Wednesday, August 12, 2009

Pelanggan


Semasa saya masih di sekolah rendah dan menengah, tugasan tetap saya selain ke sekolah adalah sebagai pembantu mak di gerai nasi lemak. Ketika itu, saya merasakannya sebagai satu beban dan sesuatu yang memalukan kerana diejek di sekolah. Kadangkala, apabila bas awam melalui kawasan hadapan rumah saya dan saya menjaga gerai, saya akan buat-buat tunduk untuk mengelakkan penumpang lain melihat saya. Saya juga selalu merasakan betapa beruntungnya kawan-kawan lain yang tidak perlu bangun pagi seawal 5.30 pagi untuk membantu memotong timun dan telur dadar dan juga menggoreng karipap serta membuka gerai seawal jam 6.15 pagi. Ianya melelahkan dan juga membuatkan saya selalu tercungap-cungap ke sekolah!
Mak juga selalu mengingatkan saya agar senyum apabila berurusan dengan pelanggan dan sentiasa bermanis mulut..jangan berkata sesuatu yang boleh mengguris perasaan pelanggan. Pelanggan bermacam-macam ragam dan antara pelanggan yang masih saya ingati hingga ke hari ini adalah seorang lelaki berusia lewat 30 an dan seorang lagi berusia awal 60 an.
Kisah 1:
Lelaki lewat 30 an itu mak suruh saya panggil dengan panggilan abang. Dia sangat berat mulut dan pertuturannya tidak begitu jelas. Satu hari (selepas beberapa lama saya merancang untuk melakukannya), saya telah berkata begini kepada abang itu yang baru sahaja lepas menyatakan apa yang ingin dibelinya..."cakap sekali lagi dengan suara yang lebih kuat boleh tak abang? Saya tak dengar apa yang abang bisikkan tadi."
Muka mak merah mendengar ayat power saya itu dan serentak dengan itu lengan saya merah dicubit mak...hihihi...saya dahlah penat membungkus nasi lemak, boleh pula pelanggan tersebut bercakap seperti berbisik. Abang itu memenuhi permintaan saya dan bercakap dengan lebih kuat sambil tersenyum-senyum. Syukur kerana selepas peristiwa itu, abang itu tetap datang ke gerai mak membeli juadah sarapan pagi.
Kisah 2:
Lelaki awal 60 an itu merupakan jiran sekampung dan juga sahabat almarhum apak. Pakcik ini sering datang ke gerai tidak kira untuk membeli juadah sarapan pagi mahupun untuk juadah berbuka puasa ketika Ramadhan. Setiap kali pakcik ini datang ada sahaja yang tidak kena di matanya.
"Kocik bona kripap ni haa...cemano nak konyang makan ni..."
"Nasik lomak ni sambal ee sikit bona...tak pueh makan...tambah an skit lagi...kodokut ni.."
"Apo kuih skit bona yang dibuek...bueklah banyak sket..."
Hahahaha...dan saya hanya menyimpan amarah dan sakit hati pada pakcik ini sekian lama. Pakcik itu bukannya membeli banyak pun, mungkin hanya sebungkus nasi lemak dan 3 biji karipap sahaja. Pada satu hari di bulan Ramadhan yang mulia, saya telah sekali lagi nekad untuk menyuarakan ayat-ayat yang selalu berlegar-legar di fikiran saya setiap kali pakcik itu memberikan komen 'membina'nya.
"Pakcik...saya rasa, kalau pakcik tak puas hati, pakcik balik rumah pakcik buatlah sendiri.."
Saya tersenyum setelah menyuarakan ayat keramat tersebut dan pakcik itu tersenyap kemudian tertawa kuat. Mak? Hahahah....saya telah dimarahi dengan dasyatnya dengan menggunakan bahasa melayu tinggi. Hahahahah....saya tak kisah mak memarahi saya kerana saya sangat puas hati dengan pencapaian saya ketika itu. Kini apabila mengingatinya kembali, saya agak kesal kerana atas sikap kurang sabar dan kurang matang saya itu, pakcik itu jarang sekali datang membeli di gerai mak. Apatah lagi jika saya yang menjaga gerai. Kasihan mak.
Mak sering menekankan pada saya dengan ayat berikut:
"pelanggan kita kena jaga, jangan bersikap acuh tak acuh sahaja. Apa yang mak masak untuk dijual ni kualitinya sama dengan apa yang mak masak untuk bagi keluarga makan. "
Memang mak sangat menjaga kualiti barangan jualan dan tidak pernah berkompromi dengan sebarang kekurangan produk jualan. Saya fikir, disitulah datangnya berkat dan rahmat Allah untuk rezeki yang diperolehi.
Hari ini, saya dan adik-adik di makmal turun makan di sebuah kafeteria di dalam kampus. Pernah juga saya mengalami pengalaman memakan hidangan yang disediakan dengan telur dan baunya sangat hanyir...hampir tidak boleh di makan langsung. Sebagai pengguna, kami menjalankan tanggungjawab untuk menegur bagi memperbaiki mutu penyediaan makanan. Apa yang kami dapat:
"sedap je rasanya..takde apa yang kurang. Kalau tak nak telur separuh masak macam ni, lain kali minta yang kering garing...." Komen peniaga tersebut lengkap dengan mimik muka yang sinis.
Aikk....kami memberi pendapat dan menegur. Bukannya nak minta balik wang yang telah dibayar. Itu pula maklumbalasnya.
Saya terus tawar hati untuk makan di tempat tersebut. Sekurang-kurangnya masalah saya akan selesai tidak lama lagi kerana Ramadhan bakal bertandang.. Syukur pada Allah.

3 comments:

ilhamusafir said...

hihi lawakla Am ni..

Anonymous said...

lorr dah orang komen ..terima jelah..yang nak marah tu napa pulak.. duit pelanggan ambik..komen tak nak terima.. ada kaa???

nak berniaga kena la alert ngan komen pelanggan..jangan bila pelanggan komen nak marah...cuba bersikap wajar dan sama rasa masa terima duit dari pelanggan..kan baguss..

dah nama pun cafe kat tempat ilmu..kena la belajar sesuaikan diri dengan situasi..jadilah peniaga berilmu huhuhuhu

idasm on Saturday, August 15, 2009 at 12:36:00 AM GMT+8 said...

teringat zaman kecil saya. saban minggu tolong mama berniaga kuih muih di pasar malam...

 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino