Saturday, January 02, 2010

Masak


Saya tidak berniat untuk menunjukkan sebarang gambar atau resepi memasak. Di dalam entri terdahulu tentang pindah ke Puncak Alam saya ada menyebut tentang mungkin saya akan lebih cekap memasak kerana di Puncak Alam tidak ada kedai makan atau kafeteria yang banyak seperti di Shah Alam. Nampaknya dugaan saya tepat. Semenjak berpindah, saya jarang sekali..diulang..JARANG sekali membeli makanan siap. Saya telah dengan rajinnya membawa bekal untuk makan tengahari jangan kagum sangat kerana sarapan pagi tetap saya beli di gerai kuih yang banyak sepanjang jalan kenangan..ehh..jalan ke Puncak Alam. Menunya adalah mengikut menu yang saya masak untuk makan malam hari sebelumnya. Ye..!! Saya memasak untuk makan malam. Boleh semak dengan suami saya untuk memastikan kesahihan kenyataan saya ini. Masakan yang saya sediakan adalah yang mudah-mudah sahaja. Sekurang-kurangnya ianya tidak komplikated seperti menyediakan sampel saya yang perlu 24 jam untuk hidrasi dan 5 hari untuk kering di dalam oven bersuhu 40 darjah selsius.
Saya dan suami mempunyai latar belakang berbeza, sehubungan dengan itu, makanan yang kami gemari juga sangat berbeza. Contohnya untuk sarapan pagi, saya mungkin akan memilih karipap, cucur badak dan sandwich manakala suami akan memilih kuih talam, bingka ubi dan tepung bungkus. Ikan pilihan saya adalah ikan tenggiri manakala suami sangat gemarkan ikan tongkol. Saya sukakan sayur kacang buncis manakala suami lebih cenderung untuk memilih sayur kacang panjang. Ianya kelihatan kecil tetapi kadang kala boleh menimbulkan kekeliruan bagi diri saya sebagai perancang menu..hihihi...
Pada hari Khamis yang lepas, suami memberitahu saya beliau teringin untuk makan gulai putih kulit rambai. Jeng jeng jeng...kulit rambai??? Hihihihi
Kulit rambai selalu mak saya gunakan selepas dikeringkan untuk dimasukkan ke dalam rendang kerana ianya masam-sebagai gantian kepada asam keping. Saya tahu saya boleh menelefon ibu mertua saya untuk bertanya bagaimana untuk memasak kulit rambai tersebut. Akan tetapi saya memilih untuk tidak menyusahkan ibu mertua saya lantas saya bertanya kepada Encik Google. Masak lemak putih ala Terengganu sudah saya biasa sediakan selepas berguru dengan biras saya Kaklong Imah. Secara asasnya, bawang merah, bawang putih, lada hitam, halia dan ikan tawar (ikan selayang yang dipanggang tawar dan diasingkan isinya) ditumbuk dan dimasukkan ke dalam periuk bersama santan dan cili merah yang dibelah 4. Didihkan dan masukkan sebarang sayuran yang diingini. Saya dapat merasakan bahawa sesuatu perlu dilakukan dengan kulit rambai tersebut sebelum ianya dimasak-kerana kulit rambai yang segar itu pasti ada resinnya (bergetah) dan rasanya masam. Hasil dari bertanya pada encik Google saya berjaya mendapatkan petua untuk menyediakan sayuran tersebut. Owhhh! Perlu direndam dengan air garam selama setengah jam.
Apabila saya sampai di rumah saya lihat suami saya telah menyediakan kulit rambai semangkuk besar. Tanpa berfikir panjang, saya pun mengambil kulit rambai tersebut dan merendamnya dengan air garam. Oleh kerana ikan selayang tiada dalam simpanan, saya telah menggantikan sotong sebagai perencah teringat pula masak lemak putih jambu golok dan sotong yang ibu mertua saya sediakan ketika musim candat sotong. Apabila segalanya selesai, suami saya telah dengan bermurah hati menelefon ibu mertua saya dan memaklumkan usaha keras saya menyediakan masakan tersebut. Alahai....siap puji sedap lagi walaupun masakannya belum dirasa. Ibu mertua saya memberitahu saya, kulit rambai tersebut perlu direndam dengan air kapur...bukan air garam...erkkkk...alamak!!
Verdict- masakan sedap tetapi sangat masam. Saya rasa kerana terlalu banyak kulit rambai yang digunakan. Sepatutnya bukan semangkuk besar dengan amaun kuah yang saya sediakan tetapi hanya semangkuk kecil. Suami makan bersungguh walaupun masam kulit rambainya tetapi tetap dipuji masakan tersebut...saya terharu dengan penghargaan suami. Lain kali, jika ada masakan yang komplikated kegemaran suami yang saya seumur hidup tidak pernah mencubanya lebih baik saya tanyakan kepada ibu mertua saya sahaja resipinya. Encik google pun bukan boleh harap sangat..hehehe..
Hari ini saya di kampus, menyiapkan kerja sekolah yang diberikan sifu...sambil menulis blog...erkkk.....sudah sudah...kembali kepada fokus. Bukankah azam tahun baru saya tidak mahu bertangguh kerja dan ingin solat di awal waktu?

 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino