Thursday, December 28, 2006

Aku dan Tin Milo...Nostalgia Di Eidul Adha....


Hari Ahad ni umat Islam di Malaysia akan meraikan hari raya aidil adha/korban/haji..semuanya membawa satu pengertian yang serupa iaitu PENGORBANAN. Sebut pasal pengorbanan ni takkan ada akhirnya. Kita cuma perlu tutup mata sebentar dan fikirkan dengan akal berlandaskan keteguhan iman, nescaya kita akan mengakui pengorbanan semua yang berada di sekeliling kita untuk membolehkan kita berada dalam keadaan sekarang.

Hari Raya Eidul Adha ni membangkitkan nostalgia buat diriku dan keluarga. Keluarga kami memang keluarga yang susah. Arwah apak bekerja sebagai pembantu technician di Telekom Malaysia (dulunya dikenali sebagai Jabatan Telekom) manakala ibu berniaga nasi lemak di hadapan rumah setiap pagi. Dengan pendapatan inilah, mereka menyara kehidupan keluarga kami, 7 beradik. Mereka cuba menyediakan kelengkapan kami supaya segalanya cukup. Itulah pengorbanan yang paling tulus buat anak-anak mereka ini. Hanya Allah sahaja yang boleh membalas jasa dan pengorbanan mereka dalam membesarkan kami.

Oleh kerana kehidupan yang serba kekurangan, kami tidak mampu bermewah apatah lagi untuk berbelanja seperti orang lain yang lebih mewah. Namun, dengan izinNya, Alhamdulillah, kesusahan itu jugalah menjadi 'guru' yang paling berkesan dalam menyampaikan ilmu kehidupan buat kami bertujuh. Semasa kecil, mak dan apak tidak mampu untuk melaksanakan ibadah aqiqah untuk kami. Semasa dalam darjah tiga jika tidak tersilap maklumat dalam lipatan memoriku, mak dan apak tiba-tiba memaklumkan bahawa kami akan melaksanakan ibadah korban tahun itu. Puas ku memikirkan, dari mana datangnya duit yang agak banyak, jika tidak silap ingatanku, harga seekor lembu yang dibeli ialah RM700.

Di dapur tempat mak selalu memasak, ada sebuah tin milo bersaiz paling besar dan sudah berkarat, mak sering mengingatkan kami, jika ada duit lebihan, masukkan ke dalam tabung itu. Mak juga sering menabung duitnya ke dalam tabung itu. Rupa-rupanya itulah 'bank' buat kami sekeluarga dan hasil tabungan itulah mak dan apak mengusahakan supaya ibadah korban dapat dilaksanakan buat kami 7 beradik. Ketika itu, kaklong berada di Canada kerana melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana muda. Ketika itu, aku tidak begitu mengerti ertinya pengorbanan, ertinya seekor lembu yang sedia tertambat talinya di batang pokok delima di halaman rumah sehingga susah untuk aku keluar dari rumah sebabnya aku takut lembu tu. Hehhehe..almaklumlah, kanak-kanak.

Arwah apak memilih untuk melaksanakan ibadah korban di halaman belakang rumah. Ramai jiran yang datang membantu ketika itu. Aku masih ingat kami berenam dipanggil oleh tok imam yang akan menyembelih lembu itu, tok imam tu pun sudah meninggal dunia lebih setahun yang lalu, awal 6 bulan sebelum arwah apak dijemputNya, tok imam tu kata pada kami, suruh pegang lembu tu. Aku dah panik, erkkk..cemana nak pegang, aku dahlah takut. Rupanya tok imam maksudkan sentuh sahaja lembu tu. Adik perempuanku, Uda pegang lembu tu sesungguh hati, tak nak lepas, siap dia mencangkung sekali dengan pakcik-pakcik yang membantu menumbangkan lembu tu ke tanah. Uda ni aksinya memang lebih menyerupai budak lelaki. Dia kemudian merajuk sebab semua orang tak bagi dia pegang terus lembu tu. Selamat disembelih, aku lihat jiran-jiran membahagi-bahagikan daging korban itu dan hanya sedikit ditinggalkan di rumah. Selepas peristiwa korban tu, hampir 2 minggu aku tak berani ke halaman belakang rumah sebab ternampak-nampak lembu yang disembelih tu. Hehehe..memang pun aku ni penakut.


Bila kurenung kembali di saat ini, saat aku sudah dewasa, sudah berumahtangga, ada kehidupan sendiri, aku bersyukur kerana dikurnai mak dan apak yang sanggup berkorban apa saja untuk anak-anak. Mungkin kini aku lebih mengerti maksud sebuah pengorbanan walaupun mungkin tidak sepenuhnya. Tin milo di tiang dapur tu adalah akaun simpanan keluarga kami, tiada akaun bank, tiada sijil saham, tiada juga sijil simpanan. Hanya tin itu, dan isinya hasil keringat mak dan apak yang tak jemu berusaha dan berkorban....arghh...tak mampu kuluahkan dengan kata-kata.

Ingatanku juga singgah pada arwah apak, ini kali kedua kami menyambut eidul adha tanpanya. Moga rohnya tenang di sana. Berkati rohnya Ya Allah. Tempatkan rohnya dalam golongan orang-orang mukmin.

Akhir kalam, pengorbanan itu boleh lahir dalam berbagai bentuk dan cara. Untuk membantu orang lain, walaupun pada kita ianya sangat kecil nilainya, tetapi ianya boleh jadi sesuatu yang amat besar bagi orang lain.

Semoga kita semua mendapat keberkatan dariNya.

Eidul-Adha mubarak!!

2 comments:

Anonymous said...

Semoga hidup kami tiada lagi kesusahan yang melanda keluarga kamu sebelum ni. Semoga kamu sekeluarga dilimpahkan rezeki dan rahmat dari ALLAH SWT..
amin

Nor Ramli on Tuesday, January 2, 2007 at 9:04:00 PM GMT+8 said...

ameen..mudah2an..terim kasih..

 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino