Sunday, February 20, 2011

Tiga dalam satu


Kisah 1.
Cuti tahun baru cina

 Saya tidak ikut suami pulang ke KT kerana perlu 'membelai' tikus-tikus di makmal. Cuti 4 hari, 3 hari saya habiskan di makmal...1 hari iaitu pada hari sabtu, saya ke Melaka memenuhi jemputan walimah adik di lab- Cha dan pasangannya yang sangat rajin menelefon telefon bimbit Cha ketika mereka di alam pertunangan dan Cha pula suka meninggalkan telefon bimbit di atas meja-ada operator menjawab telefon ini...hahahah, Mohd Yusof. Saya ke sana bersama mak dan 3 orang anak dara abang saya bersama kereta abang yang sudah siap diisi petrol sepenuh tangki dan juga kad touch n go penuh berisi...bahagianya ada penaja sebegini...terima kasih ye ngah...heheheh

 Pada hari Sabtu berikutnya pula, saya telah menjadi penghias pengantin (?)...Owhh...saya memang tidak mengenakan alat solek di wajah...malahan mencuci muka atau memakai pelembap muka pun bukanlah sesuatu yang saya amalkan sejak dari dahulu. Tidak tahu mengapa, saya hanya akan comply seketika kemudian saya akan terlupa dan biarkan sahaja. Jika saya teringat, saya akan mencuci....lantaran itu, set penjagaan wajah Mary Kay yang saya beli dari sahabat saya masih ada lagi walaupun sudah hampir setahun saya beli....erm....Sue me...but I am comfortable this way...hahaha...Berbalik pada kisah sebenar proses saya menyolekkan pengantin tempoh hari...Cha memberitahu saya, atas masalah yang tidak dapat dielakkan, dia tidak dapat menyediakan make up artist semasa majlis bertandang di belah lelaki. Saya memang saya seronok bermain alat kosmetik walaupun saya jarang menggunakannya...terima kasih kepada youtube...amat mudah belajar bersolek melaluinya...macam-macam cara ada...hihihi...alat kosmetik? owhh...saya cuma ada pembayang mata (yang saya beli 2 tahun yang lalu), mascara (yang alang hadiahkan buat saya semasa hari raya tahun lalu), celak (yang saya beli 2 tahun yang lalu). Pemerah pipi dan juga make up base telah dipinjamkan oleh Aini dan Aliza...hehehe...Cha kata ok..saya pun oklah....Tiba hari yang dijanjikan, saya pun dengan gigihnya telah menyolekkan Cha dan menggayakan tudung serta aksesori- supaya Cha kelihatan seperti raja sehari...ermmm...saya rupanya adalah seorang peminat gaya klasik...saya selalu ada imaginasi bagaimana tudung ini perlu digayakan, aksesori yang perlu ada dan pelbagai lagi imaginasi yang 
kadang kala singgah di fikiran saya. Ye, ini adalah sisi lain saya selain daripada menjadi penternak tikus dan juga saintis yang belum khatam-khatam lagi. Inilah hasilnya....ermmm...ada banyak yang tidak kena....jangan saman saya sekiranya ada antara pembaca yang sangat hebat menatarias wajah...saya hanyalah seorang pelajar pasca siswazah yang menjadi sangat teruja untuk membantu seorang sahabat yang dalam kesulitan....sob sob sob....(sila tinggalkan komen jika ada nasihat untuk aplikasi kosmetik yang betul jikanya ada..terima kasih)..Bunga itu asalnya kami mahu menggunakan bunga mawar (supaya kelihatan klasik..nama pun kita guna mawar ye...). Akan tetapi, sambutan hari kekasih yang bukan amalan kita itu telah menyebabkan bunga mawar menjadi RM10 sekuntum...erkkk...akhirnya, dengan bantuan Ipah, Ira dan Aini, bunga anggerik yang dibeli di sebuah perkebunan anggerik di PA ini telah menyelamatkan keadaan bajet. Tentu sahaja gambar Cha berbusana hijau kelihatan lebih menawan dan terserlah gaya raja seharinya kerana itu jurusolek profesional. Bulu mata yang dikenakan...waahhh...hebat...mujur sifu kami tidak menghadiri majlis di Melaka, jika tidak...sampai bila-bila pun akan dijadikan bahan gurauan tentang 'eye lashes'. Semoga Cha dan suami bahagia hingga ke syurga. Ameen.

Kisah 2
Tali pinggang nabi Sulaiman.
Ringkas sahaja kerana saya ngeri setiap kali mengenangkan 'tetamu tidak diundang' ini. Kejadian ini berlaku pada hari Isnin dan Selasa semasa sambutan Maulidur Rasul (selawat dan salam buat baginda, ahli keluarga serta sahabat baginda)

Isnin 
7.45pm- Suami saya menelefon memberitahu ada 'tali pinggang nabi Sulaiman' di dlm rumah. Dekat living area....saya sepatutnya perlu bermalam di makmal untuk menyiapkan kerja. Terkaku sebentar- terima kasih pada Dayah kerana memberitahu untuk menelefon Bomba....saya terus mendail 999-sambung ke JPA3.
8.45pm- JPA3 sampai umah, proses mencari bermula namun gagal dijumpai. "Kalau jumpa call semula, kami nak balik ke ibu pejabat, ada urusan lain."
Terima kasih buat Nana, suami dan adik iparnya yang membantu membeli sulfur, garam kasar dan membantu pula menaburkannya di sekeliling rumah dan juga kawasan berpotensi untuk ianya ada. Rumah saya sudah jadi seperti kapal karam yang dipenuhi sulfur dan garam kasar....uwaaa.....ngerinya...kata mereka, mungkin sudah keluar. Akan tetapi, suami saya memerhatikan kawasan ia bersembunyi...memang tiada pergerakan keluar....saya pasrah. Sebelum tidur, kami solat Isya dan solat hajat mohon keselematan dari bahaya bencana angkara manusia, jin, syaitan, binang bisa, binatang menjalar, kala jengking dan ular hitam...
11.45pm- Saya tidur dengan nyenyak...suami tidak mampu melelapkan mata sehingga jam 3 pagi.
Selasa
Selalunya selepas solat Subuh saya akan terus keluar ke dapur, membasuh baju dan lain-lain lagi. Namun hari itu, suami saya meminta saya tunggu dulu. Berehatlah kami di dalam bilik....
7.30 am- Suami saya keluar dengan membawa sebatang kayu. Apabila digodek langsir dengan kayu, ada bunyi melawan-sah ada lagi dalam umah. Saya terus menelefon talian terus JPA3 namun mereka meminta saya untuk menelefon 999 dahulu- kerana PROSEDUR mereka begitu...errmmm...
7.55 am- JPA3 team lain pula yang tiba. Suami masih dengan beraninya berada kurang 2 meter dari tempat 'tali pinggang nabi sulaiman' itu bersembunyi. Mereka memulakan proses mencari-namun di sebalik langsir kosong...tiada jejak si 'tali pinggang nabi sulaiman' tersebut. Saya mula risau....ermmm...mana pula perginya....Akhirnya mereka mengalihkan almari tempat televisyen diletakkan....mereka mengesahkan ia bersembunyi di situ.
8.25 am- suspek ditawan, di masukkan ke dalam guni, di ikat and dibawa pergi....ermm...saya cuma melihat sekali imbas dari jauh sahaja....saya kurang berani penakut. Ia dibawa pergi....Alhamdulillah...
10.15 am-Suami membersihkan belerang and garam kasar yang berselerak di dalam rumah. Saya pula terpaksa ke makmal- ada monitoring wajib utk tikus...tiada pilihan.
 4.00pm - Tiba di rumah dengan membawa pembantu rumah kakcik saya untuk membantu kami mengemas. Sapu, vacum, mop sampai 3 kali dan buka serta cuci langsir tempat persembunyian si tali pinggang nabi sulaiman tersebut.
 7.15pm- Kerja pembersihan rumah selesai disudahi dengan gantung langsir yg siap dicuci dan 80% kering.
Sehingga ke entri ini ditulis, saya masih fobia. Moga dilindungi Allah dari bahaya bencana angkara manusia, jin, syaitan, binang bisa, binatang menjalar, kala jengking dan ular hitam...ameen.

Kisah 3.
Saya adalah peminat tegar Norhayati Berahim. Jumaat lepas apabila saya membaca entri ini di blog kak Yati, saya jadi sangat teruja. Mungkin kerana terlalu banyak kejadian yang berlaku sepanjang 2 bulan pertama tahun ini dan saya tiada masa santai...maka saya telah meminta kebenaran suami untuk ke Mid Valley- yang sudah lama tidak saya jejaki....sayakan orang kampung..laluan saya hanyalah Meru-PA sahaja setiap hari...heheheh....

Saya ke sana ditemani Shima (tahniah Shima yang baru sahaja lulus viva voce bagi Ijazah Sarjana awal Januari yang lalu-bersama 1 penerbitan journal berfaktor impak lebih 3...hebatkan?!!) dan juga Ahmad Hazim dan Azri Izzat (anak kakcik saya yang sudah berpindah ke Shah Alam-lagilah senang makteh nak ajak jadi teman berjalan...heheheh).

Sebetulnya, saya tidak pulang ke rumah pun pada hari Jumaat kerana menyiapkan kerja...tidur pun hanya 3 jam sahaja...dan saya sampai di rumah pada jam 11.45 pagi. Selesai mandi dan kemudiannya makan tengahari dengan suami, saya ke rumah kakcik. Menunggu anak-anak ini pulang dari sekolah, mandi, solat dan kemudian makan tengahari. 

Kemudian saya mengambil Shima pula sebelum memulakan perjalanan ke Mid Valley...sudah lama saya tidak memandu sendiri ke kawasan tersebut...selalunya suami yang memandu...saya hanya lepak di sebelah...heheh...2.50 pm kami selamat tiba di kawasan kejadian. Gembira dan teruja saya melihat Kak Yati masih lagi sibuk melayan peminat di sisi meja yang dipenuhi coklat buatan sendiri....Setelah selesai sesi soal jawab, saya berjumpa kak Yati yang sudah lama tidak saya temui....(selalunya saya berjumpa kak Yati di Pesta Buku sahaja pun...heheheh....). Kak Yati ni peramah orangnya dan sangat merendah diri....kata Shima- tak sangka itu penulisnya...nampak sangat sederhana....itulah...ular menyusur akar tidak hilang bisanyakan... ular2 jangan sebut ehh...kikiki. Saya membeli karya terbaru kak Yati - 'Dari kerana mata' dan mendapatkan tandatangan kak Yati...teruja sungguh saya....

Owhh ye..satu lagi karya baru kak Yati adalah 'Hujan pun    menari' yang sangat menarik- ada kisah lanun Somalia di dalamnya...belilah...tidak rugi membacanya...kerana ia adalah novel 'berisi' yang bukan semata-mata kisah pasangan kahwin paksa yang duduk berasingan bilik dan kemudiannya saling jatuh cinta...ooopsss...heheheh....Saya kira saya sudah terlalu tua untuk kisah sebegitu....Usai majlis kami pun pulang. 

Terima kasih kak Yati atas layanan yang sangat mesra...dan coklat itu sungguh enak...nanti kongsi resepinya ye kak Yati. Hihihi...

Sekarang ini saya di makmal bersama suami. Saya menyiapkan kerja saya dan suami pula menyiapkan tugasan yang perlu di hantar 2 minggu dari sekarang. Semoga Allah permudahkan urusan kami dalam menuntut ilmu...Ameen.

3 comments:

Kujie on Sunday, February 20, 2011 at 12:49:00 PM GMT+8 said...

tak nak komen apa...dapat baca semua kisah tu pun rasa macam lega...maksudnya masih mampu untuk bertukar khabar berita.

seriau bab 'tali pinggang' tu sebab selalunya kita tak perasan pun kehadirannya sehinggalah dia ' terkejut' dengan kehadiran kita.

Lama dah tak beli novel.

Moga diberi kekuatan untuk tempuh perjalanan hidup di hari2 mendatang

idasm on Sunday, February 20, 2011 at 3:42:00 PM GMT+8 said...

salam am,

syukur alhamdulillah am dan famili tak apa2. seriau jugak mida membacanya.

oh am dapat bertemu dgn kak yati ye. bestkan. kak yati mmg sederhana dan baik orangnya.

umeboshi on Monday, February 21, 2011 at 8:41:00 AM GMT+8 said...

wahh..ada bakat mengandam rerupa nye eh. Am, gaya klasik la yg ciknoora suka. ok la tu. ada seri pengantinnye. heheh.. kisah "tali pinggang" tu mmg seram le... selagi x dpt ditangkap, mmg x boleh lena. huhu..

 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino