Thursday, April 29, 2010

Tunai


Dialog berikut berlaku di suatu petang yang indah permai. Bertempat di pasar malam di penjuru alam...

Penjual 1 bertanya kepada seorang pelanggan yang berdiri di penjuru meja jualannya, "kak, nak beli popia basah ke?"
Pelanggan yang sedang berdiri di belakang anak gadis kecilnya pantas menjawab, "tak tak..."
Penjual 1 membuka mulut lagi, "kalau tak nak beli, akak boleh tak jangan berdiri depan ni, nanti customer saya tak nampak popia ni."
Pelanggan tergamam, anak gadis ditarik ke tepi, "jangan berdiri di sini nak, nanti customer tak nampak."
Penjual 1 meneruskan kerjanya dengan wajah kurang berpuas hati. Timun sebagai inti popia basah disagat laju menggunakan penyagat yang tajam dan nampak 'ganas' sekali..hehe
Suasana agak tegang dan sunyi sepi kerana pelanggan berkenaan masih menunggu yong tau fu nya disiapkan penjual 2 yang tersenyum simpul - mungkin sudah biasa dengan gelagat penjual 1 yang berjiran dengannya.
Kesepian sirna tiba-tiba dengan jeritan kecil si penjual 1..
"Aduh!!"
"Padan muka," semua mata memandang gadis kecil itu. 
"Bayaran tunai," sambung ibunya pula.
Semua tersenyum ria...seolah gembira dengan sagatan tangan si penjual 1...kih kih kih.....

Wednesday, April 21, 2010

Bangun semula


Alhamdulillah. Semangat saya kembali teguh. Bukan mudah sebenarnya namun Alhamdulillah...nikmat Allah itu pelbagai. Hampir tersungkur itu juga adalah kurniaan-kurniaan supaya saya lebih kuat seperti gajah di rimba...aik...mana pula datangnya gajah ni...Kuat-kuat gajah pun takut dengan semut tau :D

Banyak aktiviti saya untuk de-stress sebenarnya...
Pergi makan- dengan adik-adik lab di Big Plate Restaurant. Saya memang berkenan sangat dengan sajian yang mereka hidangkan. Besar saiz hidangannya dan banyak pula bahan-bahannya. Gembiranya saya menikmati hidangan tersebut. Gambar saya ambil dari blog photographer lah :) TQ Senah...

Apa lagi ye aktiviti saya...ermm...owh ye...laman rumah kami sudah disimen...suami saya mahukan ianya disimen untuk memudahkan beliau akses kawasan tersebut. Pokok-pokok bunga kami pun sudah mula berjaga...suami saya sangat meminati tanaman dan hiasan laman. Jemarinya hijau....erkkk...mcm kisah manusia hijau itukah? Hehehe...sekarang, pokok-pokok di halaman disiram pagi dan petang. Pasti pokok-pokok itu akan lebih subur...owhh ye...bukti ianya subur- tiba-tiba pokok mawar kami mengeluarkan 3 kuntum bunga serentak...alhamdulillah...
Ini keadaan halaman tepi kami semasa kerja-kerja membersih dan menanam konkrit dilakukan...
Ini pula selepas kerja-kerja 'menaik taraf' selesai...hihihi....mudah-mudahan kami tidak perlu lagi bergaduh sakan dengan ulat gonggok dan ulat bulu yang gemar sekali masuk melawat...

Sebelum itu pula, saya ke Melaka atas urusan kerja dan mak pun saya jemput sekali menemani saya. Suami bekerja...tidak dapatlah beliau meluangkan masa menemani saya...lagipun, ketika itu, beliau sedang menghadapi peperiksaan akhir. Sebelah malamnya, mak belanja saya di restoran makanan thai...saya sangat berpuas hati dengan sajian yang disediakan kerana 'MSG' free..

Pulang dari Melaka, saya demam, batuk dan selesema - punca masalah adalah tonsil saya bengkak. Selepas mendapatkan rawatan, alhamdulillah saya pulih seperti biasa. Tidak perlu saya membuat ujian darah kerana simptom ILI (influenza like illness) saya dengan izin Allah sembuh dalam tempoh 4 hari :)...syukur.

Apa lagi ye? Errmm....oh ya! Tentunya saya sangat gembira kerana berpeluang bertemu dengan Raha sekeluarga....alhamdulillah...dapat juga kami bertemu muka selepas 16 tahun tidak bertemu...pertemuan kami di pesta buku...inilah wajah Raha sekeluarga yang sempat dirakam tempoh hari. Terima kasih daun keladi ye Raha...ada jodoh kita bertemu lagi...insyaAllah....
Kini, perjuangan saya bersambung. Beberapa perkara sudah saya selesaikan...owh ye...saya sudah pun memohon menyambung tempoh cuti belajar saya. Banyak lagi yang perlu saya selesaikan. Moga Allah permudahkan perjalanan saya ini. Ameen....

Nota 1: Terima kasih kepada suami tersayang yang bersabar dengan karenah saya sepanjang proses saya mengenali diri ini....dan sama-sama sanggup menemani saya di makmal pada hujung minggu dan memberikan keizinan untuk saya 'bermalam' dengan kerja-kerja saya di makmal hampir setiap minggu...

Nota 2: Perjalanan ini sungguh banyak ranjau yang perlu ditempuhi...semoga saya tabah.

Nota 3: Selamat menempuhi peperiksaan akhir buat para pelajar umumnya. Teristimewa buat para pelajar tahun akhir FF. Tanpa sedar, rupanya, kumpulan pelajar ini adalah kelompok a) pelajar diploma yang mendaftar pada tahun yang sama semasa saya mula berkhidmat - yang saya sempat berkongsi ilmu semasa mereka di tahun 1 dan 2. b) para pelajar pra ijazah kelompok pertama yang ketika itu saya adalah koordinator program. Selamat berjaya anak-anak sekalian...semoga mendapat redha Ilahi....

Sunday, April 04, 2010

Tika hampir tersungkur


Perjalanan ini sangat jauh
Serasa sudah hampir 7 benua dijelajahi
Namun
Penghujungnya tetap kelam dan kabur

Akukah pengembara yang hilang arah
Akukah pengembara yang kehilangan pedoman
Akukah pengembara yang api semangatnya hampir terpadam

Aku keliru dengan perjuangan ini
Aku ingin sampai ke penghujungnya
Hatta sekiranya harus bergalang gantikan nyawa
Namun kesukaran dan pengorbanan yang ditagih
Menambah pedih di sudut hati yang terhiris
Akibat kelelahan di sepanjang perjalanan

Sesekali terasa ingin mengakhirinya tanpa melengkapinya
Itu melanggar sumpah keramat pada diri sendiri
Pantang berundur sebelum bertarung sehabis kemampuan diri

Sepotong ayat pada kalam suci mendamaikan
Atas setiap kesusahan pasti ada kesenangan
Airmata menitis laju seakan cuba membasuh hati yang dilanda rusuh
Sebagai penyuci kepada hati yang hampir tewas pertarungan dengan syaitan durjana

Aku mohon pada yang Maha Menguasai segala apa yang ada di langit dan bumi
Tuhan yang menyejukkan api saat Ibrahim dibakar marak*
Tuhan yang menyelamatkan bahtera nabi Nuh tika dilanda bah*
Tuhan yang mengangkat nabi Isa ke langit ketika kaumnya ingin menyalibnya*
Tuhan yang menggantikan nabi Ismail ketika ayahnya ingin menyembelihnya*
Aku memohon kekuatan dan kelapangan hati ya Allah....
Aku hambaMu yang lemah...tidak berdaya melainkan dengan izinMu...
Anugerahiku kejayaan ya Allah...dunia dan akhirat yang kekal abadi...

Tika ini.....hanya airmata membasahi pipi....


*dipinjam dari novel karya Kak Su, Jaja dan Din...

Saturday, April 03, 2010

Bagaimana saya melepaskan diri dari ketagihan



Saya ingin berkongsi kisah benar sekali lagi. Ini bukanlah sesuatu yang menjadi rahsia sangat. Ianya benar dan berlaku pada saya hampir 2 bulan atau 3 bulan di penghujung tahun lepas. Pada mulanya saya menganggapnya sebagai hanya satu hobi dan menjadi cara melepaskan tekanan. Akan tetapi, lama kelamaan ianya sudah menjadi lebih serius. Sanggup berjaga malam dan bangun awal pagi, dan kadangkala balik kampung pun menjadi tidak tenteram...sehingga suami yang pada mulanya menganggapnya hanya perkara sampingan sudah mula naik tidak selesa dengan perbuatan saya. 
Saya juga menjadi orang yang sangat obses....sepanjang masa saya teringatkannya...bak kata pepatah, hati terkenang mulut tersebut...Menu makan tengahari saya juga kadangkala dipengaruhi olehnya...aduhai...runsing hati saya...saya tahu ianya tidak betul...malahan saya tahu juga ianya mendatangkan banyak kemudaratan...ianya lebih saya pentingkan berbanding sepertiga malam yang perlu diisi dengan bermunajat kepadaNya...Moga saya diampunkan Allah atas kelalaian yang saya rasa disengajakan kerana mengikut nafsu....

Akhirnya, selepas membaca artikel penulis idola saya di sini, saya telah berjaya memujuk hati untuk mengurangkan dan seterusnya menghentikan terus tabiat ketagihan tersebut. Hingga kini, sudah hampir 4 bulan saya bebas sepenuhnya dari belenggu tersebut......Syukur pada Allah kerana membukakan hati saya untuk menjauhi perbuatan tersebut...Alhamdulillah...
Ermm..belenggu apa?

Belenggu main farmville di Facebook...
Saya pasti ramai lagi yang terperangkap dengan segala macam bentuk aplikasi permainan di FB ataupun online game. Saya berdoa anda semua akan dapat melepaskan diri dari belenggu dan gangguan tersebut. Hidup indah dan berkualiti tanpa farmville... :D

Owh ye...dan kemudiannya saya telah berjaya mempunyai kebun di alam nyata...hehehe... tidaklah hebat sangat tapi perlu berperang dengan siput yang asyik makan ulam sambung nyawa saya...asyik tinggal batangnya sahaja..
Nota 1: Saya dan suami sedang merancang projek update halaman rumah.
Nota 2: Selamat berjaya dalam peperiksaan akhir tahun 2 buat suami saya. Seperti biasa, suami yang menduduki peperiksaan, saya yang panik dan berulang ke bilik termenung setiap jam. InsyaAllah berbaki 2 tahun lagi...
Nota 3: Sifu saya menyuruh saya mencari masa untuk 'rehat sebentar' setelah ada drama hapuslah airmataku...walaupun setitis cuma...oopss...saya bukan 'permaisuri drama' ye...ianya adalah hasil tindak balas tekanan yang serasa tidak mampu lagi dibendung...
Nota 4: Borang mohon tambah tempoh CB sudah diisi...moga dipermudahkan Allah..
 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino