Keputusan diumumkan semalam, 12 Mac 2008.
Saya agak sibuk dan hampir terlupa menelefon Khairy, anak sulung kaklong, Hafizah, anak sulung abang ipar dan juga dik ya, sepupu suami saya. Pukul 11.30 tiba-tiba saya teringat dan mula menelefon Khairy.
Santai dan ceria bunyi suaranya, " bolehlah makteh...ada 3A...B pun ada..C pun ada..D pun ada..ahaa...add math failed."
Saya terdiam tak tahu nak kata apa. Khairy memang begitu, tapi keputusan SPM yang diperolehinya ini jauh lebih baik dari keputusan PMR dahulu.
Saya telefon pula Dik Ya. Dia tidak mampu bersuara. Senyap dan hanya terdengar esakan yang memanjang. Saya sudah dapat mengagak. Pasti keputusan tidak seperti yang dijangkakan. Dik ya pelajar bijak, sedari sekolah rendah tidak pernah tidak mendapat keputusan cemerlang. Dia juga memperolehi keputusan PMR yg cemerlang- 9A.
"Dik ya gagal...dik ya tak lulus..." rupanya dik ya hanya mampu mengumpul 1A sahaja. Saya juga agak terkejut tapi yelah, setiap insan diberikan dugaan. Untuk seorang anak gadis yang kehilangan ibu tercinta beberapa tahun dahulu, tentunya dugaan menempuhi alam remaja terlalu kuat untuk dik ya lalui seorang diri. Tekanan datang dari pelbagai arah. Semoga dik ya tabah.
Hafizah, calon persendirian yang mengambil peperiksaan SPM tanpa melalui kelas pembelajaran formal. Dia memperolehi 5B, 1C, 1D dan 2 E. Saya kagum juga dengan Hafizah...tanpa kelas yang sempurna, sibuk pula dengan kelas Diploma Darul Quran di Kuala Terengganu, dia berjaya menunjukkan prestasi yang baik.
Saya juga bukanlah pemegang sijil SPM dengan kelulusan cemerlang. Sehingga ke hari ini, kalau boleh saya ingin sorokkan sahaja sijil SPM dan juga sijil matrikulasi saya. Mak pernah berkata kepada saya ketika keputusan peperiksaan SPM bakal diumumkan.
"Mak tak kisah kalau keputusan SPM epel tak sama mcm Alang dan Acik...mak terima anak-anak mak ada kebolehan yang macam-macam."
Memang pun, aggregat saya berbelas. Saya cuma ada 5 A-hanya Matematik dan P. Islam beroleh A1. Matapelajaran sains-Kimia dan biologi yang saya selalu dapat A1 atau A2 semasa trial saya hanya mampu dapat C4 semasa peperiksaan sebenar- begitu juga dengan Matematik tambahan dan Fizik( yang saya sangkakan saya akan gagal, sebab saya memang tidak minat Fizik.. :D). Alang dan acik...ermm..A1 dan A2 berderet..malahan acik adalah anak negeri sembilan yang memperolehi keputusan SPM terbaik. Siap dapat anugerah..bukan anugerah penyapu tapi penghargaan dari kerajaan negeri. Saya? hehehe.....pencapaian saya tidak menepati sasaran saya sendiri.
SPM hanyalah peperiksaan.........yang sangat subjektif untuk dijadikan kayu pengukur keupayaan sebenar seorang pelajar.
Lantas, adakah Khairy yang sangat minat melukis komik, memasang komponen kereta dan juga sangat teliti dalam karyanya tidak akan berjaya dalam kehidupan kerana dia tidak mengumpul cukup A?
Atau adakah dik ya akan hanyut dibawa arus kehidupan kerana dia melabelkan dirinya sebagai gagal? Dik ya adalah seorang anak, kakak dan adik yang sangat baik akhlaknya. Tiadakah gred A yang boleh ditulis atas sekeping sijil untuknya?
Hafizah..ke manakah halanya selepas ini? Program diploma di Darul Quran tersebut tidak diiktiraf JPA. Adakah dia perlu mengulang semula program diploma yang sama di tempat yang diiktiraf?
Saya tidak mampu menghuraikan kekusutan atas permasalah sistem pendidikan yang sangat berorientasikan peperiksaan seperti yang kita hadapi turun-temurun. Perlukan ada PRU sekali lagi khusuh untuk mengubah bentuk sistem pendidikan yang ada sekarang? Errmm....
Semalam sewaktu menonton berita di TV3, saya melihat pencapaian seorang calon SPM yang memperolehi 21A. Saya tahu itu rekod baru dan akan ada nanti yang cuba memecahkan pula rekod tersebut. Pencapaian itu menarik, tetapi tidak merentap hingga ke tangkai hati saya. Apabila mendengar ibunya berkata, dia hanya mengharapkan anaknya itu akan menjadi anak soleh-beriman dan dapat menjaga ibu bapanya apabila mereka tua nanti....Hampir menitik airmata saya mendengar luahan tulus hati seorang ibu.
Moga Allah memberkati anakanda-anakanda dan adinda kami itu. Ameen.
0 comments:
Post a Comment