Friday, November 03, 2006

Semudah Itu


Semudah itu berkata
Sesusah-susahnya mengundur kata

Semudah itu menghina
Sesusah-susahnya juga untuk elak diri dari dicela

Semudah itu melihat kekurangan manusia
Sesusah-susahnya menilik kecacatan diri

Semudah itu mendabik dada dengan kebaikan yang dicanang
Sesusah-susahnya menyedarkan diri bahawa kebaikan itu sebenarnya penuh dengan najis dan busuk baunya

Kenapa?
Kerana ikhlas itu bukan hak manusia menilainya
Kerana niat itu hanya hak mutlak Ilahi untuk menerimanya
Kerana janji Allah itu benar belaka

Lalu...
Jika mahu dinilai siapa sahabat siapa musuh durjana
Lihatlah wajah-wajah di sekelilingmu tika kau susah
Jika mahu menilai siapa racun siapa penawar
Lihatlah tangan yang mencurah cuka di luka yang masih berdarah

Kerana...
Mata yang memandang tidakkan boleh memahami
Betapa beratnya bahu yang memikul
Betapa nestapanya hati yang menanggung lara

Lantas...
Lihatlah dirimu...
Unjurkan tanganmu
Kembangkan lima jarimu...
Genggamlah semuanya...
Dan tujukan satu pada manusia lain
Dan jika sungguh hatimu mengamati...
Kau akan lihat bahawa empat yang lainbegitu pantas menuju ke dirimu sendiri

Sedarlah...
Berhubungnya kita atas kekurangan kita
Kerana kita tidak tahuBila masanya Yang Maha Esa akan mengambil kembali
Yang kita sangka kelebihan milik kita rupanya hanya pinjaman semata

Sesungguhnya. ..
Setiap diri manusia itu
Ada kelemahannya
Ada kekurangannya
Ada kecacatannya

Yang membezakan.. .
Adakah kelemahan itu perlukan bantuan tongkat diukir indah?
Adakah kekurangan itu boleh dibaiki dengan ditambah kerusi emas?
Atau adakah kecacatan itu terzahir atau tersembunyi?

Menitis airmata ini
Melihat kelancangan dunia
Melihat kezaliman hati-hati dan tangan-tangan manusia
Yang biasa melakukan apa sahaja

Sabarlah sahabat
Sabarlah teman
Sabarlah saudaraku
Kerana di sana nanti
Di sana yang kekal abadi
Moga yang menanti
Adalah bidadari

0 comments:

 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino