Tuesday, March 25, 2008

Doakan


Awal pagi saya menelefon mak. Mak sakit rupanya. Tidak larat bangun sejak semalam. Mak menghidap penyakit kencing manis dan masalah hematouria. Sudah lebih 10 tahun..dan mak tidak pernah sakit teruk kecuali selepas pembedahan kerana masalah sakit puan semasa saya di tahun akhir di USM dan sekali lagi selepas majlis walimah saya dan suami 3 tahun dahulu. Mak demam panas selepas majlis dan tidak boleh bangun selama hampir seminggu. Selain itu, alhamdulillah, mak seorang yang sangat cergas dan aktif.

Saya meninggalkan kerja di makmal, balik ke rumah dan memasak makanan untuk makan malam suami sebelum bergegas pulang ke Seremban dengan uda. Sampai di Seremban, mak cuba berlagak seperti biasa tapi saya tidak pernah lihat mak seletih dan tidak sekuat itu. Selepas makan nasi dengan lauk yang saya bawa dari Shah Alam, mak berbaring semula. Saya sapukan minyak urut di seluruh badan mak. Mak hanya membiarkan. Selama ini..ye selama hampir 31 tahun usia saya, mak tidak pernah mahu disapukan minyak urut di badannya..dia akan menolak...Ya Allah...mak saya uzur kali ini...yelah..sudah hampir 65 tahun usia mak. Saya dan uda memujuk mak supaya ke hospital tetapi mak tidak bersetuju. Selepas asar, saya dan uda pulang semula ke Shah Alam.

Esok saya akan balik ke Seremban semula, mak sudah bersetuju untuk di bawa ke hospital atas pujukan kaklang (yang bertugas di HUSM). Saya sangat menghargai kesudian suami saya ingin mengambil cuti untuk menemankan mak ke hospital esok tetapi saya menghalang kerana jumlah cuti tahunan yang sangat terhad. Doakan mak saya sembuh seperti biasa. Saya asyik sebak hari ini....Ya Allah..berilah kesembuhan buat bondaku.

0 comments:

 

Catatan Suka Duka Gembira Derita Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino