Showing posts with label Mak. Show all posts
Showing posts with label Mak. Show all posts

Tuesday, January 11, 2011

Sampai syurga


Hari ini, tajuk hangat dibincangkan dengan adik-adik saya lab ini adalah isu walimatulurus. Sepanjang hampir empat tahun mengenali sebahagian besar dari mereka, ada yang dari anak dara sudah bernikah dan dikurnia pula cahayamata. Ramai juga lagi yang masih single and available  ataupun single but not available. Ada yang sudah bertunang dan menunggu hari bahagia sambil mengedarkan kad jemputan, ada pula yang sudah bertunang tapi belum menetapkan tarikh akad nikah dan tidak kurang pula yang sudah bercinta sejak sekian lama namun seperti lirik lagu Aisyah-Selanjur bercinta- masih tiada ikatan walau telah lama berpasangan, hanya bahasa meyakinkan hubungan kita, dengan suara yang syahdu dapat kau lukis hati, keindahan mimpi-mimpiku. Heheheh....

Saya merasakan bahawa pengalaman saya ketika urusan peminangan serentak dengan bertunang dan juga akad nikah serentak dilangsungkan majlis resepsi 'kurang dugaan' bab-bab persetujuan kedua belah pihak. Mungkin kerana saya bukan anak dara tokoh politik terkenal, anak perempuan tunggal atau anak perempuan pertama dipinang orang mahupun cucu sulung dan banyak lagi gelaran-gelaran dan juga kedudukan sosial dalam masyarakat yang kadang kala menyusahkan urusan menyatukan dua hati, akad berwali, ijab bersaksi tersebut- yang mampu membuatkan syaitan dan kuncu-kuncunya menangis hiba kerana hubungan yang haram sudah halal dan sah di sisi Allah.

Ada juga sahabat-sahabat yang menangguhkan majlis kerana dewan yang juga menyaksikan majlis perkahwinan ibu bapanya 28 tahun yang lalu sudah penuh ditempah sehingga tahun 2012, ada pula yang tarikh dianjak kerana mak andam terlampau idaman sudah penuh jadual waktunya, tarikh dipilih itu adalah waktu gaji belum dibayar buat pekerja swastalah..dan pelbagai alasan yang hampir tidak masuk akal diberikan. Saya tidak tahu apa rasionalnya akad nikah yang sepatutnya mudah dan ringkas ditangguhkan atas berbakul lagi alasan. Jadinya, pergaulan tanpa ikatan akad nikah yg sah, (moga Allah ampunkan dosa-dosa saya juga yang terlibat juga dengan pergaulan sebegitu satu ketika dahulu dan mohon dijauh dari saudara seIslam) itu, dosanya dikongsi bersama ibu bapa, adik-beradik dan saudara-marakah? Moga Allah mengampuni dosa-dosa kita....yang tidak sukar tidak perlulah disulitkan....kerana persoalan asasnya adalah membina keluarga sakinah dan mawaddah....

Akad nikah wajib, walimatulurus sunat hukumnya bersandarkan hadis berikut:

Dari Anas bin Malik r.a menyebut Rasulullah s.a.w melihat di kepala Abdul Rahman bin Auf kesan kuning, lalu baginda bertanya: kesan apakah ini? Abdul Rahman menjawab: Wahai Rasulullah aku sudah berkahwin dengan seorang perempuan bermaskahwinkan satu nawah iaitu timbangan sebanyak lima dirham emas.?Baginda mendoakan keberkatan untuk Abdul Rahman bin Auf dan berkata: Buatlah kenduri walaupun dengan seekor kambing.(Muttafaqun alaih).

Sumber rezeki yang digunakan untuk majlis juga adalah dari sumber yang halal, majlis tidak bersifat bermegah-megah atau riak malahan tidak boleh dilakukan hanya dengan menjemput VVVIP dan golongan berada sahaja seperti yang termaktub di dalam hadis berikut:

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: Makanan yang paling buruk adalah makanan walimah apabila orang yang perlu makan (si miskin) tidak diundang malah orang yang tidak perlu (orang kaya) diundang?(Muslim) 

Buat bakal pengantin pula, mudah-mudahan diberikan kekuatan untuk menjaga aurat dan solat malahan saya merasakan adalah amat penting untuk bakal pengantin untuk mandi bunga mengamalkan solat malam bagi memohon keampunan Allah atas dosa yang dilakukan as to make the wedding a brand new and fresh beginning for both bride and groom...Tambahan pula, konsep sekali seumur hidup tentu sahaja bukan diaplikasikan sebagai membolehkan segalanya dilakukan termasuklah bersanggul lintang mendedahkan aurat, bersanding sambil ditepung tawar betul ke tepung tu tawar rasanya? dan juga musik berkumandang dengan lagu 'Selamat Pengantin Baru'. Jarang sekali kita dengar doa yang dibacakan oleh para tetamu ketika akad nikah selamat dilaksanakan seperti doa Junjungan Besar kita buat pasangan suami isteri yang baru dinikahkan:

BarakAllahu Lakuma wabaraka Alaikuma wajama'a baynakuma fee khayre
 
Mungkin lirik begini: Selamat pengantin baru, selamat berbahgia...selamat ke anak cucu..selamat sejahtera sudah lama tidak sesuai...kerana itu agaknya...selepas jadi pengantin lama, pasangan suami isteri sudah tidak selamat ye...kerana doa dalam lagu itu hanya ketika mereka pengantin baru sahaja?.
Jadinya, salinan lagu Barakallah dendangan Maher Zain perlu menggantikan lagu dendangan Almarhumah Salomakan? Moga kedua pasangan mempelai diberkati Allah.
Mungkin ucapan selamat pengantin baru, moga berbahagia ke anak cucu boleh digantikan dengan ucapan begini:

May Allah (SWT) place Love and Mercy between your hearts and make you and your other half amongst the (blessed) couples walking through the gates of Jannah.

Kadangkala, apabila menghadiri majlis walimah juga saya perhatikan, goodie bag yang berisi pelbagai perkara di dalamnya kadangkala ada yang tidak boleh digunakan pun terutama sekali bagi tetamu yang tidak berminat mengumpul koleksi pot pouri ataupun tuala kecil yang menjadi penghias almari yang kemudiannya berhabuk....alahai.....yang pastinya, setiap goodie bag itu bukannya murah harganya....perlu pula disesuaikan dengan warna tema...akhirnya, bak kata mak saya ketika saya walimah dulu pun saya teringin semuanya sedondon...hijau...hahahahah......takkan nak sama pula warna khemah ngan warna baju? akhirnya nanti tetamu pergi salam khemah..ingatkan pengantin...aduhh, bisanya.... Betul jugakan?

Berbalik kepada goodie bag itu, pada saya, cukuplah sekadar yang mampu, jika bajetnya hanya cukup untuk menjamu tetamu tanpa cenderahati pun sepatutnya bukanlah masalah besar...dan tetamu/masyarakat perlu disedarkan bahawa kita telah terlalu terpengaruh dengan idea/sogokan industri aksesori perkahwinan yang kebanyakannya dipelopori oleh orang lain yang majlis perkahwinan mereka berlangsung di restoran atau hotel-hotel besar tanpa majlis bersanding pun...itupun trend zaman sekarang, mereka lebih banyak duduk serumah dahulu, apabila sudah berisi barulah didaftarkan perkahwinan-atas alasan, mana boleh kahwin awal-duit tidak cukup maaa..... Makanya, tidak perlu goodie bag sebesar plastik membeli sayur di pasar, tidak perlu juga hantaran dihias dengan bunga segar yang pasti akan layu akhirnya...jadi bagaimana? Letak dalam plastik merah seperti yang kita dapat percuma apabila membeli sayur di pasar itukah? Tepuk dada tanya iman...bersederhana...itu lebih baik.

Pelamin, mak andam, jurugambar, album berlaminate, video....itu semua indah tontonan semasa sahaja.....selepas beberapa bulan hidup bersama dan bila realiti menjelma di hadapan mata- isteri mengandung, rumah perlu dibayar sewa atau ansuran, kereta perlu diservis atau rosak, insurans dan cukai jalan kereta-kereta perlu dilunaskan...ermm....bayangkan dan fikirlah sendiri....melainkan sekiranya kita hidup mewah dengan rumah dan kereta sudah tersedia dan langsai dibayar atau dibayar ibu dan ayah tercinta...itupun perlu diingat, atas setiap rezeki yang kita perolehi, ada bahagian untuk orang lain juga. Teringat tazkirah seorang ustaz ketika malam sambutan 1 Muharram di kampung saya tempoh hari....
'Duit kita yang seringgit tu, jika kita sedekahkan 20 sen yang tinggal dengan kita hanyalah 20 sen...ehh...bukankah 80 sen bakinya? Itu baki di tangan...kerana 20 sen itu adalah sedekah yang akan kita bawa sebagai bekalan di akhirat kelak'

Errmm....saya berdoa semoga pasangan yang bercinta di luar sana, mengambil kira bahagian yang wajib dan penting bagi mempercepatkan urusan akad nikah dan walimah. Adat bukan hukum....boleh diubahsuai kebiasaan tersebut insyaAllah....tetapi, janganlah pula pergi berdebat dengan ibu bapa atau keluarga yang masih mahu mempertahankan dan menjadikan majlis akad nikah serta walimah itu menjadi tidak berkat pula sehingga berlengan/berparang....lakukannya secara penuh hikmah...bagaimana? Carilah kekuatan dengan bermunajat di sepertiga malam kerana hati bukan milik mutlak manusia...Allah berhak mengubahnya...tiada kebetulan dalam Islam....takdir boleh diubah dengan kehendak Allah atas usaha dan doa manusia....

Semoga semuanya baik-baik sahaja dan diberkati Allah. 

Nota 1: Saya sudah menerima kek yang saya menangi di sini. Sungguh lazat kek merah baldu itu rupanya dan sungguh saya kagum dengan hasil seni Kak Jun. Subhanallah...it doesnt look edible...hahaha....sayang sungguh saya nak memotongnya...akan tetapi keharuman fondan dan kek tersebut telah membuatkan saya menguatkan hati. Syukur ianya dikongsi saya dan suami serta ahli keluarga, jiran dan juga tentunya adik-adik di lab.
Nota 2: Results yang saya perolehi dari kerja 24 jam minggu lepas adalah negatif...perlu diulang, doakan saya kuat!

Friday, December 24, 2010

Pantang....kasihannya


Berpantang bagi orang melayu adalah proses yang dilalui selepas bersalin. Ibu berpantang (mengikut pengamatan saya melihat kakak-kakak saya berpantang dalam jagaan mak) perlu memakai stokin, menyumbat lubang telinga dengan bawang putih/lada hitam yang dibalut dalam muslin cloth. Setiap pagi, selama 3 hari berturut-turut seorang tukang urut wanita akan datang dan mengurut ibu yang baru lepas melahirkan- untuk membetulkan urat-urat yang tersimpul, melepaskan angin yang terperangkap dalam urat dan juga menaikkan/membetulkan kedudukan rahim. Ini pengalaman secara langsung ye para pembaca, kerana saya juga tidak pasti amalan berpantang sebenar. Mungkin juga lain tempat/keluarga lain caranya. Saya pula belum pernah melalui sebarang proses berpantang setakat ini. Melihat pengalaman yang dilalui kakak-kakak saya dan juga mendengar pengalaman sahabat-sahabat saya membuatkan saya berfikir mencari logik setiap perlaksanaan semasa berpantang lebih-lebih lagi melibatkan pengambilan makanan.

Saya tertarik untuk menulis tentang topik ini kerana seorang sahabat mengadu tentang menu sajian semasa pantangnya yang sangat tidak menarik dan membuatkannya hilang selera makan. Ermm..nasi putih, ikan kering gelama yang dibakar dan garam ditumbuk dengan lada hitam. Hidangan berkuah, sayur, buah-buahan dan ayam serta daging adalah tidak dibenarkan sama sekali serta pengambilan air dicatu. Alasan pengambilan air dihadkan adalah untuk mengelakkan urat kembang dan dipercayai akan menyebabkan luka lambat sembuh apakah??.  Kasihannya saya mendengar apatah lagi selepas melalui saat-saat genting bertarung nyawa melahirkan seorang bayi secara normal. Terpaksa pula melalui tempoh berpantang sebegini rupa. Disebabkan sayur dan buah tidak dibenarkan langsung, diterukkan pula dengan pengambilan air yang dicatu ada catuan airkah?, sahabat saya ini mengalami buasir pula akibat sembelit yang teruk. Banyak yang saya fikirkan semasa sahabat saya ini berkongsi cerita dengan saya. Beliau walau bagaimana pun bersyukur kerana tetap ada penjaga dalam tempoh pantangnya tambahan pula ini pengalaman pertama beliau. Aduhai...besar sungguh pengorbanan seorang ibu, bukan....segalanya yang terbaik untuk si anak....

Saya pun memulakan pencarian diet sempurna dan dibenarkan untuk ibu dalam pantang. Tentu orang pertama yang ditanya adalah bonda saya. Berpantang sebanyak 7 kali secara sendirian dan melalui kesukaran hidup untuk membesarkan kami semua. Kata mak, arwah nenek (sebelah arwah apak) juga mempunyai menu berpantang lebih kurang dengan menu berpantang yang sahabat saya perlu nikmati. Akan tetapi, mak lebih selesa memasak sendiri makanan yang sesuai kerana kata mak lagi, tenaga amat diperlukan untuk wanita lepas bersalin apatah lagi untuk menyusukan bayi. Mak menambah lagi, apa sahaja yang dibeli oleh arwah apak akan mak masak dan sesuaikan dengan keadaan dirinya yang sedang dalam pantang. Ermm...sayu mendengarnya...tak terbalas jasa mak. Moga Allah merahmati mak, dipanjangkan usia dan dianugerah kesihatan yang baik. Ameen.

Kemudiannya mak bercerita pula tentang makanan dalam pantang untuk 3 orang anak perempuan mak yang berpantang di bawah penyeliaan mak...hihihi...Menu untuk kakak-kakak saya yang berpantang termasuklah ikan tenggiri di masak dgn halia, bwg putih, kunyit dan lada hitam. Kadangkala berganti dengan ikan parang  ada juga yang tidak menyarankan ikan parang sebagai sajian dalam pantang atau ikan jenak yang enak itu. Ikan haruan yang pernah dibuktikan mampu mempercepatkan penyembuhan luka secara saintifik juga di jadikan hidangan. Sup ayam kampung, hati lembu masak lada hitam dan juga daging yang juga dimasak dengan lada hitam. Sayur-sayuran juga diberikan seperti sawi, lobak merah, lobak putih dan tentunya buah-buahan untuk bekalan vitamin. Semasa saya melalui pembedahan appendisectomy, saya juga berpeluang berpantang serentak dengan along saya. Memang enak dan menyelerakan makanan dalam pantang yang mak sediakan..hhihihi...cuma syaratnya, makan nasi tak boleh bertambah. Saya tidak pasti pula rasionalnya apa. Errmm..kakak saya je yang tidak boleh tambah nasi...saya boleh atas alasan saya bukan pantang bersalin...hihihihi

Banyak lagi menu dalam pantang yang pada hemat saya 'selamat' dan 'sesuai' untuk ibu baru melahirkan. Tanya sahaja makcik google. Saya yakin ibu yang baru sahaja melalui proses bersalin yang selalu diibaratkan seperti 'nyawa di hujung tanduk' memerlukan zat makanan yang seimbang bagi mengelakkan kelesuan, kekurangan penghasilan susu dan juga untuk mempercepatkan penyembuhan luka. Saya mohon maaf andai ada yang tidak bersetuju dengan pendapat saya ini...jujur saya katakan bahawa walaupun tidak pernah melalui pengalaman berpantang tetapi secara logiknya, ikan gelama bakar yang masin ditambah pula dengan garam dan lada hitam serta kurangnya pengambilan air boleh menyebabkan dehidrasi sel-sel badan. Semoga sahabat saya kuat menempuhi proses berpantangnya.

Nota 1: Saya penat....moga diberikan kekuatan utk saya meneruskan saki baki perjuangan ini...
Nota 2: Saya mahu masak ayam kacang ma yang dibeli oleh kakak ipar saya di Sarawak...bagaimanalah rasanya agaknya ye...

Friday, November 26, 2010

Apa ada dengan cinta


Saya mahu membuat update secara serentak. Saya belum lagi dipanggil untuk viva malahan menghantar thesis pun belum lagi. Masih membuat kerja di makmal dengan kelajuan siput sedut sahaja. Ermm....mencari semangat yang hilang ini agak susah...tapi apabila mengingatkan borang memohon tambahan tempoh cuti belajar kali kedua yang dihantar 2 minggu lalu membuatkan saya ingin 'overhaul' besar-besaran sistem badan saya yang semakin lemau dan banyak ragam ni..heppp....biasa dia tu...

Aidilfitri 2010.

Tahun ini giliran bermalam raya di rumah bonda si Seremban...jadi seperti biasa, saya yang paling akhir sampai, maklumlah nak meninggalkan anak-anak di dalam sangkar itukan perlu perancangan teliti...moga doa saya agar Ramadhan akan datang, saya tidak lagi bergelar pelajar dimakbul Allah..Ameen.
Raya dimulai dengan solat maghrib, isya dan hajat berjemaah-ketika itukan UPSR, PMR dan SPM belum bermula..jadi solat hajat khusus untuk anak-anak saudara yang akan menduduki peperiksaan semasa entri ini ditulis, peperiksaan SPM telah pun bermula dan calon UPSR sudahpun memperolehi keputusan mereka. Kemudian bertakbir beramai-ramai sebelum menanti rombongan takbir dari surau menziarah rumah bonda pula. 29 orang dewasa dan kanak-kanak dalam sebuah rumah memang sesak...hahaha...namun alhamdulillah...moga ukhuwah berpanjangan. Adat bersaudara, mengalah, memberi dan menerima untuk mengelak sengketa...dan di pagi raya inilah wajah yang terakam.

Pagi hari raya kedua sebelum lalat bangun saya dan suami telah memulakan perjalanan pulang ke Kuala Terengganu pula. Di R&R Kemasik kami berkelah dengan keluarga abang ipar yang dalam perjalanan pulang ke Meru pula. Suami saya cuma dua beradik...begitulah jadinya...hihihi....

17 Syawal
Kami sekali lagi pulang ke Kuala Terengganu kerana suami kepada sepupu suami saya meninggal dunia. Rekod baru tercatat..11 pagi bertolak ke KT, 5 petang tiba, 11 malam bertolak dari KT, 5 pagi sampai di rumah. Penatnya badan namun kami bersyukur kerana dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai saudara. Mereka dalam kesedihan kerana arwah pergi mengejut.

15 Oktober 2010
Along menelefon, "rumah Angah terbakar!"
Dugaan untuk Angah sekeluarga di saat anak sulung Angah bakal menduduki peperiksaan SPM, kediaman mereka di Nibong Tebal terbakar kerana litar pintas/overloaded current (saya pun tak pasti sangat kerana laporan bomba lambat diterima). Kesimpulannya...ianya dugaan untuk Angah dan kami semua juga. Sangat bersyukur kerana kita tahu bahawa di kala susah dan senang, keluarga kita akan tetap berada disisi....Alhamdulillah...

1-3 November 2010
Sifu dan saya menyertai pertandingan rekacipta BioMalaysia di KLCC. Alhamdulillah.




Hari raya AidilAdha
Saya berdoa semoga Allah akan menjemput saya dan suami menjadi tetamu di kala musim haji secepat mungkin. Moga murah rezeki saya dan suami. Sebak berpanjangan melihat klip haji dan juga siaran langsung dar Tanah Suci Mekah. 
Oleh kerana suami saya tidak mempunyai baki cuti lagi OUM mengubah sistem penilaian/peperiksaan, setahun kini, suami saya memerlukan 18 hari cuti untuk menduduki peperiksaan pertengahan semester dan peperiksaan akhir...tolonglah OUM...kasihan suami saya. Cuti setahun pun hanya ada 15 hari sahaja, maka kami hanya pulang ke rumah bonda di Seremban. Juadah istimewa antaranya nasi minyak, kurma ayam, sambal goreng kacang tanah dan ikan bilis (kegemaran saya) dan juga jelatah. Selain kek coklat dan brownies buatan saya dari kotak tepung kek dan brownies segera...hihihi...saya? buat kek? ish ish ish.....
Selepas solat aidiladha, saya mengikut mak ke surau untuk membantu perlaksanaan ibadah korban. Lama betul saya tidak menyertai aktiviti mak di surau. Kalau dahulu semasa undergrad di USM, cuti semester akan dipenuhi dengan mengikut mak ke surau apabila ada aktiviti. Inilah wajah-wajah pasukan gerak khas memasak untuk ahli karyah yang menyertai ibadah korban. Ayu-ayu belaka walaupun sudah berusia. Anak-anak muda mana? Ermm..seperti saya di tahun-tahun yang lalulah. Duduk di rumah sambil bersantai dan menonton siaran televisyen. Ironikan?



Hari tasyrik ketiga barulah menziarah ibu mertua di kampung. Wahhh..menunya daging, daging dan daging lagi. Ikan singgang dan ikan goreng pun ada juga...sebetulnya, jika pulang ke KT saya akan meratah ikan minta maaf kucing...i tak sengaja...hihihi dengan agak melampau. Pelabuhan perikanan sangat hampir dengan rumah keluarga suami...ikan segar semuanya...manis dan darah masih mengalir segar...hihihi....

Cepat sungguh saya simpulkan cerita 2 bulan saya. Itu sahaja yang 'bertanda' dan relevan untuk saya catatkan. 2010 hampir ke penghujung.....masa...pantas berlalu...seperti pepatah arab ' masa ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, ia akan memotong kita....

Ada apa dengan cinta? Ermm...sebenarnya itu tajuk lagu yang sedang berkumandang ketika saya menaip entri yang tertangguh lama ini :)

Nota 1: Produk saya ke Korea bersama sifu. Saya tinggal menyiapkan kerja makmal yang bertimbun. Sob sob sob....takpelah..saya sudah 'melancong' ke Korea semasa membaca novel 'Selagi ada dia'.
Nota 2: Tahniah buat anak saudara saya, Amirul Izzan dan Intan Nor Mardhiah yang masing-masing memperolehi 5A dan 4A 1 B dalam UPSR baru lalu.
Nota 3: Tahniah juga buat Nurin (anak sahabat satu kelas saya semasa dalam menengah rendah) kerana memperolehi 4A 1B. Anak sahabat sebaya saya sudah besar....saya? Allah Maha Mengetahui....

Saturday, August 28, 2010

Kasut raya


Saya membaca kisah ini di blog Prof. Kamil. Ia mengimbau kenangan saya ketika zaman kanak-kanak.
Adik-adik beradik kami 7 orang. Along, Angah, Alang, Acik, Ateh, Uda dan Boboi. Anak kedua dan ketujuh lelaki. 7 orang tidak boleh dimuatkan untuk menaiki kereta apatah lagi motorsikal. Kadangkala semasa menyambut hari raya, kami tidak di bawa ke kedai untuk membeli kasut sebaliknya, kaki kami akan diukur dengan tali plastik dan arwah Apak akan membawanya ke kedai untuk dicarikan kasut yang sesuai. Memori saya singgah semasa saya berada dalam darjah 3. Saya amat terkilan kerana kasut kami sama sahaja- sesuai untuk lelaki dan perempuan, cuma saiznya berlainan. 
Lebih kurang beginilah sandal yang dibelikan..tentulah saya, kanak-kanak perempuan yang mengharapkan kasut bercirikan pink kecewa..hihihihi
Ketika itu, perasaan terkilan, sedih marah dan kecewa bercampur-baur. Apakan daya, hanya itu sahaja yang mampu disediakan oleh arwah apak dan mak namun tentu sekali kami lebih bertuah dari mereka yang langsung tidak mampu membeli kasut baru. Untuk membeli selipar dan kasut serentak adalah hampir mustahil. Kerana itu agaknya, sehingga kini saya hanya pandai memiliki dan menggunakan sepasang kasut sahaja. Apabila sudah koyak/rosak/menyebabkan saya tergolek barulah saya membeli kasut baru.
Mengenangkan itu semua saya amat bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan. Maka benarlah dalam setiap ringgit yang Allah berikan buat kita, ada bahagian untuk orang lain. Marilah kita sama-sama meringankan tangan kita untuk memberi apa yang termampu kepada yang memerlukan. Ianya mungkin kelihatan sedikit, akan tetapi impaknya sangat besar. Moga Ramadhan ini berjaya mendidik jiwa-jiwa kita menjadi jiwa yang lebih baik. Ameen.

Nota 1: Kerja tikus saya bermula. Moga keputusan yang diperolehi bagus. 
Nota 2: Hari ini saya dapat bercakap dengan mak di Tanah Suci. Gembiranya saya. Sebak pula rasanya kerana rindu menyesak di dada. Alhamdulillah mak kedengaran gembira dan sihat. 
Nota 3: Hari ini kami mendapat jemputan berbuka puasa di rumah sepupu suami saya.

Tuesday, August 24, 2010

Apabila kura-kura terbalik..KISAH BENAR


                                                              kredit foto: http://blog.firstari.com

Pernahkah anda melihat kura-kura terbalik seperti yang kelihatan di dalam gambar di atas?
Imaginasi anda diperlukan untuk mengetahui mengapa kaki saya bengkak, tangan dan lutut lebam-lebam dan juga kepala saya agak pening.
Tukarkan sahaja imej kura-kura tersebut dengan seorang pelajar pasca siswazah yang dengan penuh semangatnya membuat kerja makmal di dalam bilik bersih dengan kedua-dua tangan memegang schott's bottle berisipadu 1 liter yang sudah terisi dengan strain bakteria, memakai pakaian ala-ala angkasawan dan juga dengan sepenuh jiwa raga cuba menyelamatkan botol kaca tersebut dari pecah. Pecah bermakna- kerja yang sangat banyak kerana di dalam botol ada bakteria ye..bukan bakteria baik seperti yang dijumpai oleh saintis Shirota di Jepun tu ye...ini bakteria tak berapa nak baik...Ngerinya...
Hasilnya seperti yang saya nyatakan di awal tadi, buku lali kanan bengkak, tangan kanan lebam, lutut kiri lebam, belakang saya sakit juga dan kepala pening-pening kerana terhantuk di Biosafety Cabinet atau lebih popular dengan nama BSC. Syukur Alhamdulillah suami saya yang menghantar ke makmal pada hari Ahad yang indah itu...jika bersendirian, bagaimana saya mahu memandu...huhuhu...
Kesimpulannya:
1. Apabila kasut anda tapaknya sudah licin, jangan bertagak-tagak untuk membeli yang baru walaupun ada menyayangi kasut tersebut sepenuh jiwa dan raga.
2. Apabila berada di dalam situasi membuat pilihan, buatlah pilihan yang tepat- pilihan saya menyelamatkan botol bakteria pada hemat saya tepat dan sesuai.
3. Setelah jatuh dan sakit, anda akan memaksa diri anda untuk membeli sepasang sepatu baru tanpa memikirkan gaji belum masuk ataupun jarak kedai kasut dengan rumah anda dan meminta kakak anda beserta 2 orang anaknya yang juga mendapat kasut baru walaupun kaki mereka tidak bengkak akibat jatuh  untuk menghantar anda ke kedai kasut tersebut. :D


Nota:
1. Ia telah selamat dihantar. Moga dibukakan pintu hati penilai untuk diterima. Ameen.
2. Mak sudah selamat tiba di Mekah. Moga mak dapat beribadah dengan tenang.
3. Kumpulan pertama mini popia hasil tangan Along sudah siap. Saya sudah memulakan penghantaran.

Saturday, August 21, 2010

I need to go back to Cambodia


Pagi tadi saya tertidur semasa menunggu waktu Dhuha. Saya perlu menyertai tadarus Al Quran yang diadakan untuk kaum hawa di surau AP pada jam 9 pagi. Akibat suasana yang sungguh indah dan suhu bilik pula agak dingin, saya tertidur sehingga jam 9.30 pagi itupun kerana sifu menghantar pesanan ringkas mengandungi perkataan 'serious mistake' di dalamnya. Ada rasa terkilan di dalam hati saya kerana tidak dapat mengikuti program tersebut. Terus saya bersiap kerana memang rancangan saya, selepas ke surau saya perlu pergi ke makmal untuk menyambung kerja. Usai bersiap ala kadar, saya pun keluar dari rumah dan meletakkan barang di dalam kereta.
Tiba-tiba saya terdengar satu suara yang sangat hampir dengan saya, "madam please help me madam, i want to go back cambodia." 
Hampir gugur jantung saya dibuatnya kerana saya memang agak fobia dengan orang yang tidak dikenali dan menegur pula dengan cara begitu. Saya pantas berkomunikasi dengan pemilik suara berkenaan dalam bahasa inggeris yang sangat terbatas. Katanya, dia pembantu rumah di rumah majikan cina satu kawasan perumahan dengan kami dan dia ingin pulang ke Cambodia (Kemboja) kerana ibunya sakit, dikhuatiri ibunya meninggal dunia sebelum sempat dia tiba. Pasport dan pengenalan diri semuanya bersama majikan katanya. Saya pantas memerhati betis, tangan dan mukanya jika ada sebarang kesan kecederaan dan saya bersyukur kerana tiada. Setelah berbincang dengan suami, kami bersetuju untuk membantunya menelefon ajennya. Dia ada memberikan nombor telefon ajen tersebut. Nombor pertama gagal dihubungi dan nombor kedua barulah dapat dihubungi. Ajen itu meminta saya menyerahkan telefon bimbit kepada pembantu rumah tadi (saya gelarnya kuna-kerana itu sahaja perkataan yang keluar dari mulutnya apabila saya bertanyakan namanya) kepada kuna yang masih berada di luar pagar rumah saya. Saya tidak bersetuju dan menukar mode telefon bimbit antik saya itu kepada 'loud speaker mode' dan mereka berbincang dalam bahasa ibunda mereka. Kemudian ajen itu meminta untuk bercakap dengan saya. Ajen itu meminta saya menghantar kuna ke kedutaan Kemboja. Uikkss...terkejut saya dibuatnya dengan permintaan tersebut kerana saya masih ragu-ragu dengan kebenaran situasi Kuna. Saya lantas menyarankan cadangan suami saya supaya Kuna dibawa ke balai polis berdekatan sebelum ajen tersebut menghantar wakil mereka untuk menjemput Kuna di sana. Mereka bersetuju dan saya pun menelefon balai polis berhampiran. Sementara itu kami meletakkan sebuah kerusi di kawasan letak kereta yang lebih teduh dan Kuna duduk menanti di situ bersama sebotol air minuman yang kami berikan. Kuna enggan makan kerana katanya tidak ada selera. 
10 minit kemudian kereta peronda polis pun sampai dan pada mulanya mereka menyangka Kuna adalah pekerja saya yang telah membuat kesalahan dan setelah diterangkan, Kuna pun dibawa pergi. Setelah berada di dalam kereta peronda, Kuna tidak berhenti melambai dan mulutnya terkumat-kamit menyebut 'thank you'. Semoga Kuna selamat pulang ke tanahairnya.
Nota 1: Sudah hari ke 11 Ramadhan. 
Nota 2: Mak sudah berangkat ke Tanah Suci pada hari khamis untuk mengerjakan umrah. Semoga emak sihat-sihat sahaja di sana.
Nota 3: Hikmah saya tertidur tadi rupanya supaya saya bertemu Kuna. Subhanallah.

Tuesday, August 17, 2010

7 Ramadhan


Saya baru selesai bermesyuarat dengan penyelia. Temujanji dilakukan seawal jam 7 pagi. Walaupun sudah lebih 4 tahun, namun apabila ada sahaja perbincangan dengan penyelia, darah gemuruh saya tidak pernah hilang. Ada sahaja debaran yang melanda. 
Selepas perbincangan, saya menarik nafas lega. Alhamdulillah. Mudah-mudahan perancangan ini diberkati Allah. Kerja saya sudah banyak kali tertangguh kerana tikus-tikus mendapat jangkitan kutu, kelewatan kerja-kerja teknikal untuk sistem sangkar tikus dan juga syarikat pembekal bakteria yg ingin digunakan telah melakukan kesilapan membekalkan produk yang diminta. Aduhai....rancangan awal saya, Jun dan Julai siapkan peringkat 'hampir akhir' ini dan Ogos/September analisis data dan juga menulis. Kini, saya membuat perancangan baru yang termampu dimampatkan untuk disesuaikan dengan cuti menyambut Aidilfitri nanti. Penyelia bersetuju dan menyokong serta memberikan saya tempoh cadangan menghantar draf pertama. Saya ada 7 bulan lagi...insyaAllah, akan saya usahakan sedaya upaya. Tolong doakan saya diberikan kesihatan dan kesempatan serta dipermudahkan segala urusan. Pengajian ini sudah menjadi satu perjalanan yang panjang dengan pelbagai onak dan duri. 
Nota 1: "Ianya" akan dihantar minggu hadapan. Semoga dilembutkan hati para penilai untuk diterima. Ameen...
Nota 2: Mak insyaAllah akan berangkat Khamis ini. Moga semua urusan mak di Tanah Suci dipermudahkan. Ameen.
Nota 3: Ramainya orang menjual kuih raya. Saya order sampai tak ingat berapa banyak kerana saya membeli jenis berlainan untuk 3 rumah. Rumah kami, rumah mak dan mertua. 
Nota 4: Lusa suami saya akan menduduki peperiksaan kertas terakhir untuk semester ini...moga berjaya! :D

Friday, August 06, 2010

2 hari lagi 33


Hari ini kepala saya sakit berdenyut-denyut selepas terserempak dengan big bos di pejabat pagi tadi. Soalannya mudah, saya boleh menjawab tapi impak dari bahasa tubuhnya membuatkan saya menjadi hilang punca terus sakit kepala...hahahaha.
Sambil mengedit kertas penyelidikan saya, loceng pintu makmal berbunyi nyaring dan banyak kali pula tu...rupanya makmal kosong. Yelah, terlalu fokus dengan kerja sehingga saya tidak perasan tiada siapapun berada di dalam makmal...Apabila pintu dibuka, terjengul muka EJ di luar pintu dengan kad akses makmal tergantung di leher...ishhh...naik darah juga saya dibuatnya kerana terganggu konsentrasi membuat kerja. Buka sahajalah pintu menggunakan kad akses tersebut. Wajah EJ pelik sungguh dan kemudian saya melihat hampir semua adik-adik lab berada di luar pintu...dan semuanya terjawab apabila saya melihat kotak kek....yang diatasnya tercatat: happy birthday my sweetheart.

Amboi! Suami saya sudah pandai 'menyentuh hati' isterinya ini. Tentulah saya sangat terharu...bukan kerana kek ataupun kejutan...tetapi kerana ingatan. Ulangtahun kelahiran saya 2 hari lagi...kejutan hari ini amat bermakna...terima kasih suamiku.. :)
Moga Allah mengizinkan usia saya dipanjangkan dengan berkat dan rahmat berterusan...diampunkan dosa-dosa saya dan kedua ibu bapa saya. Terima kasih suami...terima kasih mak kerana susah payah membawa saya di dalam kandungan dan melahirkan serta al fatihah utk arwah Apak....Sedih pula rasa di hati :)


Monday, June 14, 2010

10 tahun



Semester ke 7 bakal bermula beberapa hari lagi dan sudah menjadi amalan saya setiap semester baru untuk pulang ke kampus awal beberapa hari dari tarikh pendaftaran. 8 Jun 2000 saya telah berada di kampus induk Pulau Pinang dan menumpang di rumah sahabat yang menyewa- saya tidak pernah duduk menyewa di luar kampus sepanjang 4 tahun pengajian peringkat ijazah pertama. Kebetulan pula, peperiksaan forensik (perundangan farmasi) akan di adakan pada hari Isnin minggu kedua semester tersebut. Pulang awal untuk mengulangkaji dan juga berdiskusi soalan-soalan lepas dengan sahabat-sahabat- Yin, Echah dan juga Che Mah. Mereka adalah sahabat 'study group' saya...sahabat susah senang...merempit ke sana ke mari juga bersama-sama. Hihihi....
Hari Ahad sebelum minggu pertama bermula, abang dan keluarganya datang melawat...dan dijamunya saya dengan segala makanan yang ada- Pizza Hut, McD, KFC, pasembur P. Kota dan segala macam jajan dibelikan utk saya. Abang saya memang begitu...berganding pula dengan kakak ipar saya yang memang sangat prihatin...sayalah yang untung. Hihihi...
Kegembiraan saya dengan segala juadah dan juga semester yang baru bermula tidak ke mana kerana Isnin pagi saya mula sakit perut. Sakit keseluruhan perut disertai lawatan ke tandas yang agak kerap. Saya masih menghadiri kelas tambahan untuk peperiksaan forensik yang bakal berlangsung lebih kurang 7 hari lagi. Selasa malam, kesakitan yang dirasakan semakin teruk. Saya juga mula loya dan mual....tidak pernah saya sakit begini. Ditemani Faizah, saya dihantar ke klinik swasta di Gelugor oleh van pusat kesihatan, doktor itu meminta saya dibawa ke HPP. Sampai di HPP, saya dibawa ke Jabatan Kecemasan dan setelah dibiarkan beberapa lama, saya diberikan suntikan oleh doktor pelatih yang bertugas-tanpa mengusik saya atau memeriksa saya sedikitpun...mungkin dia sudah sangat letih...agaknya sudah beberapa hari on call. Lebih kurang pukul 6 pagi, saya dibenarkan pulang ke kampus. Mujurlah kami membawa beg duit dan kad pengenalan kerana van tidak menunggu kami. Saya hanya memakai kaftan dan seluar panjang serta baju panas. Faizah comel sedikit kerana berbaju kurung lengkap...hahahah....Merasalah saya berpakaian seperti itu menahan teksi di hadapan HPP untuk pulang ke kampus. Rabu pagi sepatutnya saya perlu menghadiri kelas pada pukul 11...Yin dan Echah telah bersarapan terlebih dahulu dan dengan baik hatinya telah menghantar sebungkus bubur nasi Harapan (kerana dibeli di kafeteria desasiswa Harapan) untuk saya. Bubur nasi itu sangatlah sedap di tekak kerana saya memang sangat lapar setelah tidak begitu selera menjamah makanan sejak Isnin. Setelah sebahagian bubur itu berjaya saya habiskan, tekak saya kembali loya dan mual dan perut saya memulas-mulas. Segalanya selamat di tandas. Perut saya kembali memulas dan tidak semena-mena badan saya panas dan saya mula menggigil. Sahabat sepengajian saya Nurul yang kebetulan menjenguk saya di bilik telah dengan baik hatinya menawarkan diri untuk membawa saya ke Pusat Kesihatan sekali lagi. 
Di Pusat Kesihatan, doktor yang memeriksa- Doktor Syarifah. Beliau mengarahkan saya membuat ujian darah di makmal di PK setelah saya menjerit agak kuat akibat kesakitan semasa beliau menekan perut saya dan keputusan diperolehi 10 minit kemudian.
"WBC naik...you need to go to the hospital young lady...apendisectomy stat!" Saya ternganga mendengar kata-kata pegawai perubatan tersebut. Saya kemudian dikejarkan (macam dalam drama pula...hihihi) ke HPP...kali ini ada siren ye van PK itu.....di dalam van aka ambulan, saya ditemani Nurul. Menitik juga airmata saya kerana teringatkan mak...uwaaaaaaaaa...sedihnya....di dalam ambulans saya menelefon emak memaklumkan perkhabaran saya. Sampai di HPP, saya ditolak masuk ke wad tidak sampai 10 minit-kecemasan sangat gamaknya ye...tapi memang sakit sungguh perut saya. Di wad, saya diperiksa oleh seorang doktor pelatih lagi. Saya solat sambil baring sahaja kerana tidak kuat untuk berwudhu dan bangun untuk solat-sangat sakit dan saya sangat pening. Lebih kurang pukul 4 petang, abang dan kakak ipar saya tiba dari Tronoh-ketika itu kampus kejuruteraan masih di Tronoh. Ketika itu, saya telah diarahkan menukar pakaian untuk pembedahan dan pukul 5.45 petang saya ditolak ke bilik bedah. Saya sangat takut kerana tidak pernah melalui pengalaman sebegitu...tambahan pula bilik menunggu di luar dewan bedah itu sangat sejukkkkk...beberapa ketika menunggu, saya ditolak masuk ke dewan bedah. Ketika ini, seorang doktor- doktor bius menanyakan nama, umur dan berat saya. Tidak lama selepas itu, beliau datang kembali..dan menyuruh saya membaca bismillah, istighfar dan juga mengucap dua kalimah syahadah...isk isk isk...tidak sempat saya nak bersyahdu syahdan...doktor itu menyarungkan topeng oksigen ke muka saya dan beliau mengira...1...2...dan saya terus hilang....
Apabila saya sedar, Yin dan Echah berada di sisi katil dan saya dan saya lihat dalam kabur-kabur mereka seperti sedih dan kelihatan sangat bimbang...rupanya semua orang risaukan saya kerana pembedahan yang sepatutnya berlangsung dalam 1 jam dan saya boleh dibawa keluar ke wad selepas 2 jam tidak kunjung selesai sehinggalah hampir tengah malam. Rupanya ada komplikasi sedikit-biarlah saya simpan sahaja ceritanya...yang pentingnya saya selamat alhamdulillah...masih diberikan peluang untuk bernafas sehingga ke hari ini. Tidak lama selepas di hantar ke wad, saya melihat emak berada di sisi. Saya teringat lagi emak menangis kerana risaukan saya agaknya...dalam keadaan mamai saya cuba menenangkan emak-ok je mak...takde apa ni. Semalaman mak tidur di sisi katil saya di wad tersebut. Owh ya...mak datang menaiki kapal terbang setelah mengetahui keadaan saya. Esoknya, saya telah dimarahi oleh jururawat bertugas kerana tidak larat untuk bangun...seluruh badan saya rasa lemah dan bahagian bawah saya masih kebas tidak berasa apa-apa...Mak dan kakak ipar saya yang memimpin saya ke tandas untuk membersihkan diri. Ingat lagi ayat jurujawat tersebut, " kalau baring-baring macam ni, bila nak sembuh..bangun...jalan-jalan."
Saya bukanlah orang yang sangat alah pada kesakitan, saya agak kuat jugalah...akan tetapi, kesakitan yang dirasai pada luka sepanjang hampir 10 cm di bahagian bawah abdomen itu memang amat tidak tertanggung...bernafas, bersin, batuk...aduhai.....tidak lama kemudian, jururawat yg sama datang semula ke katil saya dan kali ini nadanya berubah. Hairan juga saya...owhh..rupanya kakak saya yang bertugas di HKB telah menelefon dan bertanyakan keadaan saya. Kaklang telah berjanji untuk datang ke HPP dari KB pada keesokan harinya. Pada hari yang sama juga, rakan-rakan sepengajian saya yang sedang sibuk mengulangkaji utk peperiksaan forensik telah datang menziarahi saya. Penuh wad pembedahan wanita HPP pada hari itu yang kebetulannya adalah cuti umum jika tidak silap saya. Saya masih berbelah bagi samada terus berada di kampus untuk menghadiri peperiksaan, pulang ke rumah abang di Tronoh sementara menantikan Isnin untuk peperiksaan atau pulang sahaja ke Seremban. Hari Jumaat, 16 Jun 2000, kaklong saya telah selamat melahirkan Mohd Amir yang telah membuatkan emak dan saya terus pulang ke Seremban setelah saya dibenarkan keluar dari wad pada hari Jumaat petang. Jumaat malam, saya dan mak pulang ke Seremban menaiki pesawat Bayan Lepas-KLIA. Air Asia belum lahir lagi waktu itu....saya menemani kaklong saya berpantang...hihihi....sedap juga lauk orang dalam pantang ni rupanya...
Terlepaslah saya peluang untuk menduduki peperiksaan tersebut dan mengambil peperiksaan bersendirian 6 bulan kemudian- semua sahabat saya lulus peperiksaan tersebut...isk isk isk.....alhamdulillah saya juga lulus cemerlang walaupun menduduki peperiksaan tersebut seorang diri.
Ironinya...hari ini, genaplah 10 tahun peristiwa ini berlaku. Parut pembedahan masih ada di situ dan syukur saya pulih sepenuhnya selepas sebulan (sambung merempit...hehehe)....semoga kita semua dianugerah kesihatan yang baik dan menikmati kehidupan dengan penuh kesyukuran dalam melaksanakan tangungjawab kita...

Wednesday, April 21, 2010

Bangun semula


Alhamdulillah. Semangat saya kembali teguh. Bukan mudah sebenarnya namun Alhamdulillah...nikmat Allah itu pelbagai. Hampir tersungkur itu juga adalah kurniaan-kurniaan supaya saya lebih kuat seperti gajah di rimba...aik...mana pula datangnya gajah ni...Kuat-kuat gajah pun takut dengan semut tau :D

Banyak aktiviti saya untuk de-stress sebenarnya...
Pergi makan- dengan adik-adik lab di Big Plate Restaurant. Saya memang berkenan sangat dengan sajian yang mereka hidangkan. Besar saiz hidangannya dan banyak pula bahan-bahannya. Gembiranya saya menikmati hidangan tersebut. Gambar saya ambil dari blog photographer lah :) TQ Senah...

Apa lagi ye aktiviti saya...ermm...owh ye...laman rumah kami sudah disimen...suami saya mahukan ianya disimen untuk memudahkan beliau akses kawasan tersebut. Pokok-pokok bunga kami pun sudah mula berjaga...suami saya sangat meminati tanaman dan hiasan laman. Jemarinya hijau....erkkk...mcm kisah manusia hijau itukah? Hehehe...sekarang, pokok-pokok di halaman disiram pagi dan petang. Pasti pokok-pokok itu akan lebih subur...owhh ye...bukti ianya subur- tiba-tiba pokok mawar kami mengeluarkan 3 kuntum bunga serentak...alhamdulillah...
Ini keadaan halaman tepi kami semasa kerja-kerja membersih dan menanam konkrit dilakukan...
Ini pula selepas kerja-kerja 'menaik taraf' selesai...hihihi....mudah-mudahan kami tidak perlu lagi bergaduh sakan dengan ulat gonggok dan ulat bulu yang gemar sekali masuk melawat...

Sebelum itu pula, saya ke Melaka atas urusan kerja dan mak pun saya jemput sekali menemani saya. Suami bekerja...tidak dapatlah beliau meluangkan masa menemani saya...lagipun, ketika itu, beliau sedang menghadapi peperiksaan akhir. Sebelah malamnya, mak belanja saya di restoran makanan thai...saya sangat berpuas hati dengan sajian yang disediakan kerana 'MSG' free..

Pulang dari Melaka, saya demam, batuk dan selesema - punca masalah adalah tonsil saya bengkak. Selepas mendapatkan rawatan, alhamdulillah saya pulih seperti biasa. Tidak perlu saya membuat ujian darah kerana simptom ILI (influenza like illness) saya dengan izin Allah sembuh dalam tempoh 4 hari :)...syukur.

Apa lagi ye? Errmm....oh ya! Tentunya saya sangat gembira kerana berpeluang bertemu dengan Raha sekeluarga....alhamdulillah...dapat juga kami bertemu muka selepas 16 tahun tidak bertemu...pertemuan kami di pesta buku...inilah wajah Raha sekeluarga yang sempat dirakam tempoh hari. Terima kasih daun keladi ye Raha...ada jodoh kita bertemu lagi...insyaAllah....
Kini, perjuangan saya bersambung. Beberapa perkara sudah saya selesaikan...owh ye...saya sudah pun memohon menyambung tempoh cuti belajar saya. Banyak lagi yang perlu saya selesaikan. Moga Allah permudahkan perjalanan saya ini. Ameen....

Nota 1: Terima kasih kepada suami tersayang yang bersabar dengan karenah saya sepanjang proses saya mengenali diri ini....dan sama-sama sanggup menemani saya di makmal pada hujung minggu dan memberikan keizinan untuk saya 'bermalam' dengan kerja-kerja saya di makmal hampir setiap minggu...

Nota 2: Perjalanan ini sungguh banyak ranjau yang perlu ditempuhi...semoga saya tabah.

Nota 3: Selamat menempuhi peperiksaan akhir buat para pelajar umumnya. Teristimewa buat para pelajar tahun akhir FF. Tanpa sedar, rupanya, kumpulan pelajar ini adalah kelompok a) pelajar diploma yang mendaftar pada tahun yang sama semasa saya mula berkhidmat - yang saya sempat berkongsi ilmu semasa mereka di tahun 1 dan 2. b) para pelajar pra ijazah kelompok pertama yang ketika itu saya adalah koordinator program. Selamat berjaya anak-anak sekalian...semoga mendapat redha Ilahi....

Tuesday, November 03, 2009

66



Mak
Doa yang terlafaz dari lubuk hatimu
Aku tahu

Semuanya dipenuhi permohonan pada yang Esa
Agar diri kami, anak-anakmu sejahtera sentiasa
Mak
Setiap hela nafasmu
Setiap langkahan kakimu
Hanya berharap keredhaan dari yang Esa

Untuk kita sekeluarga
Mak
Tidak terucap lafaz kasih sayang dan penghargaan buat mak

Tidak terlafaz susunan kata terindah sebagai lambang kecintaan buat mak

Tidak terbalas segala yang pernah diberikan pada kami walau diatur bongkahan emas berlian dan segala kekayaan di dunia ini buat mak

Hanya pintaku

Ya Allah...
Ampunilah dosa-dosa kami, dosa-dosa kedua ibu bapa kami...
Peliharalah mereka ya Allah sepertimana mereka memelihara kami ketika kami masih kecil...
Kasihanilah mereka ya Allah...seperti mana mereka mengasihani kami ketika kami masih kecil....
Kurniakanlah kesihatan tubuh badan serta akal fikiran yang baik buat mak ya Allah....
Limpahilah mereka dengan rahmat dan berkatilah mereka ya Allah...


Hari ini ulangtahun kelahiran mak yang ke 66. Ini tribute saya buat mak pada ulangtahun mak yang ke
65.

Wednesday, October 07, 2009

Wajah-wajah


Musim Syawal kali ini, saya hanya sempat berkunjung ke beberapa rumah sahabat dan saudara-mara selain menghadiri perjumpaan semula sahabat warna-warni kehidupan zaman kanak-kanak dan remaja saya dahulu. Ianya memenatkan tetapi membahagiakan dan juga mengeratkan silaturrahim. Lihatlah gambar-gambar yang banyak ini. Minggu ini dan seterusnya saya sudah memasuki fasa yang menakutkan - baki 8 bulan cuti belajar bergaji penuh dan berbiasiswa. Moga Allah mudahkan urusan saya.17 tahun dahulu kami di tingkatan 3. Saya fikir semuanya berubah dan lebih matang akan tetapi ianya tidak begitu tepat. Bak kata salah seorang sahabat ini- badan je membesar dan dewasa...perangai sama je...Ianya menyeronokkan. Adol yang berbaju melayu itu adalah jurugambar professional untuk majlis hari itu. Semuanya diam apabila lensa kamera dihalakan...hahaha....
Gaya-gaya hebat berwarna-warni. Saya hanya memakai jubah yang sudah berusia 4 tahun. Kononnya tema warna ungu..akhirnya jadi warna-warni...hahaha...saya yang lurus mengikut kesepakatan awal.Ada penyumbang rahsia memberikan hamper sebagai cenderahati buat semua. Moga Allah murahkan rezeki beliau. Di dalam gambar ini- Ridwan yang kami panggil Anjang. Beliaulah tulang belakang majlis reunion kami ini. Segala cara dicubanya untuk menghubungi kembali sahabat yang lama terpisah dan hilang tanpa jejak.

erkk....ye ye..tikus saya dalam proses-ini alat yang digunakan untuk eksperimen saya. Ianya boleh mengukur kelembapan kulit, jumlah melanin kulit, usia kulit, kadar kehilangan air dari kulit dan kadar keasidan kulit.
Makmal saya. Inilah warna-warni hidup saya ketika ini. Mereka ini selalu sahaja menceriakan suasana selain dari sudah kebal dengan mulut bising saya. Hihihi...saya sayang adik-adik ni.
HPLC. Tiada komen. Hahahaha
Pada hari ahad lepas, saya menjemput adik-adik kesayangan saya di lab untuk datang beraya di rumah. Itupun pada pukul 5 petang. Menunya makan nasi lauk kampung. Lengkap dengan asam pedas daging, sambal cili padi ikan keli, sambal goreng jawa saya merekacipta resepinya berdasarkan apa yang selalu saya makan...saya sangat gemar hidangan ini walaupun saya bukan keturunan melayu jawa..saya melayu minang-acheh dan juga ikan pekasam goreng . Sebelum di rumah saya, Puan J dan suami juga menjemput ke rumah mereka yang terletak berdekatan dengan kediaman kami..juga menunya nasi. Hahahah..kenyang sungguh makan nasi hari itu. Owhh..sebelum kagum dengan saya, menu hari tersebut disediakan oleh mak tersayang di Seremban. Saya membawa semuanya ke AP dengan Vi-junior. Suami saya pula sudah mula menghadiri kelas bagi tahun keduanya itulah punca utama mengapa jemputan kami pada pukul 5 petang. Hihihihi . Cepat sungguh masa berlalu.
Kak Norliah- staf makmal yang sering menjadi 'partner in crime' saya ketika beliau masih di fakulti. Kini Kak Nor sudah naik pangkat menjadi pegawai eksekutif dan sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda. Kak Nor sangat istimewa kerana beliau mahir tentang segalanya-beliau sangat suka membaca dan beliau sangat cekap dengan selok-belok Shah Alam dan PJ. Beliaulah pemandu pelancong saya ketika baru menyertai fakulti hampir 6 tahun yg lalu.
Menarikkan. Rozi (berbaju belang) dan isteri (Puan J) dianugerahkan sepasang kembar lelaki yang sangat comel dan bijak. Begitu juga dengan sahabat baik Rozi yang berbaju melayu biru itu, juga memiliki sepasang kembar lelaki seiras...Subhanallah...geram saya melihat mereka ini.
Azhar dan Azfar..comelkan. Mereka berdua lincah, bijak, cerdik dan responsive.beruntung J dan Rozi.Ini di rumah saya. Ini bukan majlis rumah terbuka tetapi saya hanya menjemput adik-adik di lab dan beberapa sahabat rapat di UiTM serta jiran rapat di AP. Kami tidak berkesempatan membuat majlis seperti tahun lepas. Jika ada tetamu yang ingin bertandang, kami alu-alukan dengan tangan terbuka.

Senah (bertudung biru) memiliki kamera bermuncung di hadapan (SLR ke namanya)...hahaha...jadi mereka ini pun bereksperimentasi dengan kamera tersebut. Menarik juga gambar yang dirakamkan.
Kucing yang telah menggigit tangan Syabil.

Mereka ini masih kekenyangan setelah makan di rumah J dan Rozi...berehat sebentar sebelum memulakan kembali aktiviti menjamu selera.
Inilah Syabil. Anak kepada Kak Ida dan Abang Bani (jurufoto pada majlis walimah kami dahulu). Yang berbaju biru itulah Ami (Fahmi) dan yang berkurung biru itu adalah Puan Puteri Murni yang selalu menggelarkan saya Along (kerana wajah saya mirip wajah Along beliau). Wajah comel yang sedang tersenyum lebar di belakang beliau ialah Cik Zaini, sahabat rapat sangat Puan Murni...hihihi...itulah Z yang sudah ke UPSI.
Mereka ini kreatif, selepas pinggan diisi, mereka ke dapur mencari meja...hahaha....

Bersama dan Aqil- anak saudara KMiza.
Bersama Kak Nor dan Kak Fida (otai FF) heheh...oppss...dan juga Syabil...Wajah-wajah riang dan kenyang!
Terima kasih pada sahabat-sahabat zuhalian 92, SMAA atas majlis yang sungguh bermakna dan penuh nostalgia tempoh hari.
Terima kasih juga pada adik-adik dan sahabat yang sudi singgah di teratak kami. Moga kunjungan anda semua membawa barakah dan rahmah buat kami berdua.

 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino