Friday, April 10, 2009

Mood godek-godek...


Saya sedang mengubahsuai blog ini. Terima kasih :)

Thursday, April 02, 2009

Kembar


Muhamad Azhar dan Muhamad Azfar
Pakcik dan Makcik-makcik
Mama dan Abah
Puan Jay dan pasangan baru sahaja dikurniai cahayamata...sepasang cahayamata lelaki yang dilahirkan kembar secara normal dan pembedahan. Ianya suatu pengalaman yang menyeronokkan bagi kami semua di lab. Bagi saya pula, ini adalah pengalaman pertama melihat bayi kembar yang baru dilahirkan. Mereka kelihatan serupa. Semoga menjadi anak-anak soleh buat mama dan abah ye.

Thursday, March 05, 2009

Rahsia


Seorang ahli keluarga rapat saya sedang bertarung dengan kanser pilorik (perut) tahap keempat yang baru dapat didiagnos 2 minggu lepas. Permintaannya supaya dirahsiakan dari ibu bapa yang agak uzur dan ahli keluarga lain kerana ini adalah kali kedua keluarga ini diuji dengan penyakit kanser. Kakaknya meninggal dunia lebih 10 tahun lalu diuji dengan penyakit yang sama. Saya merasakan kepedihannya walaupun saya hanya bertemunya 4 kali sahaja namun ikatan ukhuwah itu sangat rapat, kukuh terpahat di dalam hati. Pasukan perubatan di Hospital Kuching sudah 'melepaskan'nya pulang ke rumah. Dia memohon kepada suaminya supaya mereka berpindah ke rumah yang baru dibelinya kerana katanya, mahu mati di rumah sendiri. Ajal maut rahsia Allah jua..pasukan perubatan hanya mampu meramal. Ya Allah...pedihnya hati saya mendengar ucapan itu. Ianya juga membuatkan saya menyedari bahawa ukhuwah itu sesuatu yang sangat misteri...tidak perlu tinggal bersama atau bersapa mesra saban hari...ianya kompleks. Ianya kurniaan Allah.
Mohon doakan buat dia...semoga dia melaluinya dengan tenang, mudah dan kurangkan kesakitan yang dialaminya.
nota: Berita terbaru ini menjadikan saya menjadi ratu air mata secara konsisten sejak 3 hari yang lalu.

Wednesday, March 04, 2009

Upin dan Ipin


Saya sedang bersedih.
Apabila kita melakukan sesuatu tanggungjawab yang diamanahkan, lakukannya kerana Allah..yaa...hanya keranaNya.
Bukan untuk mengumpul markah bagi kenaikan pangkat (ini adalah betul juga tapi jangan jadikannya niat utama...contohnya: sahaja aku menjadi ketua program tanpa elaun selama setahun kerana ingin naik pangkat). Segalanya hanya untuk Allah. Allah akan mengatur yang terbaik untuk saya, saya yakin itu...saya yakin seyakin-yakinnya...
Emak selalu berpesan, apabila diberikan tugas, lakukan sebaik mungkin walaupun ada ketikanya, kita yang melakukan kerja tersebut tetapi orang lain mendapat sijil nama ataupun kita membuat kerja bersama-sama tetapi kemudian ada pula konsep idea asal hak milik mutlak orang lain ataupun juga kita ke hulu ke hilir menyempurnakan program pelajar tetapi pihak atasan terlupa nama penuh kita kak aisyah...harap bersabar...siaran tergendala sebentar dan banyak lagi.
Saya bersedih apabila apa yang saya ingin tidak diperolehi. Mungkin belum tiba masanya. Saya dicadangkan supaya jangan berfikir perkara lain selain pengajian saya dan mudahkanlah kerja pihak yang perlu membuat keputusan. Ye!! Baiklah.
Cerita lain pula...
2 minggu lepas saya menonton Geng: Pengembaraan Bermula. Saya sangat seronok dan tumpang bangga dengan kejayaan filem berkenaan. Terasa seperti ingin meminjam dari Les Copequemembeli sarung hantu durian dan berjalan-jalan di tingkat atas bangunan ini...ermmm.....
Ini pula sms yang saya terima semalam...yang menyentuh hati nurani saya...Moga Allah berikan kekuatan untuk saya.
Bila engkau memandang segalanya dari Allah, yang menciptakan segalanya, yang menimpakan ujian, yang menyebabkan sakitnya hatimu, yang menyebabkan keinginanmu terhalang, serta menyusahkan hidupmu, pastinya akan damai hatimu kerana...
Masakan Allah, sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tak tahu deritanya hatimu, pecahnya hatimu, tapi mungkin itulah yang Dia mahu kerana Dia tahu hati sebegini selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab padaNya.

Monday, February 23, 2009

Akhirnya ia rosak juga


Sudah bersawang blog ini rasanya.
Seperti biasa, saya ada alasan yang kukuh untuk tidak update blog ini. Hihihi...

Alasan sibuk, seperti biasa juga mendahului senarai. Selain itu, alasan lain adalah notebook yang diberikan oleh fakulti sejak 5 Februari 2005 sudah dimasukkan ke wad kerana monitornya sudah sangat suram. Sebak juga apabila terpaksa melepaskan notebook tersebut (?? emosinya awak ni). Tanggal 9 Februari lalu adalah ulangtahun ke 5 saya bekerja di UiTM. Sekejap sungguh masa berlalu. Saya dan suami menghadiahkan kepada diri saya sendiri sebuah notebook baru 'mampu milik' sempena dengan kembalinya notebook lama ke alam lain (??alam mana?).

NB lama yang sudah tidak berfungsi

Sejak sebulan yang lalu, saya seperti biasa hanyut ditelan gelombang kerja di makmal. Kerja tikus untuk pusingan ini sudah tamat minggu lepas dan saya kini sedang tenggelam timbul pula untuk analisis data yang belum siap-siap lagi. Lembab sungguh saya dengan analisis data.


Saya dan pengantin baru...cantik ayong riza...hazli...ermm...katun macam biasa.

3 minggu lepas saya telah menghadiri majlis walimah ayong riza dan pasangan yang merupakan bekas pelajar saya. Sabtu lepas pula, saya ke HUKM menziarah suami ayong riza yang ditimpa kemalangan hari Isnin lalu. Kasihan pengantin baru berbulan madu di wad trauma. Moga cepat sembuh ye.

Saturday, January 24, 2009

Keputusan


Saya adalah seorang pelajar yang sangat tidak menggemari waktu keputusan peperiksaan diumumkan. Banyak peristiwa yang berlaku disepanjang tempoh pengajian saya yang melibatkan keputusan peperiksaan. Saya bukanlah pelajar terbaik yang hebat berpidato, berpantun, bersyair, bermain bola jaring dan bukanlah juga pelari pecut tambatan sekolah. Setakat lari sambil bawa bola pingpong dalam sudu yang saya pegang bolanya dan saya lari terkedek-kedek dan berjaya memenangi hamper pada sukaneka anjuran fakulti bolehlah...heheheh... Oleh itu, saya bukanlah pelajar hebat yang berbakat besar. Oleh kerana itu juga, saya amat tidak pandai menangani stress apabila tiba waktu keputusan peperiksaan diumumkan.
Semasa dalam darjah 6, peperiksaan besar pertama yang saya perlu saya lalui dan nantikan keputusannya dengan penuh debaran ialah UPSR. Perkara yang paling merisaukan saya ialah nama saya telah salah didaftarkan untuk peperiksaan. M di dalam nama saya telah digantikan dengan huruf H...ermm..saya sangat susah hati waktu itu kerana saya bercita-cita tinggi untuk ke S.M.A.P Labu/Kajang...wahhh!! Sayakan bercita-cita untuk menjadi ustazah berkelulusan Mesir. Haaa...nampaknya cerita saya sudah menyimpang dari tajuk asalnya. Dipendekkan cerita keputusan UPSR diumumkan pada 22 Nov 1989 iaitu 3 hari sebelum majlis walimah Along dan Abanglong. Saya mengetahuinya dari rakan sekelas yang menelefon talian tetap di rumah. Apabila rakan saya tadi memaklumkan perkara berkenaan, apalagi...adrenalin telah dirembeskan dengan sangat laju..saya berpeluh sejuk panas dan apabila emak saya mencuba menelefon sekolah untuk bertanyakan keputusan saya, saya telah memutuskan talian sebanyak lebih 2 kali. Saya hanya berhenti apabila emak mencubit lengan saya...heheheh...Perasaan saya ketika itu, saya mahu tahu..tetapi bagaimana andainya slip keputusan peperiksaan saya tidak mengandungi 5A? Ianya mungkin kertas bercetak 4A 1B? Atau 5B? Oohhhh...tidakkkk!!...
Apabila saya mendengar sahaja emak berkata sambil tersenyum lebar...
"Alhamdulillah......."
Satu kejadian yang tidak diduga telah berlaku....saya pengsan.
Hahahahahahahahahahahahahahahahaha....
Sehingga ke hari ini adik-beradik saya terutama uda sering mengusik saya dengan kejadian tersebut. Ya..saya telah pengsan kerana ianya seperti antiklimaks pada sistem badan saya yang sedang sangat teruja/berdebar/takut/risau/runsing dan lain-lain perasaan yang bersangkutan. Bahaya sungguh. Sepanjang hari itu saya telah tersenyum dengan lebarnya kerana natijah UPSR yang cemerlang.
Begitu juga ketika SRP diumumkan..saya telah dipesan berkali-kali oleh emak supaya bertenang dan banyak berselawat dan jangan pengsan lagi...heheheh....Alhamdulillah saya tidak pengsan tetapi mulut saya telah ternganga sehingga ustazah bahasa Arab saya terpaksa merapatkan rahang saya agar mulut saya dapat ditutup. Alhamdulillah, sekali lagi saya telah berjaya merangkul keputusan cemerlang..satu-satunya pelajar SMAA tahun itu yang mendapat semua A. Wahhh!! Macam hebat ..tapi SMAA cuma ada 2 kelas tingkatan 3 jadi ianya tidak sehebat yang disangka ye.
Peperiksaan SPM pula saya hanya menelefon pejabat maktab dan mengetahui keputusan SPM saya yang jauh dari hebat atau cemerlang. Emak kecewa saya tahu...saya jauh lebih kecewa...hampa...ermm...subjek kimia dan biologi saya hanya mendapat C4...jauh tersasar dari keputusan biasa saya. Kecewanya saya ketika itu...kesimpulannya...kerana keputusan tidak cemerlang...adegan pengsan dan rahang mulut ternganga luas telah ditiadakan kerana tiada tajaan...Heheheh..
Selepas matrikulasi, keputusan cemerlang peperiksaan sudah tidak begitu menjadi realiti dalam sejarah hidup saya. Saya adalah pelajar sederhana yang tidak pandai berpidato, berpantun, bersyair, bermain bola jaring dan bukanlah juga pelari pecut tambatan ataupun jaguh lontar peluru. Semasa di tahun akhir, saya amat mengharapkan agar saya berjaya mencapai target saya namun Allah tidak mengizinkannya begitu. Saya tewas dengan hanya 0.01 untuk mencapai target saya. Namun saya redha walaupun bukan dalam sekelip mata. Saya telah menangis secara berganti-ganti selama seminggu. Ya Allah...saya sangat hampa ketika itu...
Pengajian di peringkat sarjana juga memberikan satu lagi pengalaman berharga. Keputusan peperiksaan ditampalkan di papan kenyataan. Anda lulus sekiranya nama anda ada di dalam senarai dan tidak lulus sekiranya nama anda tiada. Saya melalui kedua-duanya dan berakhir dengan nama saya kembali semula ke dalam senarai selepas 1 semester tambahan...itulah kali pertama dan terakhir saya gagal dalam peperiksaan. Bukan gagal semua...gagal 1 modul sahaja. Gagal yang memaksa saya dan Masni berpindah randah dari satu tempat ke tempat yang lain ketika tempoh saya mengulang 1 modul itu kerana biasiswa hanya diberikan untuk 3 bulan tambahan sahaja. Selepas keputusan itu diumumkan saya telah jatuh sakit selama seminggu...hanya boleh minum air. Oleh kerana itu juga saya melalui pengalaman bekerja sebagai pengasuh anak dan juga orang gaji kepada satu keluarga. Hihihi..jadi bibik saya di bandar London. Aduhai...ianya kenangan yang bercampur baur rasanya...pahit..manis..masam dan sebagainya. Akan tetapi ia mengajar saya erti kehidupan dan memberikan pengalaman yang tidak ternilai harganya. Kesimpulannya..belajar rajin-rajin juga tidak menjanjikan apa-apa sekiranya anda tidak tahu lokasi peperiksaan akhir berjalan. Ya..saya telah tersesat semasa mencari dewan peperiksaan dan menyebabkan saya terlewat tiba. Ianya membuatkan fokus saya hilang dan saya 'blank' dalam dewan peperiksaan-mungkin kerana serangan panik akibat tidak tahu ke mana arah harus dituju. Ianya juga mengajar saya erti betapa bermaknanya buku kecil bertajuk 'London A to Z'...hihihi.. Kini saya boleh ketawa mengingatkannya kembali kerana masa itu telah berlalu.. Walaubagaimana pun, saya juga mengerti bahawa ianya hanya sebab..Allah merencanakan begitu buat saya supaya saya lebih rendah hati dan mengerti perasaan ditimpa kegagalan dan bangkit semula menebusnya....Ianya kini menjadi memori terindah di dalam lipatan sejarah kehidupan seorang insan.
Sebenarnya..tujuan utama saya menulis pada hari ramai perantau pulang ke kampung halaman dan saya telah terperangkap di makmal kerana kerja tikus saya sedang berjalan serta suami pula telah pulang ke kampung...uwaaaa!! untuk memeriahkan perayaan tahun baru cina ini ialah untuk berkongsi berita gembira. Keputusan peperiksaan semester pertama suami saya telah diumumkan dan natijahnya sangat baik. Alhamdulillah...syukur. Semoga suami saya akan terus belajar dengan sepenuh tenaga dan usaha kami...eccehhh...untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademiknya. Moga Allah permudahkan perjalanan kami. Aameen....

Tuesday, January 20, 2009

Tahniah...


Saya mempunyai banyak kategori sahabat rapat. Antara kategorinya ialah sahabat rapat senasib yang belum Allah kurniakan cahayamata. Pagi ini saya mendapat perkhabaran sahabat saya, puan N telah dikurniakan cahayamata lelaki yang selamat dilahirkan di PUSRAWI. Syukur alhamdulillah. Kami sering berkongsi masalah dan meluahkan perasaan tentang persepsi keluarga dan masyarakat. Puan N yang sudah masuk tahun ke 6 perkahwinan tertekan sejak awal kerana dia mempunyai kembar yang bernikah pada tarikh yang sama dan sudah pun memperolehi zuriat. Pelbagai kaedah dicuba tanpa putus asa dan saya masih ingat kali terakhir April lalu dia dan suami terpaksa akur bahawa kaedah IVF yang diikhtiarkan juga belum Allah perkenankan. Siapa menyangka bahawa Allah menganugerahkan mereka zuriat secara normal yang hadir sebulan selepas kaedah IVF gagal. MasyaAllah..Subhanallah...Saya menitiskan airmata mendengar perkhabaran puan N mengandung 9 bulan lalu. Tengahari tadi saya menelefon puan N yang kedengaran lemah tetapi sangat gembira. Sekali lagi airmata saya menitis memikirkan keagungan Allah dan saya berasa sangat gembira. Semoga puan N dan suami akan lebih bahagia dan juga moga anak yang dilahirkan akan menjadi anak yang soleh..penyejuk mata dan penawar jiwa buat ayahanda bonda. Tahniah puan N!!

Thursday, January 15, 2009

Undi


Banyak betul perkara yang memerlukan perlakuan memangkah pada minggu ini. Banyak ke? Hihihi..
Pagi tadi saya telah menjalankan tanggungjawab saya sebagai warga kampus UiTM yang berdedikasi. Buat pertama kalinya, FF ada calon lebih dari 2 kerusi yang diperuntukkan iaitu seramai 4 orang calon MPP. Seronok juga dapat mengundi apatah lagi calon-calon tersebut adalah anak didik saya. Rupa-rupanya cara mengundi di UiTM adalah secara online. Bagus juga cara begini tetapi saya tetap sukakan cara yang lama kerana kita perlu memegang pen dan membuat dua garis yang bersilang di tengah-tengah dan melalui pepenjuru kotak undian tersebut. Hihihi..

Apabila merenung kembali, oleh kerana terlalu banyak 'menulis' menggunakan komputer, saya kira sudah banyak perkataan bahasa inggeris yang saya tidak hafal ejaannya. Ia akan di betulkan secara automatik oleh word. Ianya amat menyusahkan hati terutama semasa saya perlu menduduki semula IELTS 2 tahun lalu semasa baru mendapat tawaran biasiswa dahulu. keputusan IELTS yang saya perolehi tahun 2002 dahulu sudah tamat tempoh Saya belajar mengeja dengan kamus. Hihihi...Ehh..kenapa pula masuk cerita IELTS ni...

Sabtu ini pula akan berlangsung pilihanraya kecil kawasan parlimen P036, Kuala Terengganu. Suami saya berdaftar di sana akan tetapi kerana tarikh tersebut bertembung dengan tarikh kuliah pertamanya maka pilihan perlu dibuat. Semoga bakal ahli parlimen yang akan dipilih dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Hari ini, selain dari mengundi saya ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan. Badan agak lesu hari ini tetapi semangat tetap membara!! jangan membara je epel..pergi buat kerja tu!!

p/s: Terima kasih buat suami saya yang disayangi kerana sanggup menunggu saya menyelesaikan kerja di makmal sehingga lewat malam saban hari. Semoga Allah membalasnya.

Wednesday, January 14, 2009

Pening



Uda adik saya yang berbeza umur hanya setahun dengan saya. Uda menguruskan firma guaman di seksyen 9. Dalam usia muda dengan pelbagai tekanan, uda didiagnosa menghidapi tekanan darah tinggi namun tidak begitu teruk. Saban hari uda akan mengadu pada saya, pening, sakit kepala dan pelbagai lagi. Uda juga sangat takut untuk mengambil ubat bercampur-campur (polifarmasi) dan sangat prihatin tentang masalah kesihatannya. Oleh kerana itu saban hari uda akan menghubungi saya dan akan bertanya soalan ringkas.
'Kalau ambil tanakan dengan paracetamol boleh tak?'
'Pagi tadi dah makan amlodipine, ni nak minum teh hijau boleh tak?'
Uda akan tetap bertanya walaupun ianya hanyalah mengambil tablet 'arang' untuk masalah gas perut. Saya juga bukanlah seorang yang penyabar..hihihi...seringkali juga saya membebel pada uda ketika saya sedang sibuk. Pagi ini, uda menghantar pesanan ringkas melalui telefon bimbit yang berbunyi begini:

'Orang pening baliklah. Rasa panas je dari dalam mulut dan tekak.'

Ini pula balasan saya:

'Cuba letak kertas saiz A4 yang berwarna biru di mulut secara menegak. Tarik nafas dan hembus perlahan-lahan. Kemudian tarik semula nafas dalam-dalam dan hembus kuat-kuat ke arah kertas A4 berwarna biru tadi. Sekiranya kertas tu terbakar, kau jerit kuat-kuat, "api!! Api!! Tolong!!" Andainya tidak terbakar maknanya kau sihat takde apa-apa. Istighfar banyak-banyak dan muhasabah diri, tengok ada tak apa-apa perbuatan kurang manis yang kau buat , kalau takde syukurlah sebab Allah sayang lagi pada kau dan uji sikit-sikit je tu.'

Saya tahu uda akan marah dengan saya tetapi saya juga berharap uda akan ketawa sendiri membaca 'diagnosis' saya terhadap pening kepala dan panas badannya pagi tadi. Saya mendoakan kesejahteraan dan kesihatan untuk semua.
"Ya Allah, kau berilah kami kesihatan, pendengaran dan penglihatan yang baik."

Tuesday, January 13, 2009

Nasi lemak



Saya selalu menulis tentang pengalaman membantu emak berniaga nasi lemak tetapi rasanya saya belum pernah menulis pengalaman dimarahi makcik kantin sekolah juga kerana nasi lemak. Hari ini saya terbaca kisah zaujah tercinta Prof. MKI tertangkap menjual aiskrim semasa zaman persekolahan dahulu. Ianya mengembalikan ingatan saya terhadap peristiwa yang sama berlaku pada saya lebih 20 tahun yang lalu.

Rakan-rakan di sekolah dan juga guru-guru selalu menempah nasi lemak daun pisang yang emak jual di gerai. Sebungkus harganya 30 sen dan kadang kala saya membawa hampir 20 bungkus ke sekolah. Kebiasaannya juga, para pelanggan saya tidak akan makan nasi lemak tersebut di kantin sekolah sebaliknya akan makan bersama saya dan uda di laluan pejalan kaki yang menghubungkan bangunan lama sekolah dan juga padang tempat perhimpunan. Segalanya berjalan dengan baik dan lancar sehinggalah pada satu hari, sedang kami bersila sambil menyuap nasi lemak dengan berselera, satu bayang-bayang hitam yang besar telah menutupi cahaya yang saya gunakan untuk menikmati nasi lemak daun pisang bekalan emak. Rupanya bayang-bayang itu adalah makcik kantin yang sememangnya mempunyai diameter pinggang yang agak lebar...hihihi....saya sekarang juga begitu....

'Kau yang bawa nasi lemak ni ye sampai tak laku nasi lemak aku di kantin tu. Mulai esok, aku tak nak tengok dah budak-budak ni makan nasi lemak kau bawak ni, kalau kau bawak lagi, aku akan adukan pada cikgu displin' yang tanpa pengetahuannya merupakan pelanggan nasi lemak mak.. hihihih...

Ketika itu saya sangat sedih dan malu. Saya hanyalah seorang budak sekolah rendah berusia 10 tahun yang cuba membantu melariskan hasil jualan emak dengan lebih cepat. Itu sahaja niat saya, supaya emak tidak perlu menunggu sehingga pukul 10 pagi untuk menghabiskan jualan nasi lemak di gerai hadapan rumah. Sejak hari itu, saya tidak lagi menjual nasi lemak di kawasan itu lagi...hmm...Sebaliknya, saya menjual pula di kawasan belakang kelas saya yang amat jauh dari kantin sekolah. Hihihi....hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Arwah apak juga tidak menghantar saya ke sekolah lagi dan saya mengayuh basikal 'choper' kepunyaan acik yang memang sudah ketinggalan zaman tahun 1987 dahulu-,kawan-kawan saya kebanyakkannya mengayuh basikal BMX dan basikal itu tidak saya letakkan di kawasan rasmi meletak basikal sebaliknya saya sorokkan di bawah pokok kelapa di pintu pagar B berhampiran dengan surau.

Itulah nostalgia yang akan tetap saya kenang di sepanjang jalan kehidupan saya. Saya bukannya anak orang berada...dan saya harus menempuhi jalan berliku untuk menuju bahagia dunia dan akhirat. Semoga Allah memberkati emak, arwah apak, guru-guru, rakan-rakan dan juga makcik kantin yang telah menaikkan tahap kreativiti saya dalam perniagaan. Hihihi....

Monday, January 12, 2009

Abeer


Semasa di KC, London, sahabat baik saya adalah seorang rakyat Palestine yang menetap di Hebron, Palestine. Kami amat rapat kerana mempunyai persamaan yang jelas iaitu mengenakan tudung dan sering bersama ketika pergi musalla untuk menunaikan solat fardhu dan berkongsi kurma sewaktu berbuka puasa di dalam dewan kuliah semasa bulan Ramadhan.
Abeer sering berkongsi cerita kekejaman yahudi di tanahairnya. Ledakan peluru mengiring langkahan kaki ke sekolah. Abeer juga bercerita yang pulang ke rumah sambil berlarian dalam hujan peluru juga adalah pengalaman biasa dan tidak menakutkan kerana sudah terbiasa sejak kecil lagi. Abeer adalah seorang yang sangat defensif terhadap apa sahaja yang berkaitan dengan dirinya termasuklah saya. Abeer pernah bertengkar dengan seorang rakan sekelas yang menyerang saya akibat salah faham. Dia juga sangat cepat diserang panik kerana katanya, ketenangan dalam dirinya dan rakyat Palestine yang lain adalah ketika solat.
Selepas tamat pengajian dan kami masing-masing pulang ke tanahair masing-masing, kami masih saling berhubungan. Kali terakhir kami berkomunikasi adalah 3 bulan lepas melalui msn messenger. Abeer kini sudah mempunyai 2 orang puteri dan bahagia di samping suaminya. Apabila kisah serangan terhadap rakyat awan palestine berulang lagi buat sekian kalinya..saya mengingati Abeer, keluarga dan seluruh rakyat Palestine yang menjadi pelarian di negara sendiri.

Moga kita dapat menyumbang sedikit sebanyak untuk mereka.
http://www.mercy.org.my/main/index.php

Thursday, January 08, 2009

Akhirnya..


Akhirnya saya keluar dari 'persembunyian' sementara. Terlalu banyak perkara yang terjadi. Ada suka duka gembira dan derita, seiring tajuk blog ini. Diam tak diam, sudah 3 tahun usia blog ini. Masa berlalu begitu pantas. 1430 sudah muncul..2009 sudah menjelma dan saya masih di sini. Hihihi..baki biasiswa masih ada 18 bulan..seram sejuk saya dibuatnya. Banyak lagi kerja yang perlu disiapkan beserta rancangan Sifu untuk 'post' saya sementara ke tempat lain...

Apa yang berlaku sepanjang saya berdiam diri? Ringkasnya..majlis walimah sepupu rapat suami berlangsung di Perlis dan Shah Alam, majlis walimah adinda bongsu saya di Selayang dan Seremban, saya jatuh sakit, tidak larat bangun selama 3 hari, suami saya menghadapi peperiksaan akhir semester pertama, ibu mertua mengalami serangan jantung, mak saya jatuh dan cedera di kaki dan sekembalinya kami dari kampung, kami terlibat dengan kemalangan jalanraya yang mengakibatkan tayar pecah dan bumper kemek teruk...semuanya berlaku secara berturutan dan molek susunannya. Bersama sinar 1 Muharram yang menjelma, saya berharap dan berdoa dengan penuh sifat kehambaan..moga Allah memberikan kemudahan untuk perjalanan pengajian PhD saya. Saya memohon dengan penuh kerendahan hati, moga Allah memberikan juga kekuatan untuk saya menempuhi segalanya. Namun, saya tetap bersyukur kerana masih diberikan ruang untuk meneruskan perjuangan ini. Tidak juga Allah berikan kesukaran sahaja..banyak juga kemanisan yang tersirat antara setiap dugaan itu dan biarlah saya simpan sendiri sahaja.
Hantaran di walimah adinda bongsu saya
Selamat pengantin baru buat adinda bongsu Selamat pengantin baru buat sepupu suamiTomato ceri yang mak tanam sudah mula mengeluarkan hasil

Ulangtahun perkahwinan kami yang keempat juga sudah berlalu. Saya jarang sekali menyebut tentang anak. Siapa yang tidak mengharapkan dikurniakan cahayamata buat menyambung zuriat namun ketentuan Ilahi belum memberikan rezeki buat kami. Saya pernah keguguran...ketika itu saya sedang mengikuti kursus induksi di awal perkahwinan. Saya tidak menyedarinya dan hanya mengetahui tentangnya ketika usianya sudah 6 minggu. Ketika itu kami amat gembira dan bersyukur. Saya lebih lagi kerana saya memang selalu berjumpa dengan pakar sakit puan atas masalah kesihatan. Namun 'dia' hanya dipinjamkan selama 7 minggu..4 hari selepas ujian kehamilan, saya mula mengalami kesakitan. Diringkaskan cerita, saya dimasukkan ke wad dan kami kehilangan. Ianya memori sedih. Selepas 4 tahun, kekerapan pertanyaan 'bila nak berisi?', 'berapa orang dah?' ataupun...'ehh...tak bawak anak sekali ke?' semakin bertambah. Saya redha, Allah belum mengizinkan untuk kami..hikmahnya hanya Allah jua yang maha mengetahui.


Tuesday, November 04, 2008

65


Emak genap berumur 65 tahun semalam-3 November 1943 (entri ini dibiarkan sebagai draf selama 9 hari).Ingin saya coretkan pengorbanan dan perjuangan emak dalam mengharungi kehidupan setakat yang saya ketahui sepanjang 65 tahun itu.Emak dilahirkan pada tahun 1943 dan merupakan anak bongsu 4 beradik. Ketika emak berusia 3 tahun, nenda saya meninggal dunia dan kemudiannya emak beroleh ibu tiri. Emak berusia 9 tahun semasa datuk saya pergi buat selamanya dan meninggalkan emak dan mak tam (kakak emak) bersama ibu tiri. Kisah hidup mereka hampir menyamai kisah bawang putih bawang merah walaupun ketika allahyarham datuk masih hidup. Emak kemudian diserahkan kepada sepupu, ibu saudara, bapa saudara dan akhirnya emak tinggal bersama ibu saudaranya sehinggalah bertemu jodoh yang diwasiatkan oleh allahyarham moyang sayadengan allahyarham apak. Pada umur 10 tahun emak sudah tidak dibenarkan meneruskan persekolahan dan terpaksa membantu sepupunya menyediakan kuih tempahan dan juga gubahan hantaran yang ditempah pelanggan. Emak merupakan pelajar yang cerdik akan tetapi peluangnya tertutup akibat kemiskinan dan keperitan hidup.Selepas berkahwin dan memperolehi along, angah, alang dan acik, tanah yang keluarga kami diami diambil untuk pembinaan padang golf tempat berjudi yang masih ada hingga kini. Mak dan apak tabah meredah belukar dan semak untuk ke tanah gantian yang perlu dibayar harga penuh dan menebas semak samun sehinggalah tanah itu sesuai dijadikan kediaman yang masih kekal sehingga ke hari ini. 2 tahun di rumah itu saya dilahirkan di bilik tidur utama secara normal. Gaji apak yang kecil tidak mampu menampung perbelanjaan harian kami sekeluarga tambahan pula angah berjaya memasuki MRSM Kuantan. Selepas SPM, along pula berjaya melanjutkan pengajian ke Kanada. Ini menyebabkan perbelanjaan keluarga meningkat dan semakin meningkat apabila alang mendapat tawaran ke Kolej Tunku Kurshiah (KTK) dan diikuti jejaknya oleh acik 2 tahun kemudian. Emak tidak berputus asa dengan menghantar kuih-muih ke kantin sekolah dan pejabat untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga. Akhirnya semasa saya berumur 6 tahun, emak nekad memulakan perniagaan makanan untuk sarapan pagi di hadapan rumah.Ianya bermula dengan modal kecil dan sebuah meja yang dialas dengan lapik plastik berbunga. Semasa di awal perniagaan kadang-kadang gerai kecil kami hanya ditutup pada pukul 11 pagi dengan baki nasi lemak dan kuih-muih yang masih banyak. Emak tetap bersemangat dan meneruskan usahanya. Ketika itu, nasi lemak beserta sambal tumis ikan bilis, telur dadar dan hirisan timun dan dibungkus pula dengan daun pisang yang perlu dilap dan dilayur untuk memastikan kebersihannya dijual dengan harga 30 sen. Kuih-muih pula dijual dengan harga 20 sen. Dengan izin Allah, rezeki emak bertambah dan setahun kemudian apak mendirikan bangsal kecil di hadapan rumah lengkap dengan tempat simpanan alas plastik dan juga plastik membungkus makanan walaupun pada. Acik adalah pembantu tetap emak untuk memotong timun, menghiris telur dadar dan memotong kuih yang disediakan di dalam talam seperti kaswi, talam ubi, bingka tepung, bingka ubi dan juga menggulung kuih gulung berintikan kelapa manis. Selesai membantu emak acik akan mengayuh basikal ke sekolah rendah yang terletak lebih 1 km dari rumah. Acik biasanya hanya tiba di sekolah beberapa minit sebelum loceng berbunyi walaupun dilantik sebagai penolong ketua pengawas. Selepas acik ke KTK pada tahun 1985, ketika itu saya berada dalam darjah 2, berkongsi tanggungjawab dengan uda untuk membersihkan daun pisang dan membantu emak berniaga. Emak sangat cerewet perihal kebersihan dan keseragaman kuih-muih yang dihasilkan maka sejak itu saya belajar menjadi seorang yang cerewet juga seperti emak :) Semasa itu juga, saya mengambil alih tugas membuka gerai di hadapan rumah yang biasanya dibuka pada pukul 6.20 pagi. Itu adalah waktu yang tetap dan emak akan bangun pada pukul 4.30 pagi. Jika bangun awal, emak akan menguli tepung untuk membuat donat yang sangat saya gemari. Kenangan membuka gerai ini pula pelbagai. Saya adalah seorang penakut dan di kampung pula ada seorang yang kurang siuman dan gemar 'tumpang tidur' di gerai emak. Baunya memang tidak menyenangkan dan jika saya keluar selepas membuka lampu di gerai, saya akan mendengar dengan sangat teliti- ada atau tidak bunyi orang berkeruh atau bercakap-cakap. Jika tiada, legalah hati saya dan jika ada, saya akan menjerit memanggil emak dan emak akan keluar untuk menyuruh pemuda tersebut berlalu biasanya dia tidak akan berlalu sehinggalah diberikan kuih atau bihun. Satu lagi dugaan yang dihadapi ialah jika hari hujan dan kedapatan sekumpulan kambing yang tumpang berteduh dan juga menjadikan gerai emak tandas bergerak. Jika ini berlaku, saya dan emak akan berganding bahu mengangkut air dan mencuci gerai kami dengan pantas- supaya apabila pelanggan mula datang nanti, gerai bersih dan tidak berbau.

Dengan pendapatan emak berniaga nasi lemak dan kuih-muih untuk sarapanlah ekonomi keluarga kami meningkat. Saya masih ingat kecekalan emak yang sentiasa cuba untuk menyediakan yang terbaik untuk anak-anak. Antaranya:
Saban tahun, KTK akan mengadakan majlis makan malam, oleh kerana kami orang susah, emak akan tetap pastikan yang kakak-kakak saya mempunyai pakaian yang dijahit dan direka sendiri oleh emak seperti yang kedapatan di dalam majalah 'wanita' atau 'nona' yang dilanggan emak. Emak tidak mahu anak-anak gadisnya yang berdua ketinggalan dengan anak-anak kerabat-kerabat dan orang-orang kaya yang menuntut di situ. Masih juga dalam ingatan bagaimana di setiap ulangtahun kelahiran kakak-kakak saya yang berdua itu, emak akan menyediakan juadah yang banyak untuk dihantar ke asrama untuk jamuan hari lahir mereka. Jika kami ke sana melawat kakak-kakak, semasa apak belum membeli kereta, emak akan meminta bantuan jiran- kak Faridah dan Maklang Maimun untuk menghantar ataupun menyewa teksi.

Saban minggu emak akan ke pasar malam sebanyak 2 kali iaitu hari Selasa dan Jumaat untuk mendapatkan bekalan daun pisang dan juga ubi kayu. Sekiranya apak pulang lewat, emak akan mengangkut barangan yang banyak dan berat itu dengan berjalan kaki sejauh 1.5 km apabila emak tidak lagi mampu menaiki basikal kerana emak tidak boleh memandu sebarang kenderaan bermotor. Emak jarang sekali mahu mengambil teksi kerana wang RM3 yang perlu dibayar untuk teksi boleh digunakan untuk perkara lain yang lebih penting. Besarnya pengorbanan emak untuk kami semua. Kadang kala apabila terlalu letih, emak akan diserang migrane saya mewarisi penyakit ini dari emak dan emak selalu memberitahu saya yang serangan migrane bermula semasa saya di dalam kandungan lagi. Apabila emak diserang migrane, emak akan tidur dahulu dan akan bangun selepas tengah malam untuk menyiapkan kuih-muih untuk jualan keesokan harinya. Ketika di dalam darjah 3, emak mengambil keputusan untuk berniaga di waktu petang bagi menjual juadah berbuka puasa. Sebelumnya, emak akan bercuti sebulan semasa bulan puasa. Berniaga di bulan puasa juga memberikan cabaran yang tidak kurang hebatnya. Namun begitu, emak sudah mempunyai pelanggan tetap yang mencari karipap, roti jala dan juga popiah. Kulit popia emak dibuat sendiri dengan menyediakan bancuhan tepung dan disapu dengan tangan ke atas kuali tidak melekat yang leper. Saya pernah cuba membuatnya beberapa kali namun tangan saya tetap terkena permukaan kuali yang panas tidak seperti emak yang begitu cekap 'membalut' tangannya dengan tepung dan meninggalkan 1 lapisan yang nipis kulit popia di atas kuali yang akan mengering dalam tempoh 20 saat. Mee kuning juga emak sediakan di rumah dan biasanya proses ini dilakukan pada jam 1 atau 2 pagi. Selepas saya ke MRSM semasa di tingkatan 4, uda pula mengambil alih tugas utama membantu emak.

Saya menyaksikan jerih pedih emak membesarkan kami sehingga kami dewasa dan membentuk pula keluarga kami sendiri. Bukan sedikit kepayahan yang emak lalui untuk membolehkan kami bersekolah dengan selesa walaupun kami tidak pernah mengenal kelas tuisyen untuk peperiksaan utama.

Emak amat menitikberatkan kecemerlangan akademik. Emak boleh bertoleransi dengan banyak perkara tetapi emak menetapkan sasaran markah yang tinggi untuk kami. Kurang 90 markah pada emak adalah gagal. Saya pernah dirotan dengan agak teruk kerana mendapat 88 markah untuk Pendidikan Agama Islam semester kedua darjah 3. Ianya pengajaran yang amat mahal harganya buat saya. Emak menangis semasa merotan saya kerana kata mak.
Emak dan apak tak tinggalkan rumah seorang sebuah, tanah berbidang-bidang atau emas permata untuk anak-anak. Apa yang kami mampu berikan adalah pelajaran. Harta dan kehidupan anak-anak carilah sendiri. Emak susah dan seksa, tapi mak tak nak anak-anak mak susah.
Semenjak itu, saya tidak berani lagi membenarkan diri saya 'gagal' mengikut standard yang emak tetapkan. Emak juga tidak pernah gagal menghadiri setiap majlis di sekolah yang melibatkan kami semua. Walaupun kepenatan dan sibuk menguruskan rumahtangga dan perniagaan emak akan tetap datang kerana apak selalu sibuk dengan urusan kerja, koperasi, persatuan sekerja dan juga parti politik. Emak boleh menulis tetapi emak selalu mengatakan tulisannya tidak kemas. Apabila hampir semua anak-anak berada di sekolah asrama penuh dan juga universiti, emak mula belajar pergi ke bank dan memasukkan wang untuk perbelanjaan anak-anak tanpa gagal. Untuk anak-anak yang berada di luar negara pula, apabila menjelang musim perayaan emak akan mula membungkus kuih-muih kering dan juga rendang yang dimasak sehingga betul-betul kering untuk dikirimkan. Emak akan ke 'pejabat pos utara' di Seremban yang terletak berdekatan dengan pasar dan mengisikan borang pos laju.

Sebak rasanya mengingatkan kesungguhan dan keyakinan diri emak untuk melayakkan kami merasai apa yang kami ada sekarang. Inilah berkat doa mak yang tidak putus-putus. Emak bangun awal pagi, dimulakan dengan solat sunat - doa untuk semua anak-anak terutama apabila kami menghadapi peperiksaan dan seterusnya dengan aktiviti harian yang padat sehinggalah tengah malam.Semasa saya masih kecil, emak pernah berkata,
Emak teringin sangat ada anak mak yang jadi doktor. Doa mak makbul- alang adalah doktor pakar kanak-kanak.
Emak juga teringin sangat ada anak mak yang jadi cikgu. Allah perkenankan doa hambaNya yang tidak pernah kenal erti putus asa ini- angah, alang dan saya adalah pensyarah di USM dan UiTM.
Emak harap sangat agar semua anak-anak mak berjaya dunia dan akhirat

Sesungguhnya doa emak dimakbulkanNya. Kesemua 7 orang anak emak adalah graduan universiti dalam bidang ekonomi, kejuruteraan alam sekitar, perubatan, sains komputer, farmasi, undang-undang dan pengurusan teknologi yang memulakan hidup dari sifar selepas tamat pengajian dan berusaha memajukan diri sendiri dan keluarga dan tidak lupa cuba membahagiakan apak semasa hayatnya dan emak selagi ada hayat dikandung badan serta berusaha menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Emak pernah mendapat anugerah ibu mithali daripada Telekom Malaysia semasa persaraan apak dahulu. Namun, emak tidak pernah bermegah dengan kejayaan itu dan pencapaian anak-anak, emak seorang pendiam dan hanya tersenyum kerana bagi emak, ianya kurniaan Allah yang mengujinya dengan ujian kesusahan dan kini kesenangan.Saya harap saya akan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan hidup emak dan mampu menjadi anak solehah untuk membahagiakan emak dunia akhirat. Saya bersyukur kerana saya selalu memberitahu emak yang saya sangat sayangkannya. Saya juga sangat bersyukur kerana suami saya melayani emak seperti ibunya sendiri. Semoga Allah memberikan ganjaran syurga buat emak. Ratu hati kami.

Monday, November 03, 2008

Tenang


Saya semakin tenang dan lebih berkeyakinan untuk meneruskan perjuangan ini. Syukur.
Sudah agak lama saya tidak menulis di sini. Terperangkap dengan permainan emosi yang turun naik dan juga dugaan-dugaan kecil yang saya boleh abaikan sebenarnya. Tidak perlu mengambil masa yang lama memikirkan perkara-perkara yang tidak signifikan dalam kehidupan saya sekarang.

Hujung minggu lepas, kami dapat juga 'menyampaikan hajat' untuk membuat majlis kesyukuran sempena berpindah ke rumah baru dan juga aidilfitri yang tiba ke penghujungnya. Ramai juga yang mempertikaikan , mengapa perlu mengadakan majlis rumah terbuka secara spesifik, rayakan sebulan, biarlah tetamu memilih bila untuk berkunjung. Tidak mengapalah, asalkan kami berkesempatan menerima tetamu dan berjumpa dengan sahabat handai serta saudara-mara dalam keadaan yang selesa. Makanan yang disediakan emak amat lazat buat saya. Terima kasih buat emak dan juga kaklong, acik, uda dan boboi yang banyak membantu kami. Terima kasih juga buat tetamu-tetamu yang datang dari dekat dan jauh. Kami juga menjemput jiran-jiran di AP, saya kagum melihat mereka ini, gigih meluangkan masa menziarahi kami walaupun itulah kami pertama kami bertemu muka. Moga ukhuwah terjalin dengan penuh keikhlasan mendapat keberkatan dan akan berpanjangan, insyaAllah.
Khemah kecil yang menempatkan meja makan dan juga meja untuk hidangan. Suami pula gigih melayan tetamuSifu saya yang sangat komited dengan kerja..selepas menjamu selera, adik kecil yang bakal menamatkan pengajian beberapa bulan lagi di ajak membincangkan pembetulan untuk draf journal yang bakal diterbitkan...hihihihi..Adik-adik seperjuangan..

Hujung minggu yang berakhir semalam pula kami habiskan masa menikmati saat-saat di rumah. Semenjak selepas hari raya, saya tidak berpeluang langsung duduk di rumah, melakukan kerja-kerja mencuci dan menyental, membasuh dan menyidai pakaian di bawah terik matahari sehingga apabila saya mengangkat pakaian tersebut ianya rangup dan garing seperti keropok ikan yang digoreng selama 30 saat di dalam minyak kelapa vesawit yang kepanasannya melebihi 130 darjah celsius...wahhh....hahahahaha.... Suami pula sibuk menyediakan diri untuk peperiksaan pertengahan semester yang berlangsung pada hari Sabtu dan kemudiannya tekun pula menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah. Hihihi..saya mengangkat bendera merah, saya tidak mampu membantu suami meyiapkan kerja-kerjanya kerana apabila saya menjadi pensyarah..saya tegas..terlalu tegas dan sukar berkompromi dengan para pelajar apabila ianya melibatkan pemahaman konsep asas. Terukkan? Nanti jadi isteri derhaka pula...hahahaha...Alhamdulillah suami saya sudah melalui peperiksaan pertamanya sejak berpuluh tahun dahulu...saya doakan kejayaan yang cemerlang.. bittaufik wannajah dalam peperiksaan pertengahan semester yang dilalui dan juga peperiksaan akhir yang bakal dilalui nanti.

Apabila menyebut tentang peperiksaan akhir semester pertama suami saya. Saya sebenarnya sedang menyediakan jadual kerja di makmal bersekali dengan jadual untuk membantu melicinkan majlis walimah sepupu suami yang sangat rapat dengan kami dan juga adik bongsu saya yang akan berlangsung pada 23.11.2008 dan juga 29&30 November 2008. Tarikh itu pula bertembung dengan jadual peperiksaan akhir suami. Saya berdoa moga dipermudahkan urusan kami. Di saat sebegini, saya kadangkala memikirkan alangkah bagusnya JIKA saya melanjutkan pengajian saya di negara beriklim 4 musim sahaja...tidak perlu memikirkan segala kenduri kendara dan sebagainya. Ermm...namun bukankah ini yang terbaik buat kami? InsyaAllah, perancangan Allah yang lebih baik dan sempurna. Saya masih bertapa di depan planner yang sudah penuh berconteng sana sini beserta post-migraneeffect yang membuatkan saya pening-pening seperti lalat yang terbang tinggi rendah akibat terkena semburan manja agen penghapus serangga. Hihihi...InsyaAllah...moga semuanya berjalan dengan lancar.
Semoga saya sihat tubuh badan dan emosi untuk mengharungi semua ini.
 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino