Tuesday, June 16, 2009

Berkumpul


Semasa kecil, saya selalu merasakan seronoknya apabila sendirian di rumah kerana perhatian mak tentu lebih kepada saya. Tambahan pula, satu-satunya bilik untuk tempat menyalin baju di rumah kami (hanya ada 2 bilik, 1 untuk mak dan arwah apak dan sebuah lagi untuk kegunaan umum) akan menjadi hak mutlak saya. Bahagianya apabila dapat berangan-angan mempunyai bilik sendiri siap dengan meja belajar seperti yang saya tonton di kaca televisyen. Itu dulu.
Selepas arwah apak bersara, mak dan arwah 'menurunkan' rumah kampung kami dari rumah yang mempunyai tingkat atas (untuk bilik dan ruang tamu) serta tingkat bawah untuk dapur dan bilik air kepada hanya 1 tingkat sahaja. Tiada lagi ruang bawah rumah untuk disapu. Bilik tidur dari hanya 2 telah menjadi 5 buah dan bilik air beserta tandas telah disediakan di dalam rumah meningkat kepada 3. Ianya menjadi lebih besar kerana emak sudah tidak menyewakan rumah sebelah yang bercantum di dapur dahulu dan dinding pemisah sudah dipecahkan. Awalnya dahulu, tandas terletak di luar rumah dan sakit perut untuk qada hajat pada waktu malam apatah lagi tengah malam adalah sangat-sangat tidak disenangi.
Setelah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri, masa berkumpul bersama keluarga adalah sesuatu yang sangat dinanti. Yang menjadi penentu untuk berkumpul adalah kepulangan kaklang yang menetap di KB ataupun angah yang bermastautin di Nibong Tebal. Pulangnya mereka kadangkala akan menyebabkan sambutan hari lahir diadakan serentak untuk semua yang lahir dari bulan Mei dan Jun contohnya ataupun apa-apa sahaja alasan untuk makan-makan. Pulang ke kampung sama ada ke Seremban ataupun Kuala Terengganu akan menyebabkan sistem penghadaman saya bermasalah. Banyak sangat aktiviti makannya....hihihi...Ianya kadangkala juga memeningkan kepala...di Seremban, keluarga besar kami terdiri daripada emak, kami bertujuh beradik, ipar berenam dan anak saudara....13 orang (9 lelaki dan 4 perempuan) serta seorang lagi di dalam kandungan (bukan kandungan saya...tetapi kandungan adik ipar saya yang bongsu). Bayangkan apabila 9 anggota laskar pelangi (2 orang anak saudara lelaki dan 2 orang anak saudara perempuan sudah melebihi umur baligh) bersetuju untuk bermain perang-perang. Aduhai....gamat jadinya. Kakcik saya mengajar kami untuk melakukan selective hearing bagi mengelakkan tekanan perasaan dengan pelbagai bunyi yang dikeluarkan mereka. Namun saya gembira. Ianya sesuatu yang kadangkala saya rindui. Di kampung suami, ianya berlainan, suami hanya 2 beradik dan abang sulung suami saya mempunyai 5 orang anak yang semuanya sudah baligh. Apabila pulang ke kampung suami, suasananya aman dan tenteram. Hihihi...tentu suami saya pening bersangatan apabila pulang ke Seremban. Itulah perkahwinan bukan...mengadaptasi bukan sahaja dengan pasangan kita tetapi dengan pakej yang dibawanya sekali iaitu keluarga. Semoga kita semua berbahagia dan bersyukur dengan apa yang kita miliki.

0 comments:

 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino