Wednesday, October 15, 2008

Kenangan


Saya membaca blog Prof. MKI pagi ini tentang abah beliau. Teringat saya pada allahyarham Apak yang dijemput kembali hampir 3 tahun yang lalu. Saya tidak begitu rapat dengan allahyarham dan saya tidak tahu banyak perkara mengenai dirinya. Saya cuma menyedari yang saya sangat menyayangi allahyarham kerana apabila kali pertama allahyarham diserang angin ahmar, saya yang ketika itu sedang menduduki peperiksaan akhir tahun 2 di USM terjelepok di sisi telefon awam dan merasakan kesedihan dan kerisauan yang amat dasyat sehingga saya hampir menangguhkan peperiksaan ke semester tambahan kerana ingin pulang untuk melihat sendiri keadaan allahyarham.

Di usia mudanya, allahyarham sangat garang dan tegas. Sekiranya meminta keizinan untuk ke mana-mana, allahyarham hanya mendiamkan diri dengan sedikit sahaja anggukan. Di usia tuanya selepas diserang angin ahmar, allahyarham menjadi sangat sensitif. Semasa saya menerima ijazah pertama di USM, apabila disebut nama saya, allahyarham menitiskan airmata sehingga kedengaran sedu-sedannya. Ketika saya memberitahu yang saya mendapat biasiswa menyambung pengajian sarjana di King's College, London, beliau tersenyum dan kemudiannya menangis teresak-esak. Begitu juga ketika saya kembali ke tanahair dengan kajayaan, saya disambut dengan tangisan. Ketika allahyarham menikahkan saya (anak perempuan terakhir sempat diwalikan dan majlis walimat terakhir sempat disaksikan) hampir tidak kedengaran suaranya ketika melafazkan akad buat suami saya.

Itulah apak. Tiada kata dilafazkan..diamnya tanda setuju....tangisnya tanda gembira.

Setiap hari raya, allahyarham akan memberikan duit raya buat emak, kami bertujuh, 5 menantu dan 11 cucu (ketika allahyarham kembali, Amir Harith dan Aiman Hafiz sedang dalam kandungan). Hari raya terakhir allahyarham bersama kami,(allahyarham kembali sebulan selepas aidil fitri) allahyarham meminta saya membuatkan air neskopi susu kegemarannya. Ketika itu saya melihat jerawat yang sudah kehitaman di belakangnya dan saya meminta izin membuangnya kerana ianya agak membengkak. Proses membuang jerawat itu berlaku di tepi sinki di dapur. Ianya sesuatu yang sangat nostalgik. Ketika kecil, apabila allahyarham pulang untuk makan tengahari di rumah, saya akan bertenggek di belakang allahyarham dan mencabut uban, memicit jerawat atau apa sahaja yang kelihatan tidak molek. Rupanya itu kali terakhir saya berpeluang berbuat demikian.

Kali pertama menyambut aidil fitri tanpa apak, saya terbeli kain pelikat cap gajah duduk untuk allahyarham. Ketika itu saya bersama kudud ke jalan TAR untuk membeli-belah persiapan raya. Saya menyedarinya ketika berada di dalam komuter untuk perjalanan pulang. Saya menangis teresak-esak. Benar kata orang, semasa ada, kita tidak sedar betapa berharganya mereka, apabila tiada, hati sangat merindui.

Rindu...ya, saya sangat merindui apak. Semoga roh allahyarham tenang di sana.

5 comments:

umeboshi on Wednesday, October 15, 2008 at 4:18:00 PM GMT+8 said...

al-fatihah buat arwah apak Am, dan seluruh muslimin muslimat yg dah 'pergi'. al-fatihah!

cikya on Wednesday, October 15, 2008 at 10:20:00 PM GMT+8 said...

al-Fatihah juga buat arwah apak am...Syahdu cikya baca pos ni, terbayang makayah di kampung.

Nor Ramli on Thursday, October 16, 2008 at 7:49:00 AM GMT+8 said...

cik noora...terima kasih

cikya...berbaktilah pada mereka selagi mereka masih ada..terima kasih.

Fauziah on Thursday, October 16, 2008 at 3:11:00 PM GMT+8 said...

salam am
post ko kali nih buat aku terkonang2 kat arwah abah aku. lebih2 lagi nak gi jepun nih... tingat masa arwah tak nak layan aku masa aku buat keputusan nak ke jepun tapi dia hantar aku gi interview utk ke jepun tu. aku pun tak paham sebenar nyer dia kasi aku gi ker tidak... last2 mmg ada rezeki aku nak jejakkan kaki ke jepun. doakan aku selamat pergi selamat balik yer...

Anonymous said...

ady pernah mengalaminya. ady kehilangan mak ketika ady masih disekolah menengah :(

 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino