Wednesday, March 19, 2008

Kabinet baru..


Kabinet baru sudah diumumkan semalam oleh PM Malaysia- Pak Lah.
Saya tiada apa nak komen kerana saya juga tidak begitu mahir dengan politik. Saya agak berminat dengan bos KPT yang baru.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
Menteri : Datuk Seri Khaled Nordin >>biodata beliau<< Timbalan Menteri : Datuk Dr Hou Kok Chung >>biodata beliau<<(saya harap saya rujuk pada link yang betul.
Timbalan Menteri : Datuk Idris Haron (saya tidak berjaya menjejak biodata TM ini)

Saya amat berharap beliau dan timbalan-timbalannya akan berjaya menetapkan halatuju dan mementingkan 'content' bagi semua IPT di Malaysia. Saya agak letih dengan banyak perkara yang di rapikan hanya di permukaan tanpa mengira kekukuhan akar tunjangnya. Saya mahu senario 'camouflage' ini berubah. Bukan tidak boleh mencapai yang ter"tinggi", ter"banyak" dan ter ter ter yang lain, akan tetapi biarlah perkara asas dipenuhi dahulu. Agar nanti IPT terutama IPTA di Malaysia ni akan berjaya mengisi ruang carta IPT yang bagus di dunia..dan moga nanti apabila ianya tercapai, bukan sekadar satu musim sahaja tetapi biarlah ianya berlegar-legar di dalam senarai itu sepanjang masa.

Saya juga perlu menyediakan diri saya sendiri. Menuding jari pada orang lain supaya mementingkan content memang mudah. Saya sendiri bagaimana? Ye...saya juga perlu berjuang dengan semangat juang yang jitu..berteraskan niat kerana Allah..moga perjuangan saya dalam menuntut ilmu ini adalah perjuangan di jalan Allah..untuk mendapat keredhaanNya. Jika saya gugur, saya gugur sebagai pejuang. Permudahkanlah urusan hambaMu ini Ya Allah. Ameen.

p/s: saya juga sedang survey kabinet dapur. Ada sesiapa nak cadangkan tempat yang kualiti bagus dan harga patut? Bajet saya tidak sebesar bajet belanjawan negara. :)

Tuesday, March 18, 2008

Bengkak lagi...


Hari ahad baru ni tekak saya sakit. Sudah beberapa bulan sejak saya dimasukkan ke wad di DEMC pada Julai 2007 kerana exudated tonsilitis, saya tidak demam teruk kerana masalah pembengkakan tonsil. Bukan tidak sakit tekak langsung, cumanya saya mengambil langkah awal dengan meminum air dengan banyak dan ambil lozenges setiap 2 jam sehinggalah simptom-simptom hilang. Semalam pagi tekak saya makin sakit dan kahak serta lendir yang keluar juga sudah besertakan darah-maknanya sel mukosa di kawasan itu sudah 'kekeringan' dan luka. Tengahari saya mengajak Cik Senyum makan sup di Ani Sup Utara berhampiran rumah, saya pesan juga semangkuk laici kang suam. Selepas itu sakit tekak saya berkurangan. Seharian di makmal saya tidak mampu berbuat apa-apa. Habis satu tubuh merasakan kesakitan dan keletihan melampau. Petangnya apabila suami saya pulang dari pejabat, dia memaksa saya untuk ke klinik kerana muka saya yang pucat lesi dan juga suhu badan agak meningkat. Saya tahu dia trauma dengan peristiwa saya dikejarkan ke hospital sebelum ini.

Sampai di DEMC, saya tidak perlu menunggu lama. GP yang sangat bagus dan baik. Betul tekaan saya, tonsil saya sudah bengkak dan ada nanah sedikit sahaja-tidak seteruk yang sebelum ini dan suhu badan saya meningkat sedikit. Seplastik ubat dibekalkan-lengkap dengan steroid untuk mengurangkan bengkak, antibiotik, paracetamol, lozenges, anti histamine dan juga ubat kumur. Pulang dari DEMC, singgah di drive tru McD. HUjan sangat lebat, tak boleh nak keluar kereta untuk membeli bihun sup idaman suami.

Selepas makan ubat, saya terlelap sehingga ke pagi. Alhamdulillah hari ini kesihatan saya bertambah baik. Tekak sudah kurang sakit...semoga Allah kurniakan saya tubuh badan yang sihat dan akal serta minda yang cerdas dan cergas.

Errm....Sifu saya sudah memohon abstrak untuk dibentangkan di konferens Jun ini. Jumaat tarikh hantarnya. Baik Sifu...saya sedang tulislah ni..hihihihi

Monday, March 17, 2008

Baiti Jannati..


Alhamdulillah...
Akhirnya lulus juga permohonan pinjaman perumahan kerajaan yang kami pohon.
Saya tidak pasti bila urusan ini akan selesai. Tarikh berpindah atau apa pun semuanya tidak pasti lagi. Bergantung kepada tahap urusan dokumen berkaitan..mungkin lama mungkin sekejap. Doa dan harapan saya, agar urusan kami ini dipermudahkan Allah dan mendapat keberkatan dariNya. Ameen

Thursday, March 13, 2008

SPM


Keputusan diumumkan semalam, 12 Mac 2008.
Saya agak sibuk dan hampir terlupa menelefon Khairy, anak sulung kaklong, Hafizah, anak sulung abang ipar dan juga dik ya, sepupu suami saya. Pukul 11.30 tiba-tiba saya teringat dan mula menelefon Khairy.
Santai dan ceria bunyi suaranya, " bolehlah makteh...ada 3A...B pun ada..C pun ada..D pun ada..ahaa...add math failed."
Saya terdiam tak tahu nak kata apa. Khairy memang begitu, tapi keputusan SPM yang diperolehinya ini jauh lebih baik dari keputusan PMR dahulu.
Saya telefon pula Dik Ya. Dia tidak mampu bersuara. Senyap dan hanya terdengar esakan yang memanjang. Saya sudah dapat mengagak. Pasti keputusan tidak seperti yang dijangkakan. Dik ya pelajar bijak, sedari sekolah rendah tidak pernah tidak mendapat keputusan cemerlang. Dia juga memperolehi keputusan PMR yg cemerlang- 9A.
"Dik ya gagal...dik ya tak lulus..." rupanya dik ya hanya mampu mengumpul 1A sahaja. Saya juga agak terkejut tapi yelah, setiap insan diberikan dugaan. Untuk seorang anak gadis yang kehilangan ibu tercinta beberapa tahun dahulu, tentunya dugaan menempuhi alam remaja terlalu kuat untuk dik ya lalui seorang diri. Tekanan datang dari pelbagai arah. Semoga dik ya tabah.
Hafizah, calon persendirian yang mengambil peperiksaan SPM tanpa melalui kelas pembelajaran formal. Dia memperolehi 5B, 1C, 1D dan 2 E. Saya kagum juga dengan Hafizah...tanpa kelas yang sempurna, sibuk pula dengan kelas Diploma Darul Quran di Kuala Terengganu, dia berjaya menunjukkan prestasi yang baik.
Saya juga bukanlah pemegang sijil SPM dengan kelulusan cemerlang. Sehingga ke hari ini, kalau boleh saya ingin sorokkan sahaja sijil SPM dan juga sijil matrikulasi saya. Mak pernah berkata kepada saya ketika keputusan peperiksaan SPM bakal diumumkan.
"Mak tak kisah kalau keputusan SPM epel tak sama mcm Alang dan Acik...mak terima anak-anak mak ada kebolehan yang macam-macam."
Memang pun, aggregat saya berbelas. Saya cuma ada 5 A-hanya Matematik dan P. Islam beroleh A1. Matapelajaran sains-Kimia dan biologi yang saya selalu dapat A1 atau A2 semasa trial saya hanya mampu dapat C4 semasa peperiksaan sebenar- begitu juga dengan Matematik tambahan dan Fizik( yang saya sangkakan saya akan gagal, sebab saya memang tidak minat Fizik.. :D). Alang dan acik...ermm..A1 dan A2 berderet..malahan acik adalah anak negeri sembilan yang memperolehi keputusan SPM terbaik. Siap dapat anugerah..bukan anugerah penyapu tapi penghargaan dari kerajaan negeri. Saya? hehehe.....pencapaian saya tidak menepati sasaran saya sendiri.
SPM hanyalah peperiksaan.........yang sangat subjektif untuk dijadikan kayu pengukur keupayaan sebenar seorang pelajar.
Lantas, adakah Khairy yang sangat minat melukis komik, memasang komponen kereta dan juga sangat teliti dalam karyanya tidak akan berjaya dalam kehidupan kerana dia tidak mengumpul cukup A?
Atau adakah dik ya akan hanyut dibawa arus kehidupan kerana dia melabelkan dirinya sebagai gagal? Dik ya adalah seorang anak, kakak dan adik yang sangat baik akhlaknya. Tiadakah gred A yang boleh ditulis atas sekeping sijil untuknya?
Hafizah..ke manakah halanya selepas ini? Program diploma di Darul Quran tersebut tidak diiktiraf JPA. Adakah dia perlu mengulang semula program diploma yang sama di tempat yang diiktiraf?
Saya tidak mampu menghuraikan kekusutan atas permasalah sistem pendidikan yang sangat berorientasikan peperiksaan seperti yang kita hadapi turun-temurun. Perlukan ada PRU sekali lagi khusuh untuk mengubah bentuk sistem pendidikan yang ada sekarang? Errmm....
Semalam sewaktu menonton berita di TV3, saya melihat pencapaian seorang calon SPM yang memperolehi 21A. Saya tahu itu rekod baru dan akan ada nanti yang cuba memecahkan pula rekod tersebut. Pencapaian itu menarik, tetapi tidak merentap hingga ke tangkai hati saya. Apabila mendengar ibunya berkata, dia hanya mengharapkan anaknya itu akan menjadi anak soleh-beriman dan dapat menjaga ibu bapanya apabila mereka tua nanti....Hampir menitik airmata saya mendengar luahan tulus hati seorang ibu.
Moga Allah memberkati anakanda-anakanda dan adinda kami itu. Ameen.

Tuesday, March 11, 2008

Kerajaan..


Keputusan sudah diumumkan. Suara rakyat terbit lantang kali ini. Ramai yang terkejut, tidak percaya. Pelbagai reaksi diperolehi. Samada reaksi positif atau sebaliknya.
Saya tidak mahu memikirkan dengan lebih lanjut. Kenapa?

Mudah..
Siapa juga yang dilantik menjadi kerajaan samada negeri atau persekutuan perlu melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Berjuang untuk mendapat kemenangan tidak sesusah untuk mengisi kemenangan tersebut. Bercakap mudah, menabur janji juga mudah...modal keduanya hanyalah air liur (yang zahir...dan tentunya ilham dan pemikiran kurniaan Yang Maha Esa juga). Semoga semua AP dan ADUN yang dilantik dapat melaksanakan tanggungjawab yang digalas hasil amanah yang diberikan oleh rakyat jelata. Moga juga kestabilan ekonomi dan politik dapat dikekalkan di tanah bertuah bumi Malaysia.

Ironinya...saya mengundi di DUN dan parlimen serta bekerja di DUN dan parlimen yang dikuasai pembangkang. Kita tunggu dan lihat.

Thursday, March 06, 2008

PINJAM


Saya ada membaca novel hasil tangan penulis pujaan saya - Shamsiah Mohd Noor. Saya mengenali hasil karya beliau lewat "Tangisan Bulan Madu", "Sindora" dan "Kemboja Berguguran". Seringkali terjadi tika membaca novel beliau saya akan tertawa dan menangis sehingga sakit kepala. Haaa..itulah saya. Tak boleh menangis, migraine akan segera menyerang.

Terbaru hasil nukilan beliau ialah Bulan Berbisik. Novel yang sangat menyentuh hati. Saya selaku wanita yang sering terbawa-bawa dengan hasil penulisan pengarang telah menangis ketika membaca novel tersebut. Pengajaran penting yang menyedarkan dan menginsafkan saya- semua yang kita fikir adalah milik kita sebenarnya adalah pinjaman semata-mata. Bila tuan punyanya inginkan ianya kembali, kita suka atau tidak, rela atau terpaksa, penyerahan semula perlu dilakukan. Errmmm...relevannya dengan saya? Akhirnya, bilik pejabat yang sangat saya sayangi perlu saya serahkan kembali kepada pengurusan fakulti. Sekembalinya saya dari pengajian, fakulti yang masih terlalu muda masih belum mempunyai ruang khas untuk pensyarah. Saya diberikan bos saya ruang di tingkat 6, dengan bantuan kak Fida, saya mengangkut sendiri meja, kerusi dan juga komputer dan saya susun ruang yang sangat besar itu menjadi ruang pejabat sementara saya. Apabila tingkat 10 selesai diubahsuai, saya dan beberapa pensyarah awal di fakulti memilih sendiri bilik mana yang kami ingini. Manisnya kenangan. Kini, hilanglah sudah ruangan saya memencilkan diri untuk saya bersolat, menumpahkan airmata kala tertekan dan berbaring kala sengal badan saya melaksanakan kerja di makmal. Redha? Ianya bukan milik hakiki saya. Ambillah...ambillah....saya akan kemaskan harta benda milik saya apabila surat arahan rasmi tiba nanti. Hak sementara saya diambil semula-tak salahkan jika saya menangis? Menitislah si airmata..buat pencuci luka di hati...tidak mengapa, sayakan sedang membuat wound dressing film? Saya tampalkan sahaja di tempat yang luka itu nanti. Lagipun lukanya tidak sedalam mana. :)


Tuesday, March 04, 2008

Kerusi


Saya sedang mencari/meneliti set kerusi jati. Ingin rasanya mendapatkan set yang baru. Sempena apa? Sempena saja-saja. Kami tidak pernah membeli set kerusi semenjak berkahwin. Kami amat jarang membeli perabot kerana belum ada rumah sendiri. Ini antara koleksi yang sempat saya jengah di pusat perniagaan Nilai 3 tempoh hari semasa sesi de-stress bersama kaklong. Kata promoternya, penghantaran ke kawasan Shah Alam/Klang adalah percuma sekiranya pembelian melebihi RM1000. Yelah..mana ada set kerusi begini berharga RM999.99. Semuanya mencecah ribuan RM..Ish ish ish...kenapalah saya minat sangat dengan set kerusi jati ni?
Besar sangat yang ni...

Corak ukirannya terlebih pula. Saya minat yang sederhana.
Old fashion? hihihi
Nostalgia kenangan silam. Dahulu set kerusi di rumah mak adalah lebih kurang begini tetapi berasaskan rotan. Pada saya yang ini nampak comel..kata kaklong too simple...!!! Takde ukiran langsung...Saya dan kaklong memang mempunyai citarasa yang sangat amat berbeza. Selalu sahaja kami bertengkar ketika ingin membeli-belah. Namun begitu, saya tetap akan keluar membeli-belah bersama kaklong terutama di Nilai 3 dan Nilai Square..Nilai square kan cuma 5 minit dari rumah kaklong...hihihi
Yang inilah yang menjadi idaman saya. Simple dan nampak agak kontemporari. Ye ke? Hati saya berkata begitu. Akal saya mengira bajet tidak begitu mengizinkan...hihihi.
Kata suami tersayang. Tengok bajet dulu, kalau tak cukup jangan beli lagi. Takde maknanya...

Moga Allah murahkan rezeki kami berdua.. :)

Monday, March 03, 2008

Yang Ke Empat


Terlepas pula tarikh 1 Mac.
1 Mac yang lalu genaplah 4 tahun saya dilantik ke jawatan tetap. Maknanya sudah 4 tahun jugalah saya kembali dari negara orang. Maknanya sudah 4 tahun juga saya bergelar pendidik. Pengalaman yang dilalui sangat berharga..tak boleh dibeli di kedai.
Teringat sesi temuduga untuk biasiswa tenaga pengajar muda pada tahun 2002 dahulu...
"Why do you choose Faculty of Pharmacy in UiTM. They are very young..why dont you choose an established institution?"
Saya menjawab...dengan penuh yakin dan yakin dan yakin lagi...hihihi
"I could see the close connection between me and this so called 'young' faculty. I am very young, just completed my housemanship and insyaAllah I want to grow old with the faculty..."
Hahahah...apabila saya beritahu ayat ini pada Cik Senyum tahun lepas...Cik Senyum ketawa....
"Mu ni epel...auta sungguh..." :)
Moga Allah berikan kekuatan pada saya untuk meneruskan perjuangan ini. Ditetapkan iman untuk berjuang fisabilillah...ameen....

Thursday, February 28, 2008

Hari ini


Akhirnya si kecil itu pergi jua...

Pagi itu apabila saya sampai di makmal ia sudah terbaring tidak bernyawa. Lalu saya mohon bantuan adik di sini untuk meletakkan bangkainya di dalam peti sejuk di bilik haiwan.

Sebenarnya saya bersyukur kerana ia mati bukan kerana saya yang meletakkannya di dalam DE chamber itu.

Kebelakangan ini saya asyik sakit kepala. Sakit kepala sebelah yang sangat berdenyut. Ianya akan hilang apabila saya tidur dalam suasana yang gelap gelita. Mana mungkin saya asyik begitu di saat kerja di makmal yang menggunung tinggi ini. Moga Allah berikan kesihatan yang baik buat saya dalam meneruskan perjuangan ini.

Tuesday, February 19, 2008

SAKIT


Si kecil ni sedang sakit. Tidak mahu makan atau minum. Saya tahu saya perlu mengorbankannya sedikit masa lagi atas alasan kesihatan. Tak sampai hati pula nak biarkan ianya kelaparan dan dahaga. Saya suapkan dengan air glukos. Moga ada sedikit tenaga untuknya.Beratnya menurun drastik dari 170g ke 98g. Errmm...tinggal tulang dan kulit sahaja.



KAMBING


Along, abanglong dan uda bersatu tenaga dan modal dengan memulakan penternakan kambing secara kecil-kecilan. Kandang di bina di kawasan belakang rumah mak, kawasan hampir dengan sungai dan juga di belakang kawasan kebun pokok naga mak.

Mak sangat teruja dengan 'cucu-cucu' yang baru sampai 2 minggu lepas. Hujung minggu lepas saya pulang ke kampung, suami tidak dapat turut serta kerana ada urusan tempat kerja. Mak tak habis-habis bercerita gelagat kambing-kambing tersebut. Mak boleh menghabiskan masa dengan memberikan makan untuk kambing-kambing itu. Daun manggis, bunga raya, dedak yang dibelikan khas. Hihihi..untung kambing-kambing ni mendapat perhatian 'nenek'.


Ini heronya..mahal harganya..mencecah hampir RM2000. Hero ni pemalu dan tidak suka berebut makanan. Mak selalu menyuap hero ni makan..ia akan makan atas tapak tangan mak dengan berhemah (tidak pelahap).

Empat ekor induk betina sedang bunting, empat lagi dalam proses agaknya..dan ada seekor anak kambing jantan...yang sangat nakal dan aktif. 'Budak-budak'lah katakan.

Saya mendoakan projek kambing kakak, abang ipar dan adik saya ini akan berjaya. Abanglong memang sangat berminat dengan penternakan kambing dan lembu. Moga Allah mudahkan urusan mereka..ameen

Friday, February 15, 2008

Pilihanraya


Pilihanraya Umum ke 12 bakal menjelma kurang 3 minggu dari hari ini. Saya dan suami mempunyai sedikit masalah untuk 'giliran' balik kampung kami. Ini adalah pilihanraya pertama semenjak kami bergelar suami isteri. Saya kira, menentukan giliran balik raya lebih mudah dari giliran balik mengundi. Raya setiap tahun ada 2 kali..mengundi kena ikut kata PM..bubar parlimen atau tidak maksimum 5 tahun sekali...Hihihi...

Suami berdaftar di DUN Batu Buruk dan Parlimen Kuala Terengganu.
Saya berdaftar di DUN Ampangan dan Parlimen Seremban.

Kenapa tak tukar tempat mengundi ke Selangor? Kami keduanya sama degilmempunyai alasan tersendiri. Hihihi.

Suami saya belum pernah memandu seorang diri untuk jarak jauh. Paling jauh pun dari Shah Alam ke Seremban. Apabila suami saya menyatakan hasratnya untuk memandu pulang bersendirian, saya dilanda kegelisahan dan keraguan. Boleh ke ye? Bukan tidak yakin tetapi saya risaukan masalah akses ke kawasan RnR yang masih banyak tidak mesra OKU. Selalunya saya yang menjadi pemandu jalan dan peneman..jauh perjalanan Shah Alam- Chendering tu. Suami menyarankan saya ikut balik bersama sekaligus saya akan kehilangan peluang mengundi kali ini. Saya tidak setuju juga. Bagaimana ye?

Akhirnya selepas beberapa ketika berfikir dan berdoa mohon petunjuk dariNya..Pagi tadi suami saya berkata begini..
"Abang balik dulu hari Jumaat tu, lepas tu ayang balik hari Sabtu pas mengundi, pergilah tempah tiket..."
Saya terus bersetuju dan telah pun memiliki e-ticket MAS. Bagus juga ye...tak perlu ke mana-mana agen. Hanya berada di depan komputer bersambung internet dan juga sekeping kad gores dan bayar hutang. Gaji hujung bulan ni perlu peruntukan tambahan untuk 'bajet pilihanraya'. Sehingga ke saat ini, dengan izinNya itulah perancangan balik mengundi kami...moga dipermudahkan.

Selamat menjadi calon, selamat berkempen, selamat mendengar kempen dan selamat membuat pilihan. Pilihan di tangan anda...

U.D.A.N.G


Lama tidak menulis. Kesibukan. Alasan biasa.

Malam tadi saya ke pasaraya besar untuk membeli barang dapur yang sudah 'kering'. Teringin membeli udang untuk dimasak hari ini; adik-adik di lab anjurkan jamuan 'pot luck'. Semalam, 4 orang dari mereka melalui pembentang 'research proposal' yang agak mencabar. Cara kami untuk destress...masak dan makan ramai-ramai. Saya bercadang untuk membuat seafood pasta..jadinya memang perlulah membeli udang.

Orang tidak ramai di pasaraya tersebut, barang-barang juga agak kosong di rak-rak. Mungkin tempias sambutan tahun baru cina minggu lepas. Saya terus ke bahagian barang-barang basah. Kelihatan sebuah keluarga sebangsa sedang memilih udang. Apabila saya sampai di situ, ibu dan bapanya segera beredar tetapi 2 orang anak dara mereka masih berada di situ. Saya memuji di dalam hati..bagus adik-adik ni, rajin menolong ibu dan ayah memilih barang. Apa yang membuatkan saya terkejut dan kehairanan ialah, udang yang saya jangkakan banyak tetapi yang tinggal hanyalah kepala udang(??).

Saya tak tahu pula ada orang boleh membeli udang tanpa kepala. Mungkin ada antara ahli keluarga mereka ada alahan dengan kepala udang lantas membersihkan kepala udang di tempat ianya dibeli. Kreatif dan inovatif. Saya kagum dengan kreativiti mereka. Doa saya, janganlah mereka meneruskan amalan ini. Timbangannya berlainankan...ermm..kan mahu diberi makan pada ahli keluarga tu..Moga mereka menyedari kesilapan itu...(ataukah saya yang silap faham?).

Monday, February 04, 2008

Berundur


Kisah ringkas yang berlaku semalam.
Seawal jam 8 pagi saya sudah memandu ke stesyen komuter Seksyen 19, hajat di hati ingin menemani Along dan anak sulungnya melihat-lihat pameran program Outreach KPTM di KL Sentral.
Sampai di KLS Along sudah menunggu dan sudah pun melawat booth UiTM. Kami kemudian bersarapan di KLS sebelum sambung menjenguk dari satu booth ke booth yang lain. Selepas booth IPTA/S, kami menjenguk pula ke factory outlet yang ada di KLS. Hihihi...shopping yang lama.
Pukul 12.00 tengahari, kami pun bertolak pulang, along menaiki tren ke Seremban dan saya ke Pelabuhan Klang. Tak begitu ramai orang dalam tren dan saya tidur-tidur ayam sepanjang jalan. Agak lama perjalanan dan tiba satu saat, selepas hentian batu tiga, tren mengundur perlahan-lahan. Saya naik hairan, tak pernah pula tren ni guna gear reverse. Laaaaa......Subhanallah...bertuah punya pemandu tren...rupanya dia terlepas hentian Shah Alam. Sudah hampir sampai Padang Jawa baru terperasan gamaknya. Merasalah saya menaiki tren berundur semalam. Turun dari tren saya ketawa seorang diri. ish ish ishhhh...terlajak komuter boleh diundur..kalau terlajak underground tube kat London...buruk padahnya..(sebab jarak masa komuter agak jauh juga untuk satu tren ke tren seterusnya, bolehlah berundur...kalau tube (lebih-lebih lagi masa puncak) sangat rapat..setiap 2-3 minit pun ada..bagaimana nak reverse ye? )
 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino