Wednesday, December 30, 2009

Pantas berlari


Sungguh benar janji Allah. Masa amat pantas berlalu.

6 bulan lagi sebelum biasiswa berakhir dan saya masih bertungkus-lumus menyiapkan kerja yang saya rasa semakin bertambah di dalam senarai. Kami sudah berada di kampus Puncak Alam. Syukur alhamdulillah segalanya lebih mudah, yang tinggal kini adalah usaha maksimum saya untuk menyiapkan kerja-kerja di makmal dan juga menulis thesis. Saya rasa masih jauh lagi...seakan tidak nampak hujungnya. Moga Allah berikan kekuatan. Seakan baru semalam saya menempuh hari pertama ke sekolah...dan kini Allah berikan rezeki kepada saya perjalanan berliku untuk menamatkan pengajian peringkat ini...yang diidam sejak sekian lama...aik....melankolik sungguh epel malam ini ye...

Dalam perjalanan ke kampus pagi tadi, saya melalui sekolah kebangsaan meru (betul ke ini namanya) dan kelihatan ibu bapa menghantar anak-anak mereka untuk hari pendaftaran di sekolah. Secara automatik, kenangan hari pertama ke sekolah: Januari 1984 terimbas kembali...

Saya dihantar arwah apak untuk mendaftar. Pakaian saya seragam gaun biru berkemeja putih, stokin dan kasut (bata) putih. Beg sekolah kanvas (saya rasa lebih banyak material plastiklah) berwarna kuning. Rambut diikat 1. Saya sangat berdebar dan teruja pada hari itu...hari PERTAMA ke sekolah dan bercampur dengan rakan sebaya. Saya tidak di hantar ke pra sekolah- kesukaran hidup ketika itu. Saya ingat-ingat lupa abjad A-Z yang diajarkan oleh kakcik pada saya. Nama saya ditulis pada belah dalam penutup beg tersebut oleh mak. Hari pertama itu, kami sudah mempunyai buku tulis yang tiada garis didalamnya dan berbentuk segiempat tepat yang rupanya digunakan untuk melukis.

Pada hari pertama itu, guru kelas saya, Puan Alfiah Sarbini mengarahkan kami menulis nama di atas muka surat pertama buku tersebut dan disuruh pula melukis alatan yang berada di dalam kelas tersebut. Arwah apak sudah pulang ketika itu dan saya terketar-ketar menyalin nama penuh yang mak tulis di bahagian dalam beg sekolah saya secara imej cermin. Huruf N, A, R, Z semuanya terbalik. Saya telah melukis papan hijau yang saiznya sebesar sehelai muka surat buku tersebut. Saya kerling sekeliling saya dan saya dapati ramai rakan-rakan yang melukis banyak alatan dalam sehelai muka surat itu.. owhh...saya sungguh risau lebih-lebih lagi apabila guru kelas saya menghampiri untuk meninjau hasil 'keras' tangan saya. Ringkas sahaja ayat pertama guru tersebut, '1 sahaja? Awak ni adik Azam, Aida dan Aza kan?'

Sepanjang di tahun 1, saya sangat keliru dengan persekitaran yang ternyata berbeza dengan persekitaran di rumah. Saya juga menerima tekanan tanpa disedari kerana dikenali sebagai adik kepada ketua-ketua pengawas dan penolong ketua pengawas yang semuanya berjaya ke sekolah berasrama penuh semasa melangkah ke alam sekolah menengah. Saya pendiam tetapi otak saya lancar berjalan berimaginasi. Saya pernah bertumbuk dengan seorang pelajar lelaki nakal yang gemar membuli orang lain. Ianya menjadi kes yang diselesaikan oleh abang pengawas darjah 5...hahahahah...ganas sungguh saya. Sakit sungguh dada saya ketika itu dan pelajar tersebut juga sama. Kejadian berlaku ketika guru sedang bermesyuarat di bilik gerakan. Dimanalah pelajar itu sekarang ye? Selepas hampir 25 tahun...

Hari pertama ke sekolah itu tanpa saya sedari membentuk diri saya sehinggalah sekarang. Survival...saya perlu berdikari untuk belajar...untuk menuntut ilmu. Melaka, Kedah, Pulau Pinang, London, Shah Alam, Puncak Alam....saya bersyukur atas kurniaan Allah buat hamba yang lemah dan lalai ini...yang tidak berdaya melainkan dengan izinNya...Entah mengapa sebak benar saya malam ini...hanya dengan mengingatkan perjalanan yang pernah saya tempuhi demi menuntut ilmu.....ianya sukar...semoga Allah memberkati...

p/s: Saya sedang tertekan....doakan saya meneruskan perjalanan ini dengan tenang.

Monday, December 14, 2009

Hilang


8 malam tidur saya tidak nyenyak

7 hari saya bersusah hati

8 malam saya asyik sesak nafas

7 hari perut saya memulas tidak bersebab

Hari ini

Saya sujud syukur

Atas izinNya saya kembali senyum

Jumpa juga setelah mencari berhari-hari

Kepada yang menjumpainya

Saya terhutang budi

Moga Allah membalas kebaikannya

Malam ini mudah-mudahan saya dapat tidur dengan nyenyak dan aman...

Owhh...apa yang membuatkan saya resah gelisah tidak tenang ye?

Kunci kereta saya hilang pada Selasa lepas....hari ini barulah ada orang yang memberitahu ianya sudah dijumpai sejak hari kehilangan tempoh hari...cuma tidak diketahui siapakah pemilik kunci tersebut...

Hati saya lapang

Fikiran saya tenang

Boleh balik rumah dan berkemas.

Friday, December 11, 2009

LIMA


Akad berwali
Ijab bersaksi
Lima tahun hari ini

Janji Yang Esa
Tetap terjadi
Sekujur tubuh tenang bersemadi
Empat tahun hari ini

Atas segala nikmat dan dugaan
Syukur tidak terhingga pada Ilahi
Semoga diberkati dan dirahmati
 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino