Sunday, February 21, 2010

Hobi saya


Zaman kanak-kanak saya dipenuhi dengan inspirasi dari kakak-kakak dan abang saya. Saya melihat mereka mengumpul setem, sampul surat hari pertama dan juga membuat buku skrap yang dipenuhi dengan lirik lagu-lagu terkini. Terus sahaja saya juga membuat perkara yang serupa. Apabila melihat kakak-kakak saya menjahit baju tidur dan juga membuat sendiri bekas pensil yang besar, saya juga turut sama menyumbang tenaga merosakkan mesin jahit emak.

Akan tetapi saya ada beberapa hobi yang benar-benar saya lakukan berdasarkan minat dan bukan kerana pengaruh sesiapa. Membaca, memasak ehem ehem sila ketawa sekarang dan juga berjual. Ya, saya sangat gembira melakukan transaksi perniagaan macam bisnes besar-besaran je biar pun yang saya jual hanyalah muruku berharga seringgit sehinggalah kain sutera berharga ratusan ringgit. Apabila saya memperolehi katalog terbaru tupperware saya akan penuh semangat memberikannya kepada rakan-rakan walaupun saya tahu jarang sekali katalog itu datang semula kepada saya dengan kertas yang dilekatkan dimuka hadapannya tidak terisi. Antara barangan dagangan saya adalah sutera Terengganu, keropok, belacan, kain pasang, kain batik lepas, detergen, pelembut pakaian ketika suami saya menjalankan perniagaan kecil-kecilan di awal perkahwinan kami dahulu, barangan tupperware, ikan keli hasil kolam abanglong dan juga terbaru wangian. Sekiranya pembaca budiman skrol di bahagian blog yang saya jaringkan ke blog ini, tentu menyedari kewujudan blog Pertanian adalah perniagaan dan Munif Hijjaz perfume. Kedua-dua blog tersebut adalah blog perniagaan kaklong dan abanglong saya.

Walaupun perniagaan itu bukan dijalankan oleh saya sendiri tetapi saya dengan penuh semangatnya telah menjadi jurucakap bagi produk-produk tersebut. Ikan keli abanglong sering kali sampai ke PA dan SA. Hahahah...kerja sayalah itu. Ada juga beberapa orang pelanggan tetap yang inginkan ikan keli abanglong yang sedap dan lazat itu. Untung? Owhh...saya tidak mengambil keuntungan pun. Hanya membantu menjadi promoter tidak bertauliah memasarkan sekilo dua ikan keli tersebut. Begitu juga dengan wangian munif hijjaz tersebut. Saya menjadi ajen ye..! Along menjadi stokis.

Saya sangat gembira dengan perniagaan baru saya ini. Masa? Owhh...memang saya sedang sibuk dengan kerja makmal disamping kesihatan saya yang tidak begitu baik sejak kebelakangan ini, akan tetapi, memberikan produk yang diminta oleh pelanggan dan menerima bayaran untuk produk tersebut adalah terapi yang tidak ternilai harganya.
Kesimpulannya, hobi saya adalah berniaga. Hahahahaha....

Nota 1: Suami saya juga mempunyai minat yang sama. Ermm..maksud saya, beliau adalah ahli perniagaan semasa menetap di KT dan melepaskan semuanya untuk berpindah ke SA...terima kasih yang!
Nota 2: Bagaimana saya mendapat hobi berniaga? Alahai, sayakan penjual nasi lemak profesional dari usia 8 tahun lagi. Subhanallah....
Nota 3: Jangan lupa layari blog-blog tersebut di atas ye. Buatlah tempahan bagi yang berkenaan. Hahahaha...

Wednesday, February 10, 2010

Orkid



Saya memasuki darjah 1 di SRK KGV dalam kelas Orkid. Saya sangat bangga dengan kelas saya ketika itu kerana ianya merupakan bunga yang mempunyai kepelbagaian spesis. Hahaha....
Setelah 21 tahun terpisah, saya akhirnya menggagahkan diri untuk memenuhi jemputan BBQ party di rumah seorang sahabat yang menetap di banglo kuarters di kem Sungai Besi. Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke dalam kem tentera. Mengerikan..hahaha...tidaklah ngeri cumanya sayakan memang takut tidak selesa apabila berada berdekatan dengan kawasan yang melibatkan pasukan bersenjata dan beruniform. Mendengar siren bomba pun saya sudah boleh berdebar dan berpeluh.
Pertemuan setelah lebih 21 tahun tidak berjumpa ini amat mengujakan saya. Seronok sungguh mengenang kembali kisah-kisah silam zaman kanak-kanak yang kebanyakannya saya sudah lupa. Mereka menggelar saya ulat buku rupanya. Sesungguhnya pertemuan ini memadamkan segala kisah pedih dan pahit yang saya cuba lupakan memang dah terlupa pun. Juadah yang disediakan amat lazat - ayam dan kambing panggang, udang masala, carbonara pasta, salad, shepherd's pie dan pelbagai lagi yang saya sudah tidak ingat. Saya pula menempah kek cawan cupcakes dari mamafami. Saya amat berpuas hati dengan tempahan tersebut. Keknya sedap...lazat lagi cantik berseri. Walaupun mama fami agak terkejut pada awalnya dengan permintaan saya untuk hiasan bunga orkid di atas kek cawan tersebut...tetapi tetap disambut dengan penuh semangat waja..comelkan kek-kek ini...untuk tempahan silalah layari laman blog mama fami...anda pasti puas hati...hahaha..suka2 je bagi tag line pada blog mama fami ni.
Saya amat berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang baru dijumpai semula. Saya dikatakan hilang begitu sahaja tanpa berjaya dijejak walhalnya saya balik bercuti di rumah bonda juga...tetapi mungkin benar kata mereka..'saya menyorok'....hmmm....betullah tu.
Saya sudah membuang segalanya dan biarlah ianya menjadi sejarah...bukankah sejarah itu yang mendewasakan kita? :)

Tuesday, February 09, 2010

DOA


Saya ingin berkongsi pengalaman kecil yang saya lalui beberapa minggu lalu tentang kekuatan doa.

Saya sekarang sedang dalam 2 bahagian jauh lagi nak tiba ke akhirnya 'bench work' yang sangat mencabar. Bermain dengan tikus, bakteria dan juga analisis kompaun.
Ada satu bahagian yang memerlukan saya mencari berat molekul polimer yang saya gunakan. Ada 3 semuanya. Saya perlu mencipta metodologi yang sesuai kerana tidak terdapat dalam kajian literatur kaedah yang bersesuaian dengan polimer yang saya gunakan. Saya telah memulakan kerja ini dari bulan Disember 2009. Ianya mudah-kata penyelia saya. Saya mencuba dan mencuba lagi namun hasilnya hampa. Peralatan tersebut- gel permeation chromatography (GPC) system memerlukan saya untuk 'membersihkan' tubing system yang sangat kecil diameternya dengan melalukan air yang perlu dituras dan dinyah gas serta partikel secara berterusan selama 24 jam. Apabila disuntik sampel ke dalam sistem, chromatogram yang terhasil tidak cantik langsung-jauh sekali untuk mendapatkan berat molekul yang diingini. Proses 'membersihkan' tubing perlu dilakukan semula. Ini berterusan selama lebih sebulan sehingga membuatkan saya benar-benar tertekan. Kerja lain bertimpa-timpa tertangguh kerana bahagian yang 'kecil dan mudah' bak kata penyelia saya tidak dapat saya selesaikan. Saya berdoa namun ianya adalah doa yang umu.

Akhirnya pada hari Jumaat yang lepas, saya benar-benar tertekan sehingga menangis di hadapan GPC tersebut. Saya nekad untuk menyediakan sampel untuk dianalisis oleh sistem tersebut walaupun sudah terasa penat-penyediaan sampel juga mengambil masa lebih 3 jam. Dalam perjalanan pulang ke rumah saya menelefon emak saya yang berada di rumah kakak saya di Kota Bharu. Saya menangis-nangis menceritakan tentang eksperimen saya yang tidak kunjung beroleh keputusan yang saya ingini. Saya tahu emak saya tidak faham apa yang saya cuba sampaikan akan tetapi emak saya berkata, " takpe, nanti mak doakan."

Tiba sahaja di rumah, selesai solat maghrib, saya telah menunaikan solat hajat dan berdoa-doa yang khusus. Saya benar-benar rasa lemah dan tidak berdaya ketika itu. Doa yang menyebut alatan, bahan kimia dan segalanya tentang eksperimen tersebut. Hanya air mata yang menitis laju kerana merasakan saya sudah tiada daya untuk mengulangi eksperimen tersebut. Ianya sukar......sukar sekali.....sehingga tidur malam saya juga termimpi perkara yang sama. Sabtu dan ahad saya langsung tidak menjenguk sebarang kerja melibatkan pengajian saya-notebook saya juga terbiar sepi. Sebaliknya saya menghadiri majlis perjumpaan kelas orkid SRK KGV yang berlangsung di rumah salah seorang sahabat saya di Sungai Besi.

Semalam, hari Isnin, saya pergi ke makmal tersebut yang terletak di tingkat 7 (makmal saya di tingkat 1) dengan harapan yang tidak berapa subur. Saya melihat ada 'peak' yang agak ketara akan tetapi saya perlu bantuan Puan Jay untuk analisis-Puan Jay dan Shima telah melakukan eksperimen ini untuk polimer mereka yang juga memakan masa agak lama. Saya cetak 'peak' berkenaan-ada 24 kesemuanya. Apabila ditunjukkan pada Puan Jay untuk bantuan pakar, beliau memberitahu saya, "jadilah ni kak...ada trend ni...nanti saya ajar akak nak kira berat molekulnya."

Saya sangat terkejut dan terus sujud syukur. Allah Maha Pengasih...Allah Maha Mengetahui...tiada daya bagi saya sebagai hamba melainkan dengan izinnya. Apabila memikirkan perkara ini, saya malu dengan Yang Maha Penguasa segalanya. Errmm...doa dan kebergantungan dengan Allah adalah merangkumi segalanya. Moga jalan berliku pengajian PhD saya ini akan tiba ke penghujungnya sebelum hujung tahun 2010. Ameennnn.....

Saturday, January 02, 2010

Masak


Saya tidak berniat untuk menunjukkan sebarang gambar atau resepi memasak. Di dalam entri terdahulu tentang pindah ke Puncak Alam saya ada menyebut tentang mungkin saya akan lebih cekap memasak kerana di Puncak Alam tidak ada kedai makan atau kafeteria yang banyak seperti di Shah Alam. Nampaknya dugaan saya tepat. Semenjak berpindah, saya jarang sekali..diulang..JARANG sekali membeli makanan siap. Saya telah dengan rajinnya membawa bekal untuk makan tengahari jangan kagum sangat kerana sarapan pagi tetap saya beli di gerai kuih yang banyak sepanjang jalan kenangan..ehh..jalan ke Puncak Alam. Menunya adalah mengikut menu yang saya masak untuk makan malam hari sebelumnya. Ye..!! Saya memasak untuk makan malam. Boleh semak dengan suami saya untuk memastikan kesahihan kenyataan saya ini. Masakan yang saya sediakan adalah yang mudah-mudah sahaja. Sekurang-kurangnya ianya tidak komplikated seperti menyediakan sampel saya yang perlu 24 jam untuk hidrasi dan 5 hari untuk kering di dalam oven bersuhu 40 darjah selsius.
Saya dan suami mempunyai latar belakang berbeza, sehubungan dengan itu, makanan yang kami gemari juga sangat berbeza. Contohnya untuk sarapan pagi, saya mungkin akan memilih karipap, cucur badak dan sandwich manakala suami akan memilih kuih talam, bingka ubi dan tepung bungkus. Ikan pilihan saya adalah ikan tenggiri manakala suami sangat gemarkan ikan tongkol. Saya sukakan sayur kacang buncis manakala suami lebih cenderung untuk memilih sayur kacang panjang. Ianya kelihatan kecil tetapi kadang kala boleh menimbulkan kekeliruan bagi diri saya sebagai perancang menu..hihihi...
Pada hari Khamis yang lepas, suami memberitahu saya beliau teringin untuk makan gulai putih kulit rambai. Jeng jeng jeng...kulit rambai??? Hihihihi
Kulit rambai selalu mak saya gunakan selepas dikeringkan untuk dimasukkan ke dalam rendang kerana ianya masam-sebagai gantian kepada asam keping. Saya tahu saya boleh menelefon ibu mertua saya untuk bertanya bagaimana untuk memasak kulit rambai tersebut. Akan tetapi saya memilih untuk tidak menyusahkan ibu mertua saya lantas saya bertanya kepada Encik Google. Masak lemak putih ala Terengganu sudah saya biasa sediakan selepas berguru dengan biras saya Kaklong Imah. Secara asasnya, bawang merah, bawang putih, lada hitam, halia dan ikan tawar (ikan selayang yang dipanggang tawar dan diasingkan isinya) ditumbuk dan dimasukkan ke dalam periuk bersama santan dan cili merah yang dibelah 4. Didihkan dan masukkan sebarang sayuran yang diingini. Saya dapat merasakan bahawa sesuatu perlu dilakukan dengan kulit rambai tersebut sebelum ianya dimasak-kerana kulit rambai yang segar itu pasti ada resinnya (bergetah) dan rasanya masam. Hasil dari bertanya pada encik Google saya berjaya mendapatkan petua untuk menyediakan sayuran tersebut. Owhhh! Perlu direndam dengan air garam selama setengah jam.
Apabila saya sampai di rumah saya lihat suami saya telah menyediakan kulit rambai semangkuk besar. Tanpa berfikir panjang, saya pun mengambil kulit rambai tersebut dan merendamnya dengan air garam. Oleh kerana ikan selayang tiada dalam simpanan, saya telah menggantikan sotong sebagai perencah teringat pula masak lemak putih jambu golok dan sotong yang ibu mertua saya sediakan ketika musim candat sotong. Apabila segalanya selesai, suami saya telah dengan bermurah hati menelefon ibu mertua saya dan memaklumkan usaha keras saya menyediakan masakan tersebut. Alahai....siap puji sedap lagi walaupun masakannya belum dirasa. Ibu mertua saya memberitahu saya, kulit rambai tersebut perlu direndam dengan air kapur...bukan air garam...erkkkk...alamak!!
Verdict- masakan sedap tetapi sangat masam. Saya rasa kerana terlalu banyak kulit rambai yang digunakan. Sepatutnya bukan semangkuk besar dengan amaun kuah yang saya sediakan tetapi hanya semangkuk kecil. Suami makan bersungguh walaupun masam kulit rambainya tetapi tetap dipuji masakan tersebut...saya terharu dengan penghargaan suami. Lain kali, jika ada masakan yang komplikated kegemaran suami yang saya seumur hidup tidak pernah mencubanya lebih baik saya tanyakan kepada ibu mertua saya sahaja resipinya. Encik google pun bukan boleh harap sangat..hehehe..
Hari ini saya di kampus, menyiapkan kerja sekolah yang diberikan sifu...sambil menulis blog...erkkk.....sudah sudah...kembali kepada fokus. Bukankah azam tahun baru saya tidak mahu bertangguh kerja dan ingin solat di awal waktu?

Wednesday, December 30, 2009

Pantas berlari


Sungguh benar janji Allah. Masa amat pantas berlalu.

6 bulan lagi sebelum biasiswa berakhir dan saya masih bertungkus-lumus menyiapkan kerja yang saya rasa semakin bertambah di dalam senarai. Kami sudah berada di kampus Puncak Alam. Syukur alhamdulillah segalanya lebih mudah, yang tinggal kini adalah usaha maksimum saya untuk menyiapkan kerja-kerja di makmal dan juga menulis thesis. Saya rasa masih jauh lagi...seakan tidak nampak hujungnya. Moga Allah berikan kekuatan. Seakan baru semalam saya menempuh hari pertama ke sekolah...dan kini Allah berikan rezeki kepada saya perjalanan berliku untuk menamatkan pengajian peringkat ini...yang diidam sejak sekian lama...aik....melankolik sungguh epel malam ini ye...

Dalam perjalanan ke kampus pagi tadi, saya melalui sekolah kebangsaan meru (betul ke ini namanya) dan kelihatan ibu bapa menghantar anak-anak mereka untuk hari pendaftaran di sekolah. Secara automatik, kenangan hari pertama ke sekolah: Januari 1984 terimbas kembali...

Saya dihantar arwah apak untuk mendaftar. Pakaian saya seragam gaun biru berkemeja putih, stokin dan kasut (bata) putih. Beg sekolah kanvas (saya rasa lebih banyak material plastiklah) berwarna kuning. Rambut diikat 1. Saya sangat berdebar dan teruja pada hari itu...hari PERTAMA ke sekolah dan bercampur dengan rakan sebaya. Saya tidak di hantar ke pra sekolah- kesukaran hidup ketika itu. Saya ingat-ingat lupa abjad A-Z yang diajarkan oleh kakcik pada saya. Nama saya ditulis pada belah dalam penutup beg tersebut oleh mak. Hari pertama itu, kami sudah mempunyai buku tulis yang tiada garis didalamnya dan berbentuk segiempat tepat yang rupanya digunakan untuk melukis.

Pada hari pertama itu, guru kelas saya, Puan Alfiah Sarbini mengarahkan kami menulis nama di atas muka surat pertama buku tersebut dan disuruh pula melukis alatan yang berada di dalam kelas tersebut. Arwah apak sudah pulang ketika itu dan saya terketar-ketar menyalin nama penuh yang mak tulis di bahagian dalam beg sekolah saya secara imej cermin. Huruf N, A, R, Z semuanya terbalik. Saya telah melukis papan hijau yang saiznya sebesar sehelai muka surat buku tersebut. Saya kerling sekeliling saya dan saya dapati ramai rakan-rakan yang melukis banyak alatan dalam sehelai muka surat itu.. owhh...saya sungguh risau lebih-lebih lagi apabila guru kelas saya menghampiri untuk meninjau hasil 'keras' tangan saya. Ringkas sahaja ayat pertama guru tersebut, '1 sahaja? Awak ni adik Azam, Aida dan Aza kan?'

Sepanjang di tahun 1, saya sangat keliru dengan persekitaran yang ternyata berbeza dengan persekitaran di rumah. Saya juga menerima tekanan tanpa disedari kerana dikenali sebagai adik kepada ketua-ketua pengawas dan penolong ketua pengawas yang semuanya berjaya ke sekolah berasrama penuh semasa melangkah ke alam sekolah menengah. Saya pendiam tetapi otak saya lancar berjalan berimaginasi. Saya pernah bertumbuk dengan seorang pelajar lelaki nakal yang gemar membuli orang lain. Ianya menjadi kes yang diselesaikan oleh abang pengawas darjah 5...hahahahah...ganas sungguh saya. Sakit sungguh dada saya ketika itu dan pelajar tersebut juga sama. Kejadian berlaku ketika guru sedang bermesyuarat di bilik gerakan. Dimanalah pelajar itu sekarang ye? Selepas hampir 25 tahun...

Hari pertama ke sekolah itu tanpa saya sedari membentuk diri saya sehinggalah sekarang. Survival...saya perlu berdikari untuk belajar...untuk menuntut ilmu. Melaka, Kedah, Pulau Pinang, London, Shah Alam, Puncak Alam....saya bersyukur atas kurniaan Allah buat hamba yang lemah dan lalai ini...yang tidak berdaya melainkan dengan izinNya...Entah mengapa sebak benar saya malam ini...hanya dengan mengingatkan perjalanan yang pernah saya tempuhi demi menuntut ilmu.....ianya sukar...semoga Allah memberkati...

p/s: Saya sedang tertekan....doakan saya meneruskan perjalanan ini dengan tenang.

Monday, December 14, 2009

Hilang


8 malam tidur saya tidak nyenyak

7 hari saya bersusah hati

8 malam saya asyik sesak nafas

7 hari perut saya memulas tidak bersebab

Hari ini

Saya sujud syukur

Atas izinNya saya kembali senyum

Jumpa juga setelah mencari berhari-hari

Kepada yang menjumpainya

Saya terhutang budi

Moga Allah membalas kebaikannya

Malam ini mudah-mudahan saya dapat tidur dengan nyenyak dan aman...

Owhh...apa yang membuatkan saya resah gelisah tidak tenang ye?

Kunci kereta saya hilang pada Selasa lepas....hari ini barulah ada orang yang memberitahu ianya sudah dijumpai sejak hari kehilangan tempoh hari...cuma tidak diketahui siapakah pemilik kunci tersebut...

Hati saya lapang

Fikiran saya tenang

Boleh balik rumah dan berkemas.

Friday, December 11, 2009

LIMA


Akad berwali
Ijab bersaksi
Lima tahun hari ini

Janji Yang Esa
Tetap terjadi
Sekujur tubuh tenang bersemadi
Empat tahun hari ini

Atas segala nikmat dan dugaan
Syukur tidak terhingga pada Ilahi
Semoga diberkati dan dirahmati

Tuesday, November 17, 2009

Kotak dan plastik letup-letup


Semasa zaman kanak-kanak, saya dan adik-adik akan berebut untuk bermain dengan 'plastik letup-letup' yang biasanya dilampirkan sebagai penyerap hentakan untuk barang-barang mudah pecah dan juga barangan elektrik yang baru dibeli. Akan tetapi, untuk hari ini, buat masa ini, saya sangat tertekan melihat 'plastik letup-letup' tersebut. Dalam kesibukan kerja makmal yang banyak ini, kami terpaksa membungkus dan memindahkan barang-barang ke makmal baru di kampus Puncak Alam. Jika berpindah rumah sudah dianggap sukar, bayangkan untuk memindahkan segala isi kandungan makmal ini dengan instrument yang besar dan komplikated, radas yang hampir semuanya diperbuat dari kaca, bahan-bahan kimia, tisu dan sel hidup serta TIKUS!!


Ini meja kerja saya yang sarat dengan segala macam kelengkapan berus gigi, ubat gigi dan pencuci muka pun ada dalam beg kecik berwarna hijau itu.
Ini sampel saya dan rakan-rakan yang diletakkan di dalam mangkuk pijar yang dibalut dengan kerajang aluminium untuk sampel yang sensitif terhadap cahaya. Di dalam mangkuk pijar itu diisikan pula dengan butiran gel silika untuk memastikan sampel tidak lembab.

Radas-radas kaca yang sangat banyak...uwaaaaaaaaa....



Inilah kotak-kotak dan juga plastik letup-letup yang bergulungan sangat besar. Agaknya, jika gulungan ini dulu kami jumpa semasa masih kanak-kanak mesti satu kampung dapat bermain letup-letup sampai pengsan..hahahaha....

Ermm..memang tertekan.

Akan tetapi, perkara baik disebalik perpindahan ini adalah:
1. Kami tidak perlu lagi bersesak dengan para pelajar yang sangat ramai di kampus induk - ketenteraman minda yang maksimum dengan kedamaian dan kehijauan kampus baru ini nanti.
2. Jarak dengan rumah saya adalah kurang dari kampus induk dan ianya adalah laluan BEBAS TOL...wahhh!! Jimatlah baki kredit kad sentuh dan blah pergi saya serta jimat jugalah bateri 'tag pintar' saya.
3. Di sekeliling kampus baru nanti adalah kawasan kampung, ianya agak jauh dari sebarang objek bangunan yang menempatkan pusat membeli belah atau rangkaian restoran yang banyak selamat tinggal SACC, PAS, kompleks PKNS, Plaza Masalam, JJ Bukit Raja..uwaaaaaaaaaaaaa . Oleh itu, diharapkan agar saya lebih menumpukan perhatian kepada tikus, eksperimen dan penulisan journal dan thesis.
4. Saya dengar pilihan makanan di sana tidak banyak, jadi saya akan lebih cekap memasak kerana perlu membawa bekal ini akan saya justifikasikan kemudian hari apabila sudah berpindah, mana tahu situasinya berbeza dengan apa yang saya bayangkan ini.
5. Oh ya!! Sifu menyediakan ruangan pantri lengkap dengan penapis air minuman ye.. dan juga surau untuk kami.
6. Tempat letak kerata adalah berbumbung! Wahhh....selamatlah Vi junior dari panahan bunga-bunga matahari ataupun hujan asid yang lebat.
7. Saya akan melalui kedai jual nanas yang murah hahaha..tiba-tiba sangat..entah apa kaitan nanas dengan saya agaknya
8. Saya akan melalui Jalan Kopi yang kurang kesesakan jalanraya di waktu pagi yang indah dan berkabus.
9. Saya tidak akan balik lewat malam lagi atau jika kerja lewat di makmal, saya akan menumpang kasih tidur di rumah adik-adik yang berhampiran. Oh ya! Hampir 98% pelajar sifu saya berpindah rumah ke Puncak Alam. Sewanya murah. Rumah teres 2 tingkat cuma RM350. Rumah flet pula sewanya RM250- 270 sahaja (termasuk bayaran mantainance).
10. Hmmm...yang paling penting.....di Puncak Alam, saya ada bilik saya sendiri kembali. Subhanallah....
Benarlah janji Allah...pada setiap kesusahan pasti akan ada kesenangan.

Semoga penghijrahan ini akan membawa kejayaan yang lebih bermakna buat kami semua. Ameen...

Friday, November 13, 2009

Saya Mahu Hadiah PTS



Saya menerima email dari sahabat tentang peraduan ini. Aktiviti yang bagus untuk cuti sekolah bagi yang berkemampuan. Membaca itu umpama mengembara. Itulah yang selalu saya pegang semasa kecil kerana tidak berkemampuan untuk bercuti semasa cuti sekolah. Selamat mencuba!

Thursday, November 12, 2009

Dilema


Saya ingin membeli kasut baru. Akan tetapi saya masih ada kasut yang sudah berumur 2 tahun tapi masih berkeadaan baik. Saya boleh membeli kasut lagi tetapi nanti yang lama ini akan terbiar begitu sahaja. Itulah masalah saya. Saya tidak pandai untuk menggunakan lebih sepasang kasut dalam satu masa. Jika lebih dari sepasang, saya akan terlupa dan lama nanti baru saya ingat kembali. Saya akan membeli kemudian memakainya sehinggalah ia rosak dan barulah ditukar baru. Begitu juga dengan beg tangan. Ya..saya memakainya ke mana sahaja. Majlis rasmi atau tidak, pasar atau hotel lima bintang.. itulah sepasang kasut dan itulah beg tangannya. Kini, saya ingin memiliki sepasang kasut baru yang sudah saya 'eye' agak lama...ermmm....bagaimana ye.....kasihan saya....

Tuesday, November 10, 2009

November dan Disember


Saya mengharapkan agar dapat menyiapkan beberapa eksperimen penting dalam tempoh sebulan setengah ini . Ianya sangat signifikan kerana ini akan melengkapkan data bagi satu bab dalam thesis saya bukan bab terakhir ye, sekaligus penting untuk penulisan jurnal akademik yang akan bersangkut paut dengan keperluan untuk beberapa permohonan penting. Selain itu, saya juga 'berlawan' dengan tempoh yang ada sebelum makmal kami ini berpindah sepenuhnya ke Puncak Alam bermula penghujung November ini. Memikirkannya pun sudah membuatkan saya mengah dan penat. Namun saya yakin, ini adalah dugaan yang Allah berikan buat saya dan pastinya dititipkan juga kekuatan untuk saya laluinya. Saya berdoa agar urusan eksperimen ini dipermudahkan Allah SWT. Tempoh yang panjang akan melibatkan beberapa majlis keluarga kenduri kahwin, kenduri akikah, kenduri berkhatan dan hari raya aidiladha. Saya tidak mengharapkan semua ahli keluarga faham keadaan saya yang mempunyai masa yang sangat terbatas ini. Sebaliknya, saya akan lebih perlu memanfaatkan masa yang ada seperti yang saya baca di dalam catatan Prof Kamil yang dipetik dari blog Puan Sifu PTS- hanya orang yang sibuk mempunyai masa.Ya Allah...permudahkanlah urusan saya. Saya ini hamba yang lemah dan tidak berdaya. Berikanlah saya kekuatan yang luar biasa, kesabaran para nabi dan rasul dan ilham yang tidak putus-putus untuk proses ini dan seterusnya. Sesungguhnya sepenuh penggantungan saya hanya padaMu ya Allah...Ameen...
p/s: Bunga matahari, tulip dan lily adalah bunga kegemaran saya....:)

Monday, November 09, 2009

61


(foto: kredit Berita Harian)
Setelah 61 tahun menanti, pada perlawanan akhir ke 3 selepas 1948 akhirnya pasukan Negeri Sembilan berjaya mengungguli Piala Malaysia versi 2009. Wahh!! Bangganya saya selaku anak nogoghi menonton perlawanan akhir di kaca TV Sabtu malam yang lalu. Seronoknya jika saya dapat ke stadium menyaksikan perlawanan tersebut tetapi saya tahu suami saya tidak akan mengizinkan permintaan saya itu...hihihi...
Tahniah buat pasukan bola sepak Negeri Sembilan. Ianya juga dikatakan sebagai hadiah pertabalan Yang Dipertuan Besar N.S yang baru..Tuanku Muhriz.
Hoben Jang Hoben!

Tuesday, November 03, 2009

66



Mak
Doa yang terlafaz dari lubuk hatimu
Aku tahu

Semuanya dipenuhi permohonan pada yang Esa
Agar diri kami, anak-anakmu sejahtera sentiasa
Mak
Setiap hela nafasmu
Setiap langkahan kakimu
Hanya berharap keredhaan dari yang Esa

Untuk kita sekeluarga
Mak
Tidak terucap lafaz kasih sayang dan penghargaan buat mak

Tidak terlafaz susunan kata terindah sebagai lambang kecintaan buat mak

Tidak terbalas segala yang pernah diberikan pada kami walau diatur bongkahan emas berlian dan segala kekayaan di dunia ini buat mak

Hanya pintaku

Ya Allah...
Ampunilah dosa-dosa kami, dosa-dosa kedua ibu bapa kami...
Peliharalah mereka ya Allah sepertimana mereka memelihara kami ketika kami masih kecil...
Kasihanilah mereka ya Allah...seperti mana mereka mengasihani kami ketika kami masih kecil....
Kurniakanlah kesihatan tubuh badan serta akal fikiran yang baik buat mak ya Allah....
Limpahilah mereka dengan rahmat dan berkatilah mereka ya Allah...


Hari ini ulangtahun kelahiran mak yang ke 66. Ini tribute saya buat mak pada ulangtahun mak yang ke
65.

Azimah



Saya menghadiri majlis konvokesyen para pelajar kelompok keempat, FF pada 28 Oktober yang lalu di DSB. Ianya adalah rutin tahunan saya walaupun sedang cuti belajar kerana mereka pernah menjadi pelajar saya. Walaupun acaranya agak membosankan tetapi berbaloi apabila melihat sendiri mereka bergraduasi....(sayakan emosional orangnya)...hahaha...
Gambar di atas adalah saya dan Azimah...Azimah adalah rakan sekelas saya ketika di Matrikulasi II, USM tahun 1996-97. Azimah merupakan sifu kami terutama bagi subjek Matematik dan juga Biologi. Beliau cerdik dan cepat tangkap...saya? Saya selalu berguru dengan beliau ketika itu. Soalan tidak dapat diselesaikan, beliaulah yang saya cari untuk membantu saya. Selepas matrikulasi, kami terpisah, saya di kampus induk USM manakala Azimah mendapat biasiswa ke UK untuk melanjutkan pangajian dalam bidang perubatan. Tiada khabar berita tentangnya sehinggalah saya mendengar khabar angin Azimah ditimpa ujian dan tidak dapat meneruskan pengajian di UK. Pada tahun 2005, sebelum pengambilan pelajar ijazah pertama dilakukan, saya terserempak dengan Azimah di pejabat am fakulti. Kami sama-sama terkejut. Beliau rupanya ingin memohon memasuki program ijazah sarjana muda farmasi selepas tamat diploma mikrobiologi (mendapat anugerah naib canselor-6 semester memperolehi CGPA > 3.5). Azimah termangu apabila mengetahui saya sudah bekerja dan akan mengajarnya nanti...saya juga termenung panjang.
Akhirnya, Azimah diterima ke program FF. Bermulalah cabaran yang saya kira agak besar dalam kerjaya saya-mengajar rakan sendiri yang dahulunya adalah pakar rujuk saya. Kuliah pertama yang perlu saya sampaikan buat kelompok pelajar yang 'ada Azimah' di dalamnya cukup membuatkan saya serba-serbi tidak kena walaupun ketika itu saya sudah ada pengalaman mengajar. Setiap kali saya perlu memberikan kuliah untuk kumpulan 119 orang pelajar termasuk Azimah, saya akan kembali gementar sehinggalah mereka di tahun ke 3 dan saya mula cuti belajar.
Azimah di peringkat sarjana muda juga cukup cemerlang. Beliau disebut-sebut sebagai calon ANC pertama FF kerana sehingga semester ke 7, beliau sentiasa mendapat anugerah dekan (GPA> 3.5). Belum rezeki beliau dan FF, semester terakhir, saya sangat hampa mendengar perkhabaran beliau tidak berjaya memperolehi AD jika saya hampa mendengar...Azimah yang melaluinya lebih lagi hampa. Pada majlis konvokesyen beliau, saya pula yang terlebih emosi, sebak melihat beliau akhirnya berjaya memperolehi ijazah pertama yang tertunda kerana dugaan yang perlu beliau tempuhi. Saya? Sedang kalut ribut menyiapkan kerja lab yang masih bertimbun. Hmm...moga Allah permudahkan urusan saya.



 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino