Pagi tadi saya tertidur semasa menunggu waktu Dhuha. Saya perlu menyertai tadarus Al Quran yang diadakan untuk kaum hawa di surau AP pada jam 9 pagi. Akibat suasana yang sungguh indah dan suhu bilik pula agak dingin, saya tertidur sehingga jam 9.30 pagi itupun kerana sifu menghantar pesanan ringkas mengandungi perkataan 'serious mistake' di dalamnya. Ada rasa terkilan di dalam hati saya kerana tidak dapat mengikuti program tersebut. Terus saya bersiap kerana memang rancangan saya, selepas ke surau saya perlu pergi ke makmal untuk menyambung kerja. Usai bersiap ala kadar, saya pun keluar dari rumah dan meletakkan barang di dalam kereta.
Tiba-tiba saya terdengar satu suara yang sangat hampir dengan saya, "madam please help me madam, i want to go back cambodia."
Hampir gugur jantung saya dibuatnya kerana saya memang agak fobia dengan orang yang tidak dikenali dan menegur pula dengan cara begitu. Saya pantas berkomunikasi dengan pemilik suara berkenaan dalam bahasa inggeris yang sangat terbatas. Katanya, dia pembantu rumah di rumah majikan cina satu kawasan perumahan dengan kami dan dia ingin pulang ke Cambodia (Kemboja) kerana ibunya sakit, dikhuatiri ibunya meninggal dunia sebelum sempat dia tiba. Pasport dan pengenalan diri semuanya bersama majikan katanya. Saya pantas memerhati betis, tangan dan mukanya jika ada sebarang kesan kecederaan dan saya bersyukur kerana tiada. Setelah berbincang dengan suami, kami bersetuju untuk membantunya menelefon ajennya. Dia ada memberikan nombor telefon ajen tersebut. Nombor pertama gagal dihubungi dan nombor kedua barulah dapat dihubungi. Ajen itu meminta saya menyerahkan telefon bimbit kepada pembantu rumah tadi (saya gelarnya kuna-kerana itu sahaja perkataan yang keluar dari mulutnya apabila saya bertanyakan namanya) kepada kuna yang masih berada di luar pagar rumah saya. Saya tidak bersetuju dan menukar mode telefon bimbit antik saya itu kepada 'loud speaker mode' dan mereka berbincang dalam bahasa ibunda mereka. Kemudian ajen itu meminta untuk bercakap dengan saya. Ajen itu meminta saya menghantar kuna ke kedutaan Kemboja. Uikkss...terkejut saya dibuatnya dengan permintaan tersebut kerana saya masih ragu-ragu dengan kebenaran situasi Kuna. Saya lantas menyarankan cadangan suami saya supaya Kuna dibawa ke balai polis berdekatan sebelum ajen tersebut menghantar wakil mereka untuk menjemput Kuna di sana. Mereka bersetuju dan saya pun menelefon balai polis berhampiran. Sementara itu kami meletakkan sebuah kerusi di kawasan letak kereta yang lebih teduh dan Kuna duduk menanti di situ bersama sebotol air minuman yang kami berikan. Kuna enggan makan kerana katanya tidak ada selera.
10 minit kemudian kereta peronda polis pun sampai dan pada mulanya mereka menyangka Kuna adalah pekerja saya yang telah membuat kesalahan dan setelah diterangkan, Kuna pun dibawa pergi. Setelah berada di dalam kereta peronda, Kuna tidak berhenti melambai dan mulutnya terkumat-kamit menyebut 'thank you'. Semoga Kuna selamat pulang ke tanahairnya.
Nota 1: Sudah hari ke 11 Ramadhan.
Nota 2: Mak sudah berangkat ke Tanah Suci pada hari khamis untuk mengerjakan umrah. Semoga emak sihat-sihat sahaja di sana.
Nota 3: Hikmah saya tertidur tadi rupanya supaya saya bertemu Kuna. Subhanallah.
4 comments:
Hai...macam-macam cerita kak epel ya. Saya pun hari ini ada cerita, berdebar sungguh.
Am..majikan dia tak tahu ke dia keluar? Kenapa tak beritahu majikan dia ya? Pening juga kalau dah bercakap macam tarzan nikan? Tapi memang Am buat keputusan yang tepatlah bila call polis nikan.Moga-moga segalanya dapat diselesaikan..
segala kebaikan akan dibalas kebaikan, insyaAllah.
semoga mak EH selamat semuanya..
albazrah: kak epel dah baca...ngeri...huhuhu
kak Yati: Kami tak tahu majikan dia siapa...kawasan perumahan kami ni memanjang ke belakang dan ada banglo..hihihi...sangatlah tak tahu dia dari rumah yg mana kak...malam tadi dok terbayang wajah Kuna..moga2 dia selamat...
ida: hari ni orang susah esok lusa mungkin kita. Ameen...
Post a Comment