Monday, January 07, 2008

Kitar semula


Ahad.

Perancangan asalku ingin ke makmal untuk meneruskan kerja yang tertangguh. Apabila kulihat bilik tidur yang tidak pernah berubah kedudukan perabutnya sejak kami berpindah ke rumah sewa ini, aku batalkan niat asalku itu. Aku punggah semuanya ..perabut, pakaian, alat solek (ada ke??), dan aksesori. Wahh..macam kapal karam. Aku tidak membenarkan suamiku masuk bilik sementara aku berkemas kerana kami mempunyai idea berlainan dan sangat bertentangan biasanya.


Semuanya berjalan lancar sehinggalah aku kumpulkan semua aksesoriku yang aku sangkakan sedikit. Rupanya banyak..cumanya aku jarang bergaya sakan kerana aku malas nak padankan tudung ni dengan kerongsang itu. Rantai ini dengan cincin itu. Lagipun aku ada satu sikap yang agak kurang bagus iaitu aku tak suka pakai kerongsang yang batu hiasannya dah tercabut walaupun sebiji. Wahh...lagak orang kaya ye kau epel.


Aku kumpulkan semua kerongsang yang sudah 'kurang upaya' itu dan aku letakkan dalam satu kotak dan terus ke dalam beg tangan. Hajat di hati nak ke Kompleks PKNS nanti, kemudian hantarkan ke kedai aksesori dan suruh mereka baiki dan tambah sahaja batu hiasan yang jatuh. Ermm..mesti mahal tu. Dahlah aku sedang kekeringan ni.


Tiba-tiba..jeng jeng jeng.

Aku dapat idea. Kenapa tidak aku cabut sahaja batu hiasan pada kerongsang yang cedera parah dan tidak mungkin dapat dibaiki, kemudian aku lekatkan pada ruang-ruang kosong kerongsang yang masih ada harapan untuk disembuhkan? Wahh!! Kagumnya aku dengan diri sendiri kerana aku adalah seorang yang sangat tidak kreatif atau berseni jauh sekali seorang yang dapat menghasilkan sesuatu rekaan. Lihatlah dunia..(sambil menayangkan hasil kitar semulaku..hihihihi) mesti suamiku sangat gembira kerana aku berjimat..heheheKerongsang yang atas tu dah kosong, aku cabut semua batu hiasannya dan aku lekatkan kembali pada 3 kerongsang yang sederet di bawahnya. Alhamdulillah padan pula dengan ruang kosong. Kerongsang yang atas tu adalah kerongsang yang aku gunakan di hari pertunangan kami hampir 5 tahun yg lalu. Waahhh!! Sudah lama rupanya...

Inilah alatan yang aku gunakan. Hehehe. Kerongsang yang di atas ni pula adalah kerongsang 3 serangkai untuk digayakan dengan kebaya/kebarung yang dibeli ermm...pada tahun 1994. MasyaAllah dah 14 tahun aku simpan kerongsang ni. Lagi lama dari yang atas tadi. Masa tu aku sedang mengikuti Kursus Bahasa Inggeris Intensif anjuran MARA untuk semua pelajar MRSM lepasan SPM sebelum keputusan SPM diumumkan.

Hasilnya aku dapat gantikan mutiara jadian tu pada sepasang kerongsang yang aku beli di Kota Kinabalu, Sabah 3 tahun yang lalu. Errkk...sudah ketinggalan zaman ke aksesori aku ye?
Kemudian, aku selamatkan pula 2 lagi kerongsang 3 serangkai ni. Bolehlah aku gunakan semula. Ketinggalan zaman ke tidak ke, aku tak kisah. Bukan aku bergaya mengikut zaman, aku bergaya ikut keselesaan.
Aku juga terjumpa semula dengan jam tangan jenama Orient ni. Jam ini hadiah dari abang Ngah buatku kerana berjaya mendapat 8A untuk Sijil Rendah Pelajaran (Aku adalah kelompok terakhir menduduki peperiksaan ini sebelum digantikan dengan PMR. Jam tangan ini sangat istimewa kerana kelilingnya yang berwarna keemasan itu adalah emas 22 karat. Keliling permukaannya juga unik-berbentuk potongan berlian (diamond cut). Jam ini sudah berusia lebih 16 tahun. MasyaAllah..aku ni jenis menyimpan barang rupanya. Baru hari ni aku sedar, rupanya aku ni jenis suka menyimpan barang. Selama ni aku ingat aku jenis suka membuang barang. Mungkin juga bergantung pada jenis barang dan kekuatan memori yang tersembunyi disebaliknya. Hahaha...

Jam tangan ini, jam tangan cap Guess. Wahhh!! Aku beli di Harrods, London. Jam ni pun ada kisahnya juga. Aku beli jam tangan ini ketika buat MSc, hampir 5 tahun yang lalu. Kisahnya, duduk di Kota London perbelanjaan memang terhad. Kadar sewanya sangat mahal. Tambang keretapi bawah tanah lagi, bil-bil domestik lagi, makan minum lagi. Memang aku kurang berjalan-jalan dan juga kurang membeli-belah. Semasa musim sejuk 2003, ada perhimpunan musim sejuk yang tidak aku sertai kerana peperiksaan musim sejuk sangat hampir. Ada seorang pelajar undergrad ajak aku buat projek jualan. Apa yang dijual? Popia mini, kuih tart gulung, kek cawan dan karipap sejukbeku (betul ke ni termanya dalam Bahasa Melayu ye?). Dua hari kami berjuang menyiapkan semuanya dan Alhamdulillah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Habis terjual semuanya. Keuntungan yang diperolehi lebih kurang GBP35. Itulah yang aku gunakan untuk membeli jam cap Guess ni waktu tu Harrods ada jualan murah untuk jam tangan berjenama sehingga 75% sebab tu aku mampu beli .

Ini jam tangan edisi terkini. Hadiah dari suami sebagai salah satu hantaran perkahwinan. Bateri dah habis jadinya kena dihantar ke kedai jam.

Panjang pula cerita hari ni. Sambung kerja makmal, jangan bertangguh nanti tak sempat siap 3 tahun.

0 comments:

 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino