Friday, August 08, 2008

31- 08.08.08



Alhamdulillah
Kesyukuran saya panjatkan kepada Yang Maha Esa kerana mengizinkan saya dipanjangkan setahun lagi usia.
Terima kasih buat bonda yang gagah membawa saya dalam kandungan.
Al- Fatihah buat arwah ayahanda yang gigih berusaha untuk membesarkan saya.
Tiada ucapan terima kasih atau hadiah yang dapat saya berikan untuk membalas jasa mereka sehingga saya begini di saat ini.
Doa saya buat kedua bonda dan ayahanda saya agar diampunkan dosa-dosa mereka dan diberikan rahmah dan keberkatan.
Emosional pula saya jadinya..hihihi...
Hadiah dari suami? Kami sepakat tiada hadiah untuk saya atau untuk suami (berkongsi hari lahir di bulan yang sama). Rumah baru kami adalah hadiah yang sangat bermakna buat kami berdua dari usaha kami berdua juga :)
Syukur atas kurniaan ini.

p/s: banner di atas adalah kiriman dari saudara KS. Terharu saya dengan ingatan dan kesungguhan beliau mengingati dan menghasilkan banner tersebut. KS mengetuk jarinya di atas 1 huruf di atas papan kekunci, yang membentuk 1 perkataan dan akhirnya menjadi 1 ayat. Terima kasih wahai sahabat. Juga buat cik UST yang mengirimkan email jauh dari NZ. Takdelah kek coklat yang sedap tahun ni ye cik UST :) Moga Allah membalas kebaikan kalian semua.

Thursday, August 07, 2008

Ikan keli


Abanglong sudah menjadi usahawan tani sepenuh masa. Ternakan kambing dan juga ikan keli telah menjadi sasaran utama abanglong bermula 2 minggu lalu. Semuanya abanglong lakukan sendiri, dari mencari rumput untuk kambing sehinggalah ke pemasangan/pembinaan tong air untuk ikan keli. Abanglong sama seperti emak saya. Mereka memerhati persekitaran dan kemudiannya merangka dalam fikiran dan merealisasikan dengan melakukannya sendiri. Abanglong tidak percaya kepada kertas kerja, catatan atau laporan. Setiap manusia mempunyai cara tersendiri dan itulah cara abanglong.


Semoga abanglong berjaya mencapai targetnya untuk tahun ini. Semoga Allah mudahkan urusan abanglong saya. Ameen.

Ombak








Ombak memukul pantai
Tanpa jemu
Berubahkah pasiran?
Ataupun berubah seketika dan kembali semula ke kekedudukan asal?

Matahari terbit dan terbenam
Terkesankah lautan?
Tersejat cairan ke dada langit membentuk awan..
Pabila berat ditampung ianya turun semula bercucuran..
Indah
Lebih indah sekiranya setiap hamba yang bernafas di muka bumi
Memerhati
Mengambil iktibar
Bersyukur
Bijaksana dan sempurna susunan yang Maha Esa

Putaran yang berlaku..ketentuan..ujian..
kesemuanya menjanjikan kebahagiaan
Di dunia yang fana
Di alam akhirat kekal selamanya

Maha suci Allah
Kami bersyukur dengan kurniaMu.






Tuesday, August 05, 2008

Kenyir


Gambar-gambar untuk entri ini telah lama diambil-sewaktu pulang ke kampung suami di Kuala Terengganu bulan Mac yang lalu. Walaupun hanya pulang dalam jangka masa yang singkat tetapi sempat juga kami singgah di Tasik Kenyir dan menikmati pemandangan yang sangat menarik. Selamat menjamu mata dengan pemandangan dirakam jurukamera amatur bersama ollie kesayangan saya :)

p/s: saya sedang pening-pening lalat- baru selesai diskusi tak dirancang dengan sifu . Berasap kepala sekejap.







Monday, August 04, 2008

Adaptasi


Ahad.
Saya dan suami berziarah ke rumah sahabat kami di Bangi. Mereka berdua baru dikurniakan cahayamata kedua. Keduanya tidak mempunyai sebelah tangan kanan. Kebetulan ketika kami sampai di sana, ada beberapa orang sahabat mereka juga datang berziarah. Topik yang menjadi perbualan kaum ibu adalah- anak. Saya dan suami masih belum dikurniakan rezeki anak dan bulan Disember ini genaplah 4 tahun kami bernikah sudah terlalu bersedia dengan topik sebegini kerana mereka sudah pastinya teruja untuk bercerita tentang telatah anak-anak dan juga perancangan untuk menambah bilangan anak. Saya fikir, saya tidak perlu bersuara, hanya menunjukkan minat dan menambah perencah dengan senyuman, tawa kecil dan juga anggukan. Sesi itu berlangsung dengan jayanya. Saya sebenarnya lebih leka melihat telatah si kecil yang baru lahir melihat dunia. Nyenyak tidurnya walaupun tetamu datang dengan kisah seribu satu malam :).

Apa yang menarik perhatian saya ialah survival para ibu yang berbual ini. 3 dari 4 orang adalah merupakan OKU anggota. S, ketiadaan sebelah tangan, W, kaki dan tangan tidak berkeupayaan penuh dan juga E, berkaki palsu. Saya mendengar mereka bercerita kesukaran dan juga cabaran untuk menguruskan anak dengan kekurangan mereka ini. Bagaimana apabila anak terjatuh dan terluka, W dan suaminya yang berkaki palsu tidak mampu menerpa serta-merta ke arah anak kerana pergerakan mereka terhad. Lantas W menyatakan beruntungnya S kerana S dan suami mampu menerpa terus sekiranya anak mereka terjatuh atau dalam bahaya. E juga menyuarakan perkara yang serupa tetapi suami E seorang normal jadinya suaminya akan membantu sekiranya berlaku insiden ketika anak-anak kecil mereka dalam proses mengenal dunia. Banyak yang saya pelajari lewat ziarah kami kelmarin. Semua insan di dunia ini adalah kurang upaya dan tidak sempurna. Ketidakupayaan anggota tidak akan menghadkan keupayaan akal dan juga sebagai kayu pengukur keimanan seseorang hamba. Semoga Allah memudahkan urusan mereka dan juga melindungi mereka serta keluarga dari sebarang kecelakaan. Ameen.



Friday, August 01, 2008

Sakit dan ubat


Pagi tadi saya bangun sangat awal kerana sudah merancang untuk melakukan kerja-kerja rumah sebelum keluar ke makmal bersama suami (kereta saya telah tidak keluar melihat dunia selama 4 hari). Semasa menggosok stok baju kerja saya dan suami untuk persediaan minggu hadapan kerana hujung minggu ini kami mempunyai jadual yang sangat padat, saya telah menonton rancangan bual bicara Oprah. Isu yang dibincangkan ialah tentang insurans kesihatan. Tajuk yang sangat menarik kerana mereka memang benar-benar berbincang. Tetamu jemputan juga merupakan individu yang hebat. Michael Moore, merupakan pengarah yang telah menghasilkan sebuah dokumentari bertajuk Sicko, professor Uwe Reinhardt dari Princeton University dan juga Karen Ignagni yang merupakan president of America's Health Insurance Plans.

Titik mula perbincangan adalah- adakah anak seorang atendan pam minyak akan memperolehi penjagaan kesihatan dan rawatan untuk memulihkannya sekiranya dia sakit sama seperti anak seorang Pengarah Urusan syarikat?

Itu situasi di Amerika di mana rakyatnya perlu membeli insurans kesihatan yang mahal untuk setiap ahli keluarga bagi membolehkan mereka menerima rawatan dan ubat-ubatan sekiranya mereka ditimpa musibah. Bagi mereka yang tidak mempunyai insurans kesihatan ianya di anggap sesuatu yang tidak bermoral- kerana menafikan hak individu untuk memperolehi rawatan. Rakyat Amerika khusunya menerima tekanan dan bebanan yang sangat hebat untuk memastikan mereka sentiasa sihat dan jika mereka jatuh sakit, insurans yang mereka beli perlulah cukup untuk membiayai perbelanjaan tersebut. Tiada hospital kerajaan yang hanya perlu dibayar RM1 untuk mendapat rawatan seperti di Malaysia. Di akhirnya, terlalu ramai rakyat Amerika yang tidak mampu untuk membayar insurans bagi diri mereka dan anak-anak apabila salah seorang dari ahli keluarga didiagnosiskan dengan penyakit kronik-kanser, tekanan darah tinggi, diabetis mellitus dan sebagainya. Ini kerana apabila salah seorang ahli keluarga disahkan mendapat musibah, maka premium yang perlu dibayar untuk semua ahli keluarga akan meningkat. Perbincangan diadakan secara sangat terbuka dan telus- wakil dari golongan pembekal insurans teruk dibelasah dengan hujah-hujah yang panas tanpa melibatkan pengeluaran saliva yang nyata. Bajet negara dihabiskan oleh pemimpin mereka untuk 'mengamankan dan membantu rakyat Iraq (yang kaya dengan simpanan minyak) ' dan ibu bapa serta waris para tentera yang berkorban nyawa untuk 'tidak ada apa-apa' ini tidak mampu pun untuk ke hospital jika mereka sakit. Bagaimana untuk mencapai kesamarataan dalam mendapatkan rawatan kesihatan? Kos untuk mendapatkan rawatan kesihatan telah menjadi punca utama (di tangga teratas) bankrap dalam kalangan rakyat Amerika. Bukan krisis makanan atau krisis minyak- tetapi krisis kesihatan. Ironi bukan? Pemimpin mereka merampas kehidupan rakyat di Iraq, Sudan, Afghanistan, Palestine dan banyak lagi jika diikuti sejarahnya, dan akhirnya ditimpakan kepada rakyat mereka masalah sebegini rupa. Ianya seperti juga taufan katrina yang melanda satu ketika dahulu yang memusnahkan New Orleans. Menimpa golongan marhaen...bukan si pemimpin yang kaya raya dan sibuk memenuhkan kocek sendiri dan keluarga.

Saya mula berfikir, jika di Malaysia tercinta ini juga begitu nanti, bagaimana ye? Saya pernah bekerja di hospital kerajaan dan pernah juga dilatih di bahagian stor dan pejabat timbalan pengarah kesihatan negeri untuk membuat pembelian ubat, menjaga bajet dan juga melayan karenah VVIP yang kaya-raya tetapi mengharapkan duit rakyat untuk membeli hatta vitamin C sahaja. Saya tahu ianya sesuatu yang sensitif untuk disebut di khalayak ramai tetapi ianya adalah kenyataan. Jika orang atasan tidak boleh/sedia untuk ditegur, bagaimana sistem pentadbiran akan dapat diperbaiki supaya penyampaian perkhidmatan kepada kumpulan sasar akan tercapai? Saya tahu mudah untuk saya bercakap tetapi sebenarnya saya amat letih dengan segala permainan politik yang semakin membuatkan saya (saya percaya bukan saya sahaja tetapi juga golongan marhaen yang lain) marah dan loya dari hari ke hari. Moga Allah selamatkan negara tercinta ini dari sebarang malapetaka. Ameen.

Thursday, July 31, 2008

Dunia yang kecil..Kepala yang besar


Lirik lagu ini membangkitkan nostalgia yang agak menyedihkan buat saya ketika zaman anak-anak kecil dahulu.

It's a small world.
it's a world of laughter, a world or tears
its a world of hopes, its a world of fear
theres so much that we share
that its time we're aware
its a small world after all

CHORUS:
its a small world after all
its a small world after all
its a small world after all
its a small, small world

There is just one moon and one golden sun
And a smile means friendship to everyone.
Though the mountains divide
And the oceans are wide
It's a small small world

Ketika saya berada dalam darjah 1, saya telah dipilih untuk menyertai persembahan untuk hari penyampaian hadiah. Persembahan itu melibatkan persembahan nyanyian dan tarian. Kami dikehendaki menyanyikan 2 buah lagi. Lagu pertama adalah lagu yang saya sudah lupa tajuknya tetapi liriknya lebih kurang begini.
A itu hurufnya..Aa itu bunyinya..AAAAAAA.
E itu hurufnya..Ee itu bunyinya..EEEEEEEE.
Semasa menyanyikan lagu ini, kami dikehendaki memegang huruf yang berkaitan dan bangun sambil menggoyangkan huruf tersebut yang dihias di atas kepingan polisterin yang berkilat-kilat apabila ianya disebut. Setelah audition dilakukan, saya telah terpilih untuk memegang huruf A dan berada di barisan hadapan sekali. Lagu kedua adalah lagu yang saya sertakan liriknya di atas. Setelah begitu hampir dengan hari penyampaian hadiah, latihan makin kerap dilakukan dan saya seperti biasa sangat bersemangat untuk berlatih kerana saya sangat suka menyanyi dengan kuat dan lantang. Baju juga telah dibeli dan mak terpaksa membayar baju yang berharga puluhan ringgit untuk saya pakai bersama dengan kawan-kawan yang lain walaupun ketika itu hidup kami susah. Baju telah dibeli mengikut barisan kami berdiri. Saya masih ingat barisan hadapan sekali memakai gaun paras bawah lutut berwarna biru laut yang sangat cantik-yang saya gelarkan baju puteri-puteri lengkap dengan riben untuk diikat pada rambut. 2 hari sebelum majlis berlangsung ketika sedang dalam latihan tiba-tiba seorang guru perempuan bernama cikgu L telah memasuki dewan sekolah. Saya seperti biasa begitu bersemangat menyanyi dan menunggu giliran saya untuk berdiri. Guru tersebut menyaksikan latihan tersebut dengan muka masam lengkap dengan kerutan di dahinya. Tiba-tiba musik dimatikan dan saya yang sedang menunggu giliran untuk bangun mengangkat huruf terpinga-pinga.
"Awak dengan huruf A..bangun..pergi tukar dengan huruf O di belakang...Kepala awak besar, jadi tak nampak muka yang di belakang."
Saya tersentak dan berada dalam kesedihan yang amat dahsyat. Apa salah saya, apa yang tidak kena dengan pergerakan saya. Kepala saya besar? Memang kepala saya besar..memang muka saya lebar seperti pinggan...tapi adakah itu kesalahannya?? Berdosakah saya mempunyai kepala yang besar?
Saya kemudiannya terus tidak bersemangat untuk membuat persembahan. Saya dilanda kesedihan dan rasa rendah diri yang sukar untuk disuarakan kepada sesiapa. Saya hanyalah seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun dan sangat suka menyanyi. Cikgu yang mula-mula menyusun atur kedudukan kami cuba memujuk saya tetapi saya hanya diam. Persembahan itu menjadi tidak seragam kerana seorang berbaju kuning tiba-tiba tersesat di hadapan dan 'puteri berbaju biru' dicampakkan ke belakang barisan. Kenapa tidak ditukar sahaja baju? Sayakan bersaiz L..mana padan dengan tuan puteri bersaiz S itu. Hanya selepas itu barulah saya mengerti bahawa si pemegang huruf O adalah anak perempuan bongsu kesayangan cikgu L yang berwajah menarik dan comel.

4 tahun kemudian, semasa di dalam darjah 5, ustaz yang melatih kumpulan nasyid telah memilih saya untuk mewakili sekolah dalam pertandingan nasyid peringkat daerah. Ustaz kemudian menyenarai pendekkan senarai nama ahli yang ingin dipilih sebagai penyanyi solo untuk lagu kedua. Sekali lagi saya diletakkan dalam keadaan untuk dipilih bersama dengan siapa lagi kalau bukan anak cikgu L. Saya sudah mahu mengalah kerana ibunya juga ada di dalam surau tempat pemilihan dilakukan. Setiap guru musik dan juga para ahli kumpulan lain diberikan hak untuk mengundi vokal siapa yang dirasakan layak. Saya diam-diam menanam keyakinan yang saya tidak akan dipilih kerana saingan saya adalah dia...si cantik manis, berwajah bujur sireh itu.
Sejarah mungkin berulang tetapi tidak kali ini. Saya akhirnya layak memakai kain songket merah selaku vokal solo.

Dendam? Saya tidak berdendam. Ketika itu, saya tidak tahu pun perkataan dendam. Saya hanyalah kanak-kanak perempuan dari keluarga miskin yang berusia 7 tahun. Cuma saya sangat sedih apabila mak bertanyakan kepada saya, mengapa saya membeli baju warna lain dari orang yang duduk sebaris dengan saya selepas habis persembahan tersebut kerana sehingga ke hari ini, inilah kali pertama saya bercerita tentang kisah ini. Saya telah melalui pengalaman tragis pada usia 7 tahun dan saya berdoa pada Allah janganlah saya tergolong dalam golongan orang yang menganiayai orang lain untuk kepentingan diri dan keluarga saya. Ameen...

Tunggu sekejap


Alhamdulillah. Kami bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kami kini di dalam proses akhir untuk berpindah ke rumah baru. Kami hanya boleh berpindah selepas saya menyiapkan kerja makmal untuk pusingan kali ini lengkap dengan analisis keputusan yang perlu dihantar kepada sifu sebelum saya melenyapkan diri buat seketika dari makmal. Itu janji saya pada diri saya sendiri dan juga sifu supaya saya boleh bercuti dengan tenang tapi penat. Hehehe. Target saya minggu ketiga bulan Ogos. Tikus-tikus saya masih belum pulih sepenuhnya.

Oleh kerana sekuel kejadian kelambatan urusan pejabat peguam dan pemaju, kami akhirnya terperangkap dengan kesan kenaikan harga minyak yang menyebabkan kenaikan harga barang binaan dan sekaligus harga yang dikenakan oleh kontraktor melambung tinggi. Bajet yang kami sediakan telah menjadi kecil. Akhirnya beberapa perkara yang kami rancangkan pada awalnya terpaksa ditambah ke dalam senarai TUNGGU SEKEJAP termasuklah perabot. Buat bakal tetamu- perlu duduk bersimpuh atas tikar mengkuanglah nampaknya. Ada hikmahnya. InsyaAllah.

Bahagian belakang yang disimen dan dilengkapi ramp untuk kemudahan suami.

Table top tempat memasak. Pintu belum ada bajet. Hihihi

Pembahagi ruang tamu dan ruang keluarga yang paling jimat boleh kami dapati. Nanti jurai-jurai akan digantung disitu.

Plaster ceiling yang sangat basic. Tiada hiasan apapun.
Gril akan dipasang esok.

Saya sedang merangka dalam fikiran untuk memulakan proses sort and filter barang-barang yang ingin di bawa pindah, diberikan pada bakal pengantin baru (siapa mengaku angkat tangan), ditinggalkan atau dibuang. Hmm..proses ini perlu dilakukan dengan tenang dan rasional. Hihihi.
InsyaAllah hari ahad nanti kami akan melakukan operasi membasuh rumah. Moga dipermudahkanNya. Ameen.


Tuesday, July 22, 2008

Cucuk


Lama saya tidak update blog ini.
Semalam, saya seperti biasa melakukan prosedur biasa dengan tikus. Saya amat berhati-hati dan berjaga-jaga terutamanya apabila ada direct contact dengan tikus dan juga jarum suntikan yang digunakan untuk menyuntik tikus dengan ubat berkaitan. Sifu juga sudah mengingatkan agar mengambil suntikan anti tetanus di PK tetapi PK memaklumkan kepada kami- apabila dah kena barulah suntikan akan diberikan. Tiada suntikan untuk profilaksis.
Waktu saya menguruskan tikus adalah waktu petang- dan biasanya saya memang dalam keadaan keletihan yang amat sangat. Malang tidak berbau, selepas saya memberikan suntikan kepada tikus, saya ingin membuang jarum berkenaan ke dalam hazard bin..jarum tersebut tercucuk ke jari telunjuk kiri saya. Refleks pantas saya adalah dengan mangambil alcohol swap dan menyapunya di bahagian terkena. Oleh kerana ini adalah pengalaman pertama, saya agak panik dan menghubungi kakak saya yang ketawa-ketawa mendengar pertanyaan saya. Ini katanya,
'letak jari tu bawah air paip lalu lepas tu picit jari supaya darah keluar..anti tetanus? tak payahlah..tapi bagus juga kalau telefon animal provider hari tu dan tanya diorang apa protokol orang tercucuk jarum."
Animal provider memaklumkan kepada saya, saya perlu dapatkan suntikan dan juga antibiotik sebagai profilaksis.
Dipendekkan cerita, saya dihantar suami yang sangat cemas (sayang sangat pada isterinya ni) ke DEMC dan diberikan suntikan (sakit rupanya suntikan melalui otot ni, saya hari-hari lakukan pada tikus..hihihi...balasan agaknya ni) anti tetanus dan juga cloxa sebagai antibiotik profilaksis. Alhamdulillah saya sihat hari ini cuma lengan yang dicucuk itu agak sengal dan lenguh.
Kesimpulannya...malang tidak berbau. Saya lalai kelmarin ada hikmahnya- untuk saya lebih berhati-hati.

Friday, July 11, 2008

Plan A, B?


Saya mempunyai terlalu banyak kerja yang perlu dibereskan hari ini, esok dan lusa. Segalanya perlu diselesaikan sebelum hari Isnin menjelma. Ianya merangkumi tugas hakiki sebagai pelajar dan sudah tentunya sebagai isteri dan anak yang berusaha sedaya upaya menjadi isteri dan anak yang solehah. Saya perlu lebih bijak membahagikan masa kerana kadangkala semua perkara memerlukan perhatian dalam satu masa yang sama. Seringkali juga saya gagal untuk menetapkan keutamaan dalam melaksanakan tuntutan-tuntutan tanggungjawab. Apa yang saya merepek ni agaknya.

Hari ini, rancangan awal saya- ke makmal di awal pagi dan kemudiannya menyediakan tikus untuk prosedur hari isnin nanti, tengaharinya pula ke premis tupperware kerana selaku ajen yang sangat tidak mengetahui plan sebenar perlaksanaan perniagaannya saya perlu membelikan square set untuk mak, giant pitcher untuk acik dan along dan juga square water dispenser untuk acik serta mendaftarkan seorang lagi ahli di bawah nama saya. Petangnya pula meneruskan prosedur harian saya selama 15-20 hari insyaAllah sehinggalah tikus saya sembuh. Berbalik kepada kisah saya sebagai ajen Tupperware yang suka-suka menjual mengikut kehendak hati saya biasanya dengan diskaun 10-20%. Itulah kelemahan saya. Saya sangat suka berkongsi maklumat barangan yang saya suka gunakan kerana puas hati dengan kualitinya, oleh itu saya dengan seronoknya akan meletakkan katalog di tempat-tempat yang saya fikirkan perlu dan menerima tempahan TANPA memikirkan keuntungan, lebih-lebih lagi jika dengan kenalan rapat, saya dengan senang hatinya akan membelikan untuk mereka dan mereka akan dapat membeli dengan harga ajen tanpa perlu menjadi ahli. Apabila saya menyemak jumlah belian saya bulan lepas, rupa-rupanya bernilai lebih RM2000, saya sepatutnya mendapat pulangan lebih kurang RM400 tapi saya cuma mendapat satu giant pitcher berharga lebih kurang RM50. Hahahahah...saya memang tidak sampai hati untuk mengambil keuntungan. Saya cuma berkongsi produk yang pada saya kualitinya bagus dengan kenalan-kenalan saya. Keuntungan? Entahlah...mungkin kerana itu saya tidak mahu membuka premis farmasi walaupun lesen sebagai ahli farmasi berdaftar saya perbaharui setiap tahun selain sebab utamanya- sayakan kakitangan awam..takkan nak buka perniagaan pula. Hihihihi.

Itulah perancangan awal saya semalam.

Malam tadi, suami saya mula pening-pening kepala dan suhu badannya meningkat. Pagi ini, badannya makin lemah dan suara makin serak. Akhirnya kami ke DEMC dan dia memperolehi sijil cuti sakit yang diidamkan oleh kebanyakan pekerja yang normal di muka bumi ini. Hahahahah...Saya dihantar ke fakulti pada pukul 9.30 pagi selepas selesai semua urusan. Sesampai di fakulti saya mula menyediakan alatan untuk prosedur menyediakan tikus untuk treatment pada hari Isnin, akan tetapi, kulit tikus saya dipenuhi hama- hmmm....plan B..mandikan tikus dahulu, bersihkan bulu dan kulitnya. Ini mengambil masa lebih 3 jam berbanding proses sebenarnya hanya mengambil lebih kurang sejam. Esok pagi-pagi barulah saya melakukan prosedur pre-treatment untuk haiwan-haiwan kesayangan saya itu. Tengaharinya saya gagahkan juga ke outlet Tupperware kerana promosi yang saya kejar itu tamat hari ini. Maka berdaftarlah Puan Zab sebagai ajen di bawah tanah jajahan saya..hehehe..Sekarang ini, saya sedang menunggu waktu asar sebelum saya memulakan prosedur harian tikus-tikus saya yang sedia menanti di tepi fume hood untuk saya pengsankan lagi. Moga Allah permudahkan urusan saya dengan perancanganNya yang lebih molek ini. Ameen.

Wednesday, July 09, 2008

Baju kurung berpesak tidak bertali cuma...


Kita hanya merancang...Allah Maha Mengetahui.

Sabtu lepas saya sepatutnya sudah dapat mengambil kunci rumah di AP. Saya juga sudah membuat temujanji dengan 6 orang kontraktor- untuk 2 set sebut harga. Akan tetapi, jumaat malam sabtu tepat jam 10.30 malam, Uda menelefon. Nenek saya- ibu kepada arwah ayah saya telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.10 malam. Almarhumah yang berusia 83 tahun memang sudah lama sakit dan sudah beberapa tahun terlantar di atas katil. Kami sekeluarga redha dengan pemergiannya. Moga roh almarhumah ditempatkan dalam golongan orang-orang beriman dan beramal soleh.

Semua urusan memandikan dan mengkafankan di bantu oleh anak-anak dan menantu serta cucu-cucu. Ini merupakan pengalaman pertama saya benar-benar terlibat dalam urusan-urusan tersebut dari awal sehingga akhir. Sungguh saya insaf dengan pengalaman yang saya lalui itu. Apabila jasad tidak lagi bernyawa, hanya kain putih dan kapas dibalutkan ke badan. Berseluar, berkain, berbaju kurung dan dipakaikan telekung namun tidak berjahit, hanya diikatkan tali di hujung kain. Sedihnya hati saya apabila bilal yang mengetuai proses mengkafankan jenazah itu mengucapkan selamat tinggal buat almarhumah sebelum diikat kain kafan di bahagian kepala dan di bawa ke tanah perkuburan selepas solat jenazah dilaksanakan. Syukur alhamdulillah semua proses pengkebumian dilaksanakan dengan amat mudah dan cepat. Moga roh almarhumah tenang di sana.
Al-Fatihah untuk Almarhumah Mahanie binti Nuuh.

Wednesday, July 02, 2008

Kedai Kain Yanie...


Saya ingin membuat pengumuman untuk membantu seorang sahabat saya yang sedang berusaha untuk memajukan diri dengan memulakan perniagaan. Silalah lawati blog berikut:



Kunci


Petang semalam, akhirnya saya mengosongkan sepenuhnya bilik pejabat saya. Perasaan saya bercampur-baur dengan memori kenangan silamlah...apalah..merepek betul!!!!!!
Sebenarnya, saya sangat tertekan dari minggu sebelumnya, macam-macam perkara berlaku dan kesemuanya berlaku SERENTAK...saya berdoa mohon ketenangan dan mohon agar Allah mudahkan jalan buat saya. Akan tetapi saya tetap tidak tenang, ermm...saya belum 'cry my heart out'..perlu ke? Saya merasakan ianya tidak perlu kerana apabila saya menangis, saya akan mendapat serangan migraine and I better save my tears for a more important event. Hahahahah.

Walaubagaimanapun, selepas memulangkan kunci bilik sebentar tadi, saya merasakan kesayuan yang tidak terhingga. Wahhh..nak kena menangis ke nih? Saya merasakan ...ye...!! Saya perlu menangis, tak perlu ditahan-tahan lagi, menangis bagus juga untuk membersihkan mata kerana airmata mempunyai osmotic pressure equal to 0.9%w/v NaCl solution. Hihihihi. Akhirnya saya menangis...meluahkan segalanya...kepada diri sendiri...habis basah tudung saya, mujur berwarna gelap.

Selepas itu, saya menerima panggilan telefon dari pejabat peguam loya buruk yang menguruskan urusan rumah kami, ada dokumen masih belum diperolehi dan saya menelefon pula pejabat pemaju. Owhh...bukankah tadi saya baru memulangkan kunci bilik pejabat saya yang membuatkan saya emosi mengalahkan saya baru sahaja di saman kerana termemandu laju, sampai menangislah pulak tu. Ermm...pejabat pemaju akhirnya dah tak mampu nak berselindung dengan kadar kelembapan mereka dan panel peguam mereka, akhirnya mereka menawarkan saya kunci rumah kami paling cepat hari Ahad ini walaupun...ye...walaupun pembayaran sepenuhnya belum dibuat oleh BPP. Akan tetapi ianya bukan salah saya atau BPP. Mereka (pemaju dan peguam) belum kemukakan dokumen yang lengkap, bagaimana pembayaran boleh dibuat. Errkkkkkk..........saya perlu sujud syukur. Pulangkan kunci bilik pejabat dan mendapat kunci rumah kami sendiri. Bukankah itu sistem bater yang sangat tidak terjangkau oleh pemikiran saya? Subhanallah..MasyaAllah...Alhamdulillah...hambaMu ini sangat lemah.....

Tuesday, July 01, 2008

Kurniaan


Jumaat lepas saya ditimpa ujian yang sangat menggugat ketabahan saya sebagai pelajar. Ini bukanlah pengalaman pertama malahan ketika di peringkat sarjana dahulu pun saya pernah mengalami situasi yang sama-invalid results due to invalid method??!! Allah sahaja Yang Maha Mengetahui betapa tertekannya saya ketika perbincangan dengan sifu dibuat Jumaat malam yang lalu. Kesimpulannya- saya 'melarikan diri' dari makmal pada hari Ahad kerana ingin meredakan ketegangan yang saya rasakan. Hari ini, selepas 3 hari peristiwa yang mengorbankan kerja saya selama hampir 6 bulan ini barulah saya merasakan beroleh kekuatan semula. Saya menyusun semula strategi untuk mengutip kembali sisa-sisa masa yang ada. Moga Allah berikan saya kekuatan.

Suami tercinta mengajak saya 'melarikan diri' dari makmal dan pulang ke pangkuan bonda tersayang. Hihihi...time for family katanya.
Sampai di rumah bonda, along dan acik sekeluarga telah sampai dan saya memenuhi janji pada along untuk membantu along dan abanglong menyediakan tapak bagi diletakkan tong untuk projek ikan keli mereka yang akan bermula tidak lama lagi. Berpeluh jeghuk saya dibuatnya-almaklumlah, sudah lama tidak memegang cangkul dan pengorek tanah untuk menggali lubang meletakkan tiang, ditambah pula dengan mengangkut pasir basah menggunakan kereta tolak. Lega rasanya dapat beriadah begitu walaupun otot-otot lembik di tangan saya menjerit agaknya kerana terperanjat. Hihihi. Saya juga telah ketinggalan keretapi dalam hal-hal perbincangan keluarga tentang persiapan majlis walimah adik bongsu saya November nanti. Saya tidak tahu banyak perkara, siapa caterer yang mak tempah, apa lauknya, hantaran ada berapa, bila akad nikahnya, apa cenderahati untuk tetamu..ermm......hihih....dan akhirnya seperti majlis walimah alang dan acik 12 tahun yang lalu, saya ditugaskan menyediakan lauk pengantin dan along memberitahu saya, mak melantik saya menjadi koordinator untuk bilik pengantin dan hantaran. Mak sentiasa memikirkan saya kreatif walaupun hakikatnya tidak. Saya tidak kreatif langsung bab-bab kerja tangan, saya dan suami hanya suka melayan mak untuk menunggu berjam-jam, memberikan idea dan cadangan ketika mak keluar membeli barangan untuk hantaran ini- seperti masa-masa lalu semenjak majlis perkahwinan along pada tahun 1989. Jika dulu pada tahun 1989, saya berumur 12 tahun, saya dan mak akan berbasikal berasingan ke jalan besar dan meletakkan basikal di kedai pakcik Jaafar sebelum melintas jalan dan menaiki bas United berwarna oren kuning menuju ke kedai alat jahitan Jaya di Seremban. Ianya berlarutan sehingga sekarang, bezanya suami saya akan memandu dan mak akan duduk di belakang...bercerita dan bercerita sehingga tiba di tempat tujuan. Ahh..kenangan..dan ianya masih segar dalam ingatan saya.

Kami juga mendapat perkhabaran gembira sebentar tadi. Permohonan suami saya untuk menyambung pengajian separuh masa di IPTS telah diterima. Syukur. Syukur...sesungguhnya bagi setiap ujian, akan ada jalan keluar. Tahniah buat suami tercinta...belajar rajin-rajin ye. :)
 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino