Tuesday, January 13, 2009

Nasi lemak



Saya selalu menulis tentang pengalaman membantu emak berniaga nasi lemak tetapi rasanya saya belum pernah menulis pengalaman dimarahi makcik kantin sekolah juga kerana nasi lemak. Hari ini saya terbaca kisah zaujah tercinta Prof. MKI tertangkap menjual aiskrim semasa zaman persekolahan dahulu. Ianya mengembalikan ingatan saya terhadap peristiwa yang sama berlaku pada saya lebih 20 tahun yang lalu.

Rakan-rakan di sekolah dan juga guru-guru selalu menempah nasi lemak daun pisang yang emak jual di gerai. Sebungkus harganya 30 sen dan kadang kala saya membawa hampir 20 bungkus ke sekolah. Kebiasaannya juga, para pelanggan saya tidak akan makan nasi lemak tersebut di kantin sekolah sebaliknya akan makan bersama saya dan uda di laluan pejalan kaki yang menghubungkan bangunan lama sekolah dan juga padang tempat perhimpunan. Segalanya berjalan dengan baik dan lancar sehinggalah pada satu hari, sedang kami bersila sambil menyuap nasi lemak dengan berselera, satu bayang-bayang hitam yang besar telah menutupi cahaya yang saya gunakan untuk menikmati nasi lemak daun pisang bekalan emak. Rupanya bayang-bayang itu adalah makcik kantin yang sememangnya mempunyai diameter pinggang yang agak lebar...hihihi....saya sekarang juga begitu....

'Kau yang bawa nasi lemak ni ye sampai tak laku nasi lemak aku di kantin tu. Mulai esok, aku tak nak tengok dah budak-budak ni makan nasi lemak kau bawak ni, kalau kau bawak lagi, aku akan adukan pada cikgu displin' yang tanpa pengetahuannya merupakan pelanggan nasi lemak mak.. hihihih...

Ketika itu saya sangat sedih dan malu. Saya hanyalah seorang budak sekolah rendah berusia 10 tahun yang cuba membantu melariskan hasil jualan emak dengan lebih cepat. Itu sahaja niat saya, supaya emak tidak perlu menunggu sehingga pukul 10 pagi untuk menghabiskan jualan nasi lemak di gerai hadapan rumah. Sejak hari itu, saya tidak lagi menjual nasi lemak di kawasan itu lagi...hmm...Sebaliknya, saya menjual pula di kawasan belakang kelas saya yang amat jauh dari kantin sekolah. Hihihi....hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Arwah apak juga tidak menghantar saya ke sekolah lagi dan saya mengayuh basikal 'choper' kepunyaan acik yang memang sudah ketinggalan zaman tahun 1987 dahulu-,kawan-kawan saya kebanyakkannya mengayuh basikal BMX dan basikal itu tidak saya letakkan di kawasan rasmi meletak basikal sebaliknya saya sorokkan di bawah pokok kelapa di pintu pagar B berhampiran dengan surau.

Itulah nostalgia yang akan tetap saya kenang di sepanjang jalan kehidupan saya. Saya bukannya anak orang berada...dan saya harus menempuhi jalan berliku untuk menuju bahagia dunia dan akhirat. Semoga Allah memberkati emak, arwah apak, guru-guru, rakan-rakan dan juga makcik kantin yang telah menaikkan tahap kreativiti saya dalam perniagaan. Hihihi....

0 comments:

 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino