Showing posts with label hobi. Show all posts
Showing posts with label hobi. Show all posts

Sunday, February 20, 2011

Tiga dalam satu


Kisah 1.
Cuti tahun baru cina

 Saya tidak ikut suami pulang ke KT kerana perlu 'membelai' tikus-tikus di makmal. Cuti 4 hari, 3 hari saya habiskan di makmal...1 hari iaitu pada hari sabtu, saya ke Melaka memenuhi jemputan walimah adik di lab- Cha dan pasangannya yang sangat rajin menelefon telefon bimbit Cha ketika mereka di alam pertunangan dan Cha pula suka meninggalkan telefon bimbit di atas meja-ada operator menjawab telefon ini...hahahah, Mohd Yusof. Saya ke sana bersama mak dan 3 orang anak dara abang saya bersama kereta abang yang sudah siap diisi petrol sepenuh tangki dan juga kad touch n go penuh berisi...bahagianya ada penaja sebegini...terima kasih ye ngah...heheheh

 Pada hari Sabtu berikutnya pula, saya telah menjadi penghias pengantin (?)...Owhh...saya memang tidak mengenakan alat solek di wajah...malahan mencuci muka atau memakai pelembap muka pun bukanlah sesuatu yang saya amalkan sejak dari dahulu. Tidak tahu mengapa, saya hanya akan comply seketika kemudian saya akan terlupa dan biarkan sahaja. Jika saya teringat, saya akan mencuci....lantaran itu, set penjagaan wajah Mary Kay yang saya beli dari sahabat saya masih ada lagi walaupun sudah hampir setahun saya beli....erm....Sue me...but I am comfortable this way...hahaha...Berbalik pada kisah sebenar proses saya menyolekkan pengantin tempoh hari...Cha memberitahu saya, atas masalah yang tidak dapat dielakkan, dia tidak dapat menyediakan make up artist semasa majlis bertandang di belah lelaki. Saya memang saya seronok bermain alat kosmetik walaupun saya jarang menggunakannya...terima kasih kepada youtube...amat mudah belajar bersolek melaluinya...macam-macam cara ada...hihihi...alat kosmetik? owhh...saya cuma ada pembayang mata (yang saya beli 2 tahun yang lalu), mascara (yang alang hadiahkan buat saya semasa hari raya tahun lalu), celak (yang saya beli 2 tahun yang lalu). Pemerah pipi dan juga make up base telah dipinjamkan oleh Aini dan Aliza...hehehe...Cha kata ok..saya pun oklah....Tiba hari yang dijanjikan, saya pun dengan gigihnya telah menyolekkan Cha dan menggayakan tudung serta aksesori- supaya Cha kelihatan seperti raja sehari...ermmm...saya rupanya adalah seorang peminat gaya klasik...saya selalu ada imaginasi bagaimana tudung ini perlu digayakan, aksesori yang perlu ada dan pelbagai lagi imaginasi yang 
kadang kala singgah di fikiran saya. Ye, ini adalah sisi lain saya selain daripada menjadi penternak tikus dan juga saintis yang belum khatam-khatam lagi. Inilah hasilnya....ermmm...ada banyak yang tidak kena....jangan saman saya sekiranya ada antara pembaca yang sangat hebat menatarias wajah...saya hanyalah seorang pelajar pasca siswazah yang menjadi sangat teruja untuk membantu seorang sahabat yang dalam kesulitan....sob sob sob....(sila tinggalkan komen jika ada nasihat untuk aplikasi kosmetik yang betul jikanya ada..terima kasih)..Bunga itu asalnya kami mahu menggunakan bunga mawar (supaya kelihatan klasik..nama pun kita guna mawar ye...). Akan tetapi, sambutan hari kekasih yang bukan amalan kita itu telah menyebabkan bunga mawar menjadi RM10 sekuntum...erkkk...akhirnya, dengan bantuan Ipah, Ira dan Aini, bunga anggerik yang dibeli di sebuah perkebunan anggerik di PA ini telah menyelamatkan keadaan bajet. Tentu sahaja gambar Cha berbusana hijau kelihatan lebih menawan dan terserlah gaya raja seharinya kerana itu jurusolek profesional. Bulu mata yang dikenakan...waahhh...hebat...mujur sifu kami tidak menghadiri majlis di Melaka, jika tidak...sampai bila-bila pun akan dijadikan bahan gurauan tentang 'eye lashes'. Semoga Cha dan suami bahagia hingga ke syurga. Ameen.

Kisah 2
Tali pinggang nabi Sulaiman.
Ringkas sahaja kerana saya ngeri setiap kali mengenangkan 'tetamu tidak diundang' ini. Kejadian ini berlaku pada hari Isnin dan Selasa semasa sambutan Maulidur Rasul (selawat dan salam buat baginda, ahli keluarga serta sahabat baginda)

Isnin 
7.45pm- Suami saya menelefon memberitahu ada 'tali pinggang nabi Sulaiman' di dlm rumah. Dekat living area....saya sepatutnya perlu bermalam di makmal untuk menyiapkan kerja. Terkaku sebentar- terima kasih pada Dayah kerana memberitahu untuk menelefon Bomba....saya terus mendail 999-sambung ke JPA3.
8.45pm- JPA3 sampai umah, proses mencari bermula namun gagal dijumpai. "Kalau jumpa call semula, kami nak balik ke ibu pejabat, ada urusan lain."
Terima kasih buat Nana, suami dan adik iparnya yang membantu membeli sulfur, garam kasar dan membantu pula menaburkannya di sekeliling rumah dan juga kawasan berpotensi untuk ianya ada. Rumah saya sudah jadi seperti kapal karam yang dipenuhi sulfur dan garam kasar....uwaaa.....ngerinya...kata mereka, mungkin sudah keluar. Akan tetapi, suami saya memerhatikan kawasan ia bersembunyi...memang tiada pergerakan keluar....saya pasrah. Sebelum tidur, kami solat Isya dan solat hajat mohon keselematan dari bahaya bencana angkara manusia, jin, syaitan, binang bisa, binatang menjalar, kala jengking dan ular hitam...
11.45pm- Saya tidur dengan nyenyak...suami tidak mampu melelapkan mata sehingga jam 3 pagi.
Selasa
Selalunya selepas solat Subuh saya akan terus keluar ke dapur, membasuh baju dan lain-lain lagi. Namun hari itu, suami saya meminta saya tunggu dulu. Berehatlah kami di dalam bilik....
7.30 am- Suami saya keluar dengan membawa sebatang kayu. Apabila digodek langsir dengan kayu, ada bunyi melawan-sah ada lagi dalam umah. Saya terus menelefon talian terus JPA3 namun mereka meminta saya untuk menelefon 999 dahulu- kerana PROSEDUR mereka begitu...errmmm...
7.55 am- JPA3 team lain pula yang tiba. Suami masih dengan beraninya berada kurang 2 meter dari tempat 'tali pinggang nabi sulaiman' itu bersembunyi. Mereka memulakan proses mencari-namun di sebalik langsir kosong...tiada jejak si 'tali pinggang nabi sulaiman' tersebut. Saya mula risau....ermmm...mana pula perginya....Akhirnya mereka mengalihkan almari tempat televisyen diletakkan....mereka mengesahkan ia bersembunyi di situ.
8.25 am- suspek ditawan, di masukkan ke dalam guni, di ikat and dibawa pergi....ermm...saya cuma melihat sekali imbas dari jauh sahaja....saya kurang berani penakut. Ia dibawa pergi....Alhamdulillah...
10.15 am-Suami membersihkan belerang and garam kasar yang berselerak di dalam rumah. Saya pula terpaksa ke makmal- ada monitoring wajib utk tikus...tiada pilihan.
 4.00pm - Tiba di rumah dengan membawa pembantu rumah kakcik saya untuk membantu kami mengemas. Sapu, vacum, mop sampai 3 kali dan buka serta cuci langsir tempat persembunyian si tali pinggang nabi sulaiman tersebut.
 7.15pm- Kerja pembersihan rumah selesai disudahi dengan gantung langsir yg siap dicuci dan 80% kering.
Sehingga ke entri ini ditulis, saya masih fobia. Moga dilindungi Allah dari bahaya bencana angkara manusia, jin, syaitan, binang bisa, binatang menjalar, kala jengking dan ular hitam...ameen.

Kisah 3.
Saya adalah peminat tegar Norhayati Berahim. Jumaat lepas apabila saya membaca entri ini di blog kak Yati, saya jadi sangat teruja. Mungkin kerana terlalu banyak kejadian yang berlaku sepanjang 2 bulan pertama tahun ini dan saya tiada masa santai...maka saya telah meminta kebenaran suami untuk ke Mid Valley- yang sudah lama tidak saya jejaki....sayakan orang kampung..laluan saya hanyalah Meru-PA sahaja setiap hari...heheheh....

Saya ke sana ditemani Shima (tahniah Shima yang baru sahaja lulus viva voce bagi Ijazah Sarjana awal Januari yang lalu-bersama 1 penerbitan journal berfaktor impak lebih 3...hebatkan?!!) dan juga Ahmad Hazim dan Azri Izzat (anak kakcik saya yang sudah berpindah ke Shah Alam-lagilah senang makteh nak ajak jadi teman berjalan...heheheh).

Sebetulnya, saya tidak pulang ke rumah pun pada hari Jumaat kerana menyiapkan kerja...tidur pun hanya 3 jam sahaja...dan saya sampai di rumah pada jam 11.45 pagi. Selesai mandi dan kemudiannya makan tengahari dengan suami, saya ke rumah kakcik. Menunggu anak-anak ini pulang dari sekolah, mandi, solat dan kemudian makan tengahari. 

Kemudian saya mengambil Shima pula sebelum memulakan perjalanan ke Mid Valley...sudah lama saya tidak memandu sendiri ke kawasan tersebut...selalunya suami yang memandu...saya hanya lepak di sebelah...heheh...2.50 pm kami selamat tiba di kawasan kejadian. Gembira dan teruja saya melihat Kak Yati masih lagi sibuk melayan peminat di sisi meja yang dipenuhi coklat buatan sendiri....Setelah selesai sesi soal jawab, saya berjumpa kak Yati yang sudah lama tidak saya temui....(selalunya saya berjumpa kak Yati di Pesta Buku sahaja pun...heheheh....). Kak Yati ni peramah orangnya dan sangat merendah diri....kata Shima- tak sangka itu penulisnya...nampak sangat sederhana....itulah...ular menyusur akar tidak hilang bisanyakan... ular2 jangan sebut ehh...kikiki. Saya membeli karya terbaru kak Yati - 'Dari kerana mata' dan mendapatkan tandatangan kak Yati...teruja sungguh saya....

Owhh ye..satu lagi karya baru kak Yati adalah 'Hujan pun    menari' yang sangat menarik- ada kisah lanun Somalia di dalamnya...belilah...tidak rugi membacanya...kerana ia adalah novel 'berisi' yang bukan semata-mata kisah pasangan kahwin paksa yang duduk berasingan bilik dan kemudiannya saling jatuh cinta...ooopsss...heheheh....Saya kira saya sudah terlalu tua untuk kisah sebegitu....Usai majlis kami pun pulang. 

Terima kasih kak Yati atas layanan yang sangat mesra...dan coklat itu sungguh enak...nanti kongsi resepinya ye kak Yati. Hihihi...

Sekarang ini saya di makmal bersama suami. Saya menyiapkan kerja saya dan suami pula menyiapkan tugasan yang perlu di hantar 2 minggu dari sekarang. Semoga Allah permudahkan urusan kami dalam menuntut ilmu...Ameen.

Friday, November 26, 2010

Harta Karun


Saya dilanda tekanan yang hebat sejak minggu lepas. Banyak perkara merunsingkan saya. Tidur malam saya terganggu. Selepas pukul 1 pagi barulah mata ini boleh lelap. Saya boleh melihat katil dan merasakan ianya akan menelan saya...hahahah...sungguh terseksa...
Apabila dalam keadaan begini, saya menyelesaikannya dengan mengeluarkan koleksi manik dan labuci yang memang saya simpan untuk digunakan dalam keadaan penuh tekanan jahit pada baju. Kebetulan saya baru menerima baju kurung hitam plain saya dari tailor tersayang- Kak Nor di Meru. Puaslah saya kerjakan...dalam tempoh kurang 2 jam sudah selesai saya merias sebelah tangan. Errmm...jangan kagum kerana ianya jahitan asas manik sahaja dan sambil menjahit saya leka menonton Asmara, membuat kopi, makan muruku dan juga menonton ulangan Top Chef....hihihi....suami saya pula memang sudah mengerti isteri tersayang ni akan membuat perkara-perkara pelik tapi benar tika berada dalam tekanan. Terima kasih ye yang kerana memahami. Hihihi....
Akhirnya siaplah sebelah tangan...dan esoknya pula, tekanan saya berkurangan sedikit....ermmmm...jadinyakan...bagaimana saya mahu memakai baju kurung tersebut...hanya sebelah tangan sahaja berhias manik...hahahah....epel...epel....tak berubah rupanya....

Sunday, February 21, 2010

Hobi saya


Zaman kanak-kanak saya dipenuhi dengan inspirasi dari kakak-kakak dan abang saya. Saya melihat mereka mengumpul setem, sampul surat hari pertama dan juga membuat buku skrap yang dipenuhi dengan lirik lagu-lagu terkini. Terus sahaja saya juga membuat perkara yang serupa. Apabila melihat kakak-kakak saya menjahit baju tidur dan juga membuat sendiri bekas pensil yang besar, saya juga turut sama menyumbang tenaga merosakkan mesin jahit emak.

Akan tetapi saya ada beberapa hobi yang benar-benar saya lakukan berdasarkan minat dan bukan kerana pengaruh sesiapa. Membaca, memasak ehem ehem sila ketawa sekarang dan juga berjual. Ya, saya sangat gembira melakukan transaksi perniagaan macam bisnes besar-besaran je biar pun yang saya jual hanyalah muruku berharga seringgit sehinggalah kain sutera berharga ratusan ringgit. Apabila saya memperolehi katalog terbaru tupperware saya akan penuh semangat memberikannya kepada rakan-rakan walaupun saya tahu jarang sekali katalog itu datang semula kepada saya dengan kertas yang dilekatkan dimuka hadapannya tidak terisi. Antara barangan dagangan saya adalah sutera Terengganu, keropok, belacan, kain pasang, kain batik lepas, detergen, pelembut pakaian ketika suami saya menjalankan perniagaan kecil-kecilan di awal perkahwinan kami dahulu, barangan tupperware, ikan keli hasil kolam abanglong dan juga terbaru wangian. Sekiranya pembaca budiman skrol di bahagian blog yang saya jaringkan ke blog ini, tentu menyedari kewujudan blog Pertanian adalah perniagaan dan Munif Hijjaz perfume. Kedua-dua blog tersebut adalah blog perniagaan kaklong dan abanglong saya.

Walaupun perniagaan itu bukan dijalankan oleh saya sendiri tetapi saya dengan penuh semangatnya telah menjadi jurucakap bagi produk-produk tersebut. Ikan keli abanglong sering kali sampai ke PA dan SA. Hahahah...kerja sayalah itu. Ada juga beberapa orang pelanggan tetap yang inginkan ikan keli abanglong yang sedap dan lazat itu. Untung? Owhh...saya tidak mengambil keuntungan pun. Hanya membantu menjadi promoter tidak bertauliah memasarkan sekilo dua ikan keli tersebut. Begitu juga dengan wangian munif hijjaz tersebut. Saya menjadi ajen ye..! Along menjadi stokis.

Saya sangat gembira dengan perniagaan baru saya ini. Masa? Owhh...memang saya sedang sibuk dengan kerja makmal disamping kesihatan saya yang tidak begitu baik sejak kebelakangan ini, akan tetapi, memberikan produk yang diminta oleh pelanggan dan menerima bayaran untuk produk tersebut adalah terapi yang tidak ternilai harganya.
Kesimpulannya, hobi saya adalah berniaga. Hahahahaha....

Nota 1: Suami saya juga mempunyai minat yang sama. Ermm..maksud saya, beliau adalah ahli perniagaan semasa menetap di KT dan melepaskan semuanya untuk berpindah ke SA...terima kasih yang!
Nota 2: Bagaimana saya mendapat hobi berniaga? Alahai, sayakan penjual nasi lemak profesional dari usia 8 tahun lagi. Subhanallah....
Nota 3: Jangan lupa layari blog-blog tersebut di atas ye. Buatlah tempahan bagi yang berkenaan. Hahahaha...

Friday, November 13, 2009

Saya Mahu Hadiah PTS



Saya menerima email dari sahabat tentang peraduan ini. Aktiviti yang bagus untuk cuti sekolah bagi yang berkemampuan. Membaca itu umpama mengembara. Itulah yang selalu saya pegang semasa kecil kerana tidak berkemampuan untuk bercuti semasa cuti sekolah. Selamat mencuba!

 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino