Saturday, January 02, 2010

Masak


Saya tidak berniat untuk menunjukkan sebarang gambar atau resepi memasak. Di dalam entri terdahulu tentang pindah ke Puncak Alam saya ada menyebut tentang mungkin saya akan lebih cekap memasak kerana di Puncak Alam tidak ada kedai makan atau kafeteria yang banyak seperti di Shah Alam. Nampaknya dugaan saya tepat. Semenjak berpindah, saya jarang sekali..diulang..JARANG sekali membeli makanan siap. Saya telah dengan rajinnya membawa bekal untuk makan tengahari jangan kagum sangat kerana sarapan pagi tetap saya beli di gerai kuih yang banyak sepanjang jalan kenangan..ehh..jalan ke Puncak Alam. Menunya adalah mengikut menu yang saya masak untuk makan malam hari sebelumnya. Ye..!! Saya memasak untuk makan malam. Boleh semak dengan suami saya untuk memastikan kesahihan kenyataan saya ini. Masakan yang saya sediakan adalah yang mudah-mudah sahaja. Sekurang-kurangnya ianya tidak komplikated seperti menyediakan sampel saya yang perlu 24 jam untuk hidrasi dan 5 hari untuk kering di dalam oven bersuhu 40 darjah selsius.
Saya dan suami mempunyai latar belakang berbeza, sehubungan dengan itu, makanan yang kami gemari juga sangat berbeza. Contohnya untuk sarapan pagi, saya mungkin akan memilih karipap, cucur badak dan sandwich manakala suami akan memilih kuih talam, bingka ubi dan tepung bungkus. Ikan pilihan saya adalah ikan tenggiri manakala suami sangat gemarkan ikan tongkol. Saya sukakan sayur kacang buncis manakala suami lebih cenderung untuk memilih sayur kacang panjang. Ianya kelihatan kecil tetapi kadang kala boleh menimbulkan kekeliruan bagi diri saya sebagai perancang menu..hihihi...
Pada hari Khamis yang lepas, suami memberitahu saya beliau teringin untuk makan gulai putih kulit rambai. Jeng jeng jeng...kulit rambai??? Hihihihi
Kulit rambai selalu mak saya gunakan selepas dikeringkan untuk dimasukkan ke dalam rendang kerana ianya masam-sebagai gantian kepada asam keping. Saya tahu saya boleh menelefon ibu mertua saya untuk bertanya bagaimana untuk memasak kulit rambai tersebut. Akan tetapi saya memilih untuk tidak menyusahkan ibu mertua saya lantas saya bertanya kepada Encik Google. Masak lemak putih ala Terengganu sudah saya biasa sediakan selepas berguru dengan biras saya Kaklong Imah. Secara asasnya, bawang merah, bawang putih, lada hitam, halia dan ikan tawar (ikan selayang yang dipanggang tawar dan diasingkan isinya) ditumbuk dan dimasukkan ke dalam periuk bersama santan dan cili merah yang dibelah 4. Didihkan dan masukkan sebarang sayuran yang diingini. Saya dapat merasakan bahawa sesuatu perlu dilakukan dengan kulit rambai tersebut sebelum ianya dimasak-kerana kulit rambai yang segar itu pasti ada resinnya (bergetah) dan rasanya masam. Hasil dari bertanya pada encik Google saya berjaya mendapatkan petua untuk menyediakan sayuran tersebut. Owhhh! Perlu direndam dengan air garam selama setengah jam.
Apabila saya sampai di rumah saya lihat suami saya telah menyediakan kulit rambai semangkuk besar. Tanpa berfikir panjang, saya pun mengambil kulit rambai tersebut dan merendamnya dengan air garam. Oleh kerana ikan selayang tiada dalam simpanan, saya telah menggantikan sotong sebagai perencah teringat pula masak lemak putih jambu golok dan sotong yang ibu mertua saya sediakan ketika musim candat sotong. Apabila segalanya selesai, suami saya telah dengan bermurah hati menelefon ibu mertua saya dan memaklumkan usaha keras saya menyediakan masakan tersebut. Alahai....siap puji sedap lagi walaupun masakannya belum dirasa. Ibu mertua saya memberitahu saya, kulit rambai tersebut perlu direndam dengan air kapur...bukan air garam...erkkkk...alamak!!
Verdict- masakan sedap tetapi sangat masam. Saya rasa kerana terlalu banyak kulit rambai yang digunakan. Sepatutnya bukan semangkuk besar dengan amaun kuah yang saya sediakan tetapi hanya semangkuk kecil. Suami makan bersungguh walaupun masam kulit rambainya tetapi tetap dipuji masakan tersebut...saya terharu dengan penghargaan suami. Lain kali, jika ada masakan yang komplikated kegemaran suami yang saya seumur hidup tidak pernah mencubanya lebih baik saya tanyakan kepada ibu mertua saya sahaja resipinya. Encik google pun bukan boleh harap sangat..hehehe..
Hari ini saya di kampus, menyiapkan kerja sekolah yang diberikan sifu...sambil menulis blog...erkkk.....sudah sudah...kembali kepada fokus. Bukankah azam tahun baru saya tidak mahu bertangguh kerja dan ingin solat di awal waktu?

Wednesday, December 30, 2009

Pantas berlari


Sungguh benar janji Allah. Masa amat pantas berlalu.

6 bulan lagi sebelum biasiswa berakhir dan saya masih bertungkus-lumus menyiapkan kerja yang saya rasa semakin bertambah di dalam senarai. Kami sudah berada di kampus Puncak Alam. Syukur alhamdulillah segalanya lebih mudah, yang tinggal kini adalah usaha maksimum saya untuk menyiapkan kerja-kerja di makmal dan juga menulis thesis. Saya rasa masih jauh lagi...seakan tidak nampak hujungnya. Moga Allah berikan kekuatan. Seakan baru semalam saya menempuh hari pertama ke sekolah...dan kini Allah berikan rezeki kepada saya perjalanan berliku untuk menamatkan pengajian peringkat ini...yang diidam sejak sekian lama...aik....melankolik sungguh epel malam ini ye...

Dalam perjalanan ke kampus pagi tadi, saya melalui sekolah kebangsaan meru (betul ke ini namanya) dan kelihatan ibu bapa menghantar anak-anak mereka untuk hari pendaftaran di sekolah. Secara automatik, kenangan hari pertama ke sekolah: Januari 1984 terimbas kembali...

Saya dihantar arwah apak untuk mendaftar. Pakaian saya seragam gaun biru berkemeja putih, stokin dan kasut (bata) putih. Beg sekolah kanvas (saya rasa lebih banyak material plastiklah) berwarna kuning. Rambut diikat 1. Saya sangat berdebar dan teruja pada hari itu...hari PERTAMA ke sekolah dan bercampur dengan rakan sebaya. Saya tidak di hantar ke pra sekolah- kesukaran hidup ketika itu. Saya ingat-ingat lupa abjad A-Z yang diajarkan oleh kakcik pada saya. Nama saya ditulis pada belah dalam penutup beg tersebut oleh mak. Hari pertama itu, kami sudah mempunyai buku tulis yang tiada garis didalamnya dan berbentuk segiempat tepat yang rupanya digunakan untuk melukis.

Pada hari pertama itu, guru kelas saya, Puan Alfiah Sarbini mengarahkan kami menulis nama di atas muka surat pertama buku tersebut dan disuruh pula melukis alatan yang berada di dalam kelas tersebut. Arwah apak sudah pulang ketika itu dan saya terketar-ketar menyalin nama penuh yang mak tulis di bahagian dalam beg sekolah saya secara imej cermin. Huruf N, A, R, Z semuanya terbalik. Saya telah melukis papan hijau yang saiznya sebesar sehelai muka surat buku tersebut. Saya kerling sekeliling saya dan saya dapati ramai rakan-rakan yang melukis banyak alatan dalam sehelai muka surat itu.. owhh...saya sungguh risau lebih-lebih lagi apabila guru kelas saya menghampiri untuk meninjau hasil 'keras' tangan saya. Ringkas sahaja ayat pertama guru tersebut, '1 sahaja? Awak ni adik Azam, Aida dan Aza kan?'

Sepanjang di tahun 1, saya sangat keliru dengan persekitaran yang ternyata berbeza dengan persekitaran di rumah. Saya juga menerima tekanan tanpa disedari kerana dikenali sebagai adik kepada ketua-ketua pengawas dan penolong ketua pengawas yang semuanya berjaya ke sekolah berasrama penuh semasa melangkah ke alam sekolah menengah. Saya pendiam tetapi otak saya lancar berjalan berimaginasi. Saya pernah bertumbuk dengan seorang pelajar lelaki nakal yang gemar membuli orang lain. Ianya menjadi kes yang diselesaikan oleh abang pengawas darjah 5...hahahahah...ganas sungguh saya. Sakit sungguh dada saya ketika itu dan pelajar tersebut juga sama. Kejadian berlaku ketika guru sedang bermesyuarat di bilik gerakan. Dimanalah pelajar itu sekarang ye? Selepas hampir 25 tahun...

Hari pertama ke sekolah itu tanpa saya sedari membentuk diri saya sehinggalah sekarang. Survival...saya perlu berdikari untuk belajar...untuk menuntut ilmu. Melaka, Kedah, Pulau Pinang, London, Shah Alam, Puncak Alam....saya bersyukur atas kurniaan Allah buat hamba yang lemah dan lalai ini...yang tidak berdaya melainkan dengan izinNya...Entah mengapa sebak benar saya malam ini...hanya dengan mengingatkan perjalanan yang pernah saya tempuhi demi menuntut ilmu.....ianya sukar...semoga Allah memberkati...

p/s: Saya sedang tertekan....doakan saya meneruskan perjalanan ini dengan tenang.

Monday, December 14, 2009

Hilang


8 malam tidur saya tidak nyenyak

7 hari saya bersusah hati

8 malam saya asyik sesak nafas

7 hari perut saya memulas tidak bersebab

Hari ini

Saya sujud syukur

Atas izinNya saya kembali senyum

Jumpa juga setelah mencari berhari-hari

Kepada yang menjumpainya

Saya terhutang budi

Moga Allah membalas kebaikannya

Malam ini mudah-mudahan saya dapat tidur dengan nyenyak dan aman...

Owhh...apa yang membuatkan saya resah gelisah tidak tenang ye?

Kunci kereta saya hilang pada Selasa lepas....hari ini barulah ada orang yang memberitahu ianya sudah dijumpai sejak hari kehilangan tempoh hari...cuma tidak diketahui siapakah pemilik kunci tersebut...

Hati saya lapang

Fikiran saya tenang

Boleh balik rumah dan berkemas.

Friday, December 11, 2009

LIMA


Akad berwali
Ijab bersaksi
Lima tahun hari ini

Janji Yang Esa
Tetap terjadi
Sekujur tubuh tenang bersemadi
Empat tahun hari ini

Atas segala nikmat dan dugaan
Syukur tidak terhingga pada Ilahi
Semoga diberkati dan dirahmati

Tuesday, November 17, 2009

Kotak dan plastik letup-letup


Semasa zaman kanak-kanak, saya dan adik-adik akan berebut untuk bermain dengan 'plastik letup-letup' yang biasanya dilampirkan sebagai penyerap hentakan untuk barang-barang mudah pecah dan juga barangan elektrik yang baru dibeli. Akan tetapi, untuk hari ini, buat masa ini, saya sangat tertekan melihat 'plastik letup-letup' tersebut. Dalam kesibukan kerja makmal yang banyak ini, kami terpaksa membungkus dan memindahkan barang-barang ke makmal baru di kampus Puncak Alam. Jika berpindah rumah sudah dianggap sukar, bayangkan untuk memindahkan segala isi kandungan makmal ini dengan instrument yang besar dan komplikated, radas yang hampir semuanya diperbuat dari kaca, bahan-bahan kimia, tisu dan sel hidup serta TIKUS!!


Ini meja kerja saya yang sarat dengan segala macam kelengkapan berus gigi, ubat gigi dan pencuci muka pun ada dalam beg kecik berwarna hijau itu.
Ini sampel saya dan rakan-rakan yang diletakkan di dalam mangkuk pijar yang dibalut dengan kerajang aluminium untuk sampel yang sensitif terhadap cahaya. Di dalam mangkuk pijar itu diisikan pula dengan butiran gel silika untuk memastikan sampel tidak lembab.

Radas-radas kaca yang sangat banyak...uwaaaaaaaaa....



Inilah kotak-kotak dan juga plastik letup-letup yang bergulungan sangat besar. Agaknya, jika gulungan ini dulu kami jumpa semasa masih kanak-kanak mesti satu kampung dapat bermain letup-letup sampai pengsan..hahahaha....

Ermm..memang tertekan.

Akan tetapi, perkara baik disebalik perpindahan ini adalah:
1. Kami tidak perlu lagi bersesak dengan para pelajar yang sangat ramai di kampus induk - ketenteraman minda yang maksimum dengan kedamaian dan kehijauan kampus baru ini nanti.
2. Jarak dengan rumah saya adalah kurang dari kampus induk dan ianya adalah laluan BEBAS TOL...wahhh!! Jimatlah baki kredit kad sentuh dan blah pergi saya serta jimat jugalah bateri 'tag pintar' saya.
3. Di sekeliling kampus baru nanti adalah kawasan kampung, ianya agak jauh dari sebarang objek bangunan yang menempatkan pusat membeli belah atau rangkaian restoran yang banyak selamat tinggal SACC, PAS, kompleks PKNS, Plaza Masalam, JJ Bukit Raja..uwaaaaaaaaaaaaa . Oleh itu, diharapkan agar saya lebih menumpukan perhatian kepada tikus, eksperimen dan penulisan journal dan thesis.
4. Saya dengar pilihan makanan di sana tidak banyak, jadi saya akan lebih cekap memasak kerana perlu membawa bekal ini akan saya justifikasikan kemudian hari apabila sudah berpindah, mana tahu situasinya berbeza dengan apa yang saya bayangkan ini.
5. Oh ya!! Sifu menyediakan ruangan pantri lengkap dengan penapis air minuman ye.. dan juga surau untuk kami.
6. Tempat letak kerata adalah berbumbung! Wahhh....selamatlah Vi junior dari panahan bunga-bunga matahari ataupun hujan asid yang lebat.
7. Saya akan melalui kedai jual nanas yang murah hahaha..tiba-tiba sangat..entah apa kaitan nanas dengan saya agaknya
8. Saya akan melalui Jalan Kopi yang kurang kesesakan jalanraya di waktu pagi yang indah dan berkabus.
9. Saya tidak akan balik lewat malam lagi atau jika kerja lewat di makmal, saya akan menumpang kasih tidur di rumah adik-adik yang berhampiran. Oh ya! Hampir 98% pelajar sifu saya berpindah rumah ke Puncak Alam. Sewanya murah. Rumah teres 2 tingkat cuma RM350. Rumah flet pula sewanya RM250- 270 sahaja (termasuk bayaran mantainance).
10. Hmmm...yang paling penting.....di Puncak Alam, saya ada bilik saya sendiri kembali. Subhanallah....
Benarlah janji Allah...pada setiap kesusahan pasti akan ada kesenangan.

Semoga penghijrahan ini akan membawa kejayaan yang lebih bermakna buat kami semua. Ameen...

Friday, November 13, 2009

Saya Mahu Hadiah PTS



Saya menerima email dari sahabat tentang peraduan ini. Aktiviti yang bagus untuk cuti sekolah bagi yang berkemampuan. Membaca itu umpama mengembara. Itulah yang selalu saya pegang semasa kecil kerana tidak berkemampuan untuk bercuti semasa cuti sekolah. Selamat mencuba!

Thursday, November 12, 2009

Dilema


Saya ingin membeli kasut baru. Akan tetapi saya masih ada kasut yang sudah berumur 2 tahun tapi masih berkeadaan baik. Saya boleh membeli kasut lagi tetapi nanti yang lama ini akan terbiar begitu sahaja. Itulah masalah saya. Saya tidak pandai untuk menggunakan lebih sepasang kasut dalam satu masa. Jika lebih dari sepasang, saya akan terlupa dan lama nanti baru saya ingat kembali. Saya akan membeli kemudian memakainya sehinggalah ia rosak dan barulah ditukar baru. Begitu juga dengan beg tangan. Ya..saya memakainya ke mana sahaja. Majlis rasmi atau tidak, pasar atau hotel lima bintang.. itulah sepasang kasut dan itulah beg tangannya. Kini, saya ingin memiliki sepasang kasut baru yang sudah saya 'eye' agak lama...ermmm....bagaimana ye.....kasihan saya....

Tuesday, November 10, 2009

November dan Disember


Saya mengharapkan agar dapat menyiapkan beberapa eksperimen penting dalam tempoh sebulan setengah ini . Ianya sangat signifikan kerana ini akan melengkapkan data bagi satu bab dalam thesis saya bukan bab terakhir ye, sekaligus penting untuk penulisan jurnal akademik yang akan bersangkut paut dengan keperluan untuk beberapa permohonan penting. Selain itu, saya juga 'berlawan' dengan tempoh yang ada sebelum makmal kami ini berpindah sepenuhnya ke Puncak Alam bermula penghujung November ini. Memikirkannya pun sudah membuatkan saya mengah dan penat. Namun saya yakin, ini adalah dugaan yang Allah berikan buat saya dan pastinya dititipkan juga kekuatan untuk saya laluinya. Saya berdoa agar urusan eksperimen ini dipermudahkan Allah SWT. Tempoh yang panjang akan melibatkan beberapa majlis keluarga kenduri kahwin, kenduri akikah, kenduri berkhatan dan hari raya aidiladha. Saya tidak mengharapkan semua ahli keluarga faham keadaan saya yang mempunyai masa yang sangat terbatas ini. Sebaliknya, saya akan lebih perlu memanfaatkan masa yang ada seperti yang saya baca di dalam catatan Prof Kamil yang dipetik dari blog Puan Sifu PTS- hanya orang yang sibuk mempunyai masa.Ya Allah...permudahkanlah urusan saya. Saya ini hamba yang lemah dan tidak berdaya. Berikanlah saya kekuatan yang luar biasa, kesabaran para nabi dan rasul dan ilham yang tidak putus-putus untuk proses ini dan seterusnya. Sesungguhnya sepenuh penggantungan saya hanya padaMu ya Allah...Ameen...
p/s: Bunga matahari, tulip dan lily adalah bunga kegemaran saya....:)

Monday, November 09, 2009

61


(foto: kredit Berita Harian)
Setelah 61 tahun menanti, pada perlawanan akhir ke 3 selepas 1948 akhirnya pasukan Negeri Sembilan berjaya mengungguli Piala Malaysia versi 2009. Wahh!! Bangganya saya selaku anak nogoghi menonton perlawanan akhir di kaca TV Sabtu malam yang lalu. Seronoknya jika saya dapat ke stadium menyaksikan perlawanan tersebut tetapi saya tahu suami saya tidak akan mengizinkan permintaan saya itu...hihihi...
Tahniah buat pasukan bola sepak Negeri Sembilan. Ianya juga dikatakan sebagai hadiah pertabalan Yang Dipertuan Besar N.S yang baru..Tuanku Muhriz.
Hoben Jang Hoben!

Tuesday, November 03, 2009

66



Mak
Doa yang terlafaz dari lubuk hatimu
Aku tahu

Semuanya dipenuhi permohonan pada yang Esa
Agar diri kami, anak-anakmu sejahtera sentiasa
Mak
Setiap hela nafasmu
Setiap langkahan kakimu
Hanya berharap keredhaan dari yang Esa

Untuk kita sekeluarga
Mak
Tidak terucap lafaz kasih sayang dan penghargaan buat mak

Tidak terlafaz susunan kata terindah sebagai lambang kecintaan buat mak

Tidak terbalas segala yang pernah diberikan pada kami walau diatur bongkahan emas berlian dan segala kekayaan di dunia ini buat mak

Hanya pintaku

Ya Allah...
Ampunilah dosa-dosa kami, dosa-dosa kedua ibu bapa kami...
Peliharalah mereka ya Allah sepertimana mereka memelihara kami ketika kami masih kecil...
Kasihanilah mereka ya Allah...seperti mana mereka mengasihani kami ketika kami masih kecil....
Kurniakanlah kesihatan tubuh badan serta akal fikiran yang baik buat mak ya Allah....
Limpahilah mereka dengan rahmat dan berkatilah mereka ya Allah...


Hari ini ulangtahun kelahiran mak yang ke 66. Ini tribute saya buat mak pada ulangtahun mak yang ke
65.

Azimah



Saya menghadiri majlis konvokesyen para pelajar kelompok keempat, FF pada 28 Oktober yang lalu di DSB. Ianya adalah rutin tahunan saya walaupun sedang cuti belajar kerana mereka pernah menjadi pelajar saya. Walaupun acaranya agak membosankan tetapi berbaloi apabila melihat sendiri mereka bergraduasi....(sayakan emosional orangnya)...hahaha...
Gambar di atas adalah saya dan Azimah...Azimah adalah rakan sekelas saya ketika di Matrikulasi II, USM tahun 1996-97. Azimah merupakan sifu kami terutama bagi subjek Matematik dan juga Biologi. Beliau cerdik dan cepat tangkap...saya? Saya selalu berguru dengan beliau ketika itu. Soalan tidak dapat diselesaikan, beliaulah yang saya cari untuk membantu saya. Selepas matrikulasi, kami terpisah, saya di kampus induk USM manakala Azimah mendapat biasiswa ke UK untuk melanjutkan pangajian dalam bidang perubatan. Tiada khabar berita tentangnya sehinggalah saya mendengar khabar angin Azimah ditimpa ujian dan tidak dapat meneruskan pengajian di UK. Pada tahun 2005, sebelum pengambilan pelajar ijazah pertama dilakukan, saya terserempak dengan Azimah di pejabat am fakulti. Kami sama-sama terkejut. Beliau rupanya ingin memohon memasuki program ijazah sarjana muda farmasi selepas tamat diploma mikrobiologi (mendapat anugerah naib canselor-6 semester memperolehi CGPA > 3.5). Azimah termangu apabila mengetahui saya sudah bekerja dan akan mengajarnya nanti...saya juga termenung panjang.
Akhirnya, Azimah diterima ke program FF. Bermulalah cabaran yang saya kira agak besar dalam kerjaya saya-mengajar rakan sendiri yang dahulunya adalah pakar rujuk saya. Kuliah pertama yang perlu saya sampaikan buat kelompok pelajar yang 'ada Azimah' di dalamnya cukup membuatkan saya serba-serbi tidak kena walaupun ketika itu saya sudah ada pengalaman mengajar. Setiap kali saya perlu memberikan kuliah untuk kumpulan 119 orang pelajar termasuk Azimah, saya akan kembali gementar sehinggalah mereka di tahun ke 3 dan saya mula cuti belajar.
Azimah di peringkat sarjana muda juga cukup cemerlang. Beliau disebut-sebut sebagai calon ANC pertama FF kerana sehingga semester ke 7, beliau sentiasa mendapat anugerah dekan (GPA> 3.5). Belum rezeki beliau dan FF, semester terakhir, saya sangat hampa mendengar perkhabaran beliau tidak berjaya memperolehi AD jika saya hampa mendengar...Azimah yang melaluinya lebih lagi hampa. Pada majlis konvokesyen beliau, saya pula yang terlebih emosi, sebak melihat beliau akhirnya berjaya memperolehi ijazah pertama yang tertunda kerana dugaan yang perlu beliau tempuhi. Saya? Sedang kalut ribut menyiapkan kerja lab yang masih bertimbun. Hmm...moga Allah permudahkan urusan saya.



Thursday, October 29, 2009

Wahid Malizia...


Setiap pagi saya memandu ke tempat kerja dan adatlah untuk berjumpa dengan telatah pemandu yang pelbagai. Pagi ini, seperti lazimnya juga, di hadapan Klang Sentral, kenderaan beratur panjang untuk laluan ke Klang dan Setia Alam. Apabila sudah panjang barisan, akan adalah 'pemandu bengap' yang tidak mahu beratur tetapi mahu sampai dahulu. Pemandu-pemandu bengap ini memang melambangkan konsep wahid Malizia yang dicanagkan pemimpin negara kita. Ada pemandu berketurunan melayu, cina dan india. Sudahlah mereka memotong barisan, boleh pula seorang 'ibu kurang bijak' ini yang sedang membawa di dalam kereta tersebut anak perempuannya bercakap menggunakan telefon bimbit sambil terkial-kial memasukkan gear dan cuba memasuki lorong di hadapan saya. Saya tidak boleh berkompromi. Marah betul saya dengan kedunguan pemandu tersebut. Saya jarang menggunakan hon tetapi tadi, saya telah membunyikan hon banyak kali dan dengan kuat!! Kalau pun tidak memikirkan keselamatan diri sendiri, tolonglah fikirkan keselamatan anak tersebut. Ingat anak patung ke? Kalau hilang boleh beli lain di kedai...Itu yang tersurat...yang nyata...yang tersirat pula. Inilah contoh didikan yang bakal melahirkan anak-anak yang nanti apabila memandu pula akan menjadi pemandu yang lebih 'hebat dan menyusahkan' dari ibu bapa mereka sendiri. Ya Allah...marahnya saya dengan kedunguan mereka ini. Keluarlah awal andai ada program yang perlu dihadiri...janganlah menyusahkan orang dan membahayakan semua orang.
Sekian terima kasih.
* maaf pada terma kasar yang saya gunakan.

Monday, October 26, 2009

Qaseh Nur Qalesya





Qaseh Nur Qalesya dilahirkan secara pembedahan pada pagi semalam, jam 10.50. Owhh...bukan anak saya...tetapi anak saudara saya, ini majlis walimah ibu dan ayahnya...

Setakat ini, hipothesis anak lelaki keluarga kami memperolehi anak perempuan masih benar, sekurang-kurangnya untuk ke 3 orang anak perempuan angah dan juga anak sulung adik bongsu saya, boboi. Huhuhu. Maha suci Allah, setakat ini, hanya kaklang yang mempunyai anak lelaki dan perempuan...kaklong dan kakcik mempunyai anak-anak lelaki sahaja..hihihi...ada hikmah yang tersembunyi yang tidak kita ketahui sekarang.

Moga Qaseh akan menjadi anak solehah..penyejuk hati ibu dan ayah. Makteh belum sempat nak menjenguk. Hujung minggu ini insyaAllah kami akan menjenguk ahli baru teratak 'berkat'.

Wednesday, October 07, 2009

Wajah-wajah


Musim Syawal kali ini, saya hanya sempat berkunjung ke beberapa rumah sahabat dan saudara-mara selain menghadiri perjumpaan semula sahabat warna-warni kehidupan zaman kanak-kanak dan remaja saya dahulu. Ianya memenatkan tetapi membahagiakan dan juga mengeratkan silaturrahim. Lihatlah gambar-gambar yang banyak ini. Minggu ini dan seterusnya saya sudah memasuki fasa yang menakutkan - baki 8 bulan cuti belajar bergaji penuh dan berbiasiswa. Moga Allah mudahkan urusan saya.17 tahun dahulu kami di tingkatan 3. Saya fikir semuanya berubah dan lebih matang akan tetapi ianya tidak begitu tepat. Bak kata salah seorang sahabat ini- badan je membesar dan dewasa...perangai sama je...Ianya menyeronokkan. Adol yang berbaju melayu itu adalah jurugambar professional untuk majlis hari itu. Semuanya diam apabila lensa kamera dihalakan...hahaha....
Gaya-gaya hebat berwarna-warni. Saya hanya memakai jubah yang sudah berusia 4 tahun. Kononnya tema warna ungu..akhirnya jadi warna-warni...hahaha...saya yang lurus mengikut kesepakatan awal.Ada penyumbang rahsia memberikan hamper sebagai cenderahati buat semua. Moga Allah murahkan rezeki beliau. Di dalam gambar ini- Ridwan yang kami panggil Anjang. Beliaulah tulang belakang majlis reunion kami ini. Segala cara dicubanya untuk menghubungi kembali sahabat yang lama terpisah dan hilang tanpa jejak.

erkk....ye ye..tikus saya dalam proses-ini alat yang digunakan untuk eksperimen saya. Ianya boleh mengukur kelembapan kulit, jumlah melanin kulit, usia kulit, kadar kehilangan air dari kulit dan kadar keasidan kulit.
Makmal saya. Inilah warna-warni hidup saya ketika ini. Mereka ini selalu sahaja menceriakan suasana selain dari sudah kebal dengan mulut bising saya. Hihihi...saya sayang adik-adik ni.
HPLC. Tiada komen. Hahahaha
Pada hari ahad lepas, saya menjemput adik-adik kesayangan saya di lab untuk datang beraya di rumah. Itupun pada pukul 5 petang. Menunya makan nasi lauk kampung. Lengkap dengan asam pedas daging, sambal cili padi ikan keli, sambal goreng jawa saya merekacipta resepinya berdasarkan apa yang selalu saya makan...saya sangat gemar hidangan ini walaupun saya bukan keturunan melayu jawa..saya melayu minang-acheh dan juga ikan pekasam goreng . Sebelum di rumah saya, Puan J dan suami juga menjemput ke rumah mereka yang terletak berdekatan dengan kediaman kami..juga menunya nasi. Hahahah..kenyang sungguh makan nasi hari itu. Owhh..sebelum kagum dengan saya, menu hari tersebut disediakan oleh mak tersayang di Seremban. Saya membawa semuanya ke AP dengan Vi-junior. Suami saya pula sudah mula menghadiri kelas bagi tahun keduanya itulah punca utama mengapa jemputan kami pada pukul 5 petang. Hihihihi . Cepat sungguh masa berlalu.
Kak Norliah- staf makmal yang sering menjadi 'partner in crime' saya ketika beliau masih di fakulti. Kini Kak Nor sudah naik pangkat menjadi pegawai eksekutif dan sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda. Kak Nor sangat istimewa kerana beliau mahir tentang segalanya-beliau sangat suka membaca dan beliau sangat cekap dengan selok-belok Shah Alam dan PJ. Beliaulah pemandu pelancong saya ketika baru menyertai fakulti hampir 6 tahun yg lalu.
Menarikkan. Rozi (berbaju belang) dan isteri (Puan J) dianugerahkan sepasang kembar lelaki yang sangat comel dan bijak. Begitu juga dengan sahabat baik Rozi yang berbaju melayu biru itu, juga memiliki sepasang kembar lelaki seiras...Subhanallah...geram saya melihat mereka ini.
Azhar dan Azfar..comelkan. Mereka berdua lincah, bijak, cerdik dan responsive.beruntung J dan Rozi.Ini di rumah saya. Ini bukan majlis rumah terbuka tetapi saya hanya menjemput adik-adik di lab dan beberapa sahabat rapat di UiTM serta jiran rapat di AP. Kami tidak berkesempatan membuat majlis seperti tahun lepas. Jika ada tetamu yang ingin bertandang, kami alu-alukan dengan tangan terbuka.

Senah (bertudung biru) memiliki kamera bermuncung di hadapan (SLR ke namanya)...hahaha...jadi mereka ini pun bereksperimentasi dengan kamera tersebut. Menarik juga gambar yang dirakamkan.
Kucing yang telah menggigit tangan Syabil.

Mereka ini masih kekenyangan setelah makan di rumah J dan Rozi...berehat sebentar sebelum memulakan kembali aktiviti menjamu selera.
Inilah Syabil. Anak kepada Kak Ida dan Abang Bani (jurufoto pada majlis walimah kami dahulu). Yang berbaju biru itulah Ami (Fahmi) dan yang berkurung biru itu adalah Puan Puteri Murni yang selalu menggelarkan saya Along (kerana wajah saya mirip wajah Along beliau). Wajah comel yang sedang tersenyum lebar di belakang beliau ialah Cik Zaini, sahabat rapat sangat Puan Murni...hihihi...itulah Z yang sudah ke UPSI.
Mereka ini kreatif, selepas pinggan diisi, mereka ke dapur mencari meja...hahaha....

Bersama dan Aqil- anak saudara KMiza.
Bersama Kak Nor dan Kak Fida (otai FF) heheh...oppss...dan juga Syabil...Wajah-wajah riang dan kenyang!
Terima kasih pada sahabat-sahabat zuhalian 92, SMAA atas majlis yang sungguh bermakna dan penuh nostalgia tempoh hari.
Terima kasih juga pada adik-adik dan sahabat yang sudi singgah di teratak kami. Moga kunjungan anda semua membawa barakah dan rahmah buat kami berdua.

 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino