Sunday, February 21, 2010

Awak OKUkah?


Dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu tempoh hari, kami telah berhenti di kawasan rehat dan rawat Temerloh. Seperti biasa, suami saya akan mencari tempat meletak kenderaan untuk OKU. Namun begitu, tempat yang kosong telah terisi dengan sebuah kereta mewah yang berada di hadapan kami. Mungkin ketiadaan petak kosong memaksa kereta berkenaan untuk menggunakan ruang untuk OKU kerana kami amat pasti tiada OKU di dalam kenderaan tersebut. Belum sempat kami melepasi kawasan itu, kereta mewah tersebut telah keluar semula dari petak berkenaan dan suami saya terus mengisi ruang berkenaan. Semasa saya keluar dari kereta, suami masih lagi duduk di tempat pemandu untuk merebahkan badan bagi mengendurkan ketegangan otot. Almaklumlah, beliau memandu menggunakan tangan kanan bagi me'narik' minyak dan menekan brek dan tangan kiri untuk mengawal stereng. Semasa melintasi seorang lelaki separuh abad, beliau dengan suara yang agak lantang bertanyakan suami saya, "OKU ke?"

Saya menjangkakan suami saya mendengari pertanyaan tersebut terus menuju ke tandas. Apabila saya kembali ke kereta, saya melihat lelaki tadi telah bersandar di tempat duduk pemandu di kereta yang diparkir di sebelah tempat pejalan kaki berhampiran tempat letak kereta untuk OKU. Saya meneka bahawa suami saya tidak memberi sebarang respon terhadap soalan lelaki tadi dan saya memberitahu suami dan meminta suami agar memberikan respon kepada lelaki tersebut yang prihatin. Susah untuk seorang ahli masyarakat menunjukkan keprihatinan yang serupa dan pengalaman biasa kami adalah ahli masyarakat yang sangat berminat untuk meletakkan kenderaan/menggunakan kemudahan yang disediakan untuk Orang Kelainan Upaya bagi kegunaan mereka yang normal.

Setelah bertegur sapa, lelaki tersebut telah menunjukkan kad pendaftaran OKU beliau. Owhh...beliau rupanya OKU anggota yang juga terlibat dalam kemalangan jalan raya dan telah patah kedua belah kaki yang kemudiannya menjadi lemah. Bercerita dengan abang Salim yang penuh dengan pengalaman dan mempunyai cara berfikir yang sangat positif menyuntik semangat buat kami berdua. Hanya 1 soalan telah menyambungkan ukhuwah.

Buat pembaca budiman yang normal serba-serbi, sekiranya anda tidak mempunyai kekuatan untuk menegur ahli masyarakat yang dengan sewenang-wenangnya menggunakan kemudahan untuk OKU, jadikanlah diri anda seorang yang tidak tergolong dalam kalangan mereka. Hanya OKU dan ahli keluarga mereka yang memahami betapa sukarnya untuk melalui hari-hari mendatang dengan anugerah dugaan ini.

1 comments:

Emak si Teta dan Balkish, mak Andak Ojan, Hakim, on Monday, February 22, 2010 at 9:19:00 AM GMT+8 said...

am, abang ipar akak seorang yang OKU, mempunyai kad OKU kerana kecacatan sejak dari kecil. Setiap kali susah mencari parking, pasti kami akan berkata. Alamak..kalau ada Abang rahim ni senang kita park kereta..ha.ha.

 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino