Thursday, May 15, 2008

Guru saya


Selamat hari guru buat semua guru di muka bumi ini.

Entri kali ini saya dedikasikan buat semua guru yang pernah mengajar saya.


Sek. Ren. KGV.
1984- Tahun 1.
Cikgu Alfiah Sarbini- Guru kelas merangkap guru BM dan Matematik.
Cikgu Alfiah sangat saya hormati kerana beliaulah guru formal saya yang pertama. Saya tidak bersekolah tadika atau sebarang pendidikan pra-sekolah lantaran kesempitan hidup. Ketika itu, saya tertekan lantaran kakak-kakak dan abang saya cemerlang di sekolah yang sama. Saya? Hanya mengenal huruf ketika di dalam kelas 1 orkid. Antara kenangan yang tak mungkin saya lupakan adalah peristiwa saya ditampal mulut dengan selotep-kata cikgu Alfiah saya bising dan saya tidak seperti kakak-kakak dan abang saya. Saya agak lembap. Waktu itu saya sangat sedih tetapi saya tidak menangis. Saya bukan saja-saja bercakap tetapi kawan saya menyakat saya. Tiba bulan ramadhan, hanya saya dan seorang lagi sahabat saya, Norizah Suratmen yang berpuasa penuh. Sebelum tiba hari raya, Cikgu Alfiah menyerahkan kepada saya sampul surat berisi duit raya bernilai RM5. Gembiranya saya ketika itu Allah sahajalah yang tahu. Cikgu Alfiah sebenarnya ketika itu hanya menunggu masa untuk bersara. Tamat persekolahan pada hujung tahun, beliau bersara.
1985
Cikgu Hamiah Malik.
Guru kelas saya semasa dalam darjah 2 Orkid. Garang orangnya dan sangat tegas. Beliau selalu menyuruh saya menyemak hafalan sifir kawan-kawan sekelas. Jika beliau mengamuk, jeritan akan kedengaran dan perut para pelajar yang degil akan dicubit sampai panjang ke depan. Hihihi...kalau itulah yang Cikgu Hamiah buat sekarang, pasti sudah masuk Buletin Utama dan melibatkan laporan polis. Cara itulah sebenarnya yang memanusiakan kebanyakan para pelajar yang baru mengenal dunia. Dalam darjah dua, saya mula menjadi kelompok yang menerima hadiah pada hari penyampaian hadiah. Waktu itu, hadiahnya adalah buku tulis. Saya menerima 4 ikat buku tulis berlambang sekolah. Cikgu Hamiah tersenyum lebar melihat saya menerima hadiah berulang kali. Alhamdulillah. Tak sia-sia jeritan ala-ala soprano beliau semasa mendidik kami.
1986
Cikgu Salbiah Abdul Rahman.
Sekali lagi saya memperolehi guru kelas yang garang. Cikgu Salbiah sangat garang dan rupanya sedang menanti masa untuk pencen. Sebenarnya, dari darjah 1 lagi saya sering dipulaukan oleh kawan-kawan yang berasal dari keluarga berada. Tempat duduk saya sering golongan elit ini pindahkan sesuka hati. Cikgu Salbiahlah yang sering mempertahankan saya dan memberikan semangat buat saya. Kata Cikgu Salbiah...miskin bukan satu kesalahan dan dosa dan ianya tidak kekal. Pada hari persaraan Cikgu Salbiah, mak saya menyediakan juadah untuk kelas kami. Itulah mak, walaupun tidak mewah, mak tidak pernah berkira. Satu periuk besar bihun goreng mak sediakan termasuklah karipap 100 biji dan juga agar-agar merah. Saya ingat lagi wajah Cikgu Salbiah ketika itu- sedih, bangga dan terharu.
1987-1988
Cikgu Aminah Abdul Rahman.
Haaahh!! Baru saat ini saya perasan rupanya guru kelas saya ini adalah adik pada cikgu Salbiah tadi. Hihihi..selama berpuluh tahun ni saya tidak pernah menyedarinya. Cikgu Aminah sangat berdedikasi dan rajin berniaga. Saya ditugaskan untuk menjual nasi lemak dan kuih yang dibawanya setiap hari. Kata beliau, untuk saya cekap mengira secara congak.
Cikgu Jagjeet Singh- Guru bahasa inggeris dari darjah 4 hingga darjah 5.
Guru Bahasa Inggeris yang sangat saya geruni. Beliau juga mempunyai nada suara yang sangat tinggi. Berbaju punjabi siap dengan selendang setiap hari. Dengan izin Allah, beliau mengajar saya berbahasa Inggeris dengan sabar walaupun...saya tidak sepandai mana. Satu peristiwa yang tidak akan saya lupakan ialah semasa dalam darjah 5, Cikgu
Jagjeet telah meminta saya membantunya menanda kertas peperiksaan. Peperiksaan bahasa inggeris waktu itu adalah dalam bentuk objektif. Kertas jawapan ditandakan secara menghitamkan pilihan jawapan. Ketika itu, hanya kertas bahasa inggeris yang belum diketahui markahnya. Dan saya sudah menyemak kertas peperiksaan bahasa inggeris dan memperolehi markah 94-salah 3. Saya akan beroleh tempat ketiga di dalam kelas kerana pengiraan markah 2 orang kawan saya lebih tinggi dari saya dengan beza hanya 1 markah. Semasa Cikgu Jagjeet memberikan saya 3 ikat kertas jawapan yang perlu saya tandakan dan kira, beliau menempatkan saya di dalam kelas kosong dan dibekalkan dengan pen merah, pensil dan pemadam. Apabila saya mula menanda, barulah saya menyedari bahawa Cikgu Jagjeet memberikan bukan hanya kertas jawapan kelas darjah 5 yang lain malahan kertas jawapan kelas saya sekali. Ya Allah...menggigil tangan saya ketika itu. Saya ada 2 pilihan-berlaku jujur dan seterusnya hanya sekadar mendapat nombor 3 di dalam kelas ataupun menukar 1 jawapan di dalam kertas jawapan saya dan akan mendapat nombor 1 bukan hanya di dalam kelas 5 orkid malahan secara keseluruhannya. Saya biarkan kertas jawapan kelas saya sehingga saat akhir dan mengasingkan kertas jawapan saya sambil menimbangkan baik buruknya. Dengan airmata berlinangan,(hampa kerana tidak dapat menyahut cabaran kakak saya untuk mendapat nombor 1 di dalam kelas dan keseluruhan) saya memberikan markah 94 ke atas kertas jawapan saya. Sehingga saat ini, saya sering terfikir, agaknya Cikgu Jagjeet
sengaja berbuat demikian untuk menguji integriti saya? (hahahahaha).

1989

Cikgu Norzuidah Zakaria
Beliau merupakan jiran saya sehingga ke hari ini. Beliau yang mula-mula mengajar saya menguruskan projek- produksi majalah kelas dan juga merancang jamuan akhir tahun yang melibatkan jamuan nasi minyak untuk kelas saya. Berkat didikan beliau juga saya berjaya mendapat 5A dalam UPSR. Hanya beliau satu-satunya guru yang memanggil saya dengan nama Zan :).
Cikgu Jeswant Singh
Beliau merupakan guru Alam dan Manusia. Sangat tegas dan garang tetapi amat mempercayai saya. Mengajar dengan menggunakan kaedah PBL-problem based learning. Sering sahaja saya mendapat anugerah pembentang terbaik. Antara tanda pengenalan dirinya yang saya ingat sehingga sekarang ialah baju kebaya pendeknya dan juga minyak wangi 'poison' nya.
Mrs Annie Wong
Guru Bahasa Inggeris yang sangat gusarkan 'grammar' saya yang berterabur. Beliau pernah berkata kepada saya. Kalau awak tulis cerita, ada kisah lahir dan mati, kita takkan tahu siapa yang lahir dulu atau siapa yang mati dulu. Is, was, were, had, has saya sangat canggih susunannya. Hahahah...

1990-1992-SMAA
Ustazah Habibah Abdullah
Mengajar subjek Matematik dan Sejarah. Orangnya sangat tenang dan ketika mengajar cukup suka tersenyum. Beliau menjadi guru tingkatan saya dari Tingkatan 1 hingga 3.
Ustazah Nasimah Abdul Rahman
Mengajar subjek Bahasa Arab dari tingkatan 1 hingga 3. Beliau tidak jemu-jemu melatih saya untuk persediaan syarahan bahasa arab. Saya menjadi juara peringkat sekolah semasa di tingkatan 1 mengalahkan peserta di tingkatan 2 dan 3. Beliau bermatian mempertahankan saya agar mewakili sekolah ke peringkat daerah, tetapi mendapat tentangan dari guru bahasa arab yang lain kerana kata mereka, saya baru sahaja mengenal lughatul Quran itu kurang setahun, mana mungkin saya mewakili sekolah. Kejuaraan saya ditarik-diberikan kepada naib juara yang merupakan pelajar tingkatan 3. Hihihi...kecewa? Saya tidak kecewa...tetapi saya tidak pernah mahu mencuba nasib untuk bidang syarahan lagi sehingga peringkat universiti. Siapa menjangka, kini saya perlu bersyarah hampir setiap hari (jika berada dalam perkhidmatan).

1993-1994; MRSM Jasin
Cikgu Amin Rohani
Guru Bahasa Melayu yang sangat bijak mendidik kami. Saya sangat rapat dengan beliau dan saya menggelarkan diri saya (kes perasan)- murid kesayangan cikgu Amin walaupun kemudiannya saya sangat kecewa kerana tidak dipilih sebagai sidang redaksi majalah tahunan maktab. Beliau mempunyai cara mengajar yang menarik- tegas tetapi suka berlawak. Kelas dengan Cikgu Amin amat menyeronokkan. :) Saya pernah diberikan hanya 50% markah bagi karangan 1 saya. Saya hampir meraung melihat markah diberikan kerana kesilapan saya juga. Saya memilih soalan berbentuk cerita tentang perkhemahan dan penamatnya ialah kejadian itu hanyalah mimpi sahaja kerana ada kejadian di patuk ular. Hihihi. Waktu itu saya sangat kecewa kerana beliau meyakinkan saya bahawa cara saya menulis dan mengembangkan plot amat bagus, kesilapan 'lethal'nya adalah...ianya mimpi..MIMPI..dan tidak diterima sebagai jawapan yang boleh diberikan markah yang tinggi. Tahun 1994 juga mencatatkan sejarah apabila tiada seorang pun pelajar dalam kelas saya mendapat A1 untuk subjek BM. Saya? Hanya A2 sahaja....
Cikgu Molizah Alis
Guru Matematik yang sangat sabar dengan kelembapan saya memahami matematik di bulan-bulan awal saya di MRSM. Beliau pernah memberitahu mak dan apak ketika hari bertemu ibu bapa- epel ni tidak pernah berputus asa walaupun dia dalam keadaan yang sangat menyedihkan pada mulanya. Beliau menjadikan saya contoh di dalam kelas-saya tidak tahu kerana semasa tempoh awal di MRSM, saya sering diserang migraine dan semput akibat stress, sick bay menjadi kelas kedua saya. Hihihi...
Cikgu Khamsiah Seth
Guru Matematik tambahan yang memberikan kuiz di kelas pertama tingkatan 5. Siapakah nama guru yang mengajar anda matematik tambahan? hahahaha...saya mendapat markah penuh untuk soalan itu dan itu sahajalah markah yang saya perolehi-saya lemah matematik tambahan sebelum Cikgu Khamsiah mengilatkan bakat matematik tambahan saya. Kami perlu menduduki ujian bulanan semasa di MRSM. Cikgu Khamsiah pernah mencabar saya- supaya nama saya termaktub dalam senarai top ten maktab untuk ujian bulanan. Kata beliau, abang saya (yang juga pelajarnya tetapi di MRSM Kuantan pada awal 80-an) pernah menduduki senarai itu dalam tempoh yang panjang. Kata beliau kalau tidak dapat selalu pun sekurang-kurangnya sekali. Alhamdulillah, untuk tajuk trigonometri dan geometrik, saya berjaya memasuki carta- markah yang saya perolehi 93. Hahahah...pertama dan terakhir.
Cikgu Adnan Mat Jusoh
Guru kimia yang sangat lucu. Melalui kaedah pengajaran yang ringkas dan mudah difahami, saya mendapat gred yang agak bagus dalam subjek tersebut dan akhirnya membuatkan saya nekad dengan keputusan untuk meneruskan pengajian di dalam bidang farmasi semasa di tingkatan empat lagi- syukur Alhamdulillah, Allah izinkan dan makbulkan cita-cita saya.
Cikgu Rohani- guru biologi.
Beliau masih anak dara ketika mula mengajar kami di tingkatan 4. Anak jati Kelantan yang amat gemar bergaya dan berhias. Rakan sekelas saya yang perempuan menjadikan beliau idola. Baju, kasut, tudung dan semuanya menjadi perhatian kami- ayat kontroversinya ketika rakan-rakan sekelas saya yang lelaki kurang memberikan penumpuan dalam kelas beliau (lelaki lebih minat Fizik..hihihi) "apa tak menarik ke saya ni sampai saya mengajar awak semua yang kat belakang tu pandang luar?"
Ustaz Marwan
Mengajar saya pengajian agama Islam dan bahasa Arab komunikasi. Tidak pernah kedekut markah dan sangat bersederhana. Beliau amat istimewa kerana sepanjang mana pun nama anak murid- beliau akan tetap memanggil dengan nama penuh. Beliau amat bersemangat dalam memupuk kefahaman kami terhadap konsep Islam, Iman dan Ihsan dan sangat rajin menyemak hafalan ayat-ayat hafazan tingkatan 4 dan 5 kami.

Saya amat menghargai jasa para guru yang pernah mendidik saya secara langsung dan tidak langsung. Tanpa didikan mereka, siapalah saya. Saya berdoa semoga mereka diberkati Allah dan mendapat ganjaran kebaikan atas keikhlasan dan kesungguhan mereka mendidik saya satu ketika dahulu. Mengajar saya erti kehidupan dan berjuang menghadapi cabaran tanpa jemu. Allah jualah yang membalas kebaikan mereka.



6 comments:

HAPPYIRFA on Friday, May 16, 2008 at 4:27:00 PM GMT+8 said...

salam epal..
sy dr blog luna.kagum dgn daya ingatan awak pd guru2.dan rajinnya awak menulis en3 sepanjang ni.

slmt berblog.

Nor Ramli on Friday, May 16, 2008 at 4:44:00 PM GMT+8 said...

Salam Irfa..
Terima kasih menjenguk ke mari. Semalam saya tidak sihat, hanya duduk di rumah dan diserang kebosanan. Menulis kenangan amat menyeronokkan. :)

Anonymous said...

Assalammualaikum..epelhijau.
Saya sedang mencari rakan-rakan lama iaitu pelajar mrsm jasin batch 93-94.
Saya rakesh bin sala, pelajar kelas M. Guru2 yang epalhijau sebut semua guru2 saya jugak.
Harap boleh mengikat semula uhkuwah yang lama terputus
daripada : Rakesh Sala
batrisyiasabrinazrina@gmail.com

Anonymous said...

hehe.. x sangka nama mak saya pun ada dalam entry blog nih..

Unknown on Thursday, March 19, 2009 at 1:35:00 PM GMT+8 said...

cikgu Fizik yang genius tu tak nak sebut ke? Rasa macam kenal aje epal hijau nie..Rakesh rasa-2nya dia nie rakan sekelas kita ke?

Mimi Liana on Saturday, November 25, 2017 at 1:23:00 PM GMT+8 said...

Kelas orkid ek? Bila KGV rendah batch kita nak buat reunion ni?

 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino