Tuesday, July 01, 2008

Kurniaan


Jumaat lepas saya ditimpa ujian yang sangat menggugat ketabahan saya sebagai pelajar. Ini bukanlah pengalaman pertama malahan ketika di peringkat sarjana dahulu pun saya pernah mengalami situasi yang sama-invalid results due to invalid method??!! Allah sahaja Yang Maha Mengetahui betapa tertekannya saya ketika perbincangan dengan sifu dibuat Jumaat malam yang lalu. Kesimpulannya- saya 'melarikan diri' dari makmal pada hari Ahad kerana ingin meredakan ketegangan yang saya rasakan. Hari ini, selepas 3 hari peristiwa yang mengorbankan kerja saya selama hampir 6 bulan ini barulah saya merasakan beroleh kekuatan semula. Saya menyusun semula strategi untuk mengutip kembali sisa-sisa masa yang ada. Moga Allah berikan saya kekuatan.

Suami tercinta mengajak saya 'melarikan diri' dari makmal dan pulang ke pangkuan bonda tersayang. Hihihi...time for family katanya.
Sampai di rumah bonda, along dan acik sekeluarga telah sampai dan saya memenuhi janji pada along untuk membantu along dan abanglong menyediakan tapak bagi diletakkan tong untuk projek ikan keli mereka yang akan bermula tidak lama lagi. Berpeluh jeghuk saya dibuatnya-almaklumlah, sudah lama tidak memegang cangkul dan pengorek tanah untuk menggali lubang meletakkan tiang, ditambah pula dengan mengangkut pasir basah menggunakan kereta tolak. Lega rasanya dapat beriadah begitu walaupun otot-otot lembik di tangan saya menjerit agaknya kerana terperanjat. Hihihi. Saya juga telah ketinggalan keretapi dalam hal-hal perbincangan keluarga tentang persiapan majlis walimah adik bongsu saya November nanti. Saya tidak tahu banyak perkara, siapa caterer yang mak tempah, apa lauknya, hantaran ada berapa, bila akad nikahnya, apa cenderahati untuk tetamu..ermm......hihih....dan akhirnya seperti majlis walimah alang dan acik 12 tahun yang lalu, saya ditugaskan menyediakan lauk pengantin dan along memberitahu saya, mak melantik saya menjadi koordinator untuk bilik pengantin dan hantaran. Mak sentiasa memikirkan saya kreatif walaupun hakikatnya tidak. Saya tidak kreatif langsung bab-bab kerja tangan, saya dan suami hanya suka melayan mak untuk menunggu berjam-jam, memberikan idea dan cadangan ketika mak keluar membeli barangan untuk hantaran ini- seperti masa-masa lalu semenjak majlis perkahwinan along pada tahun 1989. Jika dulu pada tahun 1989, saya berumur 12 tahun, saya dan mak akan berbasikal berasingan ke jalan besar dan meletakkan basikal di kedai pakcik Jaafar sebelum melintas jalan dan menaiki bas United berwarna oren kuning menuju ke kedai alat jahitan Jaya di Seremban. Ianya berlarutan sehingga sekarang, bezanya suami saya akan memandu dan mak akan duduk di belakang...bercerita dan bercerita sehingga tiba di tempat tujuan. Ahh..kenangan..dan ianya masih segar dalam ingatan saya.

Kami juga mendapat perkhabaran gembira sebentar tadi. Permohonan suami saya untuk menyambung pengajian separuh masa di IPTS telah diterima. Syukur. Syukur...sesungguhnya bagi setiap ujian, akan ada jalan keluar. Tahniah buat suami tercinta...belajar rajin-rajin ye. :)

0 comments:

 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino