Saya membaca kisah ini di blog Prof. Kamil. Ia mengimbau kenangan saya ketika zaman kanak-kanak.
Adik-adik beradik kami 7 orang. Along, Angah, Alang, Acik, Ateh, Uda dan Boboi. Anak kedua dan ketujuh lelaki. 7 orang tidak boleh dimuatkan untuk menaiki kereta apatah lagi motorsikal. Kadangkala semasa menyambut hari raya, kami tidak di bawa ke kedai untuk membeli kasut sebaliknya, kaki kami akan diukur dengan tali plastik dan arwah Apak akan membawanya ke kedai untuk dicarikan kasut yang sesuai. Memori saya singgah semasa saya berada dalam darjah 3. Saya amat terkilan kerana kasut kami sama sahaja- sesuai untuk lelaki dan perempuan, cuma saiznya berlainan.
![]() |
Lebih kurang beginilah sandal yang dibelikan..tentulah saya, kanak-kanak perempuan yang mengharapkan kasut bercirikan pink kecewa..hihihihi |
Ketika itu, perasaan terkilan, sedih marah dan kecewa bercampur-baur. Apakan daya, hanya itu sahaja yang mampu disediakan oleh arwah apak dan mak namun tentu sekali kami lebih bertuah dari mereka yang langsung tidak mampu membeli kasut baru. Untuk membeli selipar dan kasut serentak adalah hampir mustahil. Kerana itu agaknya, sehingga kini saya hanya pandai memiliki dan menggunakan sepasang kasut sahaja. Apabila sudah koyak/rosak/menyebabkan saya tergolek barulah saya membeli kasut baru.
Mengenangkan itu semua saya amat bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan. Maka benarlah dalam setiap ringgit yang Allah berikan buat kita, ada bahagian untuk orang lain. Marilah kita sama-sama meringankan tangan kita untuk memberi apa yang termampu kepada yang memerlukan. Ianya mungkin kelihatan sedikit, akan tetapi impaknya sangat besar. Moga Ramadhan ini berjaya mendidik jiwa-jiwa kita menjadi jiwa yang lebih baik. Ameen.
Nota 1: Kerja tikus saya bermula. Moga keputusan yang diperolehi bagus.
Nota 2: Hari ini saya dapat bercakap dengan mak di Tanah Suci. Gembiranya saya. Sebak pula rasanya kerana rindu menyesak di dada. Alhamdulillah mak kedengaran gembira dan sihat.
Nota 3: Hari ini kami mendapat jemputan berbuka puasa di rumah sepupu suami saya.
