Thursday, July 31, 2008

Dunia yang kecil..Kepala yang besar


Lirik lagu ini membangkitkan nostalgia yang agak menyedihkan buat saya ketika zaman anak-anak kecil dahulu.

It's a small world.
it's a world of laughter, a world or tears
its a world of hopes, its a world of fear
theres so much that we share
that its time we're aware
its a small world after all

CHORUS:
its a small world after all
its a small world after all
its a small world after all
its a small, small world

There is just one moon and one golden sun
And a smile means friendship to everyone.
Though the mountains divide
And the oceans are wide
It's a small small world

Ketika saya berada dalam darjah 1, saya telah dipilih untuk menyertai persembahan untuk hari penyampaian hadiah. Persembahan itu melibatkan persembahan nyanyian dan tarian. Kami dikehendaki menyanyikan 2 buah lagi. Lagu pertama adalah lagu yang saya sudah lupa tajuknya tetapi liriknya lebih kurang begini.
A itu hurufnya..Aa itu bunyinya..AAAAAAA.
E itu hurufnya..Ee itu bunyinya..EEEEEEEE.
Semasa menyanyikan lagu ini, kami dikehendaki memegang huruf yang berkaitan dan bangun sambil menggoyangkan huruf tersebut yang dihias di atas kepingan polisterin yang berkilat-kilat apabila ianya disebut. Setelah audition dilakukan, saya telah terpilih untuk memegang huruf A dan berada di barisan hadapan sekali. Lagu kedua adalah lagu yang saya sertakan liriknya di atas. Setelah begitu hampir dengan hari penyampaian hadiah, latihan makin kerap dilakukan dan saya seperti biasa sangat bersemangat untuk berlatih kerana saya sangat suka menyanyi dengan kuat dan lantang. Baju juga telah dibeli dan mak terpaksa membayar baju yang berharga puluhan ringgit untuk saya pakai bersama dengan kawan-kawan yang lain walaupun ketika itu hidup kami susah. Baju telah dibeli mengikut barisan kami berdiri. Saya masih ingat barisan hadapan sekali memakai gaun paras bawah lutut berwarna biru laut yang sangat cantik-yang saya gelarkan baju puteri-puteri lengkap dengan riben untuk diikat pada rambut. 2 hari sebelum majlis berlangsung ketika sedang dalam latihan tiba-tiba seorang guru perempuan bernama cikgu L telah memasuki dewan sekolah. Saya seperti biasa begitu bersemangat menyanyi dan menunggu giliran saya untuk berdiri. Guru tersebut menyaksikan latihan tersebut dengan muka masam lengkap dengan kerutan di dahinya. Tiba-tiba musik dimatikan dan saya yang sedang menunggu giliran untuk bangun mengangkat huruf terpinga-pinga.
"Awak dengan huruf A..bangun..pergi tukar dengan huruf O di belakang...Kepala awak besar, jadi tak nampak muka yang di belakang."
Saya tersentak dan berada dalam kesedihan yang amat dahsyat. Apa salah saya, apa yang tidak kena dengan pergerakan saya. Kepala saya besar? Memang kepala saya besar..memang muka saya lebar seperti pinggan...tapi adakah itu kesalahannya?? Berdosakah saya mempunyai kepala yang besar?
Saya kemudiannya terus tidak bersemangat untuk membuat persembahan. Saya dilanda kesedihan dan rasa rendah diri yang sukar untuk disuarakan kepada sesiapa. Saya hanyalah seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun dan sangat suka menyanyi. Cikgu yang mula-mula menyusun atur kedudukan kami cuba memujuk saya tetapi saya hanya diam. Persembahan itu menjadi tidak seragam kerana seorang berbaju kuning tiba-tiba tersesat di hadapan dan 'puteri berbaju biru' dicampakkan ke belakang barisan. Kenapa tidak ditukar sahaja baju? Sayakan bersaiz L..mana padan dengan tuan puteri bersaiz S itu. Hanya selepas itu barulah saya mengerti bahawa si pemegang huruf O adalah anak perempuan bongsu kesayangan cikgu L yang berwajah menarik dan comel.

4 tahun kemudian, semasa di dalam darjah 5, ustaz yang melatih kumpulan nasyid telah memilih saya untuk mewakili sekolah dalam pertandingan nasyid peringkat daerah. Ustaz kemudian menyenarai pendekkan senarai nama ahli yang ingin dipilih sebagai penyanyi solo untuk lagu kedua. Sekali lagi saya diletakkan dalam keadaan untuk dipilih bersama dengan siapa lagi kalau bukan anak cikgu L. Saya sudah mahu mengalah kerana ibunya juga ada di dalam surau tempat pemilihan dilakukan. Setiap guru musik dan juga para ahli kumpulan lain diberikan hak untuk mengundi vokal siapa yang dirasakan layak. Saya diam-diam menanam keyakinan yang saya tidak akan dipilih kerana saingan saya adalah dia...si cantik manis, berwajah bujur sireh itu.
Sejarah mungkin berulang tetapi tidak kali ini. Saya akhirnya layak memakai kain songket merah selaku vokal solo.

Dendam? Saya tidak berdendam. Ketika itu, saya tidak tahu pun perkataan dendam. Saya hanyalah kanak-kanak perempuan dari keluarga miskin yang berusia 7 tahun. Cuma saya sangat sedih apabila mak bertanyakan kepada saya, mengapa saya membeli baju warna lain dari orang yang duduk sebaris dengan saya selepas habis persembahan tersebut kerana sehingga ke hari ini, inilah kali pertama saya bercerita tentang kisah ini. Saya telah melalui pengalaman tragis pada usia 7 tahun dan saya berdoa pada Allah janganlah saya tergolong dalam golongan orang yang menganiayai orang lain untuk kepentingan diri dan keluarga saya. Ameen...

Tunggu sekejap


Alhamdulillah. Kami bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kami kini di dalam proses akhir untuk berpindah ke rumah baru. Kami hanya boleh berpindah selepas saya menyiapkan kerja makmal untuk pusingan kali ini lengkap dengan analisis keputusan yang perlu dihantar kepada sifu sebelum saya melenyapkan diri buat seketika dari makmal. Itu janji saya pada diri saya sendiri dan juga sifu supaya saya boleh bercuti dengan tenang tapi penat. Hehehe. Target saya minggu ketiga bulan Ogos. Tikus-tikus saya masih belum pulih sepenuhnya.

Oleh kerana sekuel kejadian kelambatan urusan pejabat peguam dan pemaju, kami akhirnya terperangkap dengan kesan kenaikan harga minyak yang menyebabkan kenaikan harga barang binaan dan sekaligus harga yang dikenakan oleh kontraktor melambung tinggi. Bajet yang kami sediakan telah menjadi kecil. Akhirnya beberapa perkara yang kami rancangkan pada awalnya terpaksa ditambah ke dalam senarai TUNGGU SEKEJAP termasuklah perabot. Buat bakal tetamu- perlu duduk bersimpuh atas tikar mengkuanglah nampaknya. Ada hikmahnya. InsyaAllah.

Bahagian belakang yang disimen dan dilengkapi ramp untuk kemudahan suami.

Table top tempat memasak. Pintu belum ada bajet. Hihihi

Pembahagi ruang tamu dan ruang keluarga yang paling jimat boleh kami dapati. Nanti jurai-jurai akan digantung disitu.

Plaster ceiling yang sangat basic. Tiada hiasan apapun.
Gril akan dipasang esok.

Saya sedang merangka dalam fikiran untuk memulakan proses sort and filter barang-barang yang ingin di bawa pindah, diberikan pada bakal pengantin baru (siapa mengaku angkat tangan), ditinggalkan atau dibuang. Hmm..proses ini perlu dilakukan dengan tenang dan rasional. Hihihi.
InsyaAllah hari ahad nanti kami akan melakukan operasi membasuh rumah. Moga dipermudahkanNya. Ameen.


Tuesday, July 22, 2008

Cucuk


Lama saya tidak update blog ini.
Semalam, saya seperti biasa melakukan prosedur biasa dengan tikus. Saya amat berhati-hati dan berjaga-jaga terutamanya apabila ada direct contact dengan tikus dan juga jarum suntikan yang digunakan untuk menyuntik tikus dengan ubat berkaitan. Sifu juga sudah mengingatkan agar mengambil suntikan anti tetanus di PK tetapi PK memaklumkan kepada kami- apabila dah kena barulah suntikan akan diberikan. Tiada suntikan untuk profilaksis.
Waktu saya menguruskan tikus adalah waktu petang- dan biasanya saya memang dalam keadaan keletihan yang amat sangat. Malang tidak berbau, selepas saya memberikan suntikan kepada tikus, saya ingin membuang jarum berkenaan ke dalam hazard bin..jarum tersebut tercucuk ke jari telunjuk kiri saya. Refleks pantas saya adalah dengan mangambil alcohol swap dan menyapunya di bahagian terkena. Oleh kerana ini adalah pengalaman pertama, saya agak panik dan menghubungi kakak saya yang ketawa-ketawa mendengar pertanyaan saya. Ini katanya,
'letak jari tu bawah air paip lalu lepas tu picit jari supaya darah keluar..anti tetanus? tak payahlah..tapi bagus juga kalau telefon animal provider hari tu dan tanya diorang apa protokol orang tercucuk jarum."
Animal provider memaklumkan kepada saya, saya perlu dapatkan suntikan dan juga antibiotik sebagai profilaksis.
Dipendekkan cerita, saya dihantar suami yang sangat cemas (sayang sangat pada isterinya ni) ke DEMC dan diberikan suntikan (sakit rupanya suntikan melalui otot ni, saya hari-hari lakukan pada tikus..hihihi...balasan agaknya ni) anti tetanus dan juga cloxa sebagai antibiotik profilaksis. Alhamdulillah saya sihat hari ini cuma lengan yang dicucuk itu agak sengal dan lenguh.
Kesimpulannya...malang tidak berbau. Saya lalai kelmarin ada hikmahnya- untuk saya lebih berhati-hati.

Friday, July 11, 2008

Plan A, B?


Saya mempunyai terlalu banyak kerja yang perlu dibereskan hari ini, esok dan lusa. Segalanya perlu diselesaikan sebelum hari Isnin menjelma. Ianya merangkumi tugas hakiki sebagai pelajar dan sudah tentunya sebagai isteri dan anak yang berusaha sedaya upaya menjadi isteri dan anak yang solehah. Saya perlu lebih bijak membahagikan masa kerana kadangkala semua perkara memerlukan perhatian dalam satu masa yang sama. Seringkali juga saya gagal untuk menetapkan keutamaan dalam melaksanakan tuntutan-tuntutan tanggungjawab. Apa yang saya merepek ni agaknya.

Hari ini, rancangan awal saya- ke makmal di awal pagi dan kemudiannya menyediakan tikus untuk prosedur hari isnin nanti, tengaharinya pula ke premis tupperware kerana selaku ajen yang sangat tidak mengetahui plan sebenar perlaksanaan perniagaannya saya perlu membelikan square set untuk mak, giant pitcher untuk acik dan along dan juga square water dispenser untuk acik serta mendaftarkan seorang lagi ahli di bawah nama saya. Petangnya pula meneruskan prosedur harian saya selama 15-20 hari insyaAllah sehinggalah tikus saya sembuh. Berbalik kepada kisah saya sebagai ajen Tupperware yang suka-suka menjual mengikut kehendak hati saya biasanya dengan diskaun 10-20%. Itulah kelemahan saya. Saya sangat suka berkongsi maklumat barangan yang saya suka gunakan kerana puas hati dengan kualitinya, oleh itu saya dengan seronoknya akan meletakkan katalog di tempat-tempat yang saya fikirkan perlu dan menerima tempahan TANPA memikirkan keuntungan, lebih-lebih lagi jika dengan kenalan rapat, saya dengan senang hatinya akan membelikan untuk mereka dan mereka akan dapat membeli dengan harga ajen tanpa perlu menjadi ahli. Apabila saya menyemak jumlah belian saya bulan lepas, rupa-rupanya bernilai lebih RM2000, saya sepatutnya mendapat pulangan lebih kurang RM400 tapi saya cuma mendapat satu giant pitcher berharga lebih kurang RM50. Hahahahah...saya memang tidak sampai hati untuk mengambil keuntungan. Saya cuma berkongsi produk yang pada saya kualitinya bagus dengan kenalan-kenalan saya. Keuntungan? Entahlah...mungkin kerana itu saya tidak mahu membuka premis farmasi walaupun lesen sebagai ahli farmasi berdaftar saya perbaharui setiap tahun selain sebab utamanya- sayakan kakitangan awam..takkan nak buka perniagaan pula. Hihihihi.

Itulah perancangan awal saya semalam.

Malam tadi, suami saya mula pening-pening kepala dan suhu badannya meningkat. Pagi ini, badannya makin lemah dan suara makin serak. Akhirnya kami ke DEMC dan dia memperolehi sijil cuti sakit yang diidamkan oleh kebanyakan pekerja yang normal di muka bumi ini. Hahahahah...Saya dihantar ke fakulti pada pukul 9.30 pagi selepas selesai semua urusan. Sesampai di fakulti saya mula menyediakan alatan untuk prosedur menyediakan tikus untuk treatment pada hari Isnin, akan tetapi, kulit tikus saya dipenuhi hama- hmmm....plan B..mandikan tikus dahulu, bersihkan bulu dan kulitnya. Ini mengambil masa lebih 3 jam berbanding proses sebenarnya hanya mengambil lebih kurang sejam. Esok pagi-pagi barulah saya melakukan prosedur pre-treatment untuk haiwan-haiwan kesayangan saya itu. Tengaharinya saya gagahkan juga ke outlet Tupperware kerana promosi yang saya kejar itu tamat hari ini. Maka berdaftarlah Puan Zab sebagai ajen di bawah tanah jajahan saya..hehehe..Sekarang ini, saya sedang menunggu waktu asar sebelum saya memulakan prosedur harian tikus-tikus saya yang sedia menanti di tepi fume hood untuk saya pengsankan lagi. Moga Allah permudahkan urusan saya dengan perancanganNya yang lebih molek ini. Ameen.

Wednesday, July 09, 2008

Baju kurung berpesak tidak bertali cuma...


Kita hanya merancang...Allah Maha Mengetahui.

Sabtu lepas saya sepatutnya sudah dapat mengambil kunci rumah di AP. Saya juga sudah membuat temujanji dengan 6 orang kontraktor- untuk 2 set sebut harga. Akan tetapi, jumaat malam sabtu tepat jam 10.30 malam, Uda menelefon. Nenek saya- ibu kepada arwah ayah saya telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.10 malam. Almarhumah yang berusia 83 tahun memang sudah lama sakit dan sudah beberapa tahun terlantar di atas katil. Kami sekeluarga redha dengan pemergiannya. Moga roh almarhumah ditempatkan dalam golongan orang-orang beriman dan beramal soleh.

Semua urusan memandikan dan mengkafankan di bantu oleh anak-anak dan menantu serta cucu-cucu. Ini merupakan pengalaman pertama saya benar-benar terlibat dalam urusan-urusan tersebut dari awal sehingga akhir. Sungguh saya insaf dengan pengalaman yang saya lalui itu. Apabila jasad tidak lagi bernyawa, hanya kain putih dan kapas dibalutkan ke badan. Berseluar, berkain, berbaju kurung dan dipakaikan telekung namun tidak berjahit, hanya diikatkan tali di hujung kain. Sedihnya hati saya apabila bilal yang mengetuai proses mengkafankan jenazah itu mengucapkan selamat tinggal buat almarhumah sebelum diikat kain kafan di bahagian kepala dan di bawa ke tanah perkuburan selepas solat jenazah dilaksanakan. Syukur alhamdulillah semua proses pengkebumian dilaksanakan dengan amat mudah dan cepat. Moga roh almarhumah tenang di sana.
Al-Fatihah untuk Almarhumah Mahanie binti Nuuh.

Wednesday, July 02, 2008

Kedai Kain Yanie...


Saya ingin membuat pengumuman untuk membantu seorang sahabat saya yang sedang berusaha untuk memajukan diri dengan memulakan perniagaan. Silalah lawati blog berikut:



Kunci


Petang semalam, akhirnya saya mengosongkan sepenuhnya bilik pejabat saya. Perasaan saya bercampur-baur dengan memori kenangan silamlah...apalah..merepek betul!!!!!!
Sebenarnya, saya sangat tertekan dari minggu sebelumnya, macam-macam perkara berlaku dan kesemuanya berlaku SERENTAK...saya berdoa mohon ketenangan dan mohon agar Allah mudahkan jalan buat saya. Akan tetapi saya tetap tidak tenang, ermm...saya belum 'cry my heart out'..perlu ke? Saya merasakan ianya tidak perlu kerana apabila saya menangis, saya akan mendapat serangan migraine and I better save my tears for a more important event. Hahahahah.

Walaubagaimanapun, selepas memulangkan kunci bilik sebentar tadi, saya merasakan kesayuan yang tidak terhingga. Wahhh..nak kena menangis ke nih? Saya merasakan ...ye...!! Saya perlu menangis, tak perlu ditahan-tahan lagi, menangis bagus juga untuk membersihkan mata kerana airmata mempunyai osmotic pressure equal to 0.9%w/v NaCl solution. Hihihihi. Akhirnya saya menangis...meluahkan segalanya...kepada diri sendiri...habis basah tudung saya, mujur berwarna gelap.

Selepas itu, saya menerima panggilan telefon dari pejabat peguam loya buruk yang menguruskan urusan rumah kami, ada dokumen masih belum diperolehi dan saya menelefon pula pejabat pemaju. Owhh...bukankah tadi saya baru memulangkan kunci bilik pejabat saya yang membuatkan saya emosi mengalahkan saya baru sahaja di saman kerana termemandu laju, sampai menangislah pulak tu. Ermm...pejabat pemaju akhirnya dah tak mampu nak berselindung dengan kadar kelembapan mereka dan panel peguam mereka, akhirnya mereka menawarkan saya kunci rumah kami paling cepat hari Ahad ini walaupun...ye...walaupun pembayaran sepenuhnya belum dibuat oleh BPP. Akan tetapi ianya bukan salah saya atau BPP. Mereka (pemaju dan peguam) belum kemukakan dokumen yang lengkap, bagaimana pembayaran boleh dibuat. Errkkkkkk..........saya perlu sujud syukur. Pulangkan kunci bilik pejabat dan mendapat kunci rumah kami sendiri. Bukankah itu sistem bater yang sangat tidak terjangkau oleh pemikiran saya? Subhanallah..MasyaAllah...Alhamdulillah...hambaMu ini sangat lemah.....

Tuesday, July 01, 2008

Kurniaan


Jumaat lepas saya ditimpa ujian yang sangat menggugat ketabahan saya sebagai pelajar. Ini bukanlah pengalaman pertama malahan ketika di peringkat sarjana dahulu pun saya pernah mengalami situasi yang sama-invalid results due to invalid method??!! Allah sahaja Yang Maha Mengetahui betapa tertekannya saya ketika perbincangan dengan sifu dibuat Jumaat malam yang lalu. Kesimpulannya- saya 'melarikan diri' dari makmal pada hari Ahad kerana ingin meredakan ketegangan yang saya rasakan. Hari ini, selepas 3 hari peristiwa yang mengorbankan kerja saya selama hampir 6 bulan ini barulah saya merasakan beroleh kekuatan semula. Saya menyusun semula strategi untuk mengutip kembali sisa-sisa masa yang ada. Moga Allah berikan saya kekuatan.

Suami tercinta mengajak saya 'melarikan diri' dari makmal dan pulang ke pangkuan bonda tersayang. Hihihi...time for family katanya.
Sampai di rumah bonda, along dan acik sekeluarga telah sampai dan saya memenuhi janji pada along untuk membantu along dan abanglong menyediakan tapak bagi diletakkan tong untuk projek ikan keli mereka yang akan bermula tidak lama lagi. Berpeluh jeghuk saya dibuatnya-almaklumlah, sudah lama tidak memegang cangkul dan pengorek tanah untuk menggali lubang meletakkan tiang, ditambah pula dengan mengangkut pasir basah menggunakan kereta tolak. Lega rasanya dapat beriadah begitu walaupun otot-otot lembik di tangan saya menjerit agaknya kerana terperanjat. Hihihi. Saya juga telah ketinggalan keretapi dalam hal-hal perbincangan keluarga tentang persiapan majlis walimah adik bongsu saya November nanti. Saya tidak tahu banyak perkara, siapa caterer yang mak tempah, apa lauknya, hantaran ada berapa, bila akad nikahnya, apa cenderahati untuk tetamu..ermm......hihih....dan akhirnya seperti majlis walimah alang dan acik 12 tahun yang lalu, saya ditugaskan menyediakan lauk pengantin dan along memberitahu saya, mak melantik saya menjadi koordinator untuk bilik pengantin dan hantaran. Mak sentiasa memikirkan saya kreatif walaupun hakikatnya tidak. Saya tidak kreatif langsung bab-bab kerja tangan, saya dan suami hanya suka melayan mak untuk menunggu berjam-jam, memberikan idea dan cadangan ketika mak keluar membeli barangan untuk hantaran ini- seperti masa-masa lalu semenjak majlis perkahwinan along pada tahun 1989. Jika dulu pada tahun 1989, saya berumur 12 tahun, saya dan mak akan berbasikal berasingan ke jalan besar dan meletakkan basikal di kedai pakcik Jaafar sebelum melintas jalan dan menaiki bas United berwarna oren kuning menuju ke kedai alat jahitan Jaya di Seremban. Ianya berlarutan sehingga sekarang, bezanya suami saya akan memandu dan mak akan duduk di belakang...bercerita dan bercerita sehingga tiba di tempat tujuan. Ahh..kenangan..dan ianya masih segar dalam ingatan saya.

Kami juga mendapat perkhabaran gembira sebentar tadi. Permohonan suami saya untuk menyambung pengajian separuh masa di IPTS telah diterima. Syukur. Syukur...sesungguhnya bagi setiap ujian, akan ada jalan keluar. Tahniah buat suami tercinta...belajar rajin-rajin ye. :)

Monday, June 23, 2008

Generasi kedua


Saya pernah berkongsi cerita tentang projek kambing oleh abanglong dan uda.

2 minggu lepas generasi kedua baka kambing jamnapari ini selamat dilahirkan melihat dunia. Malam jumaat selepas maghrib, itulah masa 2 ekor anak kambing yang comel dan sangat manja ini dilahirkan. Along dan abanglong sangat teruja...saya mendapat pesanan ringkas pada pukul 11.30 tengah malam memaklumkan kelahiran sepasang kembar tidak seiras dan tidak sejantina ini. Hihihi...Mak pula sudah menjadikan rutin setiap pagi dan petang untuk melakukan pemonitoran percuma untuk ibu bersalin dan juga bayi 2 ekor ini. Sudah pandai pula keduanya menggigit baju yang dipakai mak dan juga berdiri 2 kaki di belakang mak.
2,3 hari lepas along berkongsi cerita lagi. Abanglong nak letak jawatan kerana ingin menjadi petani moden sepenuh masa. Ianya satu langkah yang sangat besar buat along dan abanglong, tambahan pula dalam keadaan anak sulung mereka baru sahaja mendaftar di program foundation di MMU. Semoga Allah mudahkan bagi abanglong dan along yang sudah terlalu banyak berjasa kepada saya. Moga Allah murahkan rezeki mereka. Ameen.

Tempat letak kereta


Seringkali apabila saya dan suami keluar samada urusan rasmi atau urusan peribadi, kami sering memerhatikan struktur bangunan, kemudahan awam contohnya tandas, surau dan tempat meletak kenderaan. Simbol yang seringkali menarik perhatian kami tentulah simbol manusia berkepala botak dan bulat dan kerusi roda- OKU. Kebanyakan bangunan baru mempunyai kemudahan untuk OKU terutama tempat letak kereta dan tandas- walaupun kebanyakannya tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan dan sekaligus menyebabkan kesukaran bagi OKU untuk berdikari.
Contoh yang paling hampir dengan kami adalah bangunan perniagaan baru di seksyen 7. Memang ada kemudahan meletak kenderaan untuk OKU, akan tetapi jika diperhatikan dengan jelas, setelah meletak kenderaan mestilah OKU tersebut ingin ke premis perniagaan yang dihajati, akan tetapi, tiada ramp yang dibuat dan juga tiada ruang mencukupi. Ini bermakna selepas keluar dari kenderaan, perlukan bantuan orang (samada yang menemani OKU ataupun orang awam-yang selalunya blur dan tidak tahu bagaimana untuk membantu) untuk 'naik' ke kaki lima bangunan tersebut. Ketinggian kaki lima tersebut dari jalan juga agak tinggi (lebih dari 20 cm) dan menyebabkan kesukaran yang bukan sedikit untuk menaikkan roda hadapan kerusi roda dan kemudiannya perlu mengerah tenaga mengangkat pula bahagian belakang kerusi roda tersebut (tentulah dengan daya OKU yang terpaksa 'wheely') untuk membolehkan mereka berada di atas kaki lima tersebut.
Tandas juga ada cerita yang tersendiri. Sudah banyak tempat yang kami pergi dan yang saya perhatikan, jika ianya disediakan oleh pihak berkuasa tempatan-biasanya tidak memenuhi spesifikasi. Saya juga agak kabur dengan situasi ini- bukankah kerajaan sudah menetapkan spesifikasi dan sebagainya. Justeru, adakah kontraktor yang mendapat projek pembinaan dan melengkapkan infrastruktur tersebut tidak tahu menahu tentangnya ataupun tidak termasuk dalam deskripsi kerja binaan yang dilakukan?
Saya ingin berkongsi satu peristiwa yang berlaku di seksyen 7 pada minggu lalu. Kisah ringkasnya begini:-
Saya dan suami ingin makan malam di sebuah restoran makanan ala Thai. Suami menjemput saya di fakulti selepas solat Maghrib dan kamipun menuju ke destinasi pilihan. Sampai di sana, suami memandu perlahan-lahan untuk memasuki ruang letak kereta khas untuk OKU yang terletak di tepi sebuah kedai kopi yang popular, tiba-tiba sebuah kereta yang berada di hadapan kami memasuki ruang tersebut. Saya terkejut tetapi berfikir, mungkin memang penumpang atau pemandunya adalah OKU kerana masih ada ruang lain yang kosong. Setelah diperhatikan, tiada seorangpun penumpang atau pemandu merupakan OKU anggota. Saya maklumkan pada suami, saya akan masuk ke kedai tersebut dan meminta pemandu itu mengalihkan kenderaannya kerana banyak lagi tempat lain yang kosong- saya terus berburuk sangka- ni mesti kes tak nak letak kereta jauh dari pintu masuk kedai kopi tersebut. Suami mula-mula melarang akan tetapi bila melihat sekeliling, tentulah sukar untuk turun kereta di ruang letak kereta untuk pemandu bukan OKU yang sempit ruangnya, beliau bersetuju.
Saya masuk ke kedai dan berjumpa dengan pemandu tersebut dan bercakap dengan teratur dan sopan (menahan diri dari menunjukkan perasaan marah dan tidak puas hati dengan kekurangan kesedaran sivik oleh pemandu tersebut yang kelihatan seperti orang 'ada ada' dan memandu kenderaan pacuan 4 roda) dan memohon agar dia mengalihkan kenderaannya untuk memberikan laluan kepada orang yang lebih memerlukan. Air muka pemandu tersebut berubah dan dia seakan-akan ingin marah tetapi cepat-cepat saya menjelaskan keadaan suami saya yang berkerusi roda dan perlunya beliau untuk mendapatkan ruang yang lebih besar untuk turun dari kereta. Pemandu tersebut meminta diberikan 2 minit dan saya mengucapkan terima kasih dan beredar segera ke kereta. Suami hanya tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepala.
Tujuan saya jelas- cubalah fahami tujuan tempat letak kereta berlambang orang botak berkerusi roda dengan cat biru itu diadakan. Saya fikir tidaklah begitu susah untuk cuba mengerti kesusahan dan kesukaran orang lain- after all- semua ini hanyalah pinjaman dari Yang Maha Esa. Bukan milik mutlak kita sebagai hambaNya.

Saturday, June 07, 2008

Petrol


Cerita minyak naik sudah basi barangkali. Berita minyak naik saya terima pada pukul 3 petang ketika masih di dalam bas untuk perjalanan pulang dari Pulau Pinang tapi ianya masih belum pasti. Sepanjang perjalanan selepas berhenti rehat di Bukit Merah dan kemudiannya di Tapah saya mengira-ngira berapa agaknya harga baru bagi 1 tangki penuh double Vi saya dan suami. Wahh....RM120 seminggu bagi Vi-senior seminggu dan RM 70 untuk 2 minggu bagi Vi-junior. Wahhhhhh!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!! Wahhhhhhhhhhhhhhhhhhh!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!
Saya tiba di kampus pada pukul 8.15 malam. Suami menjemput dan terus menyertai barisan panjang bermula dari jalan di hadapan Shell di seksyen 7. Untuk ke Petronas di seksyen 7 itu mengambil masa hampir 2 jam dan kerana saya masih bermusafir, saya bersolat jama' ta'khir di surau Petronas seksyen 7. Hakikatnya, kami menyedari bukannya lama pun 1 tangki penuh itu boleh bertahan, tetapi, beza masa 4 jam untuk kami belanjakan lebih RM50 untuk kuantiti petrol yang sama amatlah susah untuk diterima akal dan fikiran saya yang membebel secara mute.
Oleh kerana masih belum boleh menerima hakikat yang pahit dan menyakitkan hati dan perasaan ini, saya dan suami sepakat untuk menghibernasikan dahulu vi-junior di rumah dan saya dihantar dan dijemput oleh suami setiap hari melainkan sangat terdesak.
Rasionalnya-
1. Sudah pasti untuk menjimatkan penggunaan petrol yang diberikan diskaun 30 sen seliter oleh pihak pemerintah. Sekiranya keadaan sangat terdesak barulah vi-junior akan keluar melihat dunia.
2. Apabila vi-junior tiada bersama saya ketika saya melakukan kerja-kerja di makmal, fikiran saya tidak dapat memaksa kaki dan tangan saya untuk bergerak dan makan di luar. Saya akan dengan penuh insafnya akan makan di cafeteria yang paling jauh pun di Blok 3 S&T sahaja. Jimat masa, tenaga, duit dan petrol(yang sekarang ni sangat popular sebagai penelan duit paling efisien).
3. Saya dan suami akan dapat meluangkan masa bersama ketika hari bekerja dengan agak panjang sedikit kerana beliau perlu menghantar saya ke tempat kerja dan kemudian menjemput saya pula.
Kesimpulannya, saya sudah mula menyediakan sarapan pagi di rumah dan menyediakan bekalan air untuk suami-penapis air hexagon yang kami beli untuk rumah baru sudah saya pasangkan malam tadi. :)

Feringhi


Perjalanan kami ke Pulau Mutiara bermula seawal 9 pagi. Sudah lama saya tidak menaiki bas untuk ke sana. Selepas menempuh perjalanan yang sangat memenatkan, kami akhirnya tiba di Bayview Hotel pada jam 6 petang. Kesesakan lalulintas berlaku dengan teruk untuk membayar tol di Jambatan Pulau Pinang. Kami tidak menginap di Bayview..tetapi sifu menyewakan apartment di hadapan Bayview. Selesa juga dan sangat hampir dengan tempat konferensi.
Inilai poster yang saya hantar untuk dipersembahkan kepada khalayak delegasi konferensi.
Ini pula abstrak yang diterbitkan di dalam buku prosiding. Hanya kerja preliminari saya dan sifu menuntut masa yang lebih untuk saya menulis-saya tidak kuat untuk berkongsi apa target sifu untuk saya buat tahun ini kerana tiba-tiba saya merasakan adrenalin saya di pam sangat laju dan saya mula berdebar tidak keruan..Moga Allah permudahkan urusan saya.Ini pula ahli gerombolan rombongan kami pada hari pertama konferensi dan di bawah ini pula kami bergambar bersama penyelidik tersohor dunia dalam bidang teknologi farmaseutik- Prof. Dott. Paolo Colombo. Senarai pembentang utama juga amat mengkagumkan- pakar dalam bidang pharm tech...wahhh...!! terujanya saya, bila agaknya saya akan menyertai mereka di dalam senarai tersebut? Satu lagi pengalaman yang mengkagumkan dan memberi manfaat buat saya. Alhamdulillah.

Buah Tiin..


Tiga minggu lepas saya dan suami bersama ibu mertua dan anak saudara telah ke Gurun, Kedah Darul Aman untuk berubat-ikhtiar rawatan alternatif untuk suami saya. Perjalanan yang sangat menarik dan kami berjumpa dengan insan-insan yang sangat baik hati dan suka membantu.


Selepas berubat di rumah pengamal perubatan alternatif di
Jeniang, kami menuju ke tempat penginapan di Sungai Petani. Kawasan Jeniang rupanya popular dengan jualan bantal kekabu. Kami berhenti untuk membeli beberapa biji bantal tersebut dan pokok yang terdapat di halaman rumah penjual bantal ini amat menarik minat kami. Rupanya inilah buah tiin yang disebutkan dalam Al-Quran. Pokoknya sangat lebat berbuah dan daunnya lebar.

Menurut pemilik pokok ini yang mengambil benihnya di Mekah semasa mengerjakan fardhu haji lama dahulu, semakin banyak buah disedekahkan kepada musafir/orang yang berkehendakkannya, semakin lebat buahnya.
Buahnya yang merah menandakan ianya sudah masak. Kulitnya perlu dikupas seperti buah ciku dan dibelah sebelum
di makan. Sebelah dalam buah ini mempunyai biji yang banyak seperti buah tiin yang dikeringkan.


Perjalanan yang panjang dan pengalaman yang sangat berharga. InsyaAllah kami akan pergi lagi untuk meneruskan rawatan untuk suami saya.
Petikan kata-kata pengamal perubatan tersebut:
"Kita ni jangan putus asa pada Allah..Dia akan bagi bila tiba masanya..yang pentingnya kita usaha..."

Saturday, May 31, 2008

Batu Feringhi


Saya akan ke menghadiri konferens di sini.
Esok saya dan semua ahli makmal akan bertolak ke Pulau Pinang dengan menaiki bas universiti. Sudah lama saya tidak melalui perjalanan ke utara dengan menaiki bas. Hihihi...moga dipermudahkan urusan kami dan juga moga kami semua akan mendapat manfaat dari konferens tersebut. Fakta menariknya- kami semua akan membentangkan hasil penyelidikan. Ramai sungguh delegasi UiTM- hampir 20 orang. Pendaftaran, penginapan, pengangkutan hatta wang saku pun sifu yang uruskan. Bagus betul sifu kami. Jom pakat pi Penang!!!
 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino