Wednesday, May 06, 2009

Tol


Kisah di plaza Tol:
#1
Ketika saya baru bekerja saya tinggal bersama keluarga kakak di Puchong, saya hanya menggunakan kad Touch n Go dan jarang membawa wang tunai kerana ketika itu bajet saya terhad. Jika ada wang tunai pun dalam kadar minima dan kadang kala apabila tidak sempat mengeluarkan wang di mesin autoteller saya akan pulang ke rumah dengan dompet yang kosong. Nak dijadikan cerita, saya menghantar kakak ke Sunway Pyramid untuk mensyuarat dan kemudian ke Shah Alam untuk masuk pejabat. Saya tiada wang tunai ketika itu dan yang ada hanyalah kad Touch n Go tersebut. Keluar dari Sunway, saya sudah tersilap masuk simpang dan masuk ke plaza tol baru yang kebetulan pada waktu itu sistem touch n go sedang bermasalah. Nilai perlu dibayar adalah RM1.60 dan setelah puas mengorek segala ruang yang ada di dalam beg tangan dan juga dompet, saya cuma ada RM1.40. Mujur penjaga tol itu bermurah hati dan berkata pada saya...'takpelah kak, saya bayarkan 20 sen lagi.'
Malunya saya ketika itu, mujur memandu kancil comel...hihihihi.....saya minta juga nombor telefon adik itu untuk membayar semula wang 20 sen itu (yelah..nanti sebab 20 sen tu saya tak lepas di padang mahsyar nanti) tetapi katanya...tidak mengapa, itupun baki duit orang yang lalu di tol tersebut dan menyuruhnya menyimpan sahaja baki 40 sen apabila diberikan RM2. Owhhh...dan saya pun berlalu selepas mengucapkan terima kasih.
#2
Akibat terlalu banyak berfikir, saya selalu terlupa membawa keluar smart tag ketika melalui plaza tol. Apabila melihat palang tidak ternaik dan keluar paparan di monitor kad tidak dikesan mulalah saya panik dan kembali berpijak dibumi yang nyata. Berundur secara perlahan-lahan dan menarik keluar smart tag di bahagian simpanan di sebelah kanan dan menghalakannya ke alat pengimbas...barulah palang terangkat. Jika tiada orang bolehlah tahan lagi...jika ada pemandu lain di belakang...Alahai......segannya......hihihihi
#3
Pulang dari kerja, saya biasanya melalui plaza tol Setia Alam dan Bukit Raja. Jumlah bayaran tolnya adalah 70 sen sehala. Beberapa hari lepas, baki kad touch n go saya hanya tinggal 80 sen. Saya dengan penuh yakin telah memasuki lorong smart tag dan tak semena-mena siren berbunyi dengan kuat dan palang besi tidak terangkat. Baki tidak cukup. Aikkk...kan ada lagi 80 sen...nilai yang saya perlu bayar 70 sen je tau!! Saya berundur secara perlahan-lahan dan pembantu tol keluar.
Adik...baki akak ada 80 sen....tol ke Setia Alam 70 sen je..ada baki seposen lagi tau!
Owhh...kena lebih kak. Tak boleh tinggal seposen je..Akak gi amik tiket ek...kat hujung sana.
Mujur waktu itu sudah lebih jam 10 malam. Kenderaan sudah berkurangan. Terpaksalah saya ke plaza tol yang setentang dan mengambil tiket...ermm...rupa-rupanya baki perlu lebih dari 10 sen ye jika ingin menggunakan kad touch n go.
Pengajaran:
#1. Jangan tangguhkan untuk keluarkan wang dari akaun jika anda sudah kehabisan tunai
#2. Jangan banyak berfikir berangan ketika memandu
#3. Sila tambah nilai kad touch n go anda jika ianya sudah kurang dari RM1. (kerana saya tidak pula pasti berapa jumlah minima perlu tinggal...hihihi)

Thursday, April 30, 2009

Pesta


Ahad lepas tercapai juga hajat saya dan suami untuk ke pesta buku di PWTC yang sangat tidak mesra OKU. Kami pergi awal pagi..maklumlah dari Klang nak ke Kuala Lumpur ditambah pula dengan keinginan yang membuak-buak untuk shopping buku sejak ianya bermula sepuluh hari sebelumnya. Walaupun pada hujung minggu yang sama, rakan sekerja saya beria-ia mengajak saya shopping pewangi, baju, kasut dan beg tangan serta kelengkapan rumah di jualan gudang Metrojaya, tetapi saya tidak berminat. Rakan saya itu menggelarkan saya atypical lady kerana tidak berminat dengan jualan gudang tersebut.

Sampai di PWTC pada pukul 8 pagi kerana saya ada mental picture bahawa pameran bermula pada pukul 8.30 pagi tetapi sebenarnya pukul 10 pagi. Hihihihi..di manalah saya dapat idea tersebut agaknya. Kami menunggu di hadapan booth PTS dan dengan kebenaran para petugas, suami saya ditemani saya tentunya...hihihi..memilih buku sebelum orang lain dibenarkan berbuat demikian. Puas hati saya setelah menimbang-nimbang tajuk yang saya impikan untuk dibeli saya perolehi dengan potongan 25%. Seronoknya saya sehingga tersengih-sengih. Terjumpa dengan Puan Sifu sebelum beredar dan panjanglah juga sembangnya. Soalan wajib Puan Sifu, "mana bukunya? Ini ramai orang mencari buku." Saya hanya tersengih lagi. Moga perancangan dipermudahkan Allah...

Pesta buku kali ini adalah yang paling saya ingati dan nikmati sesungguh hati kerana berjumpa dengan figura-figura yang karya mereka dewasa bersama saya, Puan Sifu, Norhayati Berahim, Noor Suraya, Kang Abid dan Faisal Tehrani.

Tanda mata dari Tuan Faisal Tehrani buat kami yang bertuah. Terima kasih Tuan.

Kami selesai membeli-belah hampir waktu zuhur. Koleksi bertambah dan saya sangat teruja...sangat teruja...sangat teruja...wah..3 kali ulang :).

Monday, April 27, 2009

Baru


Hari ini saya menerima surat dari pejabat pendaftar. Arahan pindah ke kampus Puncak Alam berkuatkuasa 1 Jun 2009. Saya hanya tersenyum kerana saya sudah bersedia dengan arahan ini sejak kali pertama melapor diri lebih 5 tahun yang lalu. Segala pelan dan pengisian bangunan yang banyak dan besar itu kami lakarkan sejak itu. Kabur sungguh imaginasi saya kali pertama mesyuarat dahulu dan kini ianya sudah siap. Sungguh besar dan banyak ruang.
Hostel pelajar di atas bukitMakmal saya yang masih kosong
Bangunan FSK di seberang jalan dari FFBangunan pejabat kami

Sekali lagi saya kabur. Ianya berlaku di tahun akhir pengajian saya (tolong doakan ianya memang tahun akhir saya). Peralatan akan diangkut ke sana dan ditempatkan di tempat baru. Sudah stabilkah bekalan elektriknya? Berapakan kelembapan relatif bilik itu? Talian telefon dan internet sudah baguskah? Bagaimana pula dengan akses untuk Scopus dan kawan-kawannya? Makmal penyelidikan hanya akan berpindah selepas bulan 11 nanti walaupun banyak berita dari khabar angin yang bertiup kencang dengan pelbagai kemungkinan. Yang pastinya, pengajaran dan makmal pengajaran berpindah pada Jun ini. Alangkah bagusnya jika penyelidikan saya tidak melibatkan peralatan yang besar-besar dan sensitif sangat pada perubahan arus elektrik mahupun kelembapan relatif bilik...alangkah bagusnya jika saya hanya membuat penyelidikan hanya bergantung kepada sebiji komputer riba dan perisian serta pencetak? Ishh.....jangan..jangan begitu epel....sabarlah....bertenang....

Semakin saya memikirkannya, semakin pantas degupan jantung dan selalu pula kepala saya pening. Saya mengambil keputusan untuk mengikut arus dengan kompas dan sebatang pendayung yang juga boleh bertindak sebagai tongkat dan mampu mencangkuk andainya arus nanti keras dan kejam, sekurang-kurangnya saya tahu arah kiblat..hahahah..apakah ini?

Semoga penghijrahan ini memberikan yang terbaik buat kami semua.









Friday, April 24, 2009

Doakan Kak Ida


Semasa saya memulakan karier saya di sini, saya duduk menyewa di sebelah rumah sepupu suami (ketika itu tunang saya). Duduk di kawasan kampung di Padang Jawa dan bergaul dengan masyarakat setempat benar-benar membuatkan saya mengalami kejutan budaya. Saya fikir saya adalah seorang anak gadis yang sangat jarang menghadiri majlis kenduri-kendara apatah lagi rewang. Di Padang Jawa, saya belajar menghadiri rewang, kenduri, majlis bacaan kitab oleh ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah dan belajar bergaul dengan masyarakat. Di kampung, saya jarang keluar rumah, apabila emak meminta ditemankan menghadiri kenduri, saya sekadar menjadi pemandu emak dan menunggu emak di dalam kereta. Ya..saya tahu itu adalah tidak bagus dan sangat tidak mesra komuniti. Itulah saya. Ketika kecil saya sangat teruja untuk mengikut emak dan arwah apak menghadiri majlis kenduri-kendara tapi peluang itu sangat jarang muncul kerana kami tiada kenderaan. Apabila sudah ada kereta, tidak muat pula untuk diisi semuanya dan saya menjadi pilihan untuk ditinggalkan. Apabila sudah remaja dan kemudian menjadi dewasa, keinginan itu sudah tiada dan tidak menjadi pilihan utama saya lagi.
Ketika di PJ saya diperkenalkan dengan Kak Ida, telah berkahwin lebih 10 tahun dan tidak dikurniakan zuriat tetapi mengambil seorang anak angkat . Kak Ida didiagnos menghidapi kanser servik, payudara dan juga pilorik pada tahap 3. Payudara dibuang sebelah, servik dibuang dan sebahagian usus juga dibuang. Penyakit didiagnos ketika kak Ida mengandung satu-satunya zuriat. Kak Ida berkorban nyawa supaya anaknya dilahirkan dan dengan izin Allah kedua-duanya selamat. Sejak itu, kak Ida tidak pernah berputus asa dengan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, kak Ida tetap menjalankan tanggungjawab untuk membesarkan anak-anak. Sesiapa sahaja yang kak Ida jumpa, ayat yang sama akan disuarakan, 'doakan kak Ida dapat besarkan anak-anak.' Kak Ida juga akan pergi berjumpa dengan sesiapa sahaja yang dikenali dan akan mengerjakan umrah atau haji mohon didoakan perkara yang sama.
Selepas 6 tahun berjuang, selepas subuh hari Jumaat yang penuh keberkatan ini, kak Ida telah dijemput kembali oleh yang Maha Pencipta. Moga roh kak Ida tenang di sana.
Saya sangat emosi dan pemergian kedua-dua insan yang jarang saya temui tetapi amat dekat di hati amat menggawatkan ketenangan saya. Pagi semalam, ketika saya mendapat panggilan telefon dari Angah memaklumkan keadaan kak Aisah yang kritikal, saya juga mendapat berita dari sepupu suami saya yang kak Ida juga sedang nazak. Allahyarhamah Dayang Aisah disemadikan di Sarawak dan Allahyarhamah Kak Ida di Perak. Giliran kita yang masih bernyawa ini akan tiba bila-bila masa. Bersediakah kita?

Thursday, April 23, 2009

Dia pergi jua


Pagi ini saya mendapat pesanan dari khidmat pesanan ringkas
Angah baru call, kak aisah kritikal. Minta tolong bacakan yasin, moga dipermudahkan.
Saya pernah menulis entri berkaitan kak Aisah di sini. Kak Aisah adalah adik kepada kakak ipar saya, yang berasal dari Sarawak.
Kenangan kali pertama berjumpa dengan kak Aisah ialah ketika Angah dan kak Dayang bernikah pada tahun 1992. Ketika itu kak Aisah adalah mahasiswa di UIA, Gombak. Ketika itu, kak Aisah sangat bersemangat memetik rambutan merah dan kuning yang banyak dihalaman rumah mak di Seremban. Kemudian kami berjalan kaki ke pasar malam di Ampangan dan kak Aisah sempat membeli kain untuk dibuat baju kurung yang berwarna hijau dan berbunga merah dan kuning. Sangat cantik kain itu dan kata kak Aisah itu adalah kenang-kenangan dari Ampangan.
Percaya atau tidak, kesan kenangan memanjat pokok rambutan dan berjalan kaki ke pasar malam itu sangat kuat dan ianya kekal di hati saya dan membuatkan kami rapat walaupun hakikatnya kami hanya berjumpa 2, 3 kali lagi selepas itu. Kak Aisah dan suami menghadiri majlis walimah saya dan suami dan kemudiannya mengunjungi rumah sewa kami di Padang Jawa. Di pertemuan terakhir itu, kak Aisah kelihatan sangat gembira dan berselera menikmati keropok lekor yang kami bawa balik dari KT. Itulah pertemuan terakhir...
Pukul 12.16 tengahari tadi, kak Dayang menelefon saya.
Aisah dah takde teh, tolong bagitahu adik beradik yang lain.
Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.
DariNya kita datang dan kepadaNya kita kembali.
Al Fatihah buat Dayang Aisah Awang Saperi yang meninggalkan suami dan 4 orang anak yang masih kecil. Moga roh Kak Aisah tenang di sana.

Wednesday, April 22, 2009

Lupa



Apabila saya melakukan kerja tikus, ianya bermakna komitmen 200 peratus terhadap binatang kecil itu. Beddingnya perlu ditukar setiap hari, air dan makannya perlu dijaga. Sangkarnya pula perlu ditukar dan dibasuh setiap minggu. Ianya rutin yang memerlukan tenaga dan penumpuan luar biasa terutama buat saya yang geli geleman dengan tikus atau apa sahaja binatang sebenarnya.


Sabtu yang lalu, seperti biasa saya datang ke makmal dan melakukan rutin berkenaan dengan fikiran yang agak bercelaru dengan pelbagai perancangan dan juga senarai kerja rumah yang panjang yang perlu diselesaikan sebelum Isnin menjelma. Selesai menukar dan membersihkan sangkar dan juga setelah selesai menukar dressing dan membersihkan luka, saya telah seperti biasa secara rutinnya memeriksa setiap sangkar ada botol air dan sudah diletakkan makanan. Setelah berpuas hati saya pun meninggalkan bilik khas untuk sangkar tikus tersebut.


Ahad saya tidak datang kerana aturan prosedur adalah begitu. Pada pagi Isnin, saya telah pergi ke makmal seawal jam 7.30 pagi untuk melakukan rutin harian seperti biasa. Apabila sampai ke sangkar bernombor C14, saya lihat tikusnya tiada...bedddingnya tidak terusik, masih kemas seperti yang saya tinggalkan pada hari Sabtu. Berderau darah saya kerana tarikh tamat yang saya berikan untuk diri saya sendiri adalah pada 30 April 2009 untuk menyelesaikan semua kerja sectioning tersebut. Misteri sungguh. Puas saya memikirkannya dan akhirnya...dengan sepenuh kekuatan, saya membuka penutup tong sampah berwarna merah tempat semua sampah dibuang pada hari Sabtu dan belum saya keluarkan ke tempat pembuangan sampah kerana tiada khidmat tersebut pada hujung minggu.


Akhirnya...terungkailah misteri kehilangan tikus bertuah itu. Rupa-rupanya saya telah 'terbuang' ia bersama dengan bedding tempoh hari...Ia telah jatuh ke dalam timbunan bedding tersebut dan memandangkan sangkarnya yang terakhir saya bersihkan, saya terus menutup tong sampah itu rapat-rapat untuk mengelakkan pencemaran bau. Kasihan tikus itu. Tentu ia berusaha penuh perasaan untuk mengeluarkan diri dari tong tersebut. Saya rasa bersalah dan sebagai balasan, saya perlu mengulang prosedur dengan tikus yang lain dan tarikh akhir yang saya tetapkan terpaksa 'dikhianati'. Hmm....sesungguhnya...Allah adalah sebaik-baik perancang. Moga saya tabah!!

Tuesday, April 14, 2009

Ahli Farmasi Diperlukan


Iklan khidmat masyarakat:
Sebuah kedai farmasi di Kota Sarang Semut, Kedah memerlukan seorang ahli farmasi berdaftar dengan Lembaga Farmasi Malaysia.
Pendapatan lumayan ditawarkan: RM 5000 sebulan serta 40% share* dan elaun pengarah*
*bergantung kepada prestasi syarikat.
Sila hubungi:
Encik Zulkifli Mustafa: 012 5357701

p/s: wahh...besarnya gaji retail pharmacist sekarang. Ermm....menarik...menarik....hihihih

Ngeri


Pantasnya masa berlalu pantas konon...hihihihi. Saya kini sedang dalam mode hibernasi untuk menyiapkan beberapa mini experiments untuk menggilap ketepatan kerja yang dihasilkan. Wahh...macam hebat bunyinya. Tidak...ia tidak hebat langsung kerana saya dengan sedar dirinya telah meletakkan REMINDER.. PERINGATAN yang menakutkan tentang berapa bulan lagi saya ada sebelum biasiswa saya tamat. Ianya menakutkan dan saya harap ianya akan menjadi motivasi yang kukuh dan juga alat untuk menyedarkan saya sebelum ianya terlewat. Kerja-kerja saya di makmal.. Alhamdulillah.


Lupa pula..fakulti akan berpindah ke Puncak Alam. Kampus baru yang sudah siap. Esok saya akan menyertai lawatan tapak ke sana. Rumah saya berada di pertengahan antara kampus baru dan kampus sekarang. Oleh sebab itu, perpindahan tidak begitu menyebabkan saya bermasalah. Apa yang menjadi masalah besar terutama untuk staf sokongan adalah elaun sara hidup yang akan diturunkan nilainya dari RM300 sekarang (Shah Alam-Bandar) ke RM100 (Kuala Selangor-luar bandar). Mereka mengeluh. Saya juga termenung sejenak kerana beza RM200 adalah agak signifikan terutamanya kerana rumah saya sudah mula dibayar sejak September tahun lalu membuatkan penerimaan slip gaji setiap bulan agak kurang membuatkan saya teruja.
Apapun, tidak sabar juga rasanya ingin melihat makmal yang saya design sendiri mengikut imaginasi tidak terkawal saya. kononnya ada bilik bertukar pakaian/mandi untuk ke clean room tetapi ditolak kerana bajet terhad...hihihi

Sekadar Di Pinggiran



Arwah apak adalah seorang kakitangan Jabatan Telekom (JT) sebelum ianya diswastakan dan menjadi Syarikat Telekom Malaysia sehinggalah sekarang ia bergelar Telekom Malaysia. Setiap tahun, satu acara yang kami adik-beradik nantikan adalah Parti Telekom. Kami semua akan dipakaikan baju raya dan dijemput oleh pemandu kenderaan JT untuk dibawa ke venue yang terlibat. Parti Telekom sebenarnya adalah hari keluarga untuk semua kakitangan JT. Saya selalu teruja melihat hadiah yang ditawarkan kerana pada waktu itu, jajan adalah sesuatu yang agak mustahil untuk kami beli atau perolehi dari mak dan apak. Melihat balutan hamper yang beraneka saiz dan juga riben yang diikat di puncaknya...wahh...ianya merupakan satu pencapaian terhebat sekiranya kami berjaya memenangi hamper tersebut.
Gambar di atas adalah gambar saya menyertai pertandingan pakaian beragam ketika itu umur saya baru 5 tahun...hihihi...baju kurung moden yg saya pakai dijahit emak...dan kami 6 beradik mempunyai baju yang sama (arwah apak beli kain sepapan...hihihi). Emak memakaikan saya selendang dan dibentuk ala-ala head gear minangkabau. Kerongsang rama-rama itu pula adalah satu-satunya kerongsang yang mak sering gunakan pada baju kebayanya. Saya tidak ingat adakah saya menang atau kalah...yang saya ingat ketika itu, saya sangat takut ketika pengacaranya Pakcik Jamal mengambil saya yang dihulurkan dari bawah pentas oleh apak. Hihihi....jadilah..merasa juga bergelar model kanak-kanak.
Tahun-tahun berikutnya parti telekom diadakan tanpa jemu dan penyertaan saya yang paling cemerlang ialah ketika saya berada di dalam darjah tiga atau empat dan ketika itu lagu sekadar di pinggiran sedang ngetop!! Saya banyak belajar lirik lagu samada lagu melayu atau lagu inggeris dari kaklang dan acik kerana mereka yang ketika itu di TKC mempunyai buku skrap koleksi lirik lagu. Saya sering 'jaki' dengan keupayaan meraka bertutur bahasa inggeris dengan fasih dan saya juga mengajuk-ajuk percakapan mereka ketika keseorangan. Saya gemar curi-curi membacanya dan menghafalnya apabila lagu dimainkan di radio. Antaranya adalah lagu Francesca Peters tersebut. Saya telah dengan beraninya pergi ke hadapan apabila diminta membuat persembahan dan nyanyian saya diiringi oleh life band!! Hahahah...arwak apak dan mak sangat terkejut dengan bakat terpendam yang saya ada dan arwah apak hanya senyum manakala emak pula tidak berkata apa-apa. Saya berjaya memperolehi hamper besar yang penuh dengan jajan serta air gas. Ianya pengalaman yang saya kenang sehingga sekarang. Apabila bersama keluarga dan kami mendengar lagu tersebut, mereka masih menyebut tentang keberanian saya yang tiba-tiba bangun menawarkan diri untuk membuat persembahan ketika itu. Minat menyanyi itu tidak pernah padam sehinggalah tahun-tahun berikutnya di sekolah menengah dan seterusnya USM. Di sini, sekarang ini? Cukuplah saya menghiburkan diri sendiri...pitching sudah banyak lari....hihihi...


Friday, April 10, 2009

Mood godek-godek...


Saya sedang mengubahsuai blog ini. Terima kasih :)

Thursday, April 02, 2009

Kembar


Muhamad Azhar dan Muhamad Azfar
Pakcik dan Makcik-makcik
Mama dan Abah
Puan Jay dan pasangan baru sahaja dikurniai cahayamata...sepasang cahayamata lelaki yang dilahirkan kembar secara normal dan pembedahan. Ianya suatu pengalaman yang menyeronokkan bagi kami semua di lab. Bagi saya pula, ini adalah pengalaman pertama melihat bayi kembar yang baru dilahirkan. Mereka kelihatan serupa. Semoga menjadi anak-anak soleh buat mama dan abah ye.

Thursday, March 05, 2009

Rahsia


Seorang ahli keluarga rapat saya sedang bertarung dengan kanser pilorik (perut) tahap keempat yang baru dapat didiagnos 2 minggu lepas. Permintaannya supaya dirahsiakan dari ibu bapa yang agak uzur dan ahli keluarga lain kerana ini adalah kali kedua keluarga ini diuji dengan penyakit kanser. Kakaknya meninggal dunia lebih 10 tahun lalu diuji dengan penyakit yang sama. Saya merasakan kepedihannya walaupun saya hanya bertemunya 4 kali sahaja namun ikatan ukhuwah itu sangat rapat, kukuh terpahat di dalam hati. Pasukan perubatan di Hospital Kuching sudah 'melepaskan'nya pulang ke rumah. Dia memohon kepada suaminya supaya mereka berpindah ke rumah yang baru dibelinya kerana katanya, mahu mati di rumah sendiri. Ajal maut rahsia Allah jua..pasukan perubatan hanya mampu meramal. Ya Allah...pedihnya hati saya mendengar ucapan itu. Ianya juga membuatkan saya menyedari bahawa ukhuwah itu sesuatu yang sangat misteri...tidak perlu tinggal bersama atau bersapa mesra saban hari...ianya kompleks. Ianya kurniaan Allah.
Mohon doakan buat dia...semoga dia melaluinya dengan tenang, mudah dan kurangkan kesakitan yang dialaminya.
nota: Berita terbaru ini menjadikan saya menjadi ratu air mata secara konsisten sejak 3 hari yang lalu.

Wednesday, March 04, 2009

Upin dan Ipin


Saya sedang bersedih.
Apabila kita melakukan sesuatu tanggungjawab yang diamanahkan, lakukannya kerana Allah..yaa...hanya keranaNya.
Bukan untuk mengumpul markah bagi kenaikan pangkat (ini adalah betul juga tapi jangan jadikannya niat utama...contohnya: sahaja aku menjadi ketua program tanpa elaun selama setahun kerana ingin naik pangkat). Segalanya hanya untuk Allah. Allah akan mengatur yang terbaik untuk saya, saya yakin itu...saya yakin seyakin-yakinnya...
Emak selalu berpesan, apabila diberikan tugas, lakukan sebaik mungkin walaupun ada ketikanya, kita yang melakukan kerja tersebut tetapi orang lain mendapat sijil nama ataupun kita membuat kerja bersama-sama tetapi kemudian ada pula konsep idea asal hak milik mutlak orang lain ataupun juga kita ke hulu ke hilir menyempurnakan program pelajar tetapi pihak atasan terlupa nama penuh kita kak aisyah...harap bersabar...siaran tergendala sebentar dan banyak lagi.
Saya bersedih apabila apa yang saya ingin tidak diperolehi. Mungkin belum tiba masanya. Saya dicadangkan supaya jangan berfikir perkara lain selain pengajian saya dan mudahkanlah kerja pihak yang perlu membuat keputusan. Ye!! Baiklah.
Cerita lain pula...
2 minggu lepas saya menonton Geng: Pengembaraan Bermula. Saya sangat seronok dan tumpang bangga dengan kejayaan filem berkenaan. Terasa seperti ingin meminjam dari Les Copequemembeli sarung hantu durian dan berjalan-jalan di tingkat atas bangunan ini...ermmm.....
Ini pula sms yang saya terima semalam...yang menyentuh hati nurani saya...Moga Allah berikan kekuatan untuk saya.
Bila engkau memandang segalanya dari Allah, yang menciptakan segalanya, yang menimpakan ujian, yang menyebabkan sakitnya hatimu, yang menyebabkan keinginanmu terhalang, serta menyusahkan hidupmu, pastinya akan damai hatimu kerana...
Masakan Allah, sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tak tahu deritanya hatimu, pecahnya hatimu, tapi mungkin itulah yang Dia mahu kerana Dia tahu hati sebegini selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab padaNya.

Monday, February 23, 2009

Akhirnya ia rosak juga


Sudah bersawang blog ini rasanya.
Seperti biasa, saya ada alasan yang kukuh untuk tidak update blog ini. Hihihi...

Alasan sibuk, seperti biasa juga mendahului senarai. Selain itu, alasan lain adalah notebook yang diberikan oleh fakulti sejak 5 Februari 2005 sudah dimasukkan ke wad kerana monitornya sudah sangat suram. Sebak juga apabila terpaksa melepaskan notebook tersebut (?? emosinya awak ni). Tanggal 9 Februari lalu adalah ulangtahun ke 5 saya bekerja di UiTM. Sekejap sungguh masa berlalu. Saya dan suami menghadiahkan kepada diri saya sendiri sebuah notebook baru 'mampu milik' sempena dengan kembalinya notebook lama ke alam lain (??alam mana?).

NB lama yang sudah tidak berfungsi

Sejak sebulan yang lalu, saya seperti biasa hanyut ditelan gelombang kerja di makmal. Kerja tikus untuk pusingan ini sudah tamat minggu lepas dan saya kini sedang tenggelam timbul pula untuk analisis data yang belum siap-siap lagi. Lembab sungguh saya dengan analisis data.


Saya dan pengantin baru...cantik ayong riza...hazli...ermm...katun macam biasa.

3 minggu lepas saya telah menghadiri majlis walimah ayong riza dan pasangan yang merupakan bekas pelajar saya. Sabtu lepas pula, saya ke HUKM menziarah suami ayong riza yang ditimpa kemalangan hari Isnin lalu. Kasihan pengantin baru berbulan madu di wad trauma. Moga cepat sembuh ye.
 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino