Showing posts with label Hubby. Show all posts
Showing posts with label Hubby. Show all posts

Thursday, May 15, 2008

Delima


Saya sudah 2 hari tidak ke makmal. Lemah, lesu dan yang paling utama tekak saya sangat sakit dan batuk berterusan. Perit tekak rasanya dan sakit dada menahan proses semulajadi mengeluarkan kahak.
Minggu ini dan seterusnya akan menjadi minggu yang sangat sibuk. Mak mertua saya akan tiba dari KT pada pagi sabtu insyaAllah. Saya dan suami serta mertua akan ke utara Ahad dan kembali ke sini Isnin nanti. Ada urusan yang perlu diselesaikan. Moga-moga kami akan mendapat ketentuan terbaik dari perjalanan itu nanti. Ameen.
Hujung minggu hadapan dan hujung minggu seterusnya, insyaAllah saya akan ke utara juga. Urusan kawan-kawan dan urusan rasmi. Belum lagi memulakan perjalanan tapi saya sudah merasakan kepenatannya. Hihihi.
Hari ini walaupun di rumah saya sudah menghantar poster yang sudah disiapkan kepada sifu untuk edit terakhir sebelum ianya dicetak di atas kertas bersaiz 39 inci persegi.
Delima? Ohh..saya dan suami makan buah delima yang merah merkah hari ini. Manis dan bersari. Hihihi...

Wednesday, April 02, 2008

Terima kasih


Alhamdulillah..Segala puji bagi Allah Yang Maha Mengasihani hamba-hambaNya.

Saya dan kaklong membawa mak menjalani pemeriksaan di hospital pakar Seremban. Kaklang yang memaksa memujuk mak dengan diplomasi. Darah mak diambil dan dianalisis. Sejam kemudian, doktor memberitahu mak disertai dua pegawai pengiring..hihihi..gula dalam darah mak tinggi..yang paling tinggi setakat ini. Itu yang menyebabkan mak sangat letih dan tidak berdaya. Gula tidak ditukar pada tenaga, itulah punca keletihan mak. Doktor memberitahu dengan nada bergurau,
"Air kencing makcik ni boleh buat sirap..fungsi hati, ginjal dan asid urik darah masih dalam keadaan dan julat normal."
Syukur. Allah sahaja yang mengetahui betapa lega dan bersyukurnya saya.
Usai pemeriksaan di hospital, mak mengajak kami ke Jusco Seremban 2.
"Mak nak beli sayuran dan juga makanan sesuai untuk mak," itulah kata-kata mak dan kami turutkan. Habis segala ulam dan sayuran diborong, mak jadi lebih sihat walaupun tanpa makan ubat kerana sebenarnya mak sangat risau tentang ginjalnya kerana mak mengalami hematouria (kencing berdarah) yang telah diselesaikan dengan memberikan mak antibiotik. Mak senyum riang apabila doktor memberitahu ginjal mak masih berfungsi dengan normal. Namun begitu, doktor menambah sejenis ubat untuk mak dan juga menaikkan dos untuk ubat yang sedia ada.

Hari khamis saya menelefon mak pagi dan petang dan apabila saya bertanyakan keadaan kesihatannya..ringkas mak menjawab..
"mak letih...penat...tak cukup makan.." sayu rasa hati saya mendengarnya. Saya faham keadaan mak. Mak suka memasak dan makan...mengikut seleranya, apabila dia perlu mengamalkan diet rendah gula dan lemak, mak jadi rimas dan tidak selesa.
Hari jumaat petang saya pulang semula ke Seremban, mak nampak lebih segar dan telah pun menjenguk kandang kambing di belakang rumah. Itulah mak..berehat tanpa melakukan sebarang perkara bukan kegiatan masa lapang mak. Semoga Allah memelihara mak dan memberikan mak kesihatan tubuh badan. Ameen
p/s: Saya amat menghargai pengorbanan suami untuk ditinggalkan selang sehari sejak mak sakit selasa lalu. Kebetulan suami sedang sibuk di tempat kerja dengan bidang tugas baru, moga Allah memberkati kehidupan kami...
pp/s: Terima kasih buat sahabat-sahabat susah dan senang yang mendoakan mak. Saya amat menghargai pesanan suara, email dan juga pesanan ringkas yang diterima. Moga Allah memberkati kita semua...

Friday, February 15, 2008

Pilihanraya


Pilihanraya Umum ke 12 bakal menjelma kurang 3 minggu dari hari ini. Saya dan suami mempunyai sedikit masalah untuk 'giliran' balik kampung kami. Ini adalah pilihanraya pertama semenjak kami bergelar suami isteri. Saya kira, menentukan giliran balik raya lebih mudah dari giliran balik mengundi. Raya setiap tahun ada 2 kali..mengundi kena ikut kata PM..bubar parlimen atau tidak maksimum 5 tahun sekali...Hihihi...

Suami berdaftar di DUN Batu Buruk dan Parlimen Kuala Terengganu.
Saya berdaftar di DUN Ampangan dan Parlimen Seremban.

Kenapa tak tukar tempat mengundi ke Selangor? Kami keduanya sama degilmempunyai alasan tersendiri. Hihihi.

Suami saya belum pernah memandu seorang diri untuk jarak jauh. Paling jauh pun dari Shah Alam ke Seremban. Apabila suami saya menyatakan hasratnya untuk memandu pulang bersendirian, saya dilanda kegelisahan dan keraguan. Boleh ke ye? Bukan tidak yakin tetapi saya risaukan masalah akses ke kawasan RnR yang masih banyak tidak mesra OKU. Selalunya saya yang menjadi pemandu jalan dan peneman..jauh perjalanan Shah Alam- Chendering tu. Suami menyarankan saya ikut balik bersama sekaligus saya akan kehilangan peluang mengundi kali ini. Saya tidak setuju juga. Bagaimana ye?

Akhirnya selepas beberapa ketika berfikir dan berdoa mohon petunjuk dariNya..Pagi tadi suami saya berkata begini..
"Abang balik dulu hari Jumaat tu, lepas tu ayang balik hari Sabtu pas mengundi, pergilah tempah tiket..."
Saya terus bersetuju dan telah pun memiliki e-ticket MAS. Bagus juga ye...tak perlu ke mana-mana agen. Hanya berada di depan komputer bersambung internet dan juga sekeping kad gores dan bayar hutang. Gaji hujung bulan ni perlu peruntukan tambahan untuk 'bajet pilihanraya'. Sehingga ke saat ini, dengan izinNya itulah perancangan balik mengundi kami...moga dipermudahkan.

Selamat menjadi calon, selamat berkempen, selamat mendengar kempen dan selamat membuat pilihan. Pilihan di tangan anda...

Thursday, January 31, 2008

Cuti


Esok adalah cuti sempena sambutan Hari Wilayah. Suami saya bercuti. Saya pula terpaksa merangka ayat strategik untuk mohon cuti tidak hadir secara sah esok. Terlalu banyak urusan yang ingin diselesaikan esok. Rancangannya begitulah. Moga dipermudahkan bagi kami berdua. Urusan untuk menggapai impian kami untuk berhijrah meneruskan hidup ke satu lagi stesen kehidupan kami berdua. Moga Allah permudahkan....

Saya baru sahaja selesai berjumpa sifu. Nampaknya mood sifu sangat bagus, tanpa ragu-ragu dia membenarkan saya bercuti...'and don't worry on the task I have given you, whenever u are ready, we will sit down and discuss...' Mengenali sifu saya selama 4 tahun, saya tahu maksud tersirat disebalik ayat itu. Sabarlah sifu, saya pun sedang cuba sedaya upaya memusingkan hala kerja penyelidikan saya sekarang ini kerana masalah demi masalah yang timbul berkaitan tikus-tikus yang budiman itu. Saya tukar pendekatan dalam kerja makmal saya. Sesuatu yang agak rumit dan payah tapi saya cuba untuk tidak meletakkannya begitu. Allah berikan banyak kemudahan untuk saya setakat ini. Bantuan demi bantuan yang tiba untuk memahirkan saya dalam perkara-perkara yang perlu saya lakukan. Orang yang saya tidak kenali, tidak pernah pun berjumpa, tetapi menghulurkan bantuan seikhlas hati untuk mengajar saya mengendalikan haiwan. Bukankah itu sesuatu yang tidak dijangka? Saya merasakannya begitu.

Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah buat Cik Senyum, sahabat rapat saya, berkongsi kegembiraan dengannya, kerana telah dinaikkan pangkat ke jawatan pensyarah kanan. Sungguh saya sangat gembira walaupun bukan gaji saya yang dinaikkan hampir 2 ribu lebih dari gaji sekarang, tetapi berita itu meresap jauh ke dalam hati dan airmata juga menitis tanpa dapat ditahan lagi. Cik Senyum dan Dr Kay katakan pada saya, 'next is ur turn...' Jauh lagi perjalanan itu. Moga Allah permudahkan urusan saya, urusan kami...Ameen...

Sebelum saya habis menulis entri ini, saya menerima panggilan telefon dari abang saya, ermm.....syukur alhamdulillah, beliau telah dinaikkan pangkat ke Prof. Madya Dr NA Ramli. Alhamdulillah...Tahniah buat satu-satunya abang saya, abang yang selalu mencabar saya dengan ayat-ayat canggih yang selalu membuatkan saya melawan dengan kata-kata yang canggih juga.Hahahah.. Hmm..adik-beradik. Begitulah. Moga kami semua mendapat keberkatan dariNya. Ameen....

Tuesday, January 15, 2008

Penat


Minggu ni aku banyak kerja. Bercampur-campur kerjanya.Justify Full
Semalam, aku hadiri mesyuarat dengan pemaju Kampus Puncak Alam. Waktu aku mula lapor diri di fakulti, aku tahu kami akan pindah ke Puncak Alam mungkin tahun 2010. Waktu itu segalanya macam sayup-sayup. Aku tak berapa fikirkan tentang itu. Aku pernah pergi melawat tapak kampus tu sekali dalam tahun 2005, memang sangat luas. Padaku, 2010 lambat lagi. 2 minggu lepas sahabat-sahabatku pergi lagi melawat tapak. Bangunan untuk fakulti dah hampir siap. Dijangkakan siap untuk penyerahan beserta rekabentuk dalaman pada bulan November 2008 dan fakulti insyaAllah akan berpindah pada bulan April 2009. Aku tersesak nafas sekejap. Kerja aku di makmal belum siap masa tu. Pertengahan tahun ni pula insyaAllah aku dan suami akan berhijrah juga. Moga Allah permudahkan urusan kami..ameen. Oleh kerana bangunan hampir siap, pelan rekabentuk dalaman yang aku buat dulu perlu dinilai semula. Kali ni aku lebih yakin sebab aku dah buat kerja makmal yang agak banyak jadinya aku lebih maklum keperluan dalam makmal. Semalam berbincang dan berbincang. Walaupun nampak agak payah untuk mereka mengikuti kehendak kami tapi aku dah lakukan yang terbaik. Petang barulah aku duduk di makmal kononnya nak siapkan kerja. Aku buat kerja yang senang-senang dulu.

Lepas solat asar ada mesyuarat kelab pasca siswazah aku dilantik jadi presiden kelab dalam mesyuarat yang tiba-tiba je jadi mesyuarat agong minggu lepas untuk program sambutan maal hijrah 1429 dan tahun baru 2008 sambil memberikan motivasi buat para pelajar pasca siswazah.

Penceramah jemputan khas dari Kampus UiTM Johor, Pengarahnya sendiri, iaitu Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim (terima kasih Prof.). Aku pun tak jangka yang Prof Kamil sudi nak luangkan masa untuk program kecil-kecilan kami insyaAllah Khamis ni. Senang pula tu. Hanya satu panggilan telefon, tak payah fikir pun, terus je beliau setuju. Saya kena pinjam ayat Puan Sifu PTS, Prof. akaun yang seorang ni memang lain dari yang lain. Sesiapa yang berminat nak hadir silalah. Khamis (17 Januari 2008), jam 12.30-2.00pm di The Mind, Level 9, Fakulti Farmasi. Aku dapat ilham nak jemput Prof Kamil waktu di masjid negeri semasa sambutan tahun baru 1429H yang lalu. Moga majlis itu akan berjalan dengan lancar.

Lepas mesyuarat dan tugas dah dibahagikan kepada jawatankuasa bidan terjun yang dilantik, aku mula buat kerja makmal semula. Jam 9.00 malam baru balik. Puan Jay pun balik lambat juga. Sampai rumah, aku beli mee goreng untuk makan malam suamiku. Sabar suamiku dengan kesibukanku ini..tak lama yang..insyaAllah lepas 3 tahun ni tak duduk di makmal sampai malam dah.

Hari ni, aku menulis untuk melepaskan lelah. Buat kerja dengan tikus dari pukul 8.30 pagi tadi. Lepas ni aku nak cerita sesuatu tentang pemerhatianku tentang tikus-tikusku ini.

"Epel!! Back to work!!"



Friday, January 11, 2008

Ujian di 1 Muharram 1429H


Menjelang 1 Muharram, aku akhirnya menjejakkan kaki ke Masjid Shah Alam yang hanya 4 KM dari rumah bersama Cik Bestari dan Cik Budiman. Terjumpa pula puan Jay di sana. Suamiku tak dapat turut serta kerana lewat sampai dari pejabatnya yang terletak nun jauh di Taman Desa. Mujur dia mengizinkan aku pergi bersama sahabat-sahabat. Alhamdulillah. Kali terakhir aku ke sana ialah pada tahun 1994. Errm...teruknya aku ni. Programnya menarik juga. Dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun, bacaan zikir munajat, bacaan doa awal tahun selepas azan maghrib, solat maghrib, forum perdana Maal Hijrah, solat Isya dan jamuan makan. Terasa syahdu pula.

1 Muharram pagi kami bersarapan bersama dan aku meneruskan aktiviti mengemas rumah (menyaring dan membuang dokumen, peralatan dan juga pakaian (ada yang diberikan pada orang) yang sudah tidak relevan. Pukul 12.30 tengahari aku pun tidur sebentar kerana keletihan. Dikejutkan oleh suami yang berpeluh-peluh dahinya dan muka berkerut menahan kesakitan. Aku terkejut. Masalah saluran perkumuhan. Aku cuba bertenang, aku faham perangai suamiku, lagi aku panik, lagi dia tak mampu menahan sakit. Selepas aku cuba membantu sedaya upaya tidak juga kurang kesakitan dan menjadi bertambah teruk, yelah, akukan pharmacist, bukannya medical doctor. Kami membuat keputusan perlu ke hospital selepas solat zuhur. PPUM menjadi tempat tujuan. Suamiku sudah tidak boleh memandu lantas akulah yang menjadi pemandu. Aku pasangkan lampu kecemasan dan memecut laju. Kasihan suamiku, sepanjang jalan peluh keluar memercik tetapi tidak pula mengeluh hebat cuma sesekali mengerang kesakitan.

Sampai di PPUM aku berhentikan kereta di hadapan pintu masuk Trauma dan Kecemasan. Selepas meletak kereta di tempat khas untuk OKU, aku ke tempat suamiku di hadapan kaunter pendaftaran.

Sampai di dalam wad KDT, selepas beberapa ketika, doktor bertugas datang dan bertanyakan masalah suamiku tetapi dia pun tak tahu apa yang perlu dilakukan dan meminta suamiku dihantar ke minor surgery room. Tika itu aku makin berdebar. Tidak putus aku berdoa mohon mudahkan urusan, agar tiada apa yang lebih teruk berlaku pada suamiku. Pembantu Perubatan yang bertugas juga tidak mampu berbuat apa-apa, very isolated case katanya. Urologist dipanggil.

Alhamdulillah selepas 20 minit, masalah berjaya diatasi, walaupun darah memancut keluar tetapi aku bersyukur kerana suamiku dibenarkan pulang dengan bekalan antibiotik. Suamiku pula masih kesakitan tetapi SUDAH TIDAK MEMBENARKAN AKU MEMANDU..tak percayalah tu. hihihi...Syukur tidak perlu ditahan di wad dan darah juga sudah tidak keluar.

Aku katakan pada suamiku, awal tahun hijrah, Allah uji kitakan yang..moga kita terus tabah menghadapi dugaan.

Hari ini, walaupun mendapat cuti sakit 2 hari, tetapi suamiku tetap berkeras untuk ke tempat kerja, ada laporan nak kena siapkan dan dihantar...hmmm...itulah suamiku..sangat fokus dan berdedikasi.

Semalam juga aku baru sedar, kasih sayang pada suamiku bertambah-tambah sebab selama 3 tahun kami bergelar suami isteri ni, aku yang dah 2 kali masuk wad. Tak pernah pula suamiku yang sakit teruk. Hihihi...Dugaan untuk memantapkan kasih sayang..boleh tak? :)

Monday, January 07, 2008

Kitar semula


Ahad.

Perancangan asalku ingin ke makmal untuk meneruskan kerja yang tertangguh. Apabila kulihat bilik tidur yang tidak pernah berubah kedudukan perabutnya sejak kami berpindah ke rumah sewa ini, aku batalkan niat asalku itu. Aku punggah semuanya ..perabut, pakaian, alat solek (ada ke??), dan aksesori. Wahh..macam kapal karam. Aku tidak membenarkan suamiku masuk bilik sementara aku berkemas kerana kami mempunyai idea berlainan dan sangat bertentangan biasanya.


Semuanya berjalan lancar sehinggalah aku kumpulkan semua aksesoriku yang aku sangkakan sedikit. Rupanya banyak..cumanya aku jarang bergaya sakan kerana aku malas nak padankan tudung ni dengan kerongsang itu. Rantai ini dengan cincin itu. Lagipun aku ada satu sikap yang agak kurang bagus iaitu aku tak suka pakai kerongsang yang batu hiasannya dah tercabut walaupun sebiji. Wahh...lagak orang kaya ye kau epel.


Aku kumpulkan semua kerongsang yang sudah 'kurang upaya' itu dan aku letakkan dalam satu kotak dan terus ke dalam beg tangan. Hajat di hati nak ke Kompleks PKNS nanti, kemudian hantarkan ke kedai aksesori dan suruh mereka baiki dan tambah sahaja batu hiasan yang jatuh. Ermm..mesti mahal tu. Dahlah aku sedang kekeringan ni.


Tiba-tiba..jeng jeng jeng.

Aku dapat idea. Kenapa tidak aku cabut sahaja batu hiasan pada kerongsang yang cedera parah dan tidak mungkin dapat dibaiki, kemudian aku lekatkan pada ruang-ruang kosong kerongsang yang masih ada harapan untuk disembuhkan? Wahh!! Kagumnya aku dengan diri sendiri kerana aku adalah seorang yang sangat tidak kreatif atau berseni jauh sekali seorang yang dapat menghasilkan sesuatu rekaan. Lihatlah dunia..(sambil menayangkan hasil kitar semulaku..hihihihi) mesti suamiku sangat gembira kerana aku berjimat..heheheKerongsang yang atas tu dah kosong, aku cabut semua batu hiasannya dan aku lekatkan kembali pada 3 kerongsang yang sederet di bawahnya. Alhamdulillah padan pula dengan ruang kosong. Kerongsang yang atas tu adalah kerongsang yang aku gunakan di hari pertunangan kami hampir 5 tahun yg lalu. Waahhh!! Sudah lama rupanya...

Inilah alatan yang aku gunakan. Hehehe. Kerongsang yang di atas ni pula adalah kerongsang 3 serangkai untuk digayakan dengan kebaya/kebarung yang dibeli ermm...pada tahun 1994. MasyaAllah dah 14 tahun aku simpan kerongsang ni. Lagi lama dari yang atas tadi. Masa tu aku sedang mengikuti Kursus Bahasa Inggeris Intensif anjuran MARA untuk semua pelajar MRSM lepasan SPM sebelum keputusan SPM diumumkan.

Hasilnya aku dapat gantikan mutiara jadian tu pada sepasang kerongsang yang aku beli di Kota Kinabalu, Sabah 3 tahun yang lalu. Errkk...sudah ketinggalan zaman ke aksesori aku ye?
Kemudian, aku selamatkan pula 2 lagi kerongsang 3 serangkai ni. Bolehlah aku gunakan semula. Ketinggalan zaman ke tidak ke, aku tak kisah. Bukan aku bergaya mengikut zaman, aku bergaya ikut keselesaan.
Aku juga terjumpa semula dengan jam tangan jenama Orient ni. Jam ini hadiah dari abang Ngah buatku kerana berjaya mendapat 8A untuk Sijil Rendah Pelajaran (Aku adalah kelompok terakhir menduduki peperiksaan ini sebelum digantikan dengan PMR. Jam tangan ini sangat istimewa kerana kelilingnya yang berwarna keemasan itu adalah emas 22 karat. Keliling permukaannya juga unik-berbentuk potongan berlian (diamond cut). Jam ini sudah berusia lebih 16 tahun. MasyaAllah..aku ni jenis menyimpan barang rupanya. Baru hari ni aku sedar, rupanya aku ni jenis suka menyimpan barang. Selama ni aku ingat aku jenis suka membuang barang. Mungkin juga bergantung pada jenis barang dan kekuatan memori yang tersembunyi disebaliknya. Hahaha...

Jam tangan ini, jam tangan cap Guess. Wahhh!! Aku beli di Harrods, London. Jam ni pun ada kisahnya juga. Aku beli jam tangan ini ketika buat MSc, hampir 5 tahun yang lalu. Kisahnya, duduk di Kota London perbelanjaan memang terhad. Kadar sewanya sangat mahal. Tambang keretapi bawah tanah lagi, bil-bil domestik lagi, makan minum lagi. Memang aku kurang berjalan-jalan dan juga kurang membeli-belah. Semasa musim sejuk 2003, ada perhimpunan musim sejuk yang tidak aku sertai kerana peperiksaan musim sejuk sangat hampir. Ada seorang pelajar undergrad ajak aku buat projek jualan. Apa yang dijual? Popia mini, kuih tart gulung, kek cawan dan karipap sejukbeku (betul ke ni termanya dalam Bahasa Melayu ye?). Dua hari kami berjuang menyiapkan semuanya dan Alhamdulillah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Habis terjual semuanya. Keuntungan yang diperolehi lebih kurang GBP35. Itulah yang aku gunakan untuk membeli jam cap Guess ni waktu tu Harrods ada jualan murah untuk jam tangan berjenama sehingga 75% sebab tu aku mampu beli .

Ini jam tangan edisi terkini. Hadiah dari suami sebagai salah satu hantaran perkahwinan. Bateri dah habis jadinya kena dihantar ke kedai jam.

Panjang pula cerita hari ni. Sambung kerja makmal, jangan bertangguh nanti tak sempat siap 3 tahun.

Monday, December 31, 2007

Survival...


Hubby selalu risau kalau tayar wheelchair pancit samada akibat kebocoran tertusuk apa-apa ataupun ianya sebab lama tak dipam.
Aku tak penah tengok lagi hubby buat tyre mantainance mcm ni. Since kami ubahsuai kereta (boleh baca di SINI) dan hubby lulus ujian memandu dan dapat lesen (boleh baca di SINI), aku dah tak keep track tentang keadaan tayar wc yang hubby guna.
Semalam kami gi jalan-jalan kat Alamanda...baru first time aku tengok...hubby guna pam tayar yang portable ni...hihihi..bagus gak...bila-bila dan di mana jua boleh melaksanakannya...Pasang dulu kat air inlet tu...Pam secukup rasa...Done!!

Patutlah dah lama aku tak payah isikan angin tayar wc kat stesen minyak...hihihihi
 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino