Tuesday, June 29, 2010

Warkah talian


Saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di Malaysia kerana beberapa faktor. Sehingga ke saat ini saya tidak terkilan langsung dengan keputusan saya -sudah istikharah insyaAllah dipermudahkan. Akan tetapi, perkara yang satu ini amat membuatkan hati saya agak tidak terkawal- terkilan dan marah.
Saya memerlukan artikel penuh dari journal saintifik yang berkaitan dan tidak semua journal tersebut dilanggan oleh universiti ataupun dilanggan tetapi hanya terhad kepada penerbitan tahun 1995 sehingga yang terkini. Ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini iaitu, menghantar borang permohonan langganan kepada pihak perpustakaan universiti, meminta pustakawan untuk membantu carian ataupun memohon bantuan sahabat-sahabat yang berada di luar negara untuk membantu saya mendapatkan artikel penuh tersebut bagi memenuhi keperluan kajian literatur..tidak lupa juga Angah dan Alang di USM dan juga Acik yang sdg menyiapkan thesis sarjananya di UIA.  Setakat hari ini, warkah dalam talian yang saya hantar buat pustakawan bagi mendapatkan artikel penuh daripada beberapa journal saintifik masih belum mendapat balasan. Bersangka baik-mungkin mereka masih belum menerimanya dari pihak yang berkenaan walaupun warkah dalam talian terakhir saya hantar lebih 6 bulan yang lalu. Syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana sahabat-sahabat yang melanjutkan pengajian ke universiti luar negara begitu cepat memberikan respon untuk membantu saya menyelesaikan masalah kecik  tetapi sangat signifikan bagi penulisan thesis. Saya terhutang budi-moga Allah permudahkan bagi kami semua dalam proses pencarian ilmu ini. Ameen.

Friday, June 25, 2010

K.U.T.U


Semasa kecil, saya tidak pernah terlintas di dalam hati apatah lagi fikiran untuk menjadi saintis. Cita-cita murni saya sebagai seorang budak kampung adalah untuk menjadi tukang jahit. Bukan couture designer atau yang sewaktu dengannya..hanya untuk memiliki sebuah mesin jahit singer yang ada 18 jenis jahitan, mesin jahit tepi (kerana selalu melihat mak terganggu aktiviti menjahitnya kerana rumah makcik yang ada mesin jahit tepi itu sukar untuk dihubungi) dan juga mesin untuk membuat rumah butang- mudah untuk menjahit butang baju melayu atau baju kemeja. Menjadi saintis bukannya mudah...ermm..sebenarnya menjadi tukang jahit juga tidak semudah yang disangka ye. Jika mudah tentu saya boleh meneruskan menjahit baju sendiri. Baju kurung terakhir yang saya siapkan untuk kegunaan sendiri adalah pada tahun 2004- beberapa bulan sebelum menukar status puan.


Kini, apabila saya melakukan penyelidikan, dugaan dan kejutan berlaku pada bila-bila masa. Bukannya 3 kali sehari seperti makan ubat demam atau setiap bulan seperti membayar ansuran rumah dan kereta atau 3 bulan sekali seperti KPT membayar wang elaun sara hidup...tidak..tidak..tidak sama sekali...ianya memang sangat berlandaskan kepada tagline - bila-bila masa. Masalah besar saya kali ini adalah tikus yang sudah disediakan dibelai penuh kasih sayang dan dijaga berat badannya agar tidak obese seperti saya telah dijangkiti masalah sejagat bagi para pelajar sekolah rendah tahap 1 iaitu K.U.T.U aka lice. Apa yang boleh/telah saya buat: 1)Menangis sehingga bengkak mata, 2) duduk termenung sendirian dan 3) memasak untuk makan malam. Memandangkan kajian saya adalah berkaitan dengan K.U.L.I.T maka tikus yang berkutu adalah T.I.D.A.K B.O.L.E.H blah digunakan untuk mengelakkan pengulangan prosedur....sedihkan...
"Nak membesarkan kamu semua bukannya senang, nak...sampai masanya dah besar...kutu pun kamu tak boleh nak tepis...." dialog inilah yang saya ucapkan pada tikus-tikus tersebut semasa saya memandikan semuanya kelmarin, sebelum diberikan kepada seorang lagi saintis dalam pusat penyelidikan ini. 
gambar hiasan: Tiada kaitan dengan tikus atau tangan saya. 


Kesimpulannya, kerja tikus tertangguh lagi sehingga semua masalah diatasi. Sekian.

Monday, June 14, 2010

10 tahun



Semester ke 7 bakal bermula beberapa hari lagi dan sudah menjadi amalan saya setiap semester baru untuk pulang ke kampus awal beberapa hari dari tarikh pendaftaran. 8 Jun 2000 saya telah berada di kampus induk Pulau Pinang dan menumpang di rumah sahabat yang menyewa- saya tidak pernah duduk menyewa di luar kampus sepanjang 4 tahun pengajian peringkat ijazah pertama. Kebetulan pula, peperiksaan forensik (perundangan farmasi) akan di adakan pada hari Isnin minggu kedua semester tersebut. Pulang awal untuk mengulangkaji dan juga berdiskusi soalan-soalan lepas dengan sahabat-sahabat- Yin, Echah dan juga Che Mah. Mereka adalah sahabat 'study group' saya...sahabat susah senang...merempit ke sana ke mari juga bersama-sama. Hihihi....
Hari Ahad sebelum minggu pertama bermula, abang dan keluarganya datang melawat...dan dijamunya saya dengan segala makanan yang ada- Pizza Hut, McD, KFC, pasembur P. Kota dan segala macam jajan dibelikan utk saya. Abang saya memang begitu...berganding pula dengan kakak ipar saya yang memang sangat prihatin...sayalah yang untung. Hihihi...
Kegembiraan saya dengan segala juadah dan juga semester yang baru bermula tidak ke mana kerana Isnin pagi saya mula sakit perut. Sakit keseluruhan perut disertai lawatan ke tandas yang agak kerap. Saya masih menghadiri kelas tambahan untuk peperiksaan forensik yang bakal berlangsung lebih kurang 7 hari lagi. Selasa malam, kesakitan yang dirasakan semakin teruk. Saya juga mula loya dan mual....tidak pernah saya sakit begini. Ditemani Faizah, saya dihantar ke klinik swasta di Gelugor oleh van pusat kesihatan, doktor itu meminta saya dibawa ke HPP. Sampai di HPP, saya dibawa ke Jabatan Kecemasan dan setelah dibiarkan beberapa lama, saya diberikan suntikan oleh doktor pelatih yang bertugas-tanpa mengusik saya atau memeriksa saya sedikitpun...mungkin dia sudah sangat letih...agaknya sudah beberapa hari on call. Lebih kurang pukul 6 pagi, saya dibenarkan pulang ke kampus. Mujurlah kami membawa beg duit dan kad pengenalan kerana van tidak menunggu kami. Saya hanya memakai kaftan dan seluar panjang serta baju panas. Faizah comel sedikit kerana berbaju kurung lengkap...hahahah....Merasalah saya berpakaian seperti itu menahan teksi di hadapan HPP untuk pulang ke kampus. Rabu pagi sepatutnya saya perlu menghadiri kelas pada pukul 11...Yin dan Echah telah bersarapan terlebih dahulu dan dengan baik hatinya telah menghantar sebungkus bubur nasi Harapan (kerana dibeli di kafeteria desasiswa Harapan) untuk saya. Bubur nasi itu sangatlah sedap di tekak kerana saya memang sangat lapar setelah tidak begitu selera menjamah makanan sejak Isnin. Setelah sebahagian bubur itu berjaya saya habiskan, tekak saya kembali loya dan mual dan perut saya memulas-mulas. Segalanya selamat di tandas. Perut saya kembali memulas dan tidak semena-mena badan saya panas dan saya mula menggigil. Sahabat sepengajian saya Nurul yang kebetulan menjenguk saya di bilik telah dengan baik hatinya menawarkan diri untuk membawa saya ke Pusat Kesihatan sekali lagi. 
Di Pusat Kesihatan, doktor yang memeriksa- Doktor Syarifah. Beliau mengarahkan saya membuat ujian darah di makmal di PK setelah saya menjerit agak kuat akibat kesakitan semasa beliau menekan perut saya dan keputusan diperolehi 10 minit kemudian.
"WBC naik...you need to go to the hospital young lady...apendisectomy stat!" Saya ternganga mendengar kata-kata pegawai perubatan tersebut. Saya kemudian dikejarkan (macam dalam drama pula...hihihi) ke HPP...kali ini ada siren ye van PK itu.....di dalam van aka ambulan, saya ditemani Nurul. Menitik juga airmata saya kerana teringatkan mak...uwaaaaaaaaa...sedihnya....di dalam ambulans saya menelefon emak memaklumkan perkhabaran saya. Sampai di HPP, saya ditolak masuk ke wad tidak sampai 10 minit-kecemasan sangat gamaknya ye...tapi memang sakit sungguh perut saya. Di wad, saya diperiksa oleh seorang doktor pelatih lagi. Saya solat sambil baring sahaja kerana tidak kuat untuk berwudhu dan bangun untuk solat-sangat sakit dan saya sangat pening. Lebih kurang pukul 4 petang, abang dan kakak ipar saya tiba dari Tronoh-ketika itu kampus kejuruteraan masih di Tronoh. Ketika itu, saya telah diarahkan menukar pakaian untuk pembedahan dan pukul 5.45 petang saya ditolak ke bilik bedah. Saya sangat takut kerana tidak pernah melalui pengalaman sebegitu...tambahan pula bilik menunggu di luar dewan bedah itu sangat sejukkkkk...beberapa ketika menunggu, saya ditolak masuk ke dewan bedah. Ketika ini, seorang doktor- doktor bius menanyakan nama, umur dan berat saya. Tidak lama selepas itu, beliau datang kembali..dan menyuruh saya membaca bismillah, istighfar dan juga mengucap dua kalimah syahadah...isk isk isk...tidak sempat saya nak bersyahdu syahdan...doktor itu menyarungkan topeng oksigen ke muka saya dan beliau mengira...1...2...dan saya terus hilang....
Apabila saya sedar, Yin dan Echah berada di sisi katil dan saya dan saya lihat dalam kabur-kabur mereka seperti sedih dan kelihatan sangat bimbang...rupanya semua orang risaukan saya kerana pembedahan yang sepatutnya berlangsung dalam 1 jam dan saya boleh dibawa keluar ke wad selepas 2 jam tidak kunjung selesai sehinggalah hampir tengah malam. Rupanya ada komplikasi sedikit-biarlah saya simpan sahaja ceritanya...yang pentingnya saya selamat alhamdulillah...masih diberikan peluang untuk bernafas sehingga ke hari ini. Tidak lama selepas di hantar ke wad, saya melihat emak berada di sisi. Saya teringat lagi emak menangis kerana risaukan saya agaknya...dalam keadaan mamai saya cuba menenangkan emak-ok je mak...takde apa ni. Semalaman mak tidur di sisi katil saya di wad tersebut. Owh ya...mak datang menaiki kapal terbang setelah mengetahui keadaan saya. Esoknya, saya telah dimarahi oleh jururawat bertugas kerana tidak larat untuk bangun...seluruh badan saya rasa lemah dan bahagian bawah saya masih kebas tidak berasa apa-apa...Mak dan kakak ipar saya yang memimpin saya ke tandas untuk membersihkan diri. Ingat lagi ayat jurujawat tersebut, " kalau baring-baring macam ni, bila nak sembuh..bangun...jalan-jalan."
Saya bukanlah orang yang sangat alah pada kesakitan, saya agak kuat jugalah...akan tetapi, kesakitan yang dirasai pada luka sepanjang hampir 10 cm di bahagian bawah abdomen itu memang amat tidak tertanggung...bernafas, bersin, batuk...aduhai.....tidak lama kemudian, jururawat yg sama datang semula ke katil saya dan kali ini nadanya berubah. Hairan juga saya...owhh..rupanya kakak saya yang bertugas di HKB telah menelefon dan bertanyakan keadaan saya. Kaklang telah berjanji untuk datang ke HPP dari KB pada keesokan harinya. Pada hari yang sama juga, rakan-rakan sepengajian saya yang sedang sibuk mengulangkaji utk peperiksaan forensik telah datang menziarahi saya. Penuh wad pembedahan wanita HPP pada hari itu yang kebetulannya adalah cuti umum jika tidak silap saya. Saya masih berbelah bagi samada terus berada di kampus untuk menghadiri peperiksaan, pulang ke rumah abang di Tronoh sementara menantikan Isnin untuk peperiksaan atau pulang sahaja ke Seremban. Hari Jumaat, 16 Jun 2000, kaklong saya telah selamat melahirkan Mohd Amir yang telah membuatkan emak dan saya terus pulang ke Seremban setelah saya dibenarkan keluar dari wad pada hari Jumaat petang. Jumaat malam, saya dan mak pulang ke Seremban menaiki pesawat Bayan Lepas-KLIA. Air Asia belum lahir lagi waktu itu....saya menemani kaklong saya berpantang...hihihi....sedap juga lauk orang dalam pantang ni rupanya...
Terlepaslah saya peluang untuk menduduki peperiksaan tersebut dan mengambil peperiksaan bersendirian 6 bulan kemudian- semua sahabat saya lulus peperiksaan tersebut...isk isk isk.....alhamdulillah saya juga lulus cemerlang walaupun menduduki peperiksaan tersebut seorang diri.
Ironinya...hari ini, genaplah 10 tahun peristiwa ini berlaku. Parut pembedahan masih ada di situ dan syukur saya pulih sepenuhnya selepas sebulan (sambung merempit...hehehe)....semoga kita semua dianugerah kesihatan yang baik dan menikmati kehidupan dengan penuh kesyukuran dalam melaksanakan tangungjawab kita...
 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino