Friday, April 24, 2009

Doakan Kak Ida


Semasa saya memulakan karier saya di sini, saya duduk menyewa di sebelah rumah sepupu suami (ketika itu tunang saya). Duduk di kawasan kampung di Padang Jawa dan bergaul dengan masyarakat setempat benar-benar membuatkan saya mengalami kejutan budaya. Saya fikir saya adalah seorang anak gadis yang sangat jarang menghadiri majlis kenduri-kendara apatah lagi rewang. Di Padang Jawa, saya belajar menghadiri rewang, kenduri, majlis bacaan kitab oleh ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah dan belajar bergaul dengan masyarakat. Di kampung, saya jarang keluar rumah, apabila emak meminta ditemankan menghadiri kenduri, saya sekadar menjadi pemandu emak dan menunggu emak di dalam kereta. Ya..saya tahu itu adalah tidak bagus dan sangat tidak mesra komuniti. Itulah saya. Ketika kecil saya sangat teruja untuk mengikut emak dan arwah apak menghadiri majlis kenduri-kendara tapi peluang itu sangat jarang muncul kerana kami tiada kenderaan. Apabila sudah ada kereta, tidak muat pula untuk diisi semuanya dan saya menjadi pilihan untuk ditinggalkan. Apabila sudah remaja dan kemudian menjadi dewasa, keinginan itu sudah tiada dan tidak menjadi pilihan utama saya lagi.
Ketika di PJ saya diperkenalkan dengan Kak Ida, telah berkahwin lebih 10 tahun dan tidak dikurniakan zuriat tetapi mengambil seorang anak angkat . Kak Ida didiagnos menghidapi kanser servik, payudara dan juga pilorik pada tahap 3. Payudara dibuang sebelah, servik dibuang dan sebahagian usus juga dibuang. Penyakit didiagnos ketika kak Ida mengandung satu-satunya zuriat. Kak Ida berkorban nyawa supaya anaknya dilahirkan dan dengan izin Allah kedua-duanya selamat. Sejak itu, kak Ida tidak pernah berputus asa dengan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, kak Ida tetap menjalankan tanggungjawab untuk membesarkan anak-anak. Sesiapa sahaja yang kak Ida jumpa, ayat yang sama akan disuarakan, 'doakan kak Ida dapat besarkan anak-anak.' Kak Ida juga akan pergi berjumpa dengan sesiapa sahaja yang dikenali dan akan mengerjakan umrah atau haji mohon didoakan perkara yang sama.
Selepas 6 tahun berjuang, selepas subuh hari Jumaat yang penuh keberkatan ini, kak Ida telah dijemput kembali oleh yang Maha Pencipta. Moga roh kak Ida tenang di sana.
Saya sangat emosi dan pemergian kedua-dua insan yang jarang saya temui tetapi amat dekat di hati amat menggawatkan ketenangan saya. Pagi semalam, ketika saya mendapat panggilan telefon dari Angah memaklumkan keadaan kak Aisah yang kritikal, saya juga mendapat berita dari sepupu suami saya yang kak Ida juga sedang nazak. Allahyarhamah Dayang Aisah disemadikan di Sarawak dan Allahyarhamah Kak Ida di Perak. Giliran kita yang masih bernyawa ini akan tiba bila-bila masa. Bersediakah kita?

2 comments:

Azyyati on Friday, April 24, 2009 at 7:54:00 PM GMT+8 said...

innalillah... semoga rohnya dicucuri rahmat

Anonymous said...

perkara yang menakutkan bagi yang masih hidup.. tapi kita selalu lupa..'MATI' Alfatihah buat kedua kedua arwah.. semoga roh dirahmatiNYA..

Ameen

 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino