menggembirakan dari borang yang dihantar kepada pihak pentadbiran universiti, kebahagiaan berterusan dan beroleh cahayamata, menamatkan status pelajar secara formal, yaa...kita semua adalah pelajar sepanjang kehidupan... dan dijemput menjadi tetamu Allah saya tidak tahu bagaimana dan bila akan tetapi ini adalah impian saya sejak sekian lama..moga Allah permudahkan ...
Semoga tahun 2011 lebih cemerlang dari tahun-tahun sebelumnya dan supaya saya menjadi isteri/anak solehah dan hambaNya yang mukminah. Ameen.

Nota 1: Saya perlu fokus. Update akan menjadi sangat kurang. Mohon doakan saya berjaya menamatkan pengajian secepat mungkin. Menghampiri ke penghujung perjalanan, ia menjadi lebih sukar.
Nota 2: Saya menggantung akaun laman web sosial. Ermm..tidak tahu selama mana saya bertahan, namun mengenali diri sendiri, saya tahu saya perlu melakukannya.
Nota 3: Yang pertama sudah ada versi cetak...moga yg kedua, ketiga dan seterusnya akan berjaya dihasilkan....ameen...
Nota 4: Anak-anak saudara saya menginjak dewasa takdelah dewasa sangat..makteh je yg melankolik tak tentu hala...hihihi. Bobot ke PLKN pagi tadi. Mardhiyah dan Amirul ke tingkatan satu, Azri masuk darjah 1. Si cilik Aiman yang petah bercakap pula mula bersekolah di Brainy Bunch yang disebutnya sbg beni bine..aiman ni pelat sedikit...hihihi...moga anakanda semua berjaya di dunia dan akhirat.

 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino