Tuesday, November 04, 2008

65


Emak genap berumur 65 tahun semalam-3 November 1943 (entri ini dibiarkan sebagai draf selama 9 hari).Ingin saya coretkan pengorbanan dan perjuangan emak dalam mengharungi kehidupan setakat yang saya ketahui sepanjang 65 tahun itu.Emak dilahirkan pada tahun 1943 dan merupakan anak bongsu 4 beradik. Ketika emak berusia 3 tahun, nenda saya meninggal dunia dan kemudiannya emak beroleh ibu tiri. Emak berusia 9 tahun semasa datuk saya pergi buat selamanya dan meninggalkan emak dan mak tam (kakak emak) bersama ibu tiri. Kisah hidup mereka hampir menyamai kisah bawang putih bawang merah walaupun ketika allahyarham datuk masih hidup. Emak kemudian diserahkan kepada sepupu, ibu saudara, bapa saudara dan akhirnya emak tinggal bersama ibu saudaranya sehinggalah bertemu jodoh yang diwasiatkan oleh allahyarham moyang sayadengan allahyarham apak. Pada umur 10 tahun emak sudah tidak dibenarkan meneruskan persekolahan dan terpaksa membantu sepupunya menyediakan kuih tempahan dan juga gubahan hantaran yang ditempah pelanggan. Emak merupakan pelajar yang cerdik akan tetapi peluangnya tertutup akibat kemiskinan dan keperitan hidup.Selepas berkahwin dan memperolehi along, angah, alang dan acik, tanah yang keluarga kami diami diambil untuk pembinaan padang golf tempat berjudi yang masih ada hingga kini. Mak dan apak tabah meredah belukar dan semak untuk ke tanah gantian yang perlu dibayar harga penuh dan menebas semak samun sehinggalah tanah itu sesuai dijadikan kediaman yang masih kekal sehingga ke hari ini. 2 tahun di rumah itu saya dilahirkan di bilik tidur utama secara normal. Gaji apak yang kecil tidak mampu menampung perbelanjaan harian kami sekeluarga tambahan pula angah berjaya memasuki MRSM Kuantan. Selepas SPM, along pula berjaya melanjutkan pengajian ke Kanada. Ini menyebabkan perbelanjaan keluarga meningkat dan semakin meningkat apabila alang mendapat tawaran ke Kolej Tunku Kurshiah (KTK) dan diikuti jejaknya oleh acik 2 tahun kemudian. Emak tidak berputus asa dengan menghantar kuih-muih ke kantin sekolah dan pejabat untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga. Akhirnya semasa saya berumur 6 tahun, emak nekad memulakan perniagaan makanan untuk sarapan pagi di hadapan rumah.Ianya bermula dengan modal kecil dan sebuah meja yang dialas dengan lapik plastik berbunga. Semasa di awal perniagaan kadang-kadang gerai kecil kami hanya ditutup pada pukul 11 pagi dengan baki nasi lemak dan kuih-muih yang masih banyak. Emak tetap bersemangat dan meneruskan usahanya. Ketika itu, nasi lemak beserta sambal tumis ikan bilis, telur dadar dan hirisan timun dan dibungkus pula dengan daun pisang yang perlu dilap dan dilayur untuk memastikan kebersihannya dijual dengan harga 30 sen. Kuih-muih pula dijual dengan harga 20 sen. Dengan izin Allah, rezeki emak bertambah dan setahun kemudian apak mendirikan bangsal kecil di hadapan rumah lengkap dengan tempat simpanan alas plastik dan juga plastik membungkus makanan walaupun pada. Acik adalah pembantu tetap emak untuk memotong timun, menghiris telur dadar dan memotong kuih yang disediakan di dalam talam seperti kaswi, talam ubi, bingka tepung, bingka ubi dan juga menggulung kuih gulung berintikan kelapa manis. Selesai membantu emak acik akan mengayuh basikal ke sekolah rendah yang terletak lebih 1 km dari rumah. Acik biasanya hanya tiba di sekolah beberapa minit sebelum loceng berbunyi walaupun dilantik sebagai penolong ketua pengawas. Selepas acik ke KTK pada tahun 1985, ketika itu saya berada dalam darjah 2, berkongsi tanggungjawab dengan uda untuk membersihkan daun pisang dan membantu emak berniaga. Emak sangat cerewet perihal kebersihan dan keseragaman kuih-muih yang dihasilkan maka sejak itu saya belajar menjadi seorang yang cerewet juga seperti emak :) Semasa itu juga, saya mengambil alih tugas membuka gerai di hadapan rumah yang biasanya dibuka pada pukul 6.20 pagi. Itu adalah waktu yang tetap dan emak akan bangun pada pukul 4.30 pagi. Jika bangun awal, emak akan menguli tepung untuk membuat donat yang sangat saya gemari. Kenangan membuka gerai ini pula pelbagai. Saya adalah seorang penakut dan di kampung pula ada seorang yang kurang siuman dan gemar 'tumpang tidur' di gerai emak. Baunya memang tidak menyenangkan dan jika saya keluar selepas membuka lampu di gerai, saya akan mendengar dengan sangat teliti- ada atau tidak bunyi orang berkeruh atau bercakap-cakap. Jika tiada, legalah hati saya dan jika ada, saya akan menjerit memanggil emak dan emak akan keluar untuk menyuruh pemuda tersebut berlalu biasanya dia tidak akan berlalu sehinggalah diberikan kuih atau bihun. Satu lagi dugaan yang dihadapi ialah jika hari hujan dan kedapatan sekumpulan kambing yang tumpang berteduh dan juga menjadikan gerai emak tandas bergerak. Jika ini berlaku, saya dan emak akan berganding bahu mengangkut air dan mencuci gerai kami dengan pantas- supaya apabila pelanggan mula datang nanti, gerai bersih dan tidak berbau.

Dengan pendapatan emak berniaga nasi lemak dan kuih-muih untuk sarapanlah ekonomi keluarga kami meningkat. Saya masih ingat kecekalan emak yang sentiasa cuba untuk menyediakan yang terbaik untuk anak-anak. Antaranya:
Saban tahun, KTK akan mengadakan majlis makan malam, oleh kerana kami orang susah, emak akan tetap pastikan yang kakak-kakak saya mempunyai pakaian yang dijahit dan direka sendiri oleh emak seperti yang kedapatan di dalam majalah 'wanita' atau 'nona' yang dilanggan emak. Emak tidak mahu anak-anak gadisnya yang berdua ketinggalan dengan anak-anak kerabat-kerabat dan orang-orang kaya yang menuntut di situ. Masih juga dalam ingatan bagaimana di setiap ulangtahun kelahiran kakak-kakak saya yang berdua itu, emak akan menyediakan juadah yang banyak untuk dihantar ke asrama untuk jamuan hari lahir mereka. Jika kami ke sana melawat kakak-kakak, semasa apak belum membeli kereta, emak akan meminta bantuan jiran- kak Faridah dan Maklang Maimun untuk menghantar ataupun menyewa teksi.

Saban minggu emak akan ke pasar malam sebanyak 2 kali iaitu hari Selasa dan Jumaat untuk mendapatkan bekalan daun pisang dan juga ubi kayu. Sekiranya apak pulang lewat, emak akan mengangkut barangan yang banyak dan berat itu dengan berjalan kaki sejauh 1.5 km apabila emak tidak lagi mampu menaiki basikal kerana emak tidak boleh memandu sebarang kenderaan bermotor. Emak jarang sekali mahu mengambil teksi kerana wang RM3 yang perlu dibayar untuk teksi boleh digunakan untuk perkara lain yang lebih penting. Besarnya pengorbanan emak untuk kami semua. Kadang kala apabila terlalu letih, emak akan diserang migrane saya mewarisi penyakit ini dari emak dan emak selalu memberitahu saya yang serangan migrane bermula semasa saya di dalam kandungan lagi. Apabila emak diserang migrane, emak akan tidur dahulu dan akan bangun selepas tengah malam untuk menyiapkan kuih-muih untuk jualan keesokan harinya. Ketika di dalam darjah 3, emak mengambil keputusan untuk berniaga di waktu petang bagi menjual juadah berbuka puasa. Sebelumnya, emak akan bercuti sebulan semasa bulan puasa. Berniaga di bulan puasa juga memberikan cabaran yang tidak kurang hebatnya. Namun begitu, emak sudah mempunyai pelanggan tetap yang mencari karipap, roti jala dan juga popiah. Kulit popia emak dibuat sendiri dengan menyediakan bancuhan tepung dan disapu dengan tangan ke atas kuali tidak melekat yang leper. Saya pernah cuba membuatnya beberapa kali namun tangan saya tetap terkena permukaan kuali yang panas tidak seperti emak yang begitu cekap 'membalut' tangannya dengan tepung dan meninggalkan 1 lapisan yang nipis kulit popia di atas kuali yang akan mengering dalam tempoh 20 saat. Mee kuning juga emak sediakan di rumah dan biasanya proses ini dilakukan pada jam 1 atau 2 pagi. Selepas saya ke MRSM semasa di tingkatan 4, uda pula mengambil alih tugas utama membantu emak.

Saya menyaksikan jerih pedih emak membesarkan kami sehingga kami dewasa dan membentuk pula keluarga kami sendiri. Bukan sedikit kepayahan yang emak lalui untuk membolehkan kami bersekolah dengan selesa walaupun kami tidak pernah mengenal kelas tuisyen untuk peperiksaan utama.

Emak amat menitikberatkan kecemerlangan akademik. Emak boleh bertoleransi dengan banyak perkara tetapi emak menetapkan sasaran markah yang tinggi untuk kami. Kurang 90 markah pada emak adalah gagal. Saya pernah dirotan dengan agak teruk kerana mendapat 88 markah untuk Pendidikan Agama Islam semester kedua darjah 3. Ianya pengajaran yang amat mahal harganya buat saya. Emak menangis semasa merotan saya kerana kata mak.
Emak dan apak tak tinggalkan rumah seorang sebuah, tanah berbidang-bidang atau emas permata untuk anak-anak. Apa yang kami mampu berikan adalah pelajaran. Harta dan kehidupan anak-anak carilah sendiri. Emak susah dan seksa, tapi mak tak nak anak-anak mak susah.
Semenjak itu, saya tidak berani lagi membenarkan diri saya 'gagal' mengikut standard yang emak tetapkan. Emak juga tidak pernah gagal menghadiri setiap majlis di sekolah yang melibatkan kami semua. Walaupun kepenatan dan sibuk menguruskan rumahtangga dan perniagaan emak akan tetap datang kerana apak selalu sibuk dengan urusan kerja, koperasi, persatuan sekerja dan juga parti politik. Emak boleh menulis tetapi emak selalu mengatakan tulisannya tidak kemas. Apabila hampir semua anak-anak berada di sekolah asrama penuh dan juga universiti, emak mula belajar pergi ke bank dan memasukkan wang untuk perbelanjaan anak-anak tanpa gagal. Untuk anak-anak yang berada di luar negara pula, apabila menjelang musim perayaan emak akan mula membungkus kuih-muih kering dan juga rendang yang dimasak sehingga betul-betul kering untuk dikirimkan. Emak akan ke 'pejabat pos utara' di Seremban yang terletak berdekatan dengan pasar dan mengisikan borang pos laju.

Sebak rasanya mengingatkan kesungguhan dan keyakinan diri emak untuk melayakkan kami merasai apa yang kami ada sekarang. Inilah berkat doa mak yang tidak putus-putus. Emak bangun awal pagi, dimulakan dengan solat sunat - doa untuk semua anak-anak terutama apabila kami menghadapi peperiksaan dan seterusnya dengan aktiviti harian yang padat sehinggalah tengah malam.Semasa saya masih kecil, emak pernah berkata,
Emak teringin sangat ada anak mak yang jadi doktor. Doa mak makbul- alang adalah doktor pakar kanak-kanak.
Emak juga teringin sangat ada anak mak yang jadi cikgu. Allah perkenankan doa hambaNya yang tidak pernah kenal erti putus asa ini- angah, alang dan saya adalah pensyarah di USM dan UiTM.
Emak harap sangat agar semua anak-anak mak berjaya dunia dan akhirat

Sesungguhnya doa emak dimakbulkanNya. Kesemua 7 orang anak emak adalah graduan universiti dalam bidang ekonomi, kejuruteraan alam sekitar, perubatan, sains komputer, farmasi, undang-undang dan pengurusan teknologi yang memulakan hidup dari sifar selepas tamat pengajian dan berusaha memajukan diri sendiri dan keluarga dan tidak lupa cuba membahagiakan apak semasa hayatnya dan emak selagi ada hayat dikandung badan serta berusaha menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Emak pernah mendapat anugerah ibu mithali daripada Telekom Malaysia semasa persaraan apak dahulu. Namun, emak tidak pernah bermegah dengan kejayaan itu dan pencapaian anak-anak, emak seorang pendiam dan hanya tersenyum kerana bagi emak, ianya kurniaan Allah yang mengujinya dengan ujian kesusahan dan kini kesenangan.Saya harap saya akan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan hidup emak dan mampu menjadi anak solehah untuk membahagiakan emak dunia akhirat. Saya bersyukur kerana saya selalu memberitahu emak yang saya sangat sayangkannya. Saya juga sangat bersyukur kerana suami saya melayani emak seperti ibunya sendiri. Semoga Allah memberikan ganjaran syurga buat emak. Ratu hati kami.

Monday, November 03, 2008

Tenang


Saya semakin tenang dan lebih berkeyakinan untuk meneruskan perjuangan ini. Syukur.
Sudah agak lama saya tidak menulis di sini. Terperangkap dengan permainan emosi yang turun naik dan juga dugaan-dugaan kecil yang saya boleh abaikan sebenarnya. Tidak perlu mengambil masa yang lama memikirkan perkara-perkara yang tidak signifikan dalam kehidupan saya sekarang.

Hujung minggu lepas, kami dapat juga 'menyampaikan hajat' untuk membuat majlis kesyukuran sempena berpindah ke rumah baru dan juga aidilfitri yang tiba ke penghujungnya. Ramai juga yang mempertikaikan , mengapa perlu mengadakan majlis rumah terbuka secara spesifik, rayakan sebulan, biarlah tetamu memilih bila untuk berkunjung. Tidak mengapalah, asalkan kami berkesempatan menerima tetamu dan berjumpa dengan sahabat handai serta saudara-mara dalam keadaan yang selesa. Makanan yang disediakan emak amat lazat buat saya. Terima kasih buat emak dan juga kaklong, acik, uda dan boboi yang banyak membantu kami. Terima kasih juga buat tetamu-tetamu yang datang dari dekat dan jauh. Kami juga menjemput jiran-jiran di AP, saya kagum melihat mereka ini, gigih meluangkan masa menziarahi kami walaupun itulah kami pertama kami bertemu muka. Moga ukhuwah terjalin dengan penuh keikhlasan mendapat keberkatan dan akan berpanjangan, insyaAllah.
Khemah kecil yang menempatkan meja makan dan juga meja untuk hidangan. Suami pula gigih melayan tetamuSifu saya yang sangat komited dengan kerja..selepas menjamu selera, adik kecil yang bakal menamatkan pengajian beberapa bulan lagi di ajak membincangkan pembetulan untuk draf journal yang bakal diterbitkan...hihihihi..Adik-adik seperjuangan..

Hujung minggu yang berakhir semalam pula kami habiskan masa menikmati saat-saat di rumah. Semenjak selepas hari raya, saya tidak berpeluang langsung duduk di rumah, melakukan kerja-kerja mencuci dan menyental, membasuh dan menyidai pakaian di bawah terik matahari sehingga apabila saya mengangkat pakaian tersebut ianya rangup dan garing seperti keropok ikan yang digoreng selama 30 saat di dalam minyak kelapa vesawit yang kepanasannya melebihi 130 darjah celsius...wahhh....hahahahaha.... Suami pula sibuk menyediakan diri untuk peperiksaan pertengahan semester yang berlangsung pada hari Sabtu dan kemudiannya tekun pula menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah. Hihihi..saya mengangkat bendera merah, saya tidak mampu membantu suami meyiapkan kerja-kerjanya kerana apabila saya menjadi pensyarah..saya tegas..terlalu tegas dan sukar berkompromi dengan para pelajar apabila ianya melibatkan pemahaman konsep asas. Terukkan? Nanti jadi isteri derhaka pula...hahahaha...Alhamdulillah suami saya sudah melalui peperiksaan pertamanya sejak berpuluh tahun dahulu...saya doakan kejayaan yang cemerlang.. bittaufik wannajah dalam peperiksaan pertengahan semester yang dilalui dan juga peperiksaan akhir yang bakal dilalui nanti.

Apabila menyebut tentang peperiksaan akhir semester pertama suami saya. Saya sebenarnya sedang menyediakan jadual kerja di makmal bersekali dengan jadual untuk membantu melicinkan majlis walimah sepupu suami yang sangat rapat dengan kami dan juga adik bongsu saya yang akan berlangsung pada 23.11.2008 dan juga 29&30 November 2008. Tarikh itu pula bertembung dengan jadual peperiksaan akhir suami. Saya berdoa moga dipermudahkan urusan kami. Di saat sebegini, saya kadangkala memikirkan alangkah bagusnya JIKA saya melanjutkan pengajian saya di negara beriklim 4 musim sahaja...tidak perlu memikirkan segala kenduri kendara dan sebagainya. Ermm...namun bukankah ini yang terbaik buat kami? InsyaAllah, perancangan Allah yang lebih baik dan sempurna. Saya masih bertapa di depan planner yang sudah penuh berconteng sana sini beserta post-migraneeffect yang membuatkan saya pening-pening seperti lalat yang terbang tinggi rendah akibat terkena semburan manja agen penghapus serangga. Hihihi...InsyaAllah...moga semuanya berjalan dengan lancar.
Semoga saya sihat tubuh badan dan emosi untuk mengharungi semua ini.

Friday, October 24, 2008

Tangguh


Saya mempunyai banyak agenda minggu ini. Ada yang selesai ada yang tidak dapat diselesaikan kerana faktor bertangguh-tangguh. Saya ada penyakit itu..penyakit suka bertangguh yang agak kronik tetapi saya sering cuba melawan keinginan untuk menangguhkan urusan itu kerana ianya merugikan saya. Suami saya pula mempunyai sikap berlawanan dan saya sangat cemburukannya kerana tiada kerja yang ditangguhkan. Semuanya siap dan lengkap...saya? Hihihi...sikap menangguhkan ke saat terakhir sesungguhnya sangat menyusahkan saya dan kadang-kadang orang lain juga.

Saya cuba mengubati penyakit tidak senonoh saya itu dengan menulis semua urusan yang perlu saya selesaikan di awal minggu dan secara harian. Saya merasakan kelegaan yang amat sangat apabil satu demi satu tugasan itu saya potong dari senarai-senarai tersebut walaupun kadangkala tertangguh juga. Salah satu aktiviti yang saya suka tangguhkan ialah mengisi tangki minyak kereta..ermm...ye ye..saya tahu ianya mungkin akan menyebabkan saya terpaksa menelefon orang yang saya fikir berada paling hampir dengan tempat kejadian dan meminta pertolongan dengan suara paling sedih yang boleh saya lontarkan.

Sabtu lepas semasa saya ke Melaka untuk memberikan kuliah pada pelajar PPU (saya hanya lakukan ini sebulan sekali dan pada hari Sabtu sahaja kerana kolej PPU tersebut tiada pensyarah untuk subjek tersebut), saya telah diserang sindrom 'adrenalin dirembeskan secara sangat berlebihan' apabila saya menyuruh para pelajar yang sedang diberikan kuliah beyond use date, shelf life and product stability mengira jumlah hari yang ada bagi satu produk yang tarikh pembuatan dan tarikh luput sama dengan tarikh mula dan luput biasiswa saya. 1 tahun 8 bulan...yaaaaa!!! Itulah tempoh yang tinggal. Itu sahaja....ITU SAHAJA....Tiada lagi selepas itu walaupun boleh dilanjutkan tempoh tapi saya berharap lanjutan dibuat hanya untuk menunggu viva atau pembetulan sahaja. Kerja saya masih banyak. Kini saya masih perlu menolak jumlah hari yang masih ada dengan kenduri kahwin adik bongsu saya hujung November ini, hari raya haji, hari raya aidilfitri tahun hadapan, kenduri di rumah mak saudara, jamuan hari lahir untuk anak-anak saudara dan seterusnya sehingga Julai 2010. Saya juga tidak boleh terlalu terbuai-buai membaca journal di makmal. Kajian literatur boleh dilakukan di rumah, itu kata sifu saya apabila melihat saya sangat khusyuk membaca journal dan kadangkala blog kawan-kawan..ahh...pedihnya mengakui namun itu hakikat di makmal sedangkan pengajian PhD saya adalah berasaskan penyelidikan yang memerlukan kerja makmal yang sudah semestinya tidak boleh dilakukan di dapur rumah kami yang baru dipasang pintu dan laci pada table topnya. Hmm...saya akan cuba membangkitkan semula semangat membaca journal di rumah yang amat membara pada bulan-bulan awal saya mendaftar tempoh hari kerana biasanya apabila tiba di rumah, melihat baju di ampaian, baju di dalam bakul 'into the machine' dan tempat gantung baju 'to be ironed', lantai yang perlu di vacum, pinggan mangkuk perlu di simpan, dapur masak yang seolah-olah memanggil saya untuk memasak membuatkan saya melupakan 'cinta hati' saya ketika di makmal untuk bersama-sama dengan 'cinta hati' di rumah pula. Saya sebenarnya amat runsing kerana selepas cuti raya, progress kerja saya amat perlahan...sama seperti kelajuan siput di taman hadapan rumah kami yang baru mengeluarkan kepalanya selepas saya menguis-nguis kepalanya dengan niat mengusik. Errmm...

Walaubagaimanapun, saya amat yakin, apa pun perkara dan tabiat buruk yang tidak sesuai akan dapat diubah dengan syarat kita berkeyakinan, berusaha dan seterusnya berdoa. Jadinya, saya perlu berhenti untuk posting kali ini dan terus menuang sampel yang saya sudah rawat sejak semalam dan tempoh rawatan akan berakhir 5 minit dari sekarang. Saya tertekan agaknya...hihihi..dan saya rasa amat lega setelah menaip entry ini.......Sahabat-sahabat saya yang mempunyai pakaian seragam yang kami cipta sendiri pada jamuan raya pasca siswazah yang baru lalu. Saya jarang sekali berpeluang berjumpa mereka walaupun kami hanya dipisahkan oleh 2 tingkat bangunan...lama sungguh tidak makan tengahari di luar bersama-sama. Apabila saya melihat gambar ini, saya sangat teruja kerana saya melihat diri saya sendiri yang agak kecil dari dahulu..hahaha...berat saya turun hampir 6 kg sepanjang 2 bulan lepas tahu, batas dalam persahabatan kami membuatkan kami menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing- jika masa sesuai, kami berjumpa, berbual..jika tidak..tidak perlu merajuk atau berasa hati. Ianya lebih bermakna dan tidak membuatkan saya stress...hahahahah

Wednesday, October 15, 2008

Kenangan


Saya membaca blog Prof. MKI pagi ini tentang abah beliau. Teringat saya pada allahyarham Apak yang dijemput kembali hampir 3 tahun yang lalu. Saya tidak begitu rapat dengan allahyarham dan saya tidak tahu banyak perkara mengenai dirinya. Saya cuma menyedari yang saya sangat menyayangi allahyarham kerana apabila kali pertama allahyarham diserang angin ahmar, saya yang ketika itu sedang menduduki peperiksaan akhir tahun 2 di USM terjelepok di sisi telefon awam dan merasakan kesedihan dan kerisauan yang amat dasyat sehingga saya hampir menangguhkan peperiksaan ke semester tambahan kerana ingin pulang untuk melihat sendiri keadaan allahyarham.

Di usia mudanya, allahyarham sangat garang dan tegas. Sekiranya meminta keizinan untuk ke mana-mana, allahyarham hanya mendiamkan diri dengan sedikit sahaja anggukan. Di usia tuanya selepas diserang angin ahmar, allahyarham menjadi sangat sensitif. Semasa saya menerima ijazah pertama di USM, apabila disebut nama saya, allahyarham menitiskan airmata sehingga kedengaran sedu-sedannya. Ketika saya memberitahu yang saya mendapat biasiswa menyambung pengajian sarjana di King's College, London, beliau tersenyum dan kemudiannya menangis teresak-esak. Begitu juga ketika saya kembali ke tanahair dengan kajayaan, saya disambut dengan tangisan. Ketika allahyarham menikahkan saya (anak perempuan terakhir sempat diwalikan dan majlis walimat terakhir sempat disaksikan) hampir tidak kedengaran suaranya ketika melafazkan akad buat suami saya.

Itulah apak. Tiada kata dilafazkan..diamnya tanda setuju....tangisnya tanda gembira.

Setiap hari raya, allahyarham akan memberikan duit raya buat emak, kami bertujuh, 5 menantu dan 11 cucu (ketika allahyarham kembali, Amir Harith dan Aiman Hafiz sedang dalam kandungan). Hari raya terakhir allahyarham bersama kami,(allahyarham kembali sebulan selepas aidil fitri) allahyarham meminta saya membuatkan air neskopi susu kegemarannya. Ketika itu saya melihat jerawat yang sudah kehitaman di belakangnya dan saya meminta izin membuangnya kerana ianya agak membengkak. Proses membuang jerawat itu berlaku di tepi sinki di dapur. Ianya sesuatu yang sangat nostalgik. Ketika kecil, apabila allahyarham pulang untuk makan tengahari di rumah, saya akan bertenggek di belakang allahyarham dan mencabut uban, memicit jerawat atau apa sahaja yang kelihatan tidak molek. Rupanya itu kali terakhir saya berpeluang berbuat demikian.

Kali pertama menyambut aidil fitri tanpa apak, saya terbeli kain pelikat cap gajah duduk untuk allahyarham. Ketika itu saya bersama kudud ke jalan TAR untuk membeli-belah persiapan raya. Saya menyedarinya ketika berada di dalam komuter untuk perjalanan pulang. Saya menangis teresak-esak. Benar kata orang, semasa ada, kita tidak sedar betapa berharganya mereka, apabila tiada, hati sangat merindui.

Rindu...ya, saya sangat merindui apak. Semoga roh allahyarham tenang di sana.

Kisah Aidil Fitri II


Pagi hari raya merupakan saat yang amat bererti. Kami pernah diuji dengan dugaan yang amat pedih pada pagi hari raya beberapa tahun lepas. Ujian yang membuatkan kami berdua bangkit dari kejatuhan yang amat menyakitkan untuk menghadapi hari-hari yang mendatang dengan lebih berani. Allah maha bijaksana. Seperti yang dijanjikan dalam surah al-Insyirah:

Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.

Sesungguhnya sesudah kekesulitan itu ada kemudahan.

Airmata kesyukuran menitis di hening subuh itu. Saya amat bersyukur dengan nikmat yang diberikan sehingga kesakitan yang dirasakan beberapa tahun lalu hilang begitu sahaja. Syukur..Maha suci Allah. Syukur atas kurniaan kebahagiaan ini. Hati pula sayu mengenangkan Allahyarham apak yang sudah hampir 3 tahun dijemput kembali.


Selesai bersarapan ringkas, bertakbir dan bertahlil pada pagi hari raya, kami sekeluarga bersalaman dan bermaaf-maafan- buang yang keruh ambil yang jernih. Sesi bergambar juga amat menggamatkan dan saya menerima amaran dari angah-

'jangan letak dalam blog gambar ni..." hihihihihi....yelah yelah...tak letak gambar yang nampak muka betul-betul...hihihi...ni gambar inverted colour je.

Selepas solat sunat aidil fitri, kami semua beraya ke rumah ibu saudara sebelah emak dan juga sebelah Allahyarham apak. Meriah sungguh konvoi kami 5 kereta beraya sekitar kampung. Pulang ke rumah, tetamu-tetamu cilik pula berkunjung. Saya memang tidak akan melayan permintaan mereka untuk tidak mahu makan atau minum..saya akan pastikan mereka makan dan minum walaupun sedikit. Saya amat tidak gemar dengan cara beraya untuk mengutip tol sahaja...tuan rumah pula melayan begitu juga- tidak payah masuk...bagi salam, bagi duit raya dan kemudian berlalu.

Hari raya kedua pula saya dan suami pulang ke Kuala Terengganu- rumah ibu mertua. Beraya di Kuala Terengganu tidak kurang meriahnya. Sampai sahaja di KT, kami terus berkunjung ke rumah satu-satunya bapa saudara suami yang masih ada. Esoknya pula ke rumah sepupu-sepupu suami dan banyak lagi aktiviti bersama keluarga sehinggalah kami pulang ke Shah Alam pada hari Isnin. Pulang ke Shah Alam dengan senarai panjang tugasan rasmi dan tidak rasmi yang harus diselesaikan.

Terlupa pula saya, semasa di KT, suami menerima tetamu istimewa. Sahabat baik suami saya yang membonceng motorsikal yang dipandu suami ketika kemalangan jalanraya 21 tahun yang lalu dan diberi gelaran Pok. Beliau hanya patah tangan kiri dan luka-luka ringan dan kini merupakan seorang kontraktor berjaya dan dikurniakan isteri dan anak-anak lelaki yang baik budi. Beliau menceritakan secara terperinci kejadian yang berlaku pada jam 4.45 petang Jumaat 17 Julai 1987. Menurut beliau, selepas terlanggar pembahagi jalan, suami saya tercampak ke dalam semak dan terus pengsan. Ianya berlaku ketika pulang dari berkelah di Air Terjun Sekayu. Kisah itu merupakan pengajaran dan juga dugaan terbesar buat suami dan juga ibu mertua yang merupakan ibu tunggal. Menurut Pok, mereka tidak pernah berlumba dan itulah kali pertama berlumba kerana dicabar..dan hadiahnya amat mahal harganya. Biarlah ianya berlalu..dan syukur pada Ilahi kerana sehingga ke hari ini Allah mengurniakan kesihatan yang baik untuk suami saya.

Thursday, October 09, 2008

Bantulah Che Nat



Sila lihat kepada link berikut untuk mengetahui kisah malang menimpa Che Nat dan hulurkanlah bantuan seikhlas mungkin.

http://kassim8888.blogspot.com/2008/10/bantulah-azrulche-nat-3.html

Kisah Aidil Fitri I



Penat dan padat. Begitulah yang dapat saya simpulkan tentang sambutan hari raya fitrah kami pada tahun ini. Saya menyiapkan kerja di makmal sehingga hari Isnin, 29 September. Hampir waktu berbuka barulah saya sampai di rumah emak di Seremban manakala suami pula bekerja sehingga hari Selasa, 30 September kes cuti tahunan habis awal.

Tahun ini giliran beraya di rumah emak saya. Hihihi...dan lebih bermakna apabila kami bertujuh beradik semuanya bergiliran di rumah emak. Macam nak terbalik!! 18 orang dewasa dan 11 orang kanak-kanak mengisi penuh ruang rumah emak yang kosong saban hari. Emak kelihatan sangat gembira. Semua makanan yang disebut anak-anak/cucu-cucu cuba disediakan sehingga kasihan melihat emak kepenatan kerana emak tidak akan mengendahkan larangan andainya ada yang bersuara melarang.
Kami bertarawih berjemaah di rumah pada malam 30 Ramadhan. 3 saf panjang memenuhi ruang tamu rumah dan diikuti pula tadarus bersama-sama kakak-kakak dan anak-anak saudara.

Saban tahun sekiranya saya beraya di Seremban, saya akan menjadi escort rasmi emak untuk pergi membeli daging/ayam dan pelbagai keperluan bahan basah dan kering untuk menyediakan juadah pada hari raya. Oleh kerana saya pulang lewat, maka emak hanya belum membeli daging lembu untuk rendang. Emak, Angah dan saya berpusing 1 pekan Ampangan untuk mencari...semua gerai menjual daging samada penuh atau kehabisan daging. Kami kemudian mengambil keputusan untuk ke pasar tani Paroi Jaya. Di pertengahan jalan ternampak pula gerai menjual daging di hadapan Pusat Islam.
Dipendekkan cerita, kami hampir bertekak dengan si penjual daging yang enggan menjual daging batang pinang yang berharga RM25 sekilogram kepada kami. Hahahah...hampir tergelak saya melihat gelagat tokei daging sementara tersebut...beria-ia dia mempamerkan daging batang pinang tersebut tetapi tidak mahu menimbangnya untuk kami walaupun sudah lebih 3 kali diminta. Akhirnya, kesemua 7 kg daging batang pinang dibeli oleh emak kerana permintaan emak untuk membeli hanya 5 kg daging tidak dilayan..sebaliknya ditimbang kesemuanya dan terus diberitahu jumlah harga yang perlu di bayar. Berangin sungguh tokei daging ni rupanya...hihih....

Tenaga kerja yang ramai itu mengambil masa juga untuk memotong daging kepada ketulan kecil sebelum di masak rendang yang diketuai oleh along dan abanglong yang sangat dedikasi dan komited sehinggalah rendang 7 kg daging dan rendang 7 ekor ayam siap pada waktu asar.

Friday, September 26, 2008

Eid Mubarak!!


Eid Mubarak!
Selamat Menyambut kedatangan Syawal 1429. Mohon maaf atas segala salah dan silap. Moga ukhuwah berpanjangan dan kita semua mendapat keberkatan. Moga dipanjangkan usia dan dipertemukan lagi dengan Ramadhan yang akan datang. InsyaAllah..

Tuesday, September 23, 2008

Pemandu dan atendan pam minyak.


Setiap kali kami pergi mengisi tangki minyak di stesen minyak, banyak mata yang akan memandang kerana senario biasanya, isteri duduk di dalam kereta dan suami yang akan pergi membayar di kaunter dan mengisikan minyak di dalam tangki sebelum meneruskan pemanduan. Bagi kami pula, saya yang akan melakukannya dengan tersenyum sumbing apabila ada mata yang menyoroti perlakuan saya dan kemudiannya akan menghadiahkan jelingan buat suami yang duduk menyandar di dalam kereta. Hihihi....

Suami saya adalah seorang insan yang mulanya normal dan kemudiannya semasa berusia 23 tahun di timpa ujian- Allah menarik balik nikmat berjalan dan menggantikannya dengan pergerakan dengan kerusi roda - paraphlegia. Banyak peristiwa suka duka yang kami lalui terutama sekali di tempat-tempat awam lebih-lebih lagi apabila suami perlu menggunakan kemudahan awam- tandas, tempat letak kereta hatta ingin ke kedai makan pun kami perlu memilih. Malaysia secara umumnya, masih merupakan negara yang tidak mesra OKU. Jika ke masjid juga begitu, solat di tempat terbuka dan panas (masjid di Malaysia terlalu banyak tangga), mengambil wudhu menggunakan botol air mineral yang diisikan dengan air paip dan juga bersolat di dalam kereta yang diparkir mengikut arah kiblat adalah fenomena biasa yang kami lalui seharian. Biasanya, sesampainya di masjid atau hentian rehat dan rawat (kami melalui perjalanan ke Pantai Timur, hentian rehat dan rawat LPT tidak mempunyai ramp dan juga kemudahan tandas OKU yang lengkap dan juga tempat berwudhu yang sesuai) saya akan berwudhuk dan solat dahulu kemudian akan memberikan maklumat tentang arah kiblat (masih belum membeli kompas walaupun sudah lama berhajat memilikinya) dan suami akan berwudhuk di dalam kereta dan memusingkan arah kenderaan mengikut arah kiblat.

Berbalik kepada kisah di pam minyak, suami saya juga pernah beberapa kali hampir ditipu oleh atendan pam minyak yang tidak bertanggungjawab yang cuba menipu jumlah minyak yang diisi, Alhamdulillah suami memerhatikan dengan teliti jumlah minyak yang diisi. Satu peristiwa yang berlaku di salah satu pam minyak di Seksyen 7 Shah Alam- suami memberikan wang kertas RM50 kepada atendan minyak selepas bertekak panjang (pam minyak layan diri-atendan enggan membantu kerana masalah komunikasi terhad akibat tidak faham bahasa kebangsaan dan juga bahasa inggeris) dan kemudiannya atendan tersebut ke kaunter bayaran dan suami melihat penjaga kaunter memberikan baki RM10 kepada atendan pam tersebut. Suami saya kemudiannya memerhatikan dengan teliti jumlah minyak yang diisi dan apabila hampir kepada angka 40, meter bergerak perlahan. Atendan tersebut yang menyedari suami saya asyik memerhatikan pergerakan meter tersebut telah menjerit kepada rakan senegaranya di kaunter dan kemudiannya menarik keluar sedikit pam tersebut sebelum memulakan isian semula. Hampir tertipu RM10 oleh atendan pam yang tidak bertanggungjawab. Saya dan suami sering bergurau selepas mengisi petrol..

Driver...boleh jalan sekarang

Ok atendan pam..saya jalan sekarang...

Hihihihi

Banyak lagi kisah yang kami lalui- kadangkala kami ketawa, adakala kami bersedih, marah, kecewa dan yang pentingnya, kami redha dengan ujian demi ujian yang kami lalui. Moga Allah memudahkan perjalanan hidup kami.

Monday, September 08, 2008

Deko



Saya sudah terlalu jarang menonton televisyen sepanjang bulan Ramadhan ini. Masa tidak sesuai dan agak kepenatan barangkali. Hujung minggu yang baru lalu kami berdua hanya duduk di rumah sambil menyelesaikan urusan mengemas yang masih berbaki. Itupun belum juga siap lagi. Selepas setengah hari berhempas pulas di dapur termasuklah menyediakan stok cili kering, bawang putih dan bawang merah yang siap dikisar, saya berehat sambil menonton siaran Ria. Deko bersama Eric sedang mencari peserta dan tarikh tutupnya adalah 7
September...Waahhh...saya terus bersemangat untuk menghantar penyertaan. Ruang tamu kami masih belum berperabot kerana kekurangan vitamin RM...hehehe. Semangat saya merundum apabila teringatkan komputer riba yang tiada slot memory card reader dan kabel untuk muat turun gambar dari kamera ke komputer saya tinggalkan di makmal. Setelah bermacam alternatif dicuba termasuklah MMS, GPRS dan sebagainya menemui jalan buntu, suami menawarkan diri untuk menghantar saya ke makmal dan mengambil gadget tersebut. Saya pun bersetuju apabila teringatkan kain kak awwa juga tertinggal di makmal. Kak Awwa dan suami datang berbuka di rumah kami malam tadi..terima kasih kak..sudi datang :)

Setelah mendapat segala kelengkapan, saya tinggalkan dulu alatan tersebut kerana perlu bersilat di dapur untuk menyediakan pula juadah berbuka. Menu saya semalam- pindang cili padi ikan tenggiri, ikan ayam goreng cili, sayur bayam dan cendawan, ikan singgang lebihan hari sebelumya, karipap sardin dan juga agar-agar pandan. Pukul 6 lebih kak awwa dan suami pun sampai. Syukur, ukhuwah yang terjalin bermula di dalam talian (group komuniti oku) lebih 2 tahun lalu masih berpanjangan.

Selesai segala urusan, pukul 11 malam saya pun memulakan proses mengambil gambar dan memuat naik ke muat turun ek? ke komputer dan suami menyambungkan talian streamyx. Akhirnya setelah berbelas kali mencuba, saya harus menerima hakikat bahawa saya sudah kalah sebelum berjuang. Kotak emel penuh dan emel saya tidak boleh masuk pun. Nampaknya impian saya untuk memenangi hadiah ubahsuai ruang tamu bernilai RM50 000 tidak akan terlaksana buat masa ini. Bak kata suami saya, " tidak mengapalah, kita cari sendiri duit sikit-sikit...dapat beli sofa yang selesa pun dah ok..rumah kita..syurga kita..."

Pagi ini saya menelefon emak di Seremban. Talian telefon rumah mak di pagi hari memang sibuk, anak-anak mak semuanya rajin bergayut dengan emak di talian pada waktu yang lebih kurang sama. Saya memaklumkan mak cerita ringkas kegagalan saya menyertai peraduan DBE itu. Kata mak, "memang resmi mak dan anak-anak mak begitu, usahalah..adalah rezeki nanti tu ye," dan saya akur. Adalah rezeki nanti kerana saya sebenarnya tidak hampa sangat, kerana saya yakin Allah sudah menetapkan yang terbaik untuk kami :)

Thursday, September 04, 2008

Ramadhan Kareem


Ramadhan sudah masuk hari ke empat hari ini. Saya berkejaran dengan masa dan kerja yang banyak. Laporan sudah di hantar kepada sifu dan esok pagi saya perlu berbincang tentang kerja yang saya lakukan selama hampir 2 bulan lalu. Saya agak bingung kerana tidak mampu untuk fokus bagi menganalisis data yang diperolehi. Banyak sungguh gangguannya kali ini. Hihihi...

Jadual bulan Ramadhan masih sama seperti biasa, cuma waktu bangun pagi saya awalkan sejam walaupun saya sangat bertuah tidak perlu memasak untuk bersahur kerana suami saya tidak makan nasi untuk sahur, cukup dengan hanya 3 butir kurma dan air suam sahaja. Saya pula hanya mengambil susu dan kurma serta air suam. Suami saya mendapat pelepasan sejam awal dari biasa manakala saya pula mendapat kejutan budaya kerana perlu pulang serentak dengan para pekerja lain. Saya jarang sekali pulang awal ke rumah, selalunya pukul 7 dan keatas iaitu di waktu kenderaan sudah tidak berapa banyak di atas jalanraya. Jadi apabila perlu pulang pada waktu puncak saya agak kalut dan kelam kabut. Hihihi...Juadah berbuka pula cukup ringkas. 1 protein, 1 sayuran dan buah-buahan. Cukup nikmat bagi orang yang berpuasa dan yang lebih penting lagi, tiada makanan terbuang kerana tidak dihabiskan.

Surau sementara di AP sudah dibuka dan penganjuran tarawih juga dilakukan oleh jawatankuasa penubuhan surau. Moga surau AP lebih makmur dan lebih cepat mendapat surau tetap...insyaAllah.

Selamat menjalani ibadah puasa di Ramadhan yang mulia ini..semoga kita semua akan mendapat keberkatan yang berpanjangan. Moga Ramadhan ini lebih baik dari yang sebelumnya. Moga juga kita akan bertemu dengan malam al-Qadar...ameen...

Wednesday, August 27, 2008

Ulang Tahun



Selamat ulangtahun kelahiran buat suami tersayang, moga dipanjangkan usia, dianugerahkan kesihatan yang lebih baik dan diberikan kejayaan dunia dan akhirat.
Sebetulnya saya terlupa tarikh ini...cadangnya mahu membuat kejutan tetapi terlewat..kejutan perlu dibuat tempahan 2 hari awal..hihihi...

Kek dalam gambar di atas saya tempah dari Lily dari Chocncheez semasa pindah rumah tempoh hari. Kami sekeluarga berikan kek ini 5 bintang...sedap!! :)

Tuesday, August 26, 2008

Sibuk


Saya merasakan saya tidak sempat untuk menyiapkan banyak perkara. Mungkin keadaan badan yang tidak berapa sihat-asyik diserang migrane dan juga keletihan melampau. Alhamdulillah syukur kami sudahpun berpindah ke rumah baru. Kebanyakan urusan sudah selesai-cuma rumput di hadapan dan belah kiri rumah belum di potong dan batu-batu bekas pembinaan tempoh hari masih penuh di hadapan rumah. InsyaAllah akan dibereskan sebelum Ramadhan yang bakal menjelma tak berapa hari lagi.
Saya sekarang sedang sibuk menyiapkan laporan dan juga melakar perancangan untuk kerja makmal sepanjang bulan puasa disamping merancang menu dan juga jadual baru untuk bulan puasa.
Moga bulan Ramadhan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya.... :)

Wednesday, August 13, 2008

Jauh dari meja/komputer riba


Saya bercuti daripada 13 Ogos 2008 sehingga 20 Ogos 2008. Tujuan cuti saya kali ini adalah untuk membantu suami:
1) mengemas rumah sewa
2) menyediakan/membungkus barang-barang.
3) memastikan penghawa dingin/piring terbang asetero dibuka dan dipasang di rumah baru.
4) memastikan tiada barang yang sudah tidak diperlukan/rosak dibawa ke rumah lama (bungkus elok-elok dan letakkan di hadapan rumah untuk dikutip oleh alam flora atau sekutu mereka.
5) menyelia proses mengangkat barang oleh mover yang kami upah ke atas lori dan ke dalam
rumah selamat dan broken free
Doakan kami memperolehi semangat baru di rumah baru dan semoga kehidupan kami akan lebih diberkatiNya. Ameen.

Tuesday, August 12, 2008

Walimatul Urus


Saya sempat meraikan majlis walimah bekas anak murid dan juga rakan sekerja yang berlangsung di minggu terakhir julai dan minggu kedua bulan Ogos.

Sofiyyah dan pasangan; 27 Julai 2008
Nafiza dan pasangan; 8 Ogos 2008
Nana dan pasangan; 10 Ogos 2008.

Semoga mereka semua mendapat keberkatan dan beroleh kebahagian hidup dunia dan akhirat.


Friday, August 08, 2008

31- 08.08.08



Alhamdulillah
Kesyukuran saya panjatkan kepada Yang Maha Esa kerana mengizinkan saya dipanjangkan setahun lagi usia.
Terima kasih buat bonda yang gagah membawa saya dalam kandungan.
Al- Fatihah buat arwah ayahanda yang gigih berusaha untuk membesarkan saya.
Tiada ucapan terima kasih atau hadiah yang dapat saya berikan untuk membalas jasa mereka sehingga saya begini di saat ini.
Doa saya buat kedua bonda dan ayahanda saya agar diampunkan dosa-dosa mereka dan diberikan rahmah dan keberkatan.
Emosional pula saya jadinya..hihihi...
Hadiah dari suami? Kami sepakat tiada hadiah untuk saya atau untuk suami (berkongsi hari lahir di bulan yang sama). Rumah baru kami adalah hadiah yang sangat bermakna buat kami berdua dari usaha kami berdua juga :)
Syukur atas kurniaan ini.

p/s: banner di atas adalah kiriman dari saudara KS. Terharu saya dengan ingatan dan kesungguhan beliau mengingati dan menghasilkan banner tersebut. KS mengetuk jarinya di atas 1 huruf di atas papan kekunci, yang membentuk 1 perkataan dan akhirnya menjadi 1 ayat. Terima kasih wahai sahabat. Juga buat cik UST yang mengirimkan email jauh dari NZ. Takdelah kek coklat yang sedap tahun ni ye cik UST :) Moga Allah membalas kebaikan kalian semua.

Thursday, August 07, 2008

Ikan keli


Abanglong sudah menjadi usahawan tani sepenuh masa. Ternakan kambing dan juga ikan keli telah menjadi sasaran utama abanglong bermula 2 minggu lalu. Semuanya abanglong lakukan sendiri, dari mencari rumput untuk kambing sehinggalah ke pemasangan/pembinaan tong air untuk ikan keli. Abanglong sama seperti emak saya. Mereka memerhati persekitaran dan kemudiannya merangka dalam fikiran dan merealisasikan dengan melakukannya sendiri. Abanglong tidak percaya kepada kertas kerja, catatan atau laporan. Setiap manusia mempunyai cara tersendiri dan itulah cara abanglong.


Semoga abanglong berjaya mencapai targetnya untuk tahun ini. Semoga Allah mudahkan urusan abanglong saya. Ameen.

Ombak








Ombak memukul pantai
Tanpa jemu
Berubahkah pasiran?
Ataupun berubah seketika dan kembali semula ke kekedudukan asal?

Matahari terbit dan terbenam
Terkesankah lautan?
Tersejat cairan ke dada langit membentuk awan..
Pabila berat ditampung ianya turun semula bercucuran..
Indah
Lebih indah sekiranya setiap hamba yang bernafas di muka bumi
Memerhati
Mengambil iktibar
Bersyukur
Bijaksana dan sempurna susunan yang Maha Esa

Putaran yang berlaku..ketentuan..ujian..
kesemuanya menjanjikan kebahagiaan
Di dunia yang fana
Di alam akhirat kekal selamanya

Maha suci Allah
Kami bersyukur dengan kurniaMu.






Tuesday, August 05, 2008

Kenyir


Gambar-gambar untuk entri ini telah lama diambil-sewaktu pulang ke kampung suami di Kuala Terengganu bulan Mac yang lalu. Walaupun hanya pulang dalam jangka masa yang singkat tetapi sempat juga kami singgah di Tasik Kenyir dan menikmati pemandangan yang sangat menarik. Selamat menjamu mata dengan pemandangan dirakam jurukamera amatur bersama ollie kesayangan saya :)

p/s: saya sedang pening-pening lalat- baru selesai diskusi tak dirancang dengan sifu . Berasap kepala sekejap.







Monday, August 04, 2008

Adaptasi


Ahad.
Saya dan suami berziarah ke rumah sahabat kami di Bangi. Mereka berdua baru dikurniakan cahayamata kedua. Keduanya tidak mempunyai sebelah tangan kanan. Kebetulan ketika kami sampai di sana, ada beberapa orang sahabat mereka juga datang berziarah. Topik yang menjadi perbualan kaum ibu adalah- anak. Saya dan suami masih belum dikurniakan rezeki anak dan bulan Disember ini genaplah 4 tahun kami bernikah sudah terlalu bersedia dengan topik sebegini kerana mereka sudah pastinya teruja untuk bercerita tentang telatah anak-anak dan juga perancangan untuk menambah bilangan anak. Saya fikir, saya tidak perlu bersuara, hanya menunjukkan minat dan menambah perencah dengan senyuman, tawa kecil dan juga anggukan. Sesi itu berlangsung dengan jayanya. Saya sebenarnya lebih leka melihat telatah si kecil yang baru lahir melihat dunia. Nyenyak tidurnya walaupun tetamu datang dengan kisah seribu satu malam :).

Apa yang menarik perhatian saya ialah survival para ibu yang berbual ini. 3 dari 4 orang adalah merupakan OKU anggota. S, ketiadaan sebelah tangan, W, kaki dan tangan tidak berkeupayaan penuh dan juga E, berkaki palsu. Saya mendengar mereka bercerita kesukaran dan juga cabaran untuk menguruskan anak dengan kekurangan mereka ini. Bagaimana apabila anak terjatuh dan terluka, W dan suaminya yang berkaki palsu tidak mampu menerpa serta-merta ke arah anak kerana pergerakan mereka terhad. Lantas W menyatakan beruntungnya S kerana S dan suami mampu menerpa terus sekiranya anak mereka terjatuh atau dalam bahaya. E juga menyuarakan perkara yang serupa tetapi suami E seorang normal jadinya suaminya akan membantu sekiranya berlaku insiden ketika anak-anak kecil mereka dalam proses mengenal dunia. Banyak yang saya pelajari lewat ziarah kami kelmarin. Semua insan di dunia ini adalah kurang upaya dan tidak sempurna. Ketidakupayaan anggota tidak akan menghadkan keupayaan akal dan juga sebagai kayu pengukur keimanan seseorang hamba. Semoga Allah memudahkan urusan mereka dan juga melindungi mereka serta keluarga dari sebarang kecelakaan. Ameen.



Friday, August 01, 2008

Sakit dan ubat


Pagi tadi saya bangun sangat awal kerana sudah merancang untuk melakukan kerja-kerja rumah sebelum keluar ke makmal bersama suami (kereta saya telah tidak keluar melihat dunia selama 4 hari). Semasa menggosok stok baju kerja saya dan suami untuk persediaan minggu hadapan kerana hujung minggu ini kami mempunyai jadual yang sangat padat, saya telah menonton rancangan bual bicara Oprah. Isu yang dibincangkan ialah tentang insurans kesihatan. Tajuk yang sangat menarik kerana mereka memang benar-benar berbincang. Tetamu jemputan juga merupakan individu yang hebat. Michael Moore, merupakan pengarah yang telah menghasilkan sebuah dokumentari bertajuk Sicko, professor Uwe Reinhardt dari Princeton University dan juga Karen Ignagni yang merupakan president of America's Health Insurance Plans.

Titik mula perbincangan adalah- adakah anak seorang atendan pam minyak akan memperolehi penjagaan kesihatan dan rawatan untuk memulihkannya sekiranya dia sakit sama seperti anak seorang Pengarah Urusan syarikat?

Itu situasi di Amerika di mana rakyatnya perlu membeli insurans kesihatan yang mahal untuk setiap ahli keluarga bagi membolehkan mereka menerima rawatan dan ubat-ubatan sekiranya mereka ditimpa musibah. Bagi mereka yang tidak mempunyai insurans kesihatan ianya di anggap sesuatu yang tidak bermoral- kerana menafikan hak individu untuk memperolehi rawatan. Rakyat Amerika khusunya menerima tekanan dan bebanan yang sangat hebat untuk memastikan mereka sentiasa sihat dan jika mereka jatuh sakit, insurans yang mereka beli perlulah cukup untuk membiayai perbelanjaan tersebut. Tiada hospital kerajaan yang hanya perlu dibayar RM1 untuk mendapat rawatan seperti di Malaysia. Di akhirnya, terlalu ramai rakyat Amerika yang tidak mampu untuk membayar insurans bagi diri mereka dan anak-anak apabila salah seorang dari ahli keluarga didiagnosiskan dengan penyakit kronik-kanser, tekanan darah tinggi, diabetis mellitus dan sebagainya. Ini kerana apabila salah seorang ahli keluarga disahkan mendapat musibah, maka premium yang perlu dibayar untuk semua ahli keluarga akan meningkat. Perbincangan diadakan secara sangat terbuka dan telus- wakil dari golongan pembekal insurans teruk dibelasah dengan hujah-hujah yang panas tanpa melibatkan pengeluaran saliva yang nyata. Bajet negara dihabiskan oleh pemimpin mereka untuk 'mengamankan dan membantu rakyat Iraq (yang kaya dengan simpanan minyak) ' dan ibu bapa serta waris para tentera yang berkorban nyawa untuk 'tidak ada apa-apa' ini tidak mampu pun untuk ke hospital jika mereka sakit. Bagaimana untuk mencapai kesamarataan dalam mendapatkan rawatan kesihatan? Kos untuk mendapatkan rawatan kesihatan telah menjadi punca utama (di tangga teratas) bankrap dalam kalangan rakyat Amerika. Bukan krisis makanan atau krisis minyak- tetapi krisis kesihatan. Ironi bukan? Pemimpin mereka merampas kehidupan rakyat di Iraq, Sudan, Afghanistan, Palestine dan banyak lagi jika diikuti sejarahnya, dan akhirnya ditimpakan kepada rakyat mereka masalah sebegini rupa. Ianya seperti juga taufan katrina yang melanda satu ketika dahulu yang memusnahkan New Orleans. Menimpa golongan marhaen...bukan si pemimpin yang kaya raya dan sibuk memenuhkan kocek sendiri dan keluarga.

Saya mula berfikir, jika di Malaysia tercinta ini juga begitu nanti, bagaimana ye? Saya pernah bekerja di hospital kerajaan dan pernah juga dilatih di bahagian stor dan pejabat timbalan pengarah kesihatan negeri untuk membuat pembelian ubat, menjaga bajet dan juga melayan karenah VVIP yang kaya-raya tetapi mengharapkan duit rakyat untuk membeli hatta vitamin C sahaja. Saya tahu ianya sesuatu yang sensitif untuk disebut di khalayak ramai tetapi ianya adalah kenyataan. Jika orang atasan tidak boleh/sedia untuk ditegur, bagaimana sistem pentadbiran akan dapat diperbaiki supaya penyampaian perkhidmatan kepada kumpulan sasar akan tercapai? Saya tahu mudah untuk saya bercakap tetapi sebenarnya saya amat letih dengan segala permainan politik yang semakin membuatkan saya (saya percaya bukan saya sahaja tetapi juga golongan marhaen yang lain) marah dan loya dari hari ke hari. Moga Allah selamatkan negara tercinta ini dari sebarang malapetaka. Ameen.

Thursday, July 31, 2008

Dunia yang kecil..Kepala yang besar


Lirik lagu ini membangkitkan nostalgia yang agak menyedihkan buat saya ketika zaman anak-anak kecil dahulu.

It's a small world.
it's a world of laughter, a world or tears
its a world of hopes, its a world of fear
theres so much that we share
that its time we're aware
its a small world after all

CHORUS:
its a small world after all
its a small world after all
its a small world after all
its a small, small world

There is just one moon and one golden sun
And a smile means friendship to everyone.
Though the mountains divide
And the oceans are wide
It's a small small world

Ketika saya berada dalam darjah 1, saya telah dipilih untuk menyertai persembahan untuk hari penyampaian hadiah. Persembahan itu melibatkan persembahan nyanyian dan tarian. Kami dikehendaki menyanyikan 2 buah lagi. Lagu pertama adalah lagu yang saya sudah lupa tajuknya tetapi liriknya lebih kurang begini.
A itu hurufnya..Aa itu bunyinya..AAAAAAA.
E itu hurufnya..Ee itu bunyinya..EEEEEEEE.
Semasa menyanyikan lagu ini, kami dikehendaki memegang huruf yang berkaitan dan bangun sambil menggoyangkan huruf tersebut yang dihias di atas kepingan polisterin yang berkilat-kilat apabila ianya disebut. Setelah audition dilakukan, saya telah terpilih untuk memegang huruf A dan berada di barisan hadapan sekali. Lagu kedua adalah lagu yang saya sertakan liriknya di atas. Setelah begitu hampir dengan hari penyampaian hadiah, latihan makin kerap dilakukan dan saya seperti biasa sangat bersemangat untuk berlatih kerana saya sangat suka menyanyi dengan kuat dan lantang. Baju juga telah dibeli dan mak terpaksa membayar baju yang berharga puluhan ringgit untuk saya pakai bersama dengan kawan-kawan yang lain walaupun ketika itu hidup kami susah. Baju telah dibeli mengikut barisan kami berdiri. Saya masih ingat barisan hadapan sekali memakai gaun paras bawah lutut berwarna biru laut yang sangat cantik-yang saya gelarkan baju puteri-puteri lengkap dengan riben untuk diikat pada rambut. 2 hari sebelum majlis berlangsung ketika sedang dalam latihan tiba-tiba seorang guru perempuan bernama cikgu L telah memasuki dewan sekolah. Saya seperti biasa begitu bersemangat menyanyi dan menunggu giliran saya untuk berdiri. Guru tersebut menyaksikan latihan tersebut dengan muka masam lengkap dengan kerutan di dahinya. Tiba-tiba musik dimatikan dan saya yang sedang menunggu giliran untuk bangun mengangkat huruf terpinga-pinga.
"Awak dengan huruf A..bangun..pergi tukar dengan huruf O di belakang...Kepala awak besar, jadi tak nampak muka yang di belakang."
Saya tersentak dan berada dalam kesedihan yang amat dahsyat. Apa salah saya, apa yang tidak kena dengan pergerakan saya. Kepala saya besar? Memang kepala saya besar..memang muka saya lebar seperti pinggan...tapi adakah itu kesalahannya?? Berdosakah saya mempunyai kepala yang besar?
Saya kemudiannya terus tidak bersemangat untuk membuat persembahan. Saya dilanda kesedihan dan rasa rendah diri yang sukar untuk disuarakan kepada sesiapa. Saya hanyalah seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun dan sangat suka menyanyi. Cikgu yang mula-mula menyusun atur kedudukan kami cuba memujuk saya tetapi saya hanya diam. Persembahan itu menjadi tidak seragam kerana seorang berbaju kuning tiba-tiba tersesat di hadapan dan 'puteri berbaju biru' dicampakkan ke belakang barisan. Kenapa tidak ditukar sahaja baju? Sayakan bersaiz L..mana padan dengan tuan puteri bersaiz S itu. Hanya selepas itu barulah saya mengerti bahawa si pemegang huruf O adalah anak perempuan bongsu kesayangan cikgu L yang berwajah menarik dan comel.

4 tahun kemudian, semasa di dalam darjah 5, ustaz yang melatih kumpulan nasyid telah memilih saya untuk mewakili sekolah dalam pertandingan nasyid peringkat daerah. Ustaz kemudian menyenarai pendekkan senarai nama ahli yang ingin dipilih sebagai penyanyi solo untuk lagu kedua. Sekali lagi saya diletakkan dalam keadaan untuk dipilih bersama dengan siapa lagi kalau bukan anak cikgu L. Saya sudah mahu mengalah kerana ibunya juga ada di dalam surau tempat pemilihan dilakukan. Setiap guru musik dan juga para ahli kumpulan lain diberikan hak untuk mengundi vokal siapa yang dirasakan layak. Saya diam-diam menanam keyakinan yang saya tidak akan dipilih kerana saingan saya adalah dia...si cantik manis, berwajah bujur sireh itu.
Sejarah mungkin berulang tetapi tidak kali ini. Saya akhirnya layak memakai kain songket merah selaku vokal solo.

Dendam? Saya tidak berdendam. Ketika itu, saya tidak tahu pun perkataan dendam. Saya hanyalah kanak-kanak perempuan dari keluarga miskin yang berusia 7 tahun. Cuma saya sangat sedih apabila mak bertanyakan kepada saya, mengapa saya membeli baju warna lain dari orang yang duduk sebaris dengan saya selepas habis persembahan tersebut kerana sehingga ke hari ini, inilah kali pertama saya bercerita tentang kisah ini. Saya telah melalui pengalaman tragis pada usia 7 tahun dan saya berdoa pada Allah janganlah saya tergolong dalam golongan orang yang menganiayai orang lain untuk kepentingan diri dan keluarga saya. Ameen...

Tunggu sekejap


Alhamdulillah. Kami bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kami kini di dalam proses akhir untuk berpindah ke rumah baru. Kami hanya boleh berpindah selepas saya menyiapkan kerja makmal untuk pusingan kali ini lengkap dengan analisis keputusan yang perlu dihantar kepada sifu sebelum saya melenyapkan diri buat seketika dari makmal. Itu janji saya pada diri saya sendiri dan juga sifu supaya saya boleh bercuti dengan tenang tapi penat. Hehehe. Target saya minggu ketiga bulan Ogos. Tikus-tikus saya masih belum pulih sepenuhnya.

Oleh kerana sekuel kejadian kelambatan urusan pejabat peguam dan pemaju, kami akhirnya terperangkap dengan kesan kenaikan harga minyak yang menyebabkan kenaikan harga barang binaan dan sekaligus harga yang dikenakan oleh kontraktor melambung tinggi. Bajet yang kami sediakan telah menjadi kecil. Akhirnya beberapa perkara yang kami rancangkan pada awalnya terpaksa ditambah ke dalam senarai TUNGGU SEKEJAP termasuklah perabot. Buat bakal tetamu- perlu duduk bersimpuh atas tikar mengkuanglah nampaknya. Ada hikmahnya. InsyaAllah.

Bahagian belakang yang disimen dan dilengkapi ramp untuk kemudahan suami.

Table top tempat memasak. Pintu belum ada bajet. Hihihi

Pembahagi ruang tamu dan ruang keluarga yang paling jimat boleh kami dapati. Nanti jurai-jurai akan digantung disitu.

Plaster ceiling yang sangat basic. Tiada hiasan apapun.
Gril akan dipasang esok.

Saya sedang merangka dalam fikiran untuk memulakan proses sort and filter barang-barang yang ingin di bawa pindah, diberikan pada bakal pengantin baru (siapa mengaku angkat tangan), ditinggalkan atau dibuang. Hmm..proses ini perlu dilakukan dengan tenang dan rasional. Hihihi.
InsyaAllah hari ahad nanti kami akan melakukan operasi membasuh rumah. Moga dipermudahkanNya. Ameen.


Tuesday, July 22, 2008

Cucuk


Lama saya tidak update blog ini.
Semalam, saya seperti biasa melakukan prosedur biasa dengan tikus. Saya amat berhati-hati dan berjaga-jaga terutamanya apabila ada direct contact dengan tikus dan juga jarum suntikan yang digunakan untuk menyuntik tikus dengan ubat berkaitan. Sifu juga sudah mengingatkan agar mengambil suntikan anti tetanus di PK tetapi PK memaklumkan kepada kami- apabila dah kena barulah suntikan akan diberikan. Tiada suntikan untuk profilaksis.
Waktu saya menguruskan tikus adalah waktu petang- dan biasanya saya memang dalam keadaan keletihan yang amat sangat. Malang tidak berbau, selepas saya memberikan suntikan kepada tikus, saya ingin membuang jarum berkenaan ke dalam hazard bin..jarum tersebut tercucuk ke jari telunjuk kiri saya. Refleks pantas saya adalah dengan mangambil alcohol swap dan menyapunya di bahagian terkena. Oleh kerana ini adalah pengalaman pertama, saya agak panik dan menghubungi kakak saya yang ketawa-ketawa mendengar pertanyaan saya. Ini katanya,
'letak jari tu bawah air paip lalu lepas tu picit jari supaya darah keluar..anti tetanus? tak payahlah..tapi bagus juga kalau telefon animal provider hari tu dan tanya diorang apa protokol orang tercucuk jarum."
Animal provider memaklumkan kepada saya, saya perlu dapatkan suntikan dan juga antibiotik sebagai profilaksis.
Dipendekkan cerita, saya dihantar suami yang sangat cemas (sayang sangat pada isterinya ni) ke DEMC dan diberikan suntikan (sakit rupanya suntikan melalui otot ni, saya hari-hari lakukan pada tikus..hihihi...balasan agaknya ni) anti tetanus dan juga cloxa sebagai antibiotik profilaksis. Alhamdulillah saya sihat hari ini cuma lengan yang dicucuk itu agak sengal dan lenguh.
Kesimpulannya...malang tidak berbau. Saya lalai kelmarin ada hikmahnya- untuk saya lebih berhati-hati.

Friday, July 11, 2008

Plan A, B?


Saya mempunyai terlalu banyak kerja yang perlu dibereskan hari ini, esok dan lusa. Segalanya perlu diselesaikan sebelum hari Isnin menjelma. Ianya merangkumi tugas hakiki sebagai pelajar dan sudah tentunya sebagai isteri dan anak yang berusaha sedaya upaya menjadi isteri dan anak yang solehah. Saya perlu lebih bijak membahagikan masa kerana kadangkala semua perkara memerlukan perhatian dalam satu masa yang sama. Seringkali juga saya gagal untuk menetapkan keutamaan dalam melaksanakan tuntutan-tuntutan tanggungjawab. Apa yang saya merepek ni agaknya.

Hari ini, rancangan awal saya- ke makmal di awal pagi dan kemudiannya menyediakan tikus untuk prosedur hari isnin nanti, tengaharinya pula ke premis tupperware kerana selaku ajen yang sangat tidak mengetahui plan sebenar perlaksanaan perniagaannya saya perlu membelikan square set untuk mak, giant pitcher untuk acik dan along dan juga square water dispenser untuk acik serta mendaftarkan seorang lagi ahli di bawah nama saya. Petangnya pula meneruskan prosedur harian saya selama 15-20 hari insyaAllah sehinggalah tikus saya sembuh. Berbalik kepada kisah saya sebagai ajen Tupperware yang suka-suka menjual mengikut kehendak hati saya biasanya dengan diskaun 10-20%. Itulah kelemahan saya. Saya sangat suka berkongsi maklumat barangan yang saya suka gunakan kerana puas hati dengan kualitinya, oleh itu saya dengan seronoknya akan meletakkan katalog di tempat-tempat yang saya fikirkan perlu dan menerima tempahan TANPA memikirkan keuntungan, lebih-lebih lagi jika dengan kenalan rapat, saya dengan senang hatinya akan membelikan untuk mereka dan mereka akan dapat membeli dengan harga ajen tanpa perlu menjadi ahli. Apabila saya menyemak jumlah belian saya bulan lepas, rupa-rupanya bernilai lebih RM2000, saya sepatutnya mendapat pulangan lebih kurang RM400 tapi saya cuma mendapat satu giant pitcher berharga lebih kurang RM50. Hahahahah...saya memang tidak sampai hati untuk mengambil keuntungan. Saya cuma berkongsi produk yang pada saya kualitinya bagus dengan kenalan-kenalan saya. Keuntungan? Entahlah...mungkin kerana itu saya tidak mahu membuka premis farmasi walaupun lesen sebagai ahli farmasi berdaftar saya perbaharui setiap tahun selain sebab utamanya- sayakan kakitangan awam..takkan nak buka perniagaan pula. Hihihihi.

Itulah perancangan awal saya semalam.

Malam tadi, suami saya mula pening-pening kepala dan suhu badannya meningkat. Pagi ini, badannya makin lemah dan suara makin serak. Akhirnya kami ke DEMC dan dia memperolehi sijil cuti sakit yang diidamkan oleh kebanyakan pekerja yang normal di muka bumi ini. Hahahahah...Saya dihantar ke fakulti pada pukul 9.30 pagi selepas selesai semua urusan. Sesampai di fakulti saya mula menyediakan alatan untuk prosedur menyediakan tikus untuk treatment pada hari Isnin, akan tetapi, kulit tikus saya dipenuhi hama- hmmm....plan B..mandikan tikus dahulu, bersihkan bulu dan kulitnya. Ini mengambil masa lebih 3 jam berbanding proses sebenarnya hanya mengambil lebih kurang sejam. Esok pagi-pagi barulah saya melakukan prosedur pre-treatment untuk haiwan-haiwan kesayangan saya itu. Tengaharinya saya gagahkan juga ke outlet Tupperware kerana promosi yang saya kejar itu tamat hari ini. Maka berdaftarlah Puan Zab sebagai ajen di bawah tanah jajahan saya..hehehe..Sekarang ini, saya sedang menunggu waktu asar sebelum saya memulakan prosedur harian tikus-tikus saya yang sedia menanti di tepi fume hood untuk saya pengsankan lagi. Moga Allah permudahkan urusan saya dengan perancanganNya yang lebih molek ini. Ameen.
 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino